April 24, 2015

Fokus Ibadah Di Masjid Nabawi


Kunjungan jamaah dari berbagai negara
Meski di luar daripada musim haji
Baik di Madinah atau di Makkah untuk ibadat
Lantaran itu dalam belasan hari keberadaan
Diharapkan tiada suatu waktu ketinggalan
Lantas sebaik tiba dan taklimat panduan
Segala peluang ibadat di masjid tidak dipersiakan.


Berada di Madinah dari segi takmilah
Memberi ruang dan peningkatan kualiti
Dari segi lahiri dan maknawi
Bukankah berada di Madinah
Peluang berada di samping Rasulullah
Di sini tanah lempah firman dan sabda
Masjid adalah dari bekas tangan Baginda membina
Baginda mengimami solat-solat fardu dan jamaah
Kepada mereka Baginda menyampaikan khutbah
Mereka juga mendapat pengajaran Baginda sampaikan
Dari masjid Baginda menyusun pentadbiran
Dari masjid Baginda menyusun strategi perang
Dari masjid Baginda menyusun diplomasi dan hubungan
Bahkan bersebelahan masjid menjadi tempat kediaman
Lantaran perlu diambil peluang memahami-menghayati situasi.

Bayangkan setiap imam memimpin solat sekarang
Adalah proksi dari Baginda meneruskan kepimpinan
Lantaran itu tiada waktu masjid kosong dari kunjungan
Lebih-lebih lagi pada setiap solat fardu didirikan
Sejak tiga pagi kebanyakan bergegas keluar ke masjid
Bertahajud, hajat, witir, berzikir dan bertilawat Al-Qur`an
Mereka juga datang berjam mendahului zohor dan asar
Dan berterusan antara Maghrib dan Isyak
Pulang ke rumah tumpangan memenuhi tuntutan
Bagi kembali ke masjid mesra berlamaan
Meningkatkan kualiti maknawi diri.


Berada di masjid dari satu segi
Interaksi dengan masyarakat umat berbagai turunan
Adalah peluang memahami Islam diterima semua bangsa
Dari Arab, Turki, Parsi, Mesir, Melayu, Indonesia, India
Pakistan, Bangladish, Afghanistan, Turkimistan, Afrika,
Thailand, Filipino, Eropah, Amerika dan berbagai
Mereka disatukan oleh akidah meski berlainan lughah
Mereka sama bersolat dan sama membaca Al-Qur`an
Sekali sekala bertembung dengan mereka perlu bercakap
Menggunakan bahasa yang dapat atau secara isyarat
Menambah mesra sebagai saudara ukhuwwah umat.

Tidak jarang selain dari tilawat dan solat
Ada yang mengikuti kumpulan-kumpulan kecil pengajian
Dipimpin oleh guru bertauliah dari berbagai keturunan
Demikian aku mempelbagaikan pengisian
Selain dari solat dan tilawat mendekati
Dan mengikuti pengajaran yang disampaikan
Bahkan pada satu malam turut memperbetulkan bacaan
Secara kumpulan seorang demi seorang membaca
Dengan guru Isa Ali Isa dari Afrika.

Berada di bawah lindungan Masjid Nabawi
Memberi ketenangan bersama jamaah beribadah
Dan ceria di luaran bermuamalah.

Shafie Abu Bakar,
Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah.
22 Jamadil Akhir 1436

12 April 2015.


No comments:

Post a Comment