April 29, 2015

Melawat Dua Buah Muzium Di Madinah


Madinah al-Munawwarah,   19 & 25 Jamadil Akhir 1436 = 9 & 15 April 2015: 
Tanggapan Penulis selama ini, bahawa Kerajaan yang menjaga `Tanah Suci` memang mengambil sikap dan polisi tidak memberi perhatian terhadap monumen-monumen sejarah dan permuziuman di negara tersebut agar bahan-bahan sejarah dan monumen-monomen berkenaan tidak menjadi alat dan bahan-bahan pemujaan yang boleh membawa kepada pendewaan dan syirik. Sebenarnya Madinah dan Makkah penuh dengan bahan-bahan sejarah dan permuziuman – termasuklah tapak-tapak dan monumen, tetapi tidak diangkat kepada bahan-bahan sejarah dan permuziuman secara professional, sebaliknya dibiarkan begitu bersahaja. Banyak tempat yang boleh disebutkan seperti Tanah Perkuburan Baqi`, Tanah Perkuburan al-Syahid Sayyiduna Hamzah dan para syuhada` yang gugur di medan peperangan Uhud dan banyak tempat lagi yang mana Madinah dan Makkah adalah `Tanah Sejarah` dan banyak monumen. Bagi pemerintah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sudah cukup bagi umat Islam datang menunaikan ibadat dan menziarah. Lantaran itu tempat-tempat sejarah, walaupun tidak diabaikan, tetap tempat-tempat berkenaan tidak diberi sanjungan apa lagi pemujaan.  


Walau bagaimana terdapat dua muzium di Madinah yang disifatkan sebagai sederhana, sekurang-kurang sebuah daripadanya agak berlainan dari muzium yang difahami selama ini. Sebuah dari muzium berkenaan terletak pada bahagian kanan di luar daripada  kawasan Masjid Nabawi. Bangunan bertingkat ini agak tua dan memanjang di tepi Masjid Nabawi. Penulis berkesempatran menziarah muzium berkenaan  selepas menunaikan solat Asar berjamaah di Masjid Nabawi dan mengambil kesempatan menziarah. Muzium ini dikenali sebagai Muzium Rasulullah yang sebenarnya mempamerkan  keagungan dan keluasan makna Al-Asma` Al-Husna` (99 nama). Tiap kalimat nama diberi huraian dan tafsiran dengan ayat-ayat al-Qur`an dan gambar-gambar yang releven. Contoh Allah menurunkan hujan digambarkan hujan, langit, gambaran air laut dan tumbuh-tumbuhan yang berbagai-bagai lagi. Dapatlah dikatakan gambaran bersifat saintifik  dan artistik. Turut dipamerkan khat-khat yang berhubung dengan ayat-ayat berkenaan seterusnya bagi seluruh nama bag Al-Asma` al-Husna. Walau bagaimana muzium berkenaan banyak dengan gambar-gambar dan khat-khat, tetapi tiada artifek-artifek bagi mengukuhkan pameran. Pendekatan ini adalah merupakan pendekatan yang disengajakan, namun dapat dikatakan kurang mendapat kunjungan pengunjung.


Walau bagaimana sebuah lagi muzium yang Penulis berkesempatan berkunjung ialah  tatkala mengikuti rombongn jamaah secara santai pada 15 April 2015. Pada hari ini ialah merupakan hari pilihan bagi peserta untuk mengikuti ke luar dengan membayar sejumlah bayaran bagi perjalanan dan makan minum. Penulis sekeluarga turut sama dengan rombongan kegiatan luar. Sebahagian kecil mengambil kesempatan menunaikan umrah dari kawasan Hudaibiyyah dengan bermiqat dari sini dan jamaah berkenaan meneruskan amalan umrah secara kumpulan atau secara berseorangan. Hudaibiyah menjadi lokasi menarik. Pertama ialah kerana di sini berlangsung Perjanjian Hudibiayah (7H.) antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan pembesar Quraysy yang dari perjanjian ini membawa kepada pembukaan Makkah pada tahun berikutnya. Keduanya wujud Muzium Al-Haramayn yang merupakan muzium yang teratur dan menarik dan mempunyai barang-barang pameran dan artifek-artifek yang menarik.   Muzium ini dibina di satu kawasan khas dan kami singgah dalam rangka melawat ke Al-Hudaybiyah. Muzium adalah sederhana besar, satu tingkat. Di dalamnya sebagaimana namanya Muzium al-Haramayn adalah menyimpan bahan-bahan lama yang berhubung dengan dua Tanah Haram, iaitu Makkah dan Madinah. Lebih tepat dikatakan bahan-bahan yang berhubung dengan Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi. Semasa lawatan pengunjung-pengunjung dibenar mengambil gambar. Muzium ini merupakan lokasi popular bagi ziarah seperti ziarah Maqam Sayyiduna Hamzah dan Arafah. Kenderaan memenuhi kawasan dan pengunjung begitu ramai yang datang. Antara tarikan utama yang dipamerkan di tengah ruang ialah gambar Masjidil Haram sebelum berlaku pembangunan dan perubahan yang berlaku sekarang. Dipamer juga pintu Masjidil Haram yang lama. Khat yang berhubung dengan ayat  `Al-Hamdulillahi Rabbil alamin, ukiran kayu yang digunakan bagi pemasangan bahagian atas tiang,


Antara koleksi lain  berhubung dengan Masjidil Haram ialah seperti gambar telaga zam-zam yang terletak di tengah bangunan. Telaga berbentuk bulat dipagari dengan tembok keliling dan jeriji besi pada bahagian atas. Pada bahagian atas ialah timba yang diguna bagi mengambil dan mengeluarkan air zam zam. Terdapat sebuah batu Bersurat yang dikirim oleh seorang pemerintah Islam kepada pihak berkuasa yang menguasai Masjidil Haram pada masa itu, terdapat juga salinan naskhah Al-Qur`an pada zaman Sayyiduna Uthman yang terkenal dengan Mushaf `Uthman. Walaupun tulisan adalah terang dan jelas, agak sukar juga bagi membaca dan memahami  Mushaf Sayyiduna `Uthman.  Terdapat juga `shajarah` berhubung dengan keturunan Rasulullah s.a.w. yang merupakan nasab yang paling mulia. Terdapat juga tiang dan bahagian rawdah di Masjid Nabawi yang lama dipindahkan ke sini setelah diganti dengan yang baharu, begitu juga dengan mimbar Masjid Madinah yang lama yang agak tinggi dan banyak anak tanggi bagi menaikinya melalui pintu gerbang kecil sebelum dapat naik ke atas. Gambar Masjid Nabawi yang popular ialah yang pada bahagian atasnya berkubah hijau yang kubah ini masih dipertahankan di Masjid Nabawi. Pendek kata Muzium al-Haramayn menarik ramai pengunjung. Walau bagaimana sebagai sebuah Muzium al-Haramayn muzium agak kecil dan bahan-bahan koleksi juga agak terhad dan lebih merupakan bahan-bahan baru. Sebagaimana termaklum, bahan-bahan pameran yang berhubung dengan Dua Haramayn ini telah banyak dipindahkan ke Turki pada masa kerajaan Khalifah Uthmaniyyah memerintah negara Islam. Bahan-bahan berkenaan masih tersimpan di Muzium di Istanbul Turki. Walau bagaimana Muzium al-Haramain ini adalah antara yang  terbaik dan boleh ditingkatkan lagi dari segi bahan dan persembahan. Melalui pameran adalah merupakan cara terbaik bagi mendidik dan menyampaikan maklumat kepada pengunjung tentang perkembangan Islam. Pada masa melawat muzium ini, penulis tercari-cari sekiranya terdapat buku atau katelog yang menerangkan tentang koleksi di muzium ini. Pada pendapat Penulis wajar disediakan buku katelog yang dapat dijadikan panduan bagi memahami bahan-bahan yng ada di muzium dan boleh dibeli oleh pengunjung, Bukan setakat itu sahaja, bahkan muzium perlu banyak menyediakan dan menjual buku-buku yang berhubung dengan dua Tanah Suci, bahkan buku yang berhubung dengan sejarah dan keterangan berhubung dengan Islam.
Sebagaimana disebut Muzium Al-Haramayn ini terletak antara Bandar Madinatul Rasul ke Hudaibiyah, selepas menikmati pameran di Muzium al-Haramayn, kami bertolak ke Hudaibiyah yang merupakan  lokasi yang mencetus perjanjian penting antara Rasulullah dengan pemimpin Quraisy Makkah. Perjanjian Hudaybiyah membuka jalan ke arah pembukaan Kota Makkah.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       

No comments:

Post a Comment