April 27, 2015

Masjidil Haram Masjid Teragung Umat Islam


Makkah,  26  Jamadil Akhir 1436 = 16 April 2015 (Isnin):
Melihat dari segi Takmilah terhadap masjid, maka sudah pastilah bahawa Masjidil Haram adalah masjid agung yang tertinggi dari segi hirarki yang selepas daripadanya ialah Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Walau berkedudukan terkeatas, bahawa tidak semua aspek di masjid itu menjadi tiruan dan ikutan.  Ada perkara-perkara yang khusus bagi masjid dan tidak ada pada masjid yang lain dan tidak boleh dipindah atau ditiru, lantaran aspek-aspek berkenaan adalah khusus pada masjid itu, seperti Ka`abah, dan tempat shair, namun ada yang menerima perubahan dan menjadi ikutan dan contoh tauldan bagi masjid-masjid yang lain. Contoh dari segi seni bina fizikalnya.


Pada dasarnya  Masjidil Haram adalah puncak tempat ibadat bagi umat yang ianya adalah satu-satunya dan tidak ada tempat lain seumpamanya dan tidak boleh diadakan pada tempat lain sepertinya. Masjidil Haram adalah tempat menunaikan haji dan umrah. Bagi menunaikan haji dan umrah melibatkan rukun-rukun, wajib-wajib dan sunat-sunat. Bagi haji ialah melibatkan wuquf di Arafah, bermalam di Mina dan Muzdalifah, tawaf di Ka`bah dan sai antara Safa dam Maruah dn tahallul dan keperluan-keperluan yang lain. Bagi Umrah pula melibatkan miqat mengikut kedudukan seperti di Ja`ranah, Tan`im, Hudaybiyyah, Bi`r Ali, Yalamlam dan sebagainya. Takmilah bagi ibadat adalah melibatkan pembelajaran dan pengajian yang harus didalami oleh yang menunaikan haji dan umrah. Selain daripda itu adalah hidayah dan persediaan hati rohani dalam mengisi ibadat-ibadat yang berkenaan setinggi yang mungkin. Dalam kata yang lain infra-struktur bagi semua hendaklah berlaku pada tempat asal menurut masa yang berkenaan.

Adapun perkembangan aspek-aspek fizikal yang lain memang sentiasa berlaku dan terus berlaku perubahan menurut keperluan zaman. Contoh binaan bagi keliling Ka`bah telah berkali-kali berlaku perubahan dari dulunya kecil. Dari atas tanah biasa kepada binaan yang mempunyai lantai marmar dan kelilingnya bangunan – antaranya bertingkat dan bagi memasukinya adalah melalui pintu-pintu yang dijenamakan. Mutakhir adalah berlaku pembangunan besar-besaran yang melibatkan pembesaran kawasan solat keliling Ka`bah. Perubahan akan terus berlaku, misalnya bagi memungkinkan lebih ramai jamaah bertempat, mungkin kawasan ruang keliling Ka`bah dipereluaskan dan keluar masuk lebih eficien dengan menggunakan sistem pengangkutan LRT aliran ringan yang datang dari berbagai penjuru dan jamaah dapat bergerak keluar masuk dengan lebih pantas. Manakala tempat shair dan umrah, agak tidak berubah dan masih kekal dengan fizikalnya sejak 30 tahun yang lalu. Pembesaran dan perubahan melibatkan juga kawasan padang `Arafah, Mina dan Muzdalifah serta juga tempat-tempat miqat yang telah disebutkan, terutama dari segi pembinaan masjid-masjid sebagai tempat bermiqat.
Apa yang mau disebutkan dan dari hasil pemerhatian Penulis, bahawa bangunan-bangunan masjid di tempat-tempat disebutkan di atas dan juga masjid-masjid yang baru, bahawa ciri seni bina Masjidil Haram terutama dari segi tiang-tiang masjid, lebih khususnya menara-menara adalah mengambil reka bentuk dan ciri seni bina Masjidil Haram. Ambil dan perhatikan pada seni bina tiang dan menara Masjid Quba`, Masjid Qiblatayn, Masjid Ja`ranah, Hudaybiyah dan Tan`im ada semacam keserupaan dan mengambil gaya seni bina Masjid al-Haram. Bahkan dari segi gerbang, tiang, menara dan pintu ada kesamaan antara Masjid al-Haram dan Masjuid Nabawi, Tapi tidak dapat dipastikan yang mana mengambil dari yang mana. Tapi dapat dikatakan bahawa pengaruh seni bina Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mempengaruh seni-seni bina masjid-masjid yang lain. Dalam kata yang lain tidak menjadi kesalahan misalnya bagi mempertahankan seni bina umat Islam tertua dan juga bagi budaya Arab, maka  seni bina terutama, tiang, gerbang dan dekorasi bagi keduanya diambil dari seni bina Masjid Umawi di Damshiq Syria.


Dalam perkembangan lanjutan ada unsur ambil mengambil dari seni bina masjid terkenal di kalangan umat dengan wujudnya unsur-unsur kreasi dan tambahan. Kreativiti dan inovasi berlaku misalnya diakibatkan oleh suasana tempatan. Misalnya masjid-masjid di Alam Melayu mengambil kayu sebagai bahan pembinaan yang memang banyak kedapatan di kawasan berkenaan. Di kawasan Afrika masjid dibina dari tanah yang mernjadi bahan binaan setempat. Pada satu peringkat tamadun dan peradaban umat mencapai tahap yang tinggi. Mereka menghasilkan seni bina masjid yang menarik dan menjadi monumen umat. Misalnya Masjid Baitul Maqdis, Masjid Agung Damshiq, Masjid Sumarra, Masjid Qairawan, Al-Azhar, Masjid Ibn Talun, Masjid Samanid, Bukhara, Masjid Ghazni, Masjid Jami` Isfahan, Masjid Qurdova, Masjid Qutubiyyah Murakish, Masjid Sultan Salem di Turki dan sebagainya. Bagi kawasaan tertentu, misalnya negeri Cina mempunyi masjid ala Pagoda dan masjid-masjid di alam Melayu mempunyai bentu  V terbalik bagi mengatasi cuaca yang sering hujan.
Sebenarnya perkembangan seni bina masjid masih berkembang dan kreatif. Ada yang mengikut misalnya seni-seni bina masjid yang sudah terkenal dengan pengubahan dan tambahan yang bersesuaian. Kemampunan teknologi dan pemindahan bahan-bahan dari satu tempat ke tempat yang lain menyebabkan bentuk seni bina masjid semacam boleh dibina di mana-mana. Misalnya Masjid Shah Alam , Putrajaya adalah mengambil elemen seni bina masjid dari umat Islam dengan penambahan-penambahan.


Pembinaan dan pengambilan elemen seni bina antara masjid terus berlaku, di samping ada yang beruaha membina masjid menurut ciri dan identiti tersendiri. Walau bagaimana elemen masjhid adalah tempat solat dan ibadat, walaupun canggih dari segi seni bina tidak boleh lari dari fungsi ini di samping fungsi pengajian dan kegiatan kemasyarakatan. Dari sejarah pembinaan masjid yang panjang, sebenarnya masjid sebagai tempat ibadat telah mewujudkan ciri dan identi masjid yang ciri-ciri Islamiknya amat tebal. Ia merupakan hasil estetik dan warisan budaya umat yang unggul, kudus dan rohani umat yang kukuh dengan pegangan Islam. Semua masjid adalah berkiblatkan Masjidil Haram yang melambangkan penyatuan umat. Ciri-ciri dominan yang menjadi identiti masjid yang ketara ialah wujudnya ruang solat, kubah, menara, mihrab, mimbar, pintu gerbang, tempat wudhu`, bilik jenazah dan sebagainya, namun ada perubahan dan perbezaan antara satu masjid dengan masjid yang lain yang menjadi identiti bagi masjhid berkenaan. Masjid memberi ruang bagi kreativiti dan inovasi terutama yang melibatkan aspek kreativiti dan inovasi, lebih-lebih lagi yang bersifat kudus dan rohani.


Sekian.


No comments:

Post a Comment