April 28, 2015

Selang Seli Umrah, Tawaf Dan Ziarah


Makkah al-Mukarramah. 22-28 Jamadil Akhir 1436 = 12-18 April 2015:


Berada di Makkah, sebagaimana juga semasa berada di Madinah dalam masa yang tidak sampai seminggu pada setiap tempat, maka di dalam masa terhad ini rasanya ingin mengisi dengan kegiatan terbaik dengan ingatan ini mungkin adalah peluang terakhir dapat menziarah ke dua-dua Tanah Suci ini. Lantaran itu adalah menjadi hasrat bagi menggunakan sebanyak masa beribadat di masjid. Jika pulang ke penginapan adalah tujuan membersih diri, menukar pakaian dan makan. Walau macam mengingatkan diri sudah lanjut usia perlu menjaga kesihatan. Perlu mengganti masa berjaga dengan tidur ganti terutama selepas makan pagi sehingga menjelang zohor. Sebenarnya adalah menjadi hasrat untuk berada di masjid dalam tempoh yang lama, misalnya dari jam  3.00 – 6.00 pagi atau waktu dari jam 6.00-10.00 malam, tetapi keadaan diri yang sudah lanjut usia perlu ke bilik air (tandas) dalam tempoh tertentu. Bila ke tandas bererti meninggalkan ruang yang sedia ada dan bila datang sudah tidak ada tempat dan mungkin terpisah dari keluarga dan dibimbangi sesat.
Tumpuan tidaklah terhadap solat di masjid sahaja, kedatangan adalah bertujuan utama ialah untuk menunaikan umrah, di samping ziarah. Pihak penganjur (Andalusia) sebenarnya lebih dari mahir di dalam mengatur jadual bagi umrah dan juga ziarah dan menjangka kemampuan ahli-ahli jamaah mengikutinya, terutama bagi umrah, ziarah dan program tambahan yang lain. Program umrah yang diatur secara rasmi ialah tiga kali. Pertama adalah Umrah Wajib bagi mereka yang belum pernah datang sama ada umrah atau Haji. Amalan umrah ini telah dilakukan sejak dari 12 April (dari Madinah) dan selesai ke pagi esoknya dengan berkesempatan berimam solat Subuh bersama imam di Masjidil Haram. Dalam masa enam hari para jamaah disusun dalam program melakukan umrah dibimbing mutawwif sebanyak 3 kali dengan ekstra tambahan melakukan umrah ketika melawat Hudaibiyah. Peserta boleh bermiqat berniat umrah dari sana dan bila pulang ke Masjid al-Haram akan meneruskan ibadat umrah secara bersendirian, sama ada dengan teman sekumpulan atau keluarga atau sendirian sahaja. Sebagai peserta Penulis dan keluarga memenuhi program umrah yang dianjur oleh pihak syarikat secara berselang seli, iaitu sehari selepas Umrah pertama turut mengikuti umrah kedua apabila pihak rombongan membawa jamaah ke miqat kedua, iaitu di Ja`ranah pada 14 April dan umrah ketiga pada 16 April apabila jamaah dibawa bermiqat di Tan`im. Melakukan amalan umrah yang dipimpin oleh mutawwif berpengalaman adalah licin dan tiada masalah. Sebenarnya sebagaiman disebutkan bahawa pihak penganjur memberi peluang jamaah menunaikan Umrah tambahan apabila pada 15 April diadakan program tambahan dalam mana peserta ditawarkan penyertaan lawatan ke Hudaybiah pada 15 April dengan sedikit bayaran tambahan. Tidak semua jamaah di bawah penganjur turut serta dan yang turut serta ada yang mengambil kesempatan membuat umrah tambahan dan lebih ramai menyertai lawatan tanpa melakukan Umrah. Penulis tiga beranak juga memilih menyertai sebagai lawatan bagi meninjau kedudukan tempat (Penulis belum datang ke sini pada kunjungan-kunjugan yang lepas) dan kehadiran juga bagi menyaksikan bangunan-bangunan, khususnya Masjid Hudaibiyah itu sendiri.


Sebenarnya dengan usia yang sudah agak lanjut, faktor tenaga dan kesihatan adalah menjadi perkiraan. Dengan selang sehari Umrah sudah sesuai dengan tenaga yang ada, kerana setiap umrah memerlukan tenaga untuk berjalan. Berjalan dari miqat, berjalan ketika tawaf dalam keadaan bersesakan dan puncak berjalan ketika bershair antara Safa dan Maruah yang perjalanan di sini saja memakan jarak sejauh 3 kilometer. Orang berumur melebihi 70an tentulah kekurangan tenaga dan perlu azam yang kuat bagi menyelesaikannya. Keadaan yang dialami kini – dari segi kecergasan amat jauh berbeza dari kehadiran-kehdiran Penulis pada 1985 dan 1994 dalam mana pada kehadiran tersebut tubuh masih lagi kuat umrah dilakukan seturut hari dan kadang-kadang lebih dari sekali sehari. Pemergian dilakukan sendiri sama ada dengan bas atau menyewa kenderaan.


Pengisian masa, walaupun tidak begitu kerap melakukan Umrah, tetapi hari berselang yang tidak dilakukan Umrah diisi dengan bertawaf di Ka`abah sekali bagi hari berselang yang tidak ada aktiviti umrah. Pada hari tidak melakukan umrah sebenarnya dapat digunakan untuk memulihkan otot-otot seperti kejang betis dan sakit pada tapak-tapak kaki, antaranya pecah dan pedih bila berpijak.
Berbanding antara kunjungan secara berpekej dan secara di bawah muassasah Tabung Haji – Sebelum dari itu tidak ada istilah muassasah, tetapi sebagai jamaah Tabung Haji jauh berbeza. Cabaran dan pengalaman serta ujian jauh kental dan mencabar. Kehadiran 1985 tinggal secara berkumpulan di dalam ruang yang bila tidur mengatur tubuh dan kepala sahaja, kerana kesempitan ruang. Keadaan yang sama bagi jamaah perempuan yang diasingkan. Air pula sering tidak cukup. Air dibekal lori dari masa ke masa. Rasa airnya payau. Kami membuat giliran memasak dan membeli barang-barang dari pasar. Berbagai gaya masakan dapat dirasa dari kumpulan jamaah biasanya dari berbagai negeri. Kehadiran pada 1994 adalah sedikit lebih baik, dan tidak sesesak 1985. Makan juga secara ramai-ramai, tetapi tidaklah dimasak sendiri, tapi dengan mengupah tukang masak yang menghantar makanan setiap masa.
Ini jauh beza dengan kehadiranb secara berpekej dan bukan musim haji. Tinggal di hotel yang dekat dengan masjid baik di Madinah (Al-Mubarak Perak) atau di Makkah (Hilton Makkah). Paling dekat dengan masjid, turun saja sudah di laman masjid, bahkan bila kelewatan dapat saja bersolat dianjung hotel yang dikira sebagai bahagian dari masjid. Pendek kata terlalu banyak kemudahan dan kurang cabaran. Cabaran lebih kepada keadaan diri. Misalnya keuzuran-keuzuran yang diakibatkan oleh usia. Kadang-kadang terasa kehadiran sebagai `Pelancongan Ibadah` oleh kerana banyak kemudahan-kemudahan yang dinikmati, baik dari segi pengangkutan, penginapan, makan minum dan mengikuti bimbingan dari mutawwif sehingga terasa begitu mudah dan kurang kesungguhan datang dari diri sendiri. Lantaran itu kurang dapat menikmati kemanisan dugaan yang dihadapi diri kletika menghadapi cabaran-cabaran. Walau bagaimana dengan kemudahan-kemudahan yang ada banyak memberi manfaat kepada mereka yang lanjut usia dan uzur. Dengan kemudahan yang ada memudahkan mereka yang tidak ada kemudahan berkenaan, jika tidak sukar bagi mereka untuk datang berumrah dan ziarah. Perbandingan yang dibuat tidak sangat tepat, kehadiran bagi menunaikan haji agak berbeza dari kehadiran luar musim haji, iaitu bagi tujuan umrah sahaja. Walau bagaimana cabaran dan kesusahan yang dilalui dalam kunjungan lebih manis dan berkesan berbanding dengan kehadiran secara agak mewah dan mudah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment