Malam ini mengakhiri siri lawatan ke Masjid-Surau berdasarkan zon-zon kerana menyampaikan peruntukan ADNS Bangi. Tiga zon terakhir dari siri lawatan ialah ke Surau Taman Jasmin, Surau as-Syakirin di Taman Tenaga dan Surau Al-Islah di Kajang Mewah. Selain dari masjid, surau-surau yang dipilih bagi zon-zon ialah surau-surau yang mendirikan Jumaat. Surau-surau lain yang berada di dalam zon berkenaan dijemput hadir ke surau yang diadakan kunjungan bagi menerima agihan.
Contoh yang baik umpamanya semasa menghadiri diri berjamaah Isyak dan Tarawih di Surau Taman Jasmin, bila diadakan Majlis Penyampaian sumbangan, maka Ahli MPKj yang dilantik, iaitu Ustaz Shafie Ngah, Saudara Adram Musa, Nazir Masjid Kajang Tuan Haji Hanafi Ismail dijemput berada di hadapan Majlis. (Di sini kawasan perbandaran – tiada Ketua Kampung). Mereka bersama dengan Pengerusi Surau Ustaz Ahmad Yusof dan AJK seperti Che Abdul Aziz Che Min, Dato` Mohd Zain dan Encik Mohd Zain dan lain-lain. Pada setiap kunjungan ADNS Bangi diminta menyampaikan ucapan ringkas. Pada kali ini ADNS diminta oleh AJK menerangkan tentang mekanisme pentadbiran di samping memperkenalkan pemimpin yang hadir. ADNS Bangi menerangkan bahawa ada tiga lapisan pemerintahan negeri bermula dari peringkat Exco dengan Menteri Besar sebagai Pemimpinnya yang menjalankan dasar dan polisi, peringkat kedua ialah ADNS-ADNS yang memutuskan dasar dan pentadbiran negeri di dalam mesyurat Dewan Negeri dan peringkat ketiga pemerintahan tempatan yang dilantik sama ada pada peringkat PBT dan juga Ketua-Ketua Kampong yang dilantik melalui Pejabat Daerah. Manakala Nazir dan Imam-Imam juga adalah pegawai-pegawai yang dilantik menjalankan pentadbiran agama pada tahap daerah, taman dan kampong. Itulah mekanisme pentadbiran negeri.
Pada kesempatan menziarah Surau Al-Islah di Kajang Mewah, turut hadir Ahli-Ahli MPKj iaitu Ustaz Shafie Ngah, Sdr. Yusof Bachik, manakala AJK Surau pula ialah Encik Anuar Fakhri selaku Pengerusi Surau dan Timbalannya Tuan Haji Mustaffa dan AJK. Pada kesempatan ini sebelum menyampaikan agihan peruntukan ADNS Bangi bercakap tentang kesedaran tinggi masyarakat di negeri Selangor mengeluarkan zakat hasil dari kedalaman mereka tentang keislaman. Pada tahun lepas Selangor memungut RM240 juta dan sasaran tahun ini ialah RM300 juta. ADNS menyebut pengeluaran zakat di Bangi adalah tertinggi di Hulu Langat dan ketiga tertinggi di Selangor. Ini mencerminkan ramainya mereka yang berkemampuan dan tingginya kesedaran keagamaan sesuai dengan tempat yang tinggi dengan kegiatan ilmu, khususnya keislaman. ADNS Bangi juga menerangkan kemanakah pendapatan zakat digunakan. Separuh daripadanya digunakan bagi fi Sabilillah, iaitu untuk perjalanan masjid-Surau dan Sekolah agama dan membantu pelajar menyambung pengajian. Baru-baru ini sebelum Ramadhan pihak Lembaga Zakat Selangor mengeluarkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk faqir-miskin. Demikianlah perjalanan keagamaan dan pentadbiran yang berhubung dengannya di Negeri Selangor.
Sesungguhnya ziarah bukan setakat menyampaikan peruntukan dari ADNS, tetapi menyampaikan maklumat, memperkenalkan pemimpin setempat disamping memperkukuhkan ukhuwwah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment