August 22, 2010

Iftar Jama`i Dan Tazkirah Nuzulul Qur`an

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 11 Ramadhan = 21 Ogos (Sabtu):


Adalah menjadi agenda tetap bagi Ahli Dewan Negeri Selangor - Bangi & Kawasan Serdang memperuntukkan satu malam daripada bulan Ramadhan bagi menghimpunkan AJK Harian, Kawasan dan cawangan untuk beriftar Jamaie. Di dalam majlis ini dijemput jemputan-jemputan khusus menyertai iftar seterusnya sembahyang berjamaah maghrib, Isyak dan tarawih bersama.


Demikianlah pada Ramadhan tahun ini dipilih pada hari ini sebagai Hari Iftar Jamaie, juga disertai padanya tazkirah Nuzulul Qur`an dan tempat yang diadakan ialah di Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Hadir ke Majlis yang dianjur ADNS Bangi ini ialah Ahli-Ahli MPKj, iaitu Ustaz Shafie Ngah, Tuan Haji Mazwan Johar, Sdr. Mohd Adram Musa dan Sdr. Mohd Sani Hamzan, Turut hadir En. Jamaluddin bin Nawi Ketua Executive Yayasan Pengurusan Ilmu yang menaja peruntukan bagi faqir-miskin dan anak yatim pada majlis ini, juga hadir Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas Timbalan YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Dr. Ismail Bahari Wakil dari UKM, Prof. Dr. Farid Onn Wakil Surau Al-Hidayah, Bukit Kajang Baru, Wakil dari GMI Encik Yusof, En. Zaidi Mohd Sihat Guru Besar Sekolah Agama Integrasi BBB, Wakil dari Jabatan Agama Islam Hulu Langat, Sekolah al-Amin (Ustaz Mohd Fadhli), Sungai Tangkas, En. Mohd Yusof dari MIROS, Wakil dari Bomba, Wakil dari Balai Polis Bandar Baru Bangi, Ketua-Ketua Kampung En. Mohd Yusof Abdul Kadir Sungai Ramal Luar, En Shukor Teras Jernang, En Abdul Hadi Sungai Tangkas, Wakil-Wakil Surau, Ketua-Ketua Cawangan dan ahli-ahli. Jumlah jemputan yang hadir lebih kurang 250 orang.



Beberapa khemah didirikan dihadapan bangunan Kompleks Sukan bagi Majlis Iftar. Sebelum tiba masa iftar ADNS Bangi mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang sudi menghadiri Majlis Iftar Jamaie yang diadakan bagi mengeratkan hubungan ukhuwwah sempena Ramadhan. ADNS juga menyebut tentang keistimewaan Ramadhan yang seharusnya kita mengambil kesempatan menghayatinya seperti peristiwa Nuzulul Qur`an – Kitab yang menjadi panduan bagi umat Islam dan juga panduan bagi alam, iaitu dengan mengkaji, memahami dan menghayati dan banyak bertadarrus pada bulan Ramadhan ini. Kepada pejuang-pejuang perlu mengambil iktibar dari peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku di dalam bulan Ramadhan. Ramadhan seharusnya memupuk kewajaan diri di dalam menegakkan agama Allah. Kita juga seharusnya mengambil peluang membuat kebajikan dengan bersadaqah di dalam bulan Ramadhan yang digandakan pahala kebajikan amalan sebagaimana juga pada bulan ini terdapat satu malam Lailatul Qadr yang menggesa kita meningkatkan amalan bagi mendapat gandaan pahala yang ditawarkan melalui lailatul Qadr.



Majlis iftar diadakan di khemah, kemudian jemputan bersembahyang maghrib berjamaah di bangunan komplek dan pulang makan sehingga diikuti Isyak dan tarawih yang dipimpin oleh Imam Syed, Imam dari Masjid Al-Hasanah. Majlis dipuncaki dengan tazkirah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka. Beliau bertazkirah berhubung dengan Nuzulul Quran. Menurutnya Nuzulul Quran ialah peristiwa besar di dalam Islam. Kitab panduan dan perlembagaan ummah yang memberi rahmat bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi kepada seluruh alam. Beliau menyebut Al-Quran mengangkatkan martabat insan dengan ilmu dan akhlak menjadi semulia-mulia makhluk. Tetapi manusia merendahkan diri ketaraf lebih rendah dari haiwan hingga sanggup membuang bayi, sedangkan binatang tidak melakukan perkara yang terkutuk dari segi keagamaan dan kemanusiaan. Beliau meminta golongan belia yang hadir dapat membina generasi Al-Qur`an yang dapat berjihad menegakkan Islam.


Sekian.

No comments:

Post a Comment