August 31, 2010

Hak Dan Peranan Kita Pelihara Merdeka



Kita berdiri di sini – di atas tanah Bangi
Kita adalah seorang dari warganegara Malaysia
Sebagai seorang rakyat kita ada hak
Seperti ramai rakyat lain ada hak
Namun Malaysia `Ibu kandung` kita
Juga menuntut hak dari putera-puterinya
Menjaga dan membelanya dari pancaroba
Baik dari dalam dan luar Negara.

Sebagai rakyat apa yang kita maukan ?
Kita mau keamanan. Betulkah kita aman ?
Kita merasa makin terancam
kerana ada pihak mempertajam perkauman
kerana mereka pihak pemerintah
pihak mengawal keamanan buat tidak kesah
kita merasa terancam kerana indeks jenayah meningkat
buang bayi, ugutan, samun dan pembunuhan
kita dalam bimbang tiada ketenteraman
gejala pendatang haram kenaikan harga barang
kita mau peluang ekonomi dan pekerjaan dirakyatkan
tapi rasuah masih ketara, kroni nepotisi berleluasa
kita mau kebebasan bersuara
tapi media dikuasa – penerbitan disekat fakta
kita mau ketelusan dalam urusan
tapi masih ada berbagai sekatan
kita mau kebebasan memilih
tapi masih ada helah dan halangan
masih ada undi pos dan manipulasi sempadan
kita mau keadilan tapi keadilan mati
di tangan penyeleweng dan penzalim
Kita mau bebas buat pilihan
Menentukan masa depan.
Jika anda sendiri merasa
Kurangnya erti merdeka
Kebebasan terpenjara
Media dan hak bersuara tersula
Ketelusan terhalang
Keadilan terpanggang
Belalah Negara pelihara Merdeka
Menyahut tuntutan keadilan
Kuasa ada ditangan buat pilihan
Anda mampu membuat perubahan
Allah tidak mengubah nasib generasi
Kecuali generasi itu bertindak merubahganti.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
20 Ramadhan 1431
30 Ogos 2010.

August 30, 2010

Mengejar Jadual Yang Padat Dalam Masa Terhad

Dewan Negeri Selangor, Bangi, 18 Ramadhan = 28 Ogos (Sabtu):

Pada sebelah petang hari ini (pagi bermesyuarat), jadual adalah padat. Pada asalnya hanya ada dua program yang dapat diisi tanpa tergesa-gesa. Namun hingga ke petang bertambah permintaan memohon agar mengunjungi tempat mereka, walaupun sekadar sekejap, ditambah lagi dengan keperluan hadir dengan kunjungan Dato` Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam ke sini yang diambil kesempatan menemuinya berhubung dengan pembinaan sebuah masjid di sini. Dari waktu selepas asar hingga ke malamnya menjadi (Tujuh – satu daripadanya tak dapat hadir di Jalan Reko – Wakilkan saja) !

Selesai sembahyang asar menziarah kematian ibu Puan Khadijah - di Surau Council Home. Pn. Khadijah Ketua Persatuan Ibu Tunggal Hulu Langat. Kemudian kami bersama-sama dengan AJK Kebajikan diketua Tuan Haji Rushdi bergerak ke Surau Cheras Perdana menyampaikan bantuan kepada 8 orang ibu tunggal dan mereka yang kurang upaya. Peruntukan dari ADNS Bangi, termasuk memasak bubur lambuk yang ADNS Bangi agihkan kepada semua yang hadir. Kami di sini bersama Sdr. Sahimi Pengerusi Surau di sini dan AJK.

Jam 6.00 petang, kami bertolak ke Surau Tun Perak. Setiba di sana Y.B. Teo Nie Ching sudah sedia di sini dan sudah mengagih-agih bantuan di bawah khemah di pekarangan surau. ADNS Bangi turut sama mengagihkan bantuan dengan tambahan sedikit peruntukan yang dibawa oleh AJK Kebajikan. Kami tidak berlamaan di sini. Ini adalah agenda tambahan yang diminta oleh Sdr. Abdul Halim Pengerusi Surau Tun Perak kami hadir juga, walaupun sekejap. Kami minta maaf tidak dapat berbuka di sini sebagaimana Y.B. Teo dan memohon diri bergerak ke Pasti Cheras Jaya. Acara iftar Ramadhan bersama penduduk setempat dan jemputan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pasti Abqari di sini.

Menurut Tuan Haji Asana Ali Pengerusi/Penasihat Pasti Abqari ini, Pasti yang mempunyai 2 unit rumah teres ini (sebuah daripadanya dibeli) kini mempunyai 152 murid dengan 6 orang guru. Majlis berbuka puasa yang dihadiri antaranya Tuan Haji Azman Nazir Masjid Manba`il Ulum dan ahli-ahli jamaah masjid (berdekatan) diisi dengan tazkirah oleh seorang ustaz jemputan dan ADNS Bangi berucap ringkas, kemudian menyampaikan bantuan kepada 6 orang miskin. Kami berbuka di sini dan makan berat selepas solat maghrib dan memohon diri.

Destinasi kami seterusnya setelah membelah malam dari Cheras Jaya ke Bandar Seri Putera ialah ke Surau As-Syakirin (Surau didirikan sembahyang Jumaat). Kami berkesempatan bersalat Isya` dan bertarawih. Tujuan kami ke sini ialah untuk menyerahkan cek berharga RM5,000/= sebagai galakan usaha penduduk di sini mau mendirikan masjid. Belum ada masjid di Seri Putera (Kecuali Masjid al-Azhar dalam Kampus KUIS) dan belum ada di Bukit Mahkota. Kedua-dua – Bandar Seri Putera dan Bandar Bukit Mahkota berusaha mendirikan masjid di tempat masing-masing. Kedua tempat sudah mempunyai tapak. Cek malam ini diserhkan kepada Tuan Haji Abdul Ghani Pengerusi surau di sini. Menurut Tuan Haji Abdul Ghani jumlah kutipan setakat ini cuma sebanyak RM300,000. Anggaran peruntukan yang diperlukan bagi mendirikan masjid berhadapan dengan Sekolah Rendah Agama Seri Putera itu ialah RM7 juta. Usaha perlulah dipertingkatkan bagi mencapai jumlah yang diperlukan. Walau bagaimana kalau jumlah dapat dihasilkan separuh, maka pembangunan boleh dimulai. Siapa yang berhajat untuk membuat kebajikan bolehlah menderma bagi pembinaan Masjid Seri Putera ini.

Selepas membasah tekak, kami memohon diri, kerana diminta oleh AJK Pembinaan Masjid Taman Seri Melor hadir ke Surau Seri Melor. Di sana menunggu Tuan Haji Aziz Pengerusi Surau dan Ustaz Hashim Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Melor dan AJK yang lain. Mereka dapat menarik Dato` Dr. Hasan Ali yang datang ke Seksyen 7 – Surau Al-Abrar, hadir sekejap melihat tapak cadangan bagi Masjid Taman Seri Melor. Kami hadir dan oleh kerana malam hari, semua kereta yang datang ke sini diminta membuka api menghala ke kawasan tepi tasik yang bakal dirikan masjid di situ untuk dilihat oleh Y.B.Dato` Dr.Hasan Ali. Lokasinya memang cantik. Daripada situ kami berbincang segala keperluan ke arah menjaya hasrat mendirikan masjid di situ. Dato` Dr. Hasan Ali berjanji akan memberi perhatian dan tindakan, terutama berhubung dengan tapak masjid itu. Jam 11.45 berakhir pertemuan.

Sekian.

Khatam Quran, Penghargaan Dan Bantuan

Pekan Bangi, 19 Ramadhan = 29 Ogos (Ahad):


Sebelum sedikit dari waktu Isyak, kami tiba di Surau Ibtidaiyah disambut AJK Surau. Sesudah sembahyang sunat kami menunggu Isyak dan menunaikannya diikuti tarawih dan witir. Berikutnya diadakan majlis di atas. Inilah surau terawal bagi ADNS Bangi menbghadiri Majlis Khatam Qur`an di kalangan pelajar-pelajar Sekolah yang bertadarrus sepanjang malam Ramadhan di surau ini. Jumlah mereka adalah 17 orang. Mereka berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan berada di dalam lingkungan bujur. Hadir sama menyertai majlis dan meraikan pelajar-pelajar Khatam Quran dan majlis Penghargaan dan Bantuan, selain dari ADNS Bangi ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli Majlis MPKj Zon 24, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan AJK-AJK, Tuan Haji Sudin Pengerusi dan Imam surau, En. Bukhari Imam, AJK-AJK, ibu-bapa dan anak-anak yang berjumlah hampir 200 orang. Majlis bermula dengan anak-anak membaca ayat-ayat lazim secara seorang demi seorang hingga tamat dan ditutup dengan doa.


Sebelum Majlis Penyampaian Penghargaan ADNS Bangi menyampaikan ucapan dan berterima kasih di atas jemputan. Beliau bergembira dan bersyukur melihat tradisi khatam Qur`an Tahunan terus di adakan. ADNS memuji bacaan anak-anak yang kena dengan makhraj, tajwid dan fasih. Beliau mau pelajar-pelajar terus bertadarrus di dalam bulan Ramadhan dan membacanya berterusan di luar Ramadhan. Beliau percaya anak-anak ini akan menjadi pemimpin pelapis yang akan memajukan surau kampong berkenaan. Beliau mendoakan – dengan berkat Qur`an anak-anak akan lebih maju jaya dalam pelajaran. Sebagai penghargaan kepada mereka ADNS dijemput menyampaikan sijil penghargaan dan beberapa cenderahati, termasuk sedikit wang tunai.


Selepas itu penyampaian bantuan dilakukan ADNS Bangi kepada 16 orang penerima yang terdiri dari warga emas yang kebanyakan dari mereka sudah agak uzur oleh kelanjutan usia. Sebahagian daripada mereka adalah bekas pemimpin surau dan tempatan.


Turut diberi penghargaan ialah kepada semua AJK dan pekerja-pekerja surau, khususnya bagi menjayakan Ramadhan. Mereka berusaha mencari dana bagi kebajikan Ramadhan, mencari penceramah dan pentazkirah Ramadhan, penyedia juadah dan air dan menjaga kebersihan surau agar terus bersih.

Menurut Tuan Haji Sukaimi yang menjadi pengacara, sebanyak lebih dari RM3,000 dapat dipungut dalam bulan Ramadhan, RM1,000 lagi dari sadaqah tahlil. Sebahagian dari kewangan digunakan bagi majlis ini. Menurut Tuan Haji Sukaimi sepanjang bulan Ramadhan sebanyak 12 kuliah telah disampaikan oleh 9 orang penceramah jemputan. Menurutnya Kuliah Subuh menjadi acara tradisi bagi surau ini. ADNS Bangi mengucapkan tahniah di atas berbagai-bagai kegiatan yang diadakan bagi memakmurkan surau.


Sekian.

August 29, 2010

Isu Surau Mempopularkan Y.B.Teo: Perkasa Sebenarnya Tidaklah Perkasa

Anekdot:

BBB, 18 Ramadhan = 28 Ogos (Sabtu):

Selepas mesyuarat kawasan pada tengahari itu aku berkata, "Tujuan Utusan mencetuskan isu Surau Al-Huda dengan Y.B.Teo Nie Ching tak kesampaian, bahkan makin menampakkan tembelang mahu mengeksploitasi kemarahan orang Melayu bagi kepentingan parti politik tertentu." Kawan yang masih di meja mesyuarat menambah, "Bukan saja tidak kesampaian, tetapi menunjukkan kejahilan tentang Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1 Mac 2010!"
Seorang kawan lagi yang masih berdepan dengan fail mesyuarat mencelah,"Yang aku hairan mengapa kepimpinan dua institusi agama di Selangor itu cepat melatah! Keras dan tidak teliti, terus menurut rentak yang dimainkan Utusan?"


"Ah memang, orang kenal arah mereka. Ada peluang terus ambil kesempatan!" Celah seorang ahli mesyuarat lain. "Kalau nak kata tak boleh ruang sembahyang dimasuki bukan Islam, termasuk perempuan, mengapa dibenarkan berlaku di masjid Negara dan Masjid Negeri?" Tanya kawan.

Aku menambah, "Ada silapnya Y.B.Teo, dia seharusnya memahami nilai Islam dan budaya mesyarakat Melayu, supaya tidak dieksploitasi untuk menarik kemarahan orang Melayu. Seeloknya majlis dibuat di bahagian luar!"

"Tapi dia datang sekejap waktu malam lepas tarawih, macam mana nak dibuat di luar, gelap! lagi pula dia bukan bertazkirah. Dia datang menyerah cek untuk membaiki pagar dan cakap tentang prihatin kerajaan Selangor tentang pendidikan!", hujah kawan berdepan denganku.

Selepas kami mesyuarat Y.B. Teo datang diiringi beberapa pengiringnya. Selepas tiba dia menyatakan, "Kehadiran kami untuk mendapat pandangan dari saudara-saudari sekalian."

Beberapa orang dari kami menerangkan kepadanya, apa yang kami bincangkan - sebagai agenda tambahan, isu berhubung dengannya. Dia berterima kasih dan menyatakan tindakan lanjut yang akan diambil dan mengharapkan pandangan dari kami akan diberi. Kami berpendapat, peristiwa ini sebagai pengajaran, semua pihak perlu berhati-hati dengan isu yang boleh menyentuh sensitiviti kepercayaan dan kaum.


Pada tengahari itu, aku dimaklumkan oleh pihak seorang AJK tentang satu rombongan dinamakan "Wira Perkasa" datang ke Surau Al-Huda di Kajang Sentral. Mereka sasa dan bengis.
AJK itu bertanya tujuan kehadiran mereka. Secara keras mereka menjawab, mereka mahu menemui Pengerusi Surau Al-Huda. Secara sinis AJK itu menjawab,
"Mana ada Pengerusi, bukankah semua jawatan sudah digantungkan?"
Terkejut ketua rombongan, kerana sedar tentang kejahilan mereka tentang duduk perkara!. AJK itu bertanya, "Tujuan mahu jumpa?"
"Kami mahu gantikan cek RM1,000 Teo, dengan peruntukan dari kami!"
"Mengapa?" tanya AJK.
"Maruah surau, tak boleh terima duit dari bukan Islam." jawab ketua.
"Itu bukan duit dia. Sebagai Wakil Rakyat, dia salurkan duit peruntukan dari kerajaan Selangor," hujah AJK.
Sekali lagi tersentak Ketua dengan hujah. Melihat Ketua diam, AJK membuat cadangan,
"Bagus! Kalau dah banyak wang dan mahu bantu surau, surau berhampiran tu juga perlukan bantuan! Dapatkah diberi peruntukan?" tanya AJK menguji.
"Tak boleh," jawab Ketua rombongan memecah tembelang tentang keikhlasan.
"Kalau begitu tunggulah Pengerusi!" perli AJK itu lagi.

Pada masa itu Bilal di sebuah lagi surau berdekatan bang zohor, mereka dijemput oleh AJK sama berjamaah. Nampaknya mereka serba salah. Apa yang dinamakan Pengerusi tak ada. Mereka terkial-kial mencari, tapi mana mungkin menemui. Mereka juga tidak menyertai jamaah dan akhirnya, sia-sia mereka blaah!

Nampaknya Wira Perkasa itu tidaklah wira dari segi minda! Bahkan mentah dari segi tindakan!
Petang itu dari berita diikuti, Pemuda Umno pula datang menghantar memorandum mahu menemui Y.A.B. Menteri Besar. Sasaran mereka juga tidak betul. Mereka tidak pasti fokus yang patut mereka hadapi. Apa releven orang lain dihantar bantahan, orang lain pula diminta letak jawatan? Mereka tidak faham dengan kedudukan. Mereka jadi alat dan diperalat!
Yang pasti Y.B. Teo makin mendapat publisiti!


Pada petang itu sekali lagi aku jumpa Y.B. Teo di Taman Tun Perak bersama menyampaikan bantuan faqir-miskin dan dia berbuka bersama rakyat. Y.B. Teo kali ini berbaju kurung dan berselendang. Makin manis dipandang! Dia nampaknya mulai menghayati budaya Melayu-Islam! Ada kejayaan kecil dari segi dakwah! Nampaknya Umno berusaha mahu jauhkan orang bukan Islam dari Islam dan kita berusaha mendekatkan mereka dengan Islam!

Sekian.

Ujian Kebakaran Di Bulan Ramadhan

Seri Kembangan, 15 Ramadhan = 25 Ogos (Rabu):

Seri Kembangan dari segi kawasan politiknya adalah terletak di bawah Kawasan Serdang. Sebagai YDP kawasan itu, petang ini aku bersama Ketua Lajnah Kebajikan – Haji Rushdi dan AJKnya bersama melawat rumah jiran Haji Rushdi yang mengalami kebakaran dua hari lepas. Rumah adalah kepunyaan Tuan Haji Aziz Ishak (45) yang dihuni bersama keluarganya sejak 1985. Aku sepatutnya melawat semalam bersama YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, tetapi aku mempunyai program yang lain.


Rumah teres dua tingkat mengalami kebakaran teruk bahagian atas yang melibatkan dua bilik belakangnya dan bumbung hangus. Pihak bomba yang datang menyelamat, terpaksa memanjat dari bahagian atas melalui bumbung bagi memadamkan api.


Menurut Tuan Haji Aziz yang ada di rumah yang tidak boleh diduduki itu (mereka berpindah sementara di rumah mertua di Ampang), ketika kejadian berlaku pada pagi Isnin 23 Ogos – beliau tiada di rumah - outstation ke Kota Bharu, dua daripada anaknya berada di rumah, dua ke Sekolah dan seornag di asrama, sedang isterinya bekerja di Bangi. Dipercayai kebakaran disebabkan oleh litar pintas. Kami dibenarkan naik ke atas dan melihat semua perabut, pakaian, peralatan Sekolah dan dokumen anak-anak mereka musnah. Kerugian dijangka melebihi RM50,000. Rumah belum habis dibayar dan diansurankan dari segi keselamatan. Menurut Tuan Haji Aziz Ishak – urusan claim ansuran sedang dilakuakan. Pihak berkenaan sudah datang melawat.


Kami melahirkan simpati. Betapa berat mata memandang, tentulah lebih berat bahu memikul. Kami menyatakan takziah kepada Haji Aziz dan berharap bersabar menempuh dugaan yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Waktu keluarga bersiap-siap untuk menyambut raya, Tuan Haji Aziz dan keluarga terpaksa menghadapi masalah – kediaman kelurga yang perlu diatasi. Sebelum memohon diri kami menyampaikan sedikit bantuan dan pernyataan simpati.


Sekian.

August 28, 2010

Berkebajikan Sempena Nuzulul Qur`an

BBB, 17 Ramadhan = 27 Ogos (Jumaat):

Ramadhan mulai menirus, peluang membuat kebajikan di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak makin berkurang. Peluang yang bersisa. khusus selepas Nuzulul Qur`an perlu diambil kesempatan untuk diisi dengan amal kebajikan sebanyak mungkin. Sempena selepas Nurulul Qur`an malam tadi institusi masjid-surau juga mengambil peluang atau menjadi lokasi menyampaikan derma kepada mereka yang kesempitan dan berkelayakan menerima bantuan. Sekurang-kurangnya empat masjid-surau menganjur atau menjadi tempat anjuran penyampaian derma kepada anak yatim, ibu tunggal, mereka yang miskin dan yang kesusahan.

Berikut dari sembahyang Jumaat di Surau Al-Hidayah. West Country yang khutbahnya berhubung dengan `Nuzulul Qur`an, maka selepas khutbah, jawatankuasa Kebajikan ADNS yang diketuai Haji Rushdi menyampaikan bantuan kepada faqir miskin. Turut hadir Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj, Saudara Mohd. Adram juga Ahli MPKj, Saudara Abdul Rahim JK Surau, jawatakuasa kebajikan, Pengerusi Surau, ahli-ahli JK kebajikan dan penerima-penerima bantuan. Seramai 25 orang menerima bantuan. ADNS juga menyampaikan cek bantuan kepada Masjid-Surau yang masih belum .
diambil oleh pihak Surau al-Hidayah sebelum ini.


Selepas sembahyang Asar di Surau al-Salam, Jalan 70, Fasa 7, Taman Bukit mewah, Kajang, ADNS Bangi menyampaikan cek bernilai RM2,500 kepada Penasihat Surau – Encik Sulaiman bagi pihak Pengerusi En. Junaidi yang tak dapat datang. Wang ini diluluskan ADNS Bangi kepada pihak surau yang memohon untuk memperbaiki surau yang agak kecil itu. Surau ini terletak berhampiran dengan kawasan rumah pangsa Blok H dan G yang dihuni oleh lebih kurang 200 keluarga. Blok-Blok ini terpisah dari Taman Bukit Mewah yang lain sejak dibina jalan Highway Silk yang mengasingkan tempat ini sebagai satu kelompok perumahan tersendiri. Kerja-kerja untuk memperbaiki surau untuk melindungi dari tempias hujan, menurut En. Sulaiman akan dilakukan secara gotong royong selepas hari raya Idul Fitri nanti. Pada masa kami hadir beberapa orang muslimat sedang bergotong royong memasak untuk berbuka di surau ini petang nanti.



6.45 petang berada di Masjid As-Solihin Teras Jernang untuk menyampaikan bantuan kepada 30 orang faqir miskin di Teras Jernang. Peruntukan adalah dari Tabung Bantuan Masjid Al-Salihin. Turut hadir bersama ialah Ustaz Bashir bin Alias Nazir Masjid Teras Jernang, En Zulkifli Ketua Penolong Pegawai Daerah, Hulu Langat, Tuan Haji Rusli Ketua Penghulu Mukim Hulu Langat, En. Shukor Jantan, Ketua Kampong Teras Jernang, Imam Kamaruddin Asmawi dan Prof. Dr. Mohd Ali Baharom Pengerusi Angkasa yang tinggal di sini. Para tamu dan penerima bantuan berbuka dan bersembahyang Maghrib berjamaah. ADNS tidak dapat berada seterusnya di Masjid Al-Salihin untuk sama bertarawih, kerana mempunyai program di tempat lain.


Jam 8.30 berada di Surau Al-Mujahidin, Taman Seri Melor. AJK Surau yang diketuai Haji Abdul Aziz bin Abu Bakar dan Persatuan Penduduk diketuai Tuan Haji Hashim dan AJK-AJK setiap tahun bila hampir tiba musim peperiksaan mengambil inisiatif mengadakan Majlis Meraikan anak-anak pada semua peringkat peperiksaan bagi memberi semangat dan motivasi bagi menghadapi peperiksaan. Malam ini sempena Nuzulul Qur`an diadakan Sembahyang Hajat dan Ceramah Motivasi terhadap anak-anak oleh seorang Penceramah terkenal Dr. Jamnul Azhar sebelum sembahyang tarawih.

ADNS Bangi menyampaikan cenderahati kepada anak-anak yang mengambil peperiksaan:

UPSR 14 orang
PMR 22 orang
SPM 20 orang
SMA 04 orang
--------
Jumlah 60 Orang
_____

Kita mendoakan kepada Allah semoga anak-anak dikurniakan kefahaman, terang hati dan dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik dan lulus dengan cemerlang. Insya Allah.

Sekian.

August 27, 2010

Pecah Cermin Kereta, Bukan Sekadar Mencuri Biasa ?

Surau Al-Mawaddah, Bukit Mutiara, BBB, 16 Ramadhan = 26 Ogos (Khamis):

Sebelum tiba ke Surau Al-Mawaddah, Bukit Mutiara, Bandar Baru Bangi di atas, ADNS Bangi dihubungi Saudara Azizi jam 5.30 petang, bahawa beliau dapat ikuti program pada petang ke malam hari ini. Tengahari tadi ADNS hubungi beliau, sama ada dapat bersama petang nanti, jika tak dapat tak mengapa, ADNS bersedia pergi bersendirian. Jawapan petang ini beliau boleh ikut.

Jam 6.00 petang beliau telah tiba dan kami bertolak ke Sekolah Agama Bandar Seri Putera dengan dua tujuan. Pertama mau serahkan cek peruntukan membuat tangga batu naik ke pondok pengawal pintu masuk ke Sekolah. Kedua menyertai berbuka dan baca yasin mendoakan murid-murid diberi hidayah dan terang hati di dalam menghadapi peperiksaan sijil SRA dan UPSR yang bakal dihadapi mereka. Tiba kami agak awal, kami meninjau tangga disertai Guru Besar dan Setiausaha dan merakam foto sebelum bergerak ke kantin untuk berbuka. Ustaz Khairul Amri Jamian Guru Besar memberi tahu. `Sekarang murid-murid SRA darjah 6, sedang menghadapi peperiksaan percubaan. Peperiksaan percubaan juga serentak dengan Ujian Darjah 6 Sekolah Kebangsaan. Semalam hanya 5 enam orang saja yang tak datang, kerana mereka lebih beri tumpuan pada ujian percubaan UPSR daripada Peperiksaan SRA. Hari ini tak hadir meningkat kepada 30 orang dari jumlah 93 orang yang bakal ambil peperiksaan SRA.``

ADNS melahirkan pendapat, seboleh-bolehnya elak dari berlaku pertembungan peperiksaan SRA dan UPSR serentak baik pada peringkaan Ujian Percubaan, apalagi bagi ujian sebenar, supaya murid-murid boleh beri tumpuan dan tidak tertekan. Selepas itu kami membaca Yasin beramai-ramai di kantin sebelum berbuka. Sebelum menyerahkan cek ADNS bercakap ringkas mengingatkan murid-murid. Ini adalah kali pertama murid-murid Sekolah ini menghadapi Peperiksaan SRA. ADNS mau murid-murid bersungguh-sungguh belajar dan membuat rekod, bahawa kali pertama ramai murid-murid mencapai keputusan Mumtaz dan menjadi keputusan SRA terbaik di DNS Bangi. Ini akan menjadi teladan bagi murid-murid yang lain pada masa hadapan. ADNS Bangi berjanji, jika pelajar ramai mumtaz, ADNS Bangi akan menyampaikan hadiah-hadiah utama sebagai insentif. Selepas menyampaikan cek diterima oleh Timbalan Pengerusi PIBG Encik Iqbal (Pengerusi En. Lokman tidak dapat hadir, ada tugas di Johor), kami berbuka dan solat maghrib. Walau bagaimana kami tak dapat sertai solat hajat yang akan diadakan selepas sembahyang Isyak sebelum menunaikan tarawih di surau Sekolah, kerana ada program di tempat lain.

Kami bertolak ke Surau Mawaddah di Bukit Mutiara, Seksyen 2, BBB dan tiba sebelum Isyak dan sempat menemui Haji Kamarul Hisham Timbalan Pengerusi Surau (Dato` Othman Desa, Pengerusi tak dapat hadir kerana ke Kedah)),juga menemui Tuan Khairubi Imam Surau. Mereka mengucapkan terima kasih di atas kehadiran ADNS Bangi.
Kami bersembahyang Isyak dengan Imam jemputan dari USIM (pelajar), sebelum sembahyang tarawih ADNS dijemput menyampaikan sepatah dua kata. ADNS berterima kasih di atas kesudian menerima hadir ADNS Bangi bersukacita bersama dengan para jamaah dan berharap mulai malam Nuzulul Qur`an ini kita mempertingkatkan ibadat, banyak membaca Quran dan bersadaqah dan berdoa supaya Allah menerima amalan. Sembahyang tarawih diimami oleh Imam Jemputan dari USIM sebanyak 20 rakaat. Siap tunai tarawih jam 11.00 dan kemudian menyerahkan cek kepada Timbalan Pengerusi Tuan Hj. Kamarul Hisham.

Pada masa berbual-bual sambil minum di meja bahagian belakang surau, kami bercakap-cakap sambil memperkenalkan Ustaz Shafie Ngah yang turut hadir kepada penduduk. Ada penduduk maklumkan perkara yang tak pernah terjadi sebelum ini menurut penduduk, ``Dua buah kereta diparking sebelah kanan dipecah pencuri.`` Kami bercakap kemungkinan pencuri mengekori mereka sebelumnya dan membuat pengecaman ada sesuatu yang berharga boleh didapati.``. Kami kesal di atas peristiwa itu dan oleh kerana masa melebihi jam 11.00 malam kami memohon diri dari Imam dan Timbalan Pengerusi.
Bila kami hendak bertolak, saudara Azizi mendapati dan mengingatkan ADNS bahawa kereta kami juga dipecah cermin kiri belakang. Saudara Azizi meninggalkan beg galasnya di atas kusyen di belakang. Di dalam beg galasnya dompet dan alat-alat computer – disc. Setelah membuat kepastian dihadapan rumah ADNS yang hilang ialah Disc dan sekeping wang RM50/= yang diambil dari dalam beg saudara Azizi. Kad Pengenalan, kad kredit dan lain-lain tidak diambil. Menurut Saudara Azizi, dia tidak sayang pada duit, tapi disc yang banyak gambar-gambat dimuat di dalamnya.

Terpikir di dalam kepalaku, kemungkinan kami diekori dan memang sengaja pencuri yang diarah pihak tertentu dapatkan disc itu bagi tujuan politik ! Manalah tau mungkin ada gambar-gambar boleh digunakan bagi tujuan politik, terutama dalam pilihanraya ? Bukankah Y.A.B Menteri Besar Selangor dipasang di dalam bilik Pejabatnya alat perakam ?

Sekian.

August 26, 2010

Kenapa Dinamakan Surau Tolabiah ?

Sungai Ramal Luar, 13 Ramadhan = 23 Ogos (Isnin):



Sungai Ramal Luar adalah merupakan destinasi sejarah pada peringkat nasional dan tempatan. Pada peringkat nasional lahir dari Sungai Ramal ialah tokoh pahlawan Negara yang mempertahankan Negara dari penjajahan dalam Perang Dunia Kedua, iaitu Leftenan Adnan. Beliau adalah anak watan dari Sungai Ramal. Nama ini diabadikan pada Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal yang merupakan Sekolah tempat Leftenan Adnan belajar. Pada peringkat negeri yang bersifat monument bersejarah ialah Masjid Haji Mat Saman (1926) yang terdiri di tepi Sungai, Sungai Ramal Luar yang jelas kelihatan bersebelahan jalanraya Putrajaya – ke Kajang-Cheras. Sebuah lagi bangunan bersejarah bersifat tempatan yang ada hubungan dengan pendidikan agama ialah Surau Tolabiah, Kg. Paya, Sungai Ramal Luar yang tidak berapa jauh dari Masjid Jamek Haji Mat Saman.


Mengapa dinamakan Surau Tolabiah ? Ini ialah pada masa sebelum Merdeka lagi tapak Surau Tolabiah ini adalah Sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah Tolabiah
Bermaksud "Sekolah Tempat Menuntut (Ilmu)". Menurut Tuan Haji Abd. Rahman bin Haji Mohd Tahir Pengerusi Surau Tolabiah, "Bangunan Sekolah ini pada peringkat permulaan adalah dari papan," Tambah beliau, "Di sini merupakan Sekolah agama yang awal menjadi tempat didikan keagamaan penduduk setempat, di samping adanya Sekolah Melayu (Kebangsaan) di tempat sekarang." Bangunan Sekolah Agama yang lebih sempurna didirikan berhampiran dengan Masjid Jamik Haji Mat Saman. Kemudian Sekolah Agama yang lebih sempurna didirikan di Sungai Ramal Baru sejak sepuluh tahun yang lalu dan bangunan Sekolah di tepi Masjid Jamek diruntuh bagi memberi laluan kepada penambahan bangunan Masjid Haji Mat Saman. Sekolah Agama di Sungai Ramal Baru, Sungai Ramal Luar ini dikenali dengan Sekolah Agama Ar-Rahmaniah, iaitu Sekolah Rendah Agama yang terletak di bawah pentadbiran JAIS.


Bagi Madrasah Tolabiah, walaupun tempat belajar agama secara persekolahan telah berpindah, tetapi bangunan Madrasah di sini kekal dan bangunan kayu ini digunakan sebagai Surau. Kemudian Surau Kayu ini dibaikpulih dengan membinanya dengan bangunan batu. Tetapi nama tetap dikekalkan, dari Madrasah Tolabiah kepada Surau Tolabiah. Menurut Ketua Kampong Sungai Ramal, Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir, "Tapak Madrasah/Surau Tolabiah ini diwaqafkan oleh pemilik tanah individu di sini yang dikenali dengan Keluarga Jarkasi." Menurut Tuan Haji Mohd Yusof lagi, "Walaupun tapak Madrasah/Surau ini telah lama diwaqafkan, tetapi tindakan mendokumentasikannya sebagai tapak tanah waqaf tidak dilakukan."

Tuan Haji Mohd Yusof menambah, "Tindakan baru diambil sejak setahun lepas dengan persetujuan ketiga-tiga anak Jarkasi yang mewarisi bahagian lain dari tanah waqaf itu bersetuju menurunkan pengakuan tapak tanah Madrasah/Surau diwaqafkan."


Kata Haji Yusof sejak bulan Mac 2010 tapak Tanah Surau Tolabiah telah digezetkan."
Surau ini sejak dibangunkan sebagai surau dari batu, sudah mengalami pembaikan dan penambahan. Misalnya ADNS Bangi pada 2008 telah meluluskan sebahagian dari peruntukan menambaikan bilik air/tempat wuduk. Kini sedang dalam penambahan Bilik Mesyuarat.


Petang ini ADNS Bangi dijemput ke Surau Tolabiah mulai dari jam 6.00 petang untuk berbuka. Bersembahyang Maghrib, Isyak dan Tarawih dan menyertai Majlis Penyampaian bantuan anak-anak yatim dan miskin. Menyertai Majlis ini Ketua Kampong Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir, Pengerusi Surau Tuan Haji Abd. Rahman bin Haji Mohd Tahir dan AJK, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajiakan, para jamaah – muslimin dan muslimat dan para penerima sumbangan.


Dalam Majlis Ringkas Penyampaian Sumbangan berkenaan, Pengerusi Surau Tuan Haji Abd. Rahman bin Haji Mohd. Tahir mengucapkan terima kasih kepada ADNS Bangi yang dalam kesibukan dapat hadir bersama berjamaah dan menyertai Majlis ini. Beliau juga berterima kasih di atas sumbangan ADNS Bangi bagi menyiapkan Bilik Mesyuarat Surau. Manakala Tuan Haji Mohd Yusof Ketua Kampong membangkitkan masalah yang dihadapi surau dan tempat berdekatan, iaitu banjir. Ini ialah kerana bahagian saliran tidak sempurna dan tidak mampu menampung laluarn air. Sebab itu bila hujan lebat sering berlaku banjir dan merosakkan bangunan dan barang-barang."


ADNS Bangi dalam ucapan balas mengucap syukur kepada Allah melihat Surau dimakmurkan. Bangunan lebih selesa dengan menggunakan air-cond yang menyaman suasana dan menjadikan ibadat lebih selesan dan tenteram. ADNS Bangi bersedia bekerjasama memberi peruntukan yang bersesuaian dengan keperluan sekiranya dibuat permohonan. ADNS Bangi juga sukacita mendapat tahu, kegiatan keilmuan di sini di isi secara berterusan. Berhubung dengan aduan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Penyelarasan pada peringkat Daerah. Pada akhirnya Majlis Penyampaian Bantuan Dilakukan kepada 15 orang pelajar dan ADNS Bangi turut menyampaikan sumbangan kepada Surau Tolabiah.


Sekian.

August 25, 2010

Mempersembahkan Buku-Buku Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku

Kuis, 15 Ramadhan = 25 Ogos (Selasa):


Petang ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama anakanda Baginda Putera Mahkota Tengku Amir Mencemar Duli turun ke KUIS bagi berbuka puasa hari ke 14 Ramadhan, menunaikan Sembahyang Maghrib, Isya` & Tarawih bersama para pelajar dan para tetamu jemputan. Sebelum berbuka Majlis Penyampaian Sumbangan kepada pelajar-pelajar miskin lebih dari 300 orang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia.


Hadir menyambut ketibaan Tuanku di Kuis ialah Y.A. B. Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor, YB Dato` Dr. Hassan Mohd Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Inftra Struktur dan Kemudahan Awam, Y.B. Yaakob bin Sapari Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, ADNS Bangi, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat,Y.B. Dato`Ramli bin Mahmud Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.B. Dato` Mohd Arif bin Ab. Rahman Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Y.A.D Dato` Setia Haji Mohd Tamyes Bin Haji Abdul Wahab, S.S. Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Dato` Hassan Nawawi YDP MPKj, Tuan Haji Zainal Abidin bin A`la Pegawai Daerah Hulu Langat, Profesor Dr Aizuddin bin Ahmad Rektor KUIS, Pembesar-Pembesar, Pegawai dan Kakitangan Kerajaan Negeri dan Daerah.



Selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Acara Menjunjung Kasih dan Mempersembahkan Cenderahati kepada Tuanku oleh empat orang iaitu:

Dari Ybhg. Sdr. Farid Radhi yang mempersembhakan buku Terbitan Institut Kajian Hadith – Terjemahan Kitab Mukhtasar Hadith Sahih Bukhari. Sdr. Farid adalah Pengarah bagi Institut tersebut.
Sumbangan dari Tuan Haji Zainal Abidin A`la sebuah Peti Kayu dengan kandungan Dalaman – dari Pejabat Daerah Hulu Langat
Dari Dr. Shafie Abu Bakar ADNS Bangi
Dari Dato` Hassan Nawawi – Sebuah kotak berukuran lebih kurang 12`` x 6`` dari MPKj.

ADNS Bangi, Menjunjung Kasih di atas kehadiran Tuanku Mencemar Duli ke KUIS yang berada di DNS Bangi. Sebagai Bangi Bandar Ilmu, maka yang paling sesuai ialah mempersembahkan buku-buku kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, iaitu sebanyak 12 buah buku. 10 buah daripadanya adalah merupakan Syarahan Pengukuhan Professorship tenaga-tenaga pengajar di UKM yang melibatkan bidang-bidang seperti bidang surgery, cardiology, kesihatan, canser, komunikasi, pengurusan, keagamaan, Alam Semesta dan Konflik & Keamanan Sejagat yang semuanya diterbitkan oleh Penerbit UKM. Sebuah buku ialah berjudul `Mengangkasakan Pengajian Tinggi` oleh Prof. Dr Zaini Ujang Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia diterbitkan oleh Penerbit UTM.Sebuah buku lagi `Madu Ilmu`, iaitu Kumpulan Puisi yang dihasilkan oleh ADNS Bangi, sejak belajar di UKM 1970, menjadi tenaga pengajar hingga bersara 1999. Buku puisi ini diterbitkan oleh Jabatan Persuratan Melayu UKM 1999 (168 halaman).



Majlis pada petang ini juga diisi dengan penerangan mengenai KUIS yang disampaikan oleh Rektornya Prof. Dr. Aizuddin Bin Ahmad yang baru dilantik, menurut Prof. Rektor: Kuis bermula dengan 61 pelajar 1995. Kini pelajar meningkat kepada 7,106 yang datang dari dalam dan luar Negara. Hingga kini KUIS telah mengeluarkan serama 7,740 graduan. Keluaran KUIS dianggap standing dengan universiti-universiti yang lain di dalam Negara. Hasil penyelidikan di KUIS pernah memenangi pengiktirafan dengan 2 mas, 2 perak dan 1 gangsa.

Menurut Prof. Rektor, kehadiran Tuanku pada kali ini adalah bagi kali ketiga, yang pertama bagi Merasmikan Pembukaan KUIS pada 25.5 2002 dan yang kedua kerana merasmikan Pertandingan Hafazan pada 29.6.2006.

Sekian.