August 7, 2010

Dari Rasmikan Forum Ke Rasmikan Makan Malam

BBB, 20 Sya`ban = 01 Ogos:

Antara Maghrib dan Isyak petang ini ADNS Bangi terpaksa bergerak dalam masa yang singkat ke tiga program yang hampir serentak:

1) Ke Masjid Sungai Ramal Dalam

Di sini rasmikan Forum Hal Ehwal Islam

Ahli Panel:
a) Ustaz Abu Hassan Ashari Zakaria Hakim
b) En. Sharif Adol
Moderatornya ialah: Ustaz Haji Mustaffa

Turut hadir ke majlis ialah Ketua Kampong Encik Abdullatif, Tuan Nazir, Imam Masjid Tuan Haji Muhammad Abdul Wahab, Ustaz Haji Asnawi, Saudara Zainal, AJK Masjid dan para hadirin dan hadirat.

ADNS dalam ucapan perasmian berterima kasih kerana dijemput merasmikan forum. Beliau merasa gembira masjid giat dengan berbagai-bagai kegiatan ilmu pengetahuan. Dengan mengikuti kegiatan ilmu kita dapat memahami aspek-espek yang selama ini kita kurang faham dan dapat memperbaiki amalan dan menyempurnakan ibadat kita. ADNS meminta maaf, kerana tidak dapat mengikuti forum sepenuhnya dan terpaksa memohon diri untuk hadir ke program yang lain.

2) Menghadiri Majlis Sambutan Ramadhan

Bertempat di Surau 8/30, BBB. Sempena Majlis di atas diadakan Aqiqah & Tahlil di surau yang masih menyewa sebuah bangunan rumah dua tingkat di alamat di atas. Tiba betul-betul berkesempatan bersalat Isya` berjamaah. Walau bagaimana ADNS tidak berkesempatan makan kambing aqiqah, kerana berkali-kali mendapat panggilan dari program seterusnya. Terima kasih kepada En. Ayob kerana bersusah payah datang ke Pejabat menghantar surat jemputan.

3. Rasmikan Makan Malam Memungut Dana STAM

Program terakhir pada malam ini. Pihak Sekolah Tahfiz Malaysia (STAM) mengadakan Makan Malam bagi memungut dana STAM, iaitu sebuah Ma`had Tahfiz Swasta dan berdikari. Turut sama hadir ialah Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, En. Azlan Ketua Kampong Bangi Bahagia, Ketua PIBG Encik Badrul Azlam, Major (B) Pak Abu Pengerusi Surau al-Sabah dan tetamu jemputan. STAM mempunyai 115 pelajar yang datang dari Selangor dan luar Selangor. Sebahagian mereka dari kalangan anak yatim dan anak-anak ibu tunggal dan miskin. Gurunya seramai 16 orang. STAM mengikuti kurikulum kebangsaan dalam mana pelajar mengikuti peperiksaan PMR dan SPM disamping pengajian tahfiz. Pelajarnya menyambung pelajaran ke instituisi-institusi pengajian tinggi di dalam dan luar Negara. STAM menyewa bangunan RM6,000 sewa bulanan disamping sebahagian bangunan diwakafkan. Pengetuanya seorang muslimat yang gigih iaitu Puan Ainon dengan sokongan kuat suaminya. Menurutnya,``Saya berusaha agar STAM akan terus berkembang, biarpun di dalam keadaan kekurangan, khususnya kewangan. Menurutnya Makan Malam malim ini adalah salah satu cara bagi kami menambahkan dana STAM.

ADNS mengucap tahniah kerana STAM terus menabur bakti di dalam mendidik pelajar-pelajar dengan didikan Islam. Beliau menyampaikan salam dari Dato` Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang tak dapat datang, kerana mempunyai tugas ditempat lain bertembung dengan program ini. ADNS menasihati pihak Pentadbir memohon peruntukan Sekolah Agama dari Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan dan juga dari peruntukan zakat. ADNS menawarkan bantuan sedikit sebanyak dan berharap pihak Sekolah Tahfiz dapat menghubungi Pejabat ADNS Bangi. Kewujudan STAM menjadi kebanggaan ADNS Bangi yang memang mau melihat Bangi semarak dengan berbagai jenis pengajian dan berbagai-bagai peringkat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment