August 6, 2010

RM15 Juta Agihan Zakat 2010/1431: Persediaan Ramadhan & Idul Fitri

Masjid KLIA, Sepang, 24 Sya'ban = 05 Ogos (Khamis):

Kerajaan Selangor, melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun ini memperuntukkan sebanyak RM14,537,500 bagi faqir miskin di negeri Selangor sebagai bantuan kepada mereka menjalani ibadat bulan Ramadhan dan menyambut hariraya Idul Fitri. Wang sejumlah di atas diagihkan kepada asnaf faqir bagi sejumlah 7,238 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5,529,000.00, manakala untuk miskin berjumlah 11,114 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9,008,500.00. Bancian bagi jumlah tersebut dilakukan melalui nazir-nazir masjid dan surau-surau.

Kawasan yang paling tinggi/rendah diperuntukkan bagi faqir-miskin ialah:


Dari peruntukan faqir-miskin dari kawasan-kawasan di atas memperlihatkan bahawa kawasan yang paling ramai dengan faqir-miskin dan peruntukan paling tinggi ialah kawasan Kuala Selangor dengan jumlah faqir seramai 2007 dan miskin seramai 1,366 dengan jumlah peruntukan ialah RM3,328,350.00. Ini dikuti oleh kawasan Sabak Bernam dengan jumlah faqir seramai 276 dan miskin seramai 2,789 dengan peruntukan sebanyak RM2,160,700.00 dan diikuti tempat ketiga ialah Hulu Langat dengan jumlah faqir seramai 1,264 orang dan miskin seramai 1,535 orang dengan jumlah peruntukan ialah sebanyak RM2,090,950.00.

Manakala kawasan yang paling sedikit dengan jumlah faqir ialah Sepang dengan 80 orang dan miskin 340 orang dan jumlah peruntukan ialah RM311,250.00 diikuti kawasan Kuala Langat dengan jumlah faqir ialah 715 dan miskin 526 orang dengan jumlah peruntukan ialah RM938,950.00 dan diikuti oleh kawasan Petaling dengan jumlah faqir 303 dan miskin 1,099 dengan peruntukan sebanyak RM1,099,400.00.
Pembahagian antara individu faqir dan miskin tidak sama. Bagi faqir tidak mempunyai tanggungan sebanyak RM600.00. Semakin ramai tanggungan maka jumlah diterima bertambah (RM50/- tambahan bagi setiap orang) hinggalah jumlah maksimum RM1,000/=. Bagi miskin yang tiada tanggungan bermula dengan RM550/= dan bertambah RM50/= bagi setiap jumlah tanggungan hingga jumlah maksimum ialah RM1,000/= juga. Bayaran mungkin akan ditambah pada pertengahan Ramadhan bagi yang layak, tetapi tertinggal atau yang membuat rayuan dan dipertimbang semula dari segi kelayakan.


Petang ini ADNS Bangi ke Masjid KLIA bertujuan menyampaikan bantuan kepada faqir miskin di Daerah Sepang. Daerah yang dianggap paling kurang dari penduduk, sebab Daerah Sepang adalah daerah paling kecil penerimaan zakat baik dari segi kategori faqir maupun miskin (selain dari Desa Ehsan – tak pasti tempat dan kategori ini). Hadir sama dalam Majlis Pengagihan Zakat ini ialah Tuan Haji Abdul Halim Mat Isa, Pegawai Tadbir Pejabat Agama Daerah Sepang, Encik Saiful Riza Bin Ahmad Zakaria, Ketua Operasi Daerah Sepang, Encik Muhamad Lutfi Bin Ibeni Hajar, Penolong Ketua Operasi Daerah Sepang, En. Kamarulzaman Bin Che Husain Pengawal Zakat Agihan Daerah Sepang, Nazir-Nazir Masjid dan Ketua-Ketua Kampong serta penerima-penerima Zakat.


Tuan Haji Abdul Halim Pegawai Tadbir Agama Islam Sepang dalam ucapannya berpesan kepada semua penerima zakit supaya menggunakan zakat sebaik mungkin dan jangan membeli perkara yang tidak penting. Penggunaan wajar seperti membeli keperluan Sekolah anak-anak, mengeluarkan zakat fitrah raya dan membeli pakaian sekadar perlu. Beliau meminta mereka yang menerima zakat taat kepada perintah Allah dan hendaklah memakmurkan masjid pada bulan Ramadhan dan tunaikan puasa Ramdhan, sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain sebaik mungkin.

ADNS Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu meminta semua yang menerima zakat supaya bersyukur kepada Allah di atas nikmat dan rezeki yang diberi. Antara tanda bersyukur ialah patuh kepada perintah Allah. Semua kita juga perlu bersyukur kerana Allah menjadikan Selangor negeri kaya dan ramai mereka yang dapat mengeluarkan zakat dan kita dapat menerima zakat. Selain daripada itu kerajaan negeri juga membantu golongan kurang upaya, membantu warga mas, pelajar-pelajar dan mereka yang susah dengan berbagai-bagai skim bantuan. Kerajaan Selangor sentiasa membela rakyat di Selangor dengan memberi air percuma 20 cubic meter, memberi pinjaman pelajaran tanpa bunga, memberi insentif kewangan bagi pelajar yang dapat masuk universiti dan menyediakan skim simpanan wang bagi anak yang lahir di Selangor selepas 2008 dan berbagai-bagai kemudahan yang disediakan bagi rakyat Selangor.



Penyampaian zakat kepada faqir dan miskin pada petang ini dilakukan oleh ADNS Bangi bersama dengan Tuan Haji Abdul Halim Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment