April 2, 2015

Nazam Popular Dalam Bahasa Melayu - Berciri Dan Identiti Melayu


BBB,  11 Jamadil Akhir 1436 = 01 April 2015 (Rabu):
Nazam bermakna di dalam bahasa Melayu ialah `gubahan` atau `susunan`. Dari segi istilah ialah satu bentuk puisi di dalam bahasa Arab semacam syair yang mempunyai bayt-bayt disusun berdasarkan wazan-wazan, tetapi adalah lebih bebas dari keterikatan sesebuah syair. Yang menjadikan panggilan sebagai sebuah nazam lebih kepada penggunaan misalnya memuji Rasulullah s.a.w., menjadi matan kepada keilmuan dan tema-tema khusus yang bersifat penghormatan.
Nazam lebih luas dan terbuka, asalkan ungkapan bersifat tersusun, maka adalah mazam. Ungkapan `marhaban` bagi mengalu-ngalukan Rasulullah s.a.w. setibanya baginda bersama sahabat Sayyiduna Abu Bakar ke Madinah dalam Hijrah Baginda dapat dipanggil nazam, bahkan sebahagian dari kitab Maulud Barzanji adalah dalam bentuk nazam (sebahagian daripadanya nathar).
(Ali Bahai Sharaf, Majmu` Maulud Sharaf al-Anam, Arab Street, Singapura, tt: 1-71).
Adapun nazam yang bersifat keilmuan, ialah matan-matan keilmuan yang disusun secara teratur dan dipelajari secara syarah. Contoh seperti Nazam `Aqidat al-`Awwam, iaitu mengenai ilmu aqidah.
(Majmu` Maulud Sharaf al-Anam, hlm. 188-197).
 Nazam masuk di dalam bahasa Melayu adalah melalui pembelajarn keilmuan dan lagu-lagu barzanji yang digubah oleh Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji yang memang popular di kalangan masyarakat Melayu.


Nazam dalam pengertian di dalam bahasa Melayu disebut juga `bayt` yang juga termasuk syair, tetapi bila diungkap di dalam bahasa Melayu, maka ianya lebih bersifat terikat dan berciri Melayu. Ini dapat difahami dari pendapat Za`ba bahawa:
``Shair ``bayt`` jenis (shair) tadi dalam bahasa Melayu biasa disebut nazam; rangkapnya dihitung dua-dua kerat serangkap.
Melihat yang di atas itu terkarang mengikut timbangan yang dinamai ``bahar rajaz`` dalam kaedah syair Arab. Pertentangan bunyinya yang biasa dibuat dalam bahasa Arab ialah disamakan bunyi hujung antara dua kerat yang menjadikan bayt itu sahaja; lain bayt lain pula bunyinya yang sama itu.``
(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1965: 239).
Walau bagaimana  nazam yang masuk di dalam bahasa Melayu, berubah bentuknya dan menjadi lebih terikat, sebagaimana kata Za`ba:
``Tetapi dalam bahasa Melayu kerap dibuat orang seperti dalam mithal itu tadi, iaitu bunyi hujung kerat yang keduanya sahaja disamakan antara tiap-tiap bayt hingga seberapa banyak.``, tambah Za`ba,
``Cara  nazam yang lebih biasa dibuat itu, iaitu tiap-tiap bayt disamakan bunyi; hujung antara dua keratnya sahaja, tetapi berlainan dengan bunyi hujung yang sama pada bayt-bayt yang lain.
(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, hlm. 239).
Sebagai contoh beliau memetik Nazam Sifat 20, Tuan Guru Mustafa Linggi:
``Nazam Sifat 20``
Aku mula nazam ini dengan nama,
Allah yang memberi fahamkan ugama,
Puji itu bagi Allah yang mulia,
Lagi kekal Iagi yang sedia.
Rahmat Allah dan salamnya atas Nabi,
Muhammad yang Hashimi dan Arabi.
Demikian lagi atas aal yang berbahagia,
Dan sahabat Nabi kita yang mulia.
Wa ba`duhu kata fakir, ``Hai saudara,
Laki-laki, perempuan, anak dara.
``Barang siapa takut ia `kan cedera,
Dan kehinaan di akhirat yang bermara,
Dan mengharap akan untung yang bahagia,
Dan kepujian yang megah dan mulia;
Maka hendaklah belajar dan mengaji,
Dan beramal, jangan leka umpat puji.``
(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, hlm. 239-240).
Dapatlah dikatakan bahawa, nazam di dalam bahasa Melayu lebih bersifat keilmuan agama dan dihasilkan oleh kalangan ulama. Contoh bagi memperkenalkan kitab Hikam Melayu yang disyarah oleh Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis), terdapat nazam berikut yang sifatnya adalah lebih bebas:
``Kitab inilah yang patut mengajinya,
Dan umpamanya mas sudah diujinya,
Dan umpama pula makanan diidang
Dan yang lain itu tudung sajinya,
Dan umpama pula buah-buahan
Isinya dan minyak dalam bijinya
Kerana ialah yang menyampai kepada Tuhan,
Lagi besar pahalanya dan kajinya,
Dan yang dapat ilmunya dan meamalkan,
Orang itulah sebenar dipujinya,
Syurga itulah kediaman yang kekal
Ilmu ini pintu dan bajinya,
Dan yang jahil dengan dia api neraka,
Selar sengat tikam gergajinya,
Ya Rabb kurnia akan futuh Engkau
Bagi tiap-tiap hamba mengajinya.``
(Tuk Pulau Manis (Haji Abdul Malik bin Abdullah), Hikam Melayu, Sulayman Ma`i al-Kutubi, Singapura-Penang-Kota Bharu, tt: Kulit Dalam hadapan).
Sebagaimana disebut nazam selain dari dipelajari secara keilmuan lumrah pula digunakan secara pembacaan berlagu di dalam majlis-majlis yang bersifat sambutan dan perayaan keagamaan – khususnya bagi upacara Maulid al-Rasul. Seorang penulis nazam terkenal yang menghasilkan nazam mirip Barzanji dan juga nazam keilmuan aqidah, syariat dan sirah Rasulullah ialah  Syed Muhammad bin Zainal Abidin (1795-1878). Beliau yang pernah menuntut di Makkah ini mengarang beberapa buah nazam iaitu:
1)      Nazam Kanz a-`Ula      (Riwayat Nabi Muhammad s.a.w.)
2)      Sirah al-Nabawiyyah (Sirah Nabi Muhammad s.a.w.)
3)      Jawahir al-Saniyyah (Aqidah)
4)      Al-Durrat al-Fakhirah (Aqidah)
5)      Tahliyat al-Wildan (Fiqh)
(Syaed Muhammad juga mengarang 4 buah kitab keilmuan berbentuk nathar).
Sebagai contoh diperturunkan Nazam Syed Muhammad, antaranya sebahagian petikan dari Kanz al-`Ula:


Wa ba`du inilah kitab Kanz al-`Ula namanya,
Pada menyatakan sifat-sifat al-Mustafa yang mulia,
Allah jua aku harap dengan menolong aku,
Atas nazamku ini pada khatamkan dia,
Dengan berkat Penghulu kita Muhammad yang Besar,
Dan keluarga yang suci dan sahabat yang mulia.
                    ( Kanz al-`Ula, 1322H., hlm. 1-3).
Contoh Nazam  Jawahir al-Saniyyah yang berhubung dengan aqidah, kata nazam:
Wajib itu maka barang ada ia
Tidak dapat pada akal `adam ia,
Yang mustahil itu barang pula ia,
Tidak dapat pada akal wujud dia,
Harus itu barang sahih adanya,
Pada akal dan tiada pulanya,
Taqlid pada `aqa`id al-iman itu,
Ditakuti tidak pada iman tentu,
Sebaik khilafiyah ulama padanya,
Pada iman atau tiadanya,
Yang muktamad sahlah ia dengan dia,
Jika dapat jazam pada taqlid dia.
      ( Jawahir al-Saniyyah, 1358H., hlm. 7).
(Shafie Abu Bakar, Syed Muhammad bin Zainal Abidin, dlm. Pengarang dan Kepengarangan Melayu, Selenggaraan Sahlan Mohd. Saman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994: 77-107).
Apa yang menarik karya-karya Syed Muhammad bin Zainal Abidin ini selain dipelajari sebagai bahan-bahan ilmiah di dalam majlis-majlis ilmu, puisi-puisi nazamnya ini dilagukan secara Naban (Nazam) secara beramai-ramai dengan cara lagu dan rentak sendiri. Kumpulan nazam ini tumbuh di merata tempat di Terengganu. Lagu-lagu  nazam ini diadakan di dalam majlis-majlis keagamaan seperti sambutan Maulid al-Rasul, majlis kenduri kendara dan berbagai sambutan yang bersifat kemasyarakatan. Fenomena baru yang menggembirakan lahirnya majlis-majlis Bersalawat Ke Atas Nabi yang antaranya menggunakan ungkapan nazam-nazam yang dianjurkan pihak institusi-institusi dan pihak negeri-negeri patut dipuji dan digalakkan. ini dapat memupuk budaya murni cintakan Nabi, dan dapat menarik masyarakat dari terbawa kepada budaya tak berfaedah kepada yang lebih mulia dan beretika.
Nazam  adalah bentuk puisi keislaman yang lebih popular dan digunakan dalam masyarakat Melayu. Bentuk nazam dalam bahasa Melayu tidak lagi menurut nazam dalam bahasa Arab, tetapi berciri dan beridentiti Melayu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment