July 31, 2009

AL-FATIHAH


Sayu Permatang Pasir,Pulau Pinang mengalir ke Bangi. Kehilangan Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman pemegang kerusi satu-satunya orang PAS di Pulau Pinang. Al-Fatihah...

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dengan keheningan pagi Jumaat ini. Diletakkan roh beliau bersama para syuhada. Amin.

Takziah untuk keluarga yang ditinggalkan.

SUKAN KAFA SEKSYEN 16


MUNAQASYAH UCAPAN DASAR PRESIDEN



Munaqasyah ucapan dasar Presiden disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS Ust. Nasaruddin Md Isa. Majlis berlangsung di Dewan Sri Cempaka Kompleks PKNS Bangi. Semua ajk kawasan dan ketua cawangan hadir mendengar penjelasan dan amanat sebagai bekal perjuangan. Meninggalkan semua kekusutan dan tohmahan akibat kurang penerangan. Perahu sudah berada diair dayung pula kemas ditangan hala tujuan sudah ditentukan.

July 30, 2009

PROJEK-PROJEK DI BANGI DAN SERDANG

Pejabat Daerah Hulu Langat: Selasa 6 Sya`ban = 28 Julai

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Hulu Langat berlangsung di pejabat tersebut dari jam 9.30 pagi hingga jam 1.30 tengaharai. Mesyuarat dihadiri ahli-ahli parlimen, adun-adun, ketua-ketua jabatan-jabatan atau wakil-wakil dan penghulu-penghulu. Mesyuarat membincangkan tentang projek-projek sama ada dari Persekutuan, Negeri dan tempatan yang telah dan sedang dijalankan. Turut dibincangkan projek-projek cadangan , berbagai permasalahan dan cadangan-cadangan mengatasinya. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tuan Haji Zainal Abidin bin A`la.

Antara perkara-perkara penting dibincangkan ialah mengenai projek-projek di bawah JKR berhubung dengan jalan-jalan, penyelenggaraan longkang dan culvert yang tidak dapat menampung aliran air, pembinaan bonggol contoh jalan utama Kg. Bahagia, Bangi (selesai), isu kesihatan berhubung dengan wabak TIFOID Sungai Congkak (selesai) dan wabak influenza HINI (Selsema Babi) yang turut berlaku di Hulu Langat, lambakan kereta-kereta buruk di kawasan tanah rezab TNB Seksyen 16 Bandar Baru Bangi (Selesai 14 Julai 2009), Isu keselamatan, pendidikan, kecurian pasir, perumahan, balai raya dan balai komuniti.

Di bawah diperturunkan projek-projek di Bangi dan Serdang

a) Projek Persekutuan

  1. Pembesaran Akademi Percukaian di Bandar Baru Bangi. Kos RM33,290,618.54 (100% SIAP).
  2. Pembinaan bangunan Pusat Pemprosesan Pengeluaran dan Gudang LHDN, Bangi, Selangor – Kos RM 57,604,592.80 , (25% -dalam pembinaan).
  3. Membina dan menyiapkan Klinik Kesihatan dan Kuaters di Bandar Sri Putra, Kos RM 16,299,726.35 , (33% progress pembinaan).
  4. Membina dan menyiapkan Klinik Kesihatan 3 dan Kuarters di Sungai Chua di bawah DUN Bangi – Kos RM18,358,808.80 (3% - Bermula pembinaan).
  5. Cadangan Projek Pusat Pembangunan Teknologi & Kuantiti di Kompleks MINT, Bangi – Kos RM14,897,000.00 (23% progress).
  6. Pembinaan Bangunan Tambahan Pusat Pameran Multimedia OSHI, Ibu Pejabat MOSH, Bandar Baru Bangi – Kos RM32,909,000.00 (5% - Bermula pembinaan).
  7. Pembinaan Blok Asrama (MTCP) di Kampus ILKAP, Bandar Baru Bangi – Kos RM14,600,000.00 (5% bermula).
  8. Bangunan LHDN Cawangan Bandar Baru Bangi (Paket 2) – Kos RM14,894,145.00 (Akan bermula).
  9. Membina dan menyiapkan Blok Gantian (Bilik Darjah), Sekolah Kebangsaan Jalan Dua, Bandar Baru Bangi – Kos RM2,128,397.42 (Bakal bermula).
  10. Membina dan menyiapkan Blok Gantian (Bilik Darjah), Sekolah Kebangsaan Jalan 8, Bandar Baru Bangi . Kos RM2,293,300.00 (Bakal bermula).
  11. Menaiktaraf Bangunan Akademi Percukaian Malaysia, Bandar Baru Bangi – Kos RM5,000,000.00 (Bakal Bermula).

2. Projek Kerajaan Negeri Selangor

1. Membina dan Menyiapkan SRA Bandar Sri Putra, Bangi Selangor – Kos

RM5,574,383.00 (Siap 100% dan diserah pada 17.8.2009).

2. Membina Masjid Taman Sungai Ramal Luar, DUN Bangi – Kos RM4,118,103.93 (Bermula 2%).

3. Membina dan Menyiapkan SRA Integrasi, Bandar Baru Bangi – Kos RM3,500,000.00 (100% siap. Dalam proses penyerahan).

4. Membina SRA Bandar Tun Hussein Onn, Kos RM8,000,000.00 (Akan bermula).

3. Projek Di bawah Majlis Perbandaran Kajang

  1. Kerja-kerja menaiktaraf kemudahan infrastruktur di kawasan Perindustrian Taming Jaya, Balakong, - Kos RM889,460.00 (Dalam perlaksanaan}
  2. Kerja-kerja menaiktaraf kemudahan infrastruktur di kawasan perindustrian Desa Serdang, Balakong – Kos RM882,989.00 (Dalam pelaksanaan).

4. JPS – Peruntukan Persekutuan

  1. Projek menaiktaraf Sg. Ramal, Fasa 1, Mukim Kajang – Kos RM8,757,054.50 (Siap).
  2. Projek menaiktaraf Sg. Ramal, Fasa 1, Mukim Kajang – Kos RM1,318,834.00 (64% siap).

5. JPS – Peruntukan Negeri

  1. Projek menaiktaraf Sungai Bangi dan Sungai Reko, Mukim Kajang – Kos RM3,904,514.45 (Siap 100%)
  2. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bangi – Kos RM7,000,000.00 (Tawaran tender).

6. Permintaan ADUN Bangi Dalam Mesyuarat

  1. Sekolah Menengah yang bakal didirikan di Jalan 6, Seksyen 16, hendaklah bertaraf Sekolah Menengah Kebangsaan Agama berasrama.
  2. Menaiktaraf jalan Sungai Ramal Dalam bersambung dengan jalan Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.
  3. Memperbaiki Jalan Industri dari Balai Polis Bandar Baru Bangi ke Sungai Meran dan jalan-jalan bagi kawasan Industri di situ.
  4. Memperbaiki jalan-jalan industri kawasan Sulaman dan sekitarnya.
  5. Meminta MPKj memperbaiki Balai Komuniti di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi yang telah rosak.
  6. Menyegerakan pembinaan hentian teksi berhadapan Shell, Bandar Baru Bangi.
  7. Menyegerakan Pondok Polis di Hentian Bas Jalan Reko, Kajang..

Sekian.

Memanfaat Waqaf Bagi Kepentingan Umat

Sungai Ramal Dalam 29 Rajab = 22 Julai: Bulan Rajab adalah dipilih sebagai `Bulan Waqaf ` bagi negeri Selangor. Sempena bulan ini sebuah Forum Perdana diadakan pada malam tersebut di Dataran Al-Falah, Masjid al-Salihin Sungai Ramal Dalam bersebelahan Sekolah Agama Kafa kampong tersebut. Dua orang panel dijemput membicarakan tentang waqaf, iaitu Ustaz Ghazali Omar dan Ustaz Muhammad bin Abdullah. Mereka telah mengolah waqaf sebagai ibadat yang dituntut di dalam Islam lantaran orang Islam dituntut berlomba-lomba di dalam membuat kebajikan (al-Baqarah: 148) dan Hadith Nabi yang menyatakan bahawa sadaqah jariah sebagai salah satu ibadat yang memberi pahala berterusan. Demikian antara maksud daripada Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Sebelumnya ADUN Bangi yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu mengharapkan tercetusnya pandangan-pandangan bernas dapat ditampilkan agar dapat dimanfaatkan waqaf bagi kepentingan umat kini. Sekiranya waqaf dapat membantu institusi-institusi pendidikan, masjid, surau dan amal jariah yang lain, mengapa tidak difikir dan diolah sehingga ianya menjadi asset dan sumber ekonomi bagi badan kewangan, perbadanan dan negeri. Ruang juga dapat dilebarkan bagi yang bukan Islam terlibat di dalam bidang waqaf bagi membangunkan ekonomi baik pada peringkat badan kewangan, perbadanan maupun negeri dan Negara.

July 28, 2009

Negara Menuju Hijau: PM perkenankan di Bangi











Bandar Baru Bangi, 2 Sya`ban = 24 Julai:
Letaknya dibelakang Masjid al-Hasanah Bandar Baru Bangi atau lebih dikenali sebagai 'Masjid Hijau' dikalangan warga Bangi kerana bumbungnya berwarna hijau.

Semasa berjabat tangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, saya memperkenalkan diri kepadanya sebagai ADUN Bangi. Beliau hadir ke Bangi kerana merasmikan bangunan dan mengemukakan Dasar Teknologi Hijau, bertempat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Semasa bersalam ADUN Bangi sempat mengucapkan terima kasih kerana kerajaan Persekutuan memilih Bangi mendirikan Bangunan Teknologi Hijau. ADUN juga sempat, menyatakan, `Teknologi Hijau memang sesuai dengan Bangi yang memang hijau !`. Bahkan semasa Perdana Menteri berucap bagi perasmian, tatkala beliau menekankan bahawa negara menuju kepada teknologi hijau, para hadirin ketawa kerana mengerti konotasi hijau itu, bahkan ADUN Bangi menjadi tumpuan dan guruan kerana istilah hijau !

Pusat Tenaga Hijau adalah di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang Menterinya ialah Datuk Peter Chin Fah Kui, iaitu sebuah kementerian berjenama baru. Pejabat Tenaga Hijau (GTC) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri di Bangi itu berharga RM20 juta. Maksud Tenaga Hijau, ialah menggunakan sumber asli yang didapati dari alam sebagaimana diguna bagi Pejabat Tenaga Hijau di Bangi itu adalah dari solar. Tenaga juga boleh didapati melalui teknologi dari angin, air dan sebagainya.

Dasar Teknologi Hijau Negara ialah mengurang penggunaan tenaga dan menggunakannya secara cekap, memelihara dan meminimumkan kesan pada alam sekitar, meningkatkan ekonomi melalui penggunaan teknologi dan dalam masa yang sama meningkatkan kualiti hidup manusia.

Semoga Bangi terus kekal 'hijau' sebagaimana yang diperkenankan oleh PM DS Najib sambil menunggu negara terus di'hijau'kan. Meninggalkan sedikit palitan biru kusam yang bertimbang sebagai renungan generasi akan datang.

July 27, 2009

SELEPAS SELANGOR MENJUARAI JUARA LIGA




Kepada peminat bola di DUN Bangi, pihak YB Dr. Shafie Abu Bakar telah bersetuju untuk membiayai sebanyak 30 keping tiket perlawanan persahabatan antara Selangor menentang Indonesia. Butiran perlawanan adalah seperti berikut :-

Tarikh : 31 Julai 2009 (Jumaat)
Tempat : Stadium Shah Alam, Selangor
Masa : 8.45 malam

Kepada yang berminat sila hubungi Sdr. Amir Othman (012-304 5411).

July 23, 2009

WASPADA TERHADAP PENANGGUHAN PPSMI




BBB: 26 Rajab = 19 Julai,

Ahli-ahli Pengucap Bersama genapnya 6 tahun perlaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mengingatkan agar berwaspada tentang penarikan PPSMI yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Seri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai baru-baru ini , tetapi menangguhkan perlaksanaannya pada 2012. Dalam masa tersebut kemungkinan berlaku perubahan. Kini terdapat desakan-desakan terutama dari penyokong-penyokong pendapat dan pendirian Dr Mahathir agar dikekalkan PPSMI atau sekurang-kurang menjadi pilihan. Ahli-ahli Pengucap Bersama menghujahkan jika pada peringkat permulaan pengumuman dan perlaksanaan PPSMI dulu hanya memakan masa 3 bulan, mengapa perlaksanaan penarikannya tidak dari sekarang ?

Ahli-ahli Pengucap Bersama terdiri dari Datuk Dr. Hassan Ahmad Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Datuk A. Samad Said (Pak Samad), Sasterawan Negara selaku Penasihat GMP, Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, selaku tuan rumah, Sdr. Azman Safawi Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Sdr. Mustafa Kamil Ayob Naib Presiden PKR, Saudara Hasni Setiausaha GMP dan Sdr Mohd Faisal mewakili PKPIM. Pemilihan Bangi genapnya 6 tahun PPSMI ialah kerana di Bangi terdirinya UKM sebagai lambang kejayaan perjuangan menegakkan bahasa kebangsaan dan pendidikan kebangsaan.

Menurut Datuk Dr. Hassan Ahmad oleh kerana bimbangkan PPSMI tidak dimansuhkan, tetapi ditangguhkan, sebab itu GMP tidak akan dibubarkan, sebaliknya akan terus aktif dan berusaha berjuang dan memberi cadangan-cadangan yang positif bagi meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu. Pak Samad Said melahirkan kekesalannya bahawa sebuah badan penulis terkenal seperti GAPENA yang fungsinya sepatutnya memperjuangkan bahasa Melayu dan pendidikan kebangsaan sepatutnya bersama GMP, tetapi sebaliknya mengecap GMP sebagai gangster. Gapena menurutnya bercadang menubuhkan Grup atau Kelab bahasa Inggeris. Secara sinis melalui puisinya Pak Samad menyifatkan mereka ini sebagai `Pemimpin Cakap Serukin (Cakap tak seperti bikin) dan Peludah Bahasa – Negarawan Haloba. Seperti Pak Samad, Sdr. Shahril Azrul turut berpuisi berjudul `Api Dari Lelaki Berdua itu`.

Dr. Shafie Abu Bakar membangkitkan keputusan yang dibuat dengan tergesa-gesa berhubung dengan PPSMI Negara kerugian RM5 bilion bagi menjayakan PPSMI dan RM5 milion lagi bagi memperbaiki dan meningkatkan kemampuan pelajar di dalam bahasa Inggeris. Menurutnya kita tidak menentang pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tetapi hendaklah menurut kaedah yang betul dan tepat. Kita menggalakkan warga Negara yang berkemampuan dalam dwi-bahasa atau lebih. Beliau mengingatkan dalam keghairahan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris tumpuan utama hendaklah diberi kepada meningkatkan bahasa Melayu sebagai `Bahasa Ilmu dan Antarabangsa`. Saudara Azman Sapawi mengingatkan bahawa sejak BN memerintah lebih dari 50 tahun, banyak kesilapan yang telah dilakukan, termasuklah PPSMI yang merugikan masa dan peruntukan. Ramai pelajar menjadi mangsa experiment dan terkorban, khususnya pelajar-pelajar dari luar Bandar. BN juga gagal menguruskan ekonomi, khususnya bagi kalangan bumiputra. BN juga gagal dan berlakunya penolakan terhadap Islam Hadhari yang bercanggah dengan Islam dan ianya pupus dengan pengunduran pemimpin yang mengutarakannya – Pak Lah Badawi.

Dr. Tajul memuji GBP yang begitu gigih melanjutkan perjuangan bahasa, tatkala pejuang-pejuang bahasa yang dulu begitu lantang dan kini layu dan tak bermaya, tetapi masih ada yang tetap gigih berjuang seperti Datuk Dr. Hassan dan Pak Samad. Manakala Sdr. Mustafa Kamil Ayob kesal dengan kesilapan yang telah dilakukan menyebabkan kita kerugian masa, tenaga dan kewangan. Sdr. Hasni mengimbau tentang penubuhan GMP yang tidak diyakini banyak pihak dan sukar mencari mereka yang berani tampil ke hadapan. Terima kasih kepada Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Pak Samad yang sanggup dan berani kedepan. Sdr. Faisal menegaskan bahawa PKPIM tetap istiqamah dalam perjuangan menegakkan bahasa Melayu di persada tanahair dan antarabangsa.

Perhimpunan dan Pengucap Bersama diadakan sempena 6 tahun PPSMI pada hakikatnya melahirkan kewaspadaan tentang PPSMI yang penarikan hanya berlaku pada tahun 2012, bahawa tidak mustahil sehingga tiba ke tarikh tersebut akan berlaku perubahan yang merugikan bahasa Melayu. Desakan dibuat agar perlaksanaannya mulai dari kini. Mereka maukan dalam usaha memajukan bahasa Inggeris tumpuan paling tinggi dan uatama hendaklah dilakukan di dalam mempertingkatkan bahasa Melayu itu sendiri. Antaranya memberi peruntukan yang secukup bagi perkembangan bahasa Melayu. Meningkatkan penggunaannya di dalam bidang pendidikan dan penyelidikan sehingga menjadi bahasa ilmiah dan meningkat kepada taraf antarabangsa dan menjadi salah satu bahasa penting di dunia. Bahasa Melayu juga hendaklah digunakan di dalam bidang pentadbiran dan pengurusan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah kembali diaktifkan di dalam pembinaan bahasa dan pengeluaran buku-buku ilmiah. Anugerah-anugerah hendaklah kembali diadakan bagi buku-buku ilmiah dan kreatif yang bermutu. Kerjasama di dalam bidang bahasa dengan Negara-negara jiran dan antarabangsa dilakukan. Penggunaan bahasa Melayu perlu dilaksanakan di dalam majlis-majlis rasmi Negara, forum dan konvensyen antarabangsa.

Sekian.

July 22, 2009

SUKAN PASTI : JIKA DIGABUNG PASTI LEBIH MERIAH





Bulan Julai adalah bulan sukan. Pelbagai pihak cuba mengadakan aktiviti sukan bagi memberi ruang Ramadhan yang bakal tiba. 3 PASTI di Bangi mengadakan acara sukan tahunan. Pasti As-Syakirin Kajang Utama bergabung bersama Pasti Jasmin bersukan di Padang Awam Taman Jasmin. Pasti Ar-Raudah pula bersukan ditempat mereka sendiri di Seksyen 5. YB. Dr. Shafie perlu merasmikan dua program yang sama dalam julat masa yang sama tetapi berlainan tempat. Barangkali cadangan dari YB. Dr. Shafie agar pasti-pasti bergabung dan mengadakan acara sukan di tempat yang lebih besar seperti di stadium perlu difikirkan kepada pengurusan pasti agar program sukan yang dijalankan lebih tersusun dan lebih meriah. Pelbagai manfaat akan diperolehi melalui PAKATAN.

July 21, 2009

TEAM ADUN BANGI A SERI DGN WEST COUNTRY


Pasukan bolasepak dari Sg. Ramal yang mewakili pasukan ADUN Bangi A sekadar seri menentang pasukan dari West Country. Ini adalah perlawanan kedua selepas tewas pada kali pertama melawan pasukan dari Semenyih FC.


Dr. Shafie semasa memberi ucapan mengucapkan tahniah kerana berjaya mengekang pasukan yang secara fizikalnya lebih besar dan berharap pasukan dari ADUN Bangi A terus gigih berlatih sehingga mampu mencipta kemenangan. Liga akan bersambung semula pada bulan September selepas berpuasa.

PEKERJA DENSO PIKET





Pekerja kilang DENSO di kawasan perindustrian Bangi berpiket selama sebulan bermula 13 Julai lalu menuntut pelarasan gaji. Mereka berpiket selepas waktu kerja dengan berkumpul dihadapan kilang dan menaikkan poster serta kain pemidang. Antaranya berbunyi “We want justice don’t cheat Malaysian worker”,”Kembalikan hak kami”,”Majikan untung pekerja lopong” dan “Mana prihatin majikan pada pekerja”.


Pekerja mendakwa pelarasan gaji dibuat setiap tiga tahun, namun ada antara mereka tidak menikmati sebarang kenaikkan dalam tempoh lima tahun. Majikan menjadikan alas an kemelesetan ekonomi global sebagai alas an namun rekod menunjukkan peningkatan terus pengeluaran kilang. Pada tahun 2006 hasil pengeluaran ialah sebanyak RM 191,500 juta sementara pada tahun 2008 adalah sebanyak RM 313,105 juta.


Dr. Shafie Abu Bakar sebagai ADUN Bangi terpanggil membela nasib pekerja dan dalam waktu yang sama terus berusaha memberi galakkan kepada pelabur dari Jepun untuk terus melabur di Bangi. Selepas berjumpa para pekerja beliau turut berjumpa dengan pihak pengurusan memohon penjelasan. Pihak DENSO yang diwakili oleh En. Maeda dan En. Rahman memberikan kerjasama yang cukup baik. Mereka mendakwa memang terdapat penurunan jualan eksport secara keseluruhan sebanyak 40% dan domestic sebanyak 10%. Pihak pengurusan bercadang untuk memberikan kenaikan sebanyak 4.25% namun pihak pekerja memohon sekurang-kurangnya 8%. Dr. Shafie berharap pihak pengurusan dapat menambah sedikit nilai 4.25% itu bagi mengimbangi beban yang perlu ditanggung oleh para pekerja. Pihak penggurusan DENSO berjanji akan meneruskan rundingan dengan wakil pekerja.


July 20, 2009

SPRM MAHUKAN JAWAPAN RAKYAT MAHUKAN PENJELASAN.



Kesedihan menyelubungi mereka yang menanti kenderaan yang membawa jenazah Teo Beng Hock di Taman Peringatan Nirvana , Semenyih. Jenazah mendiang sebelum itu dibawa balik ke Melaka bagi membolehkan acara sembahyang dan memberi penghormatan terakhir di kampong halamannya. Pakatan Rakyat dan DAP khasnya kehilangan seorang anak muda yang sungguh berdedikasi terhadap perjuangan membela rakyat

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersama pemimpin Pakatan Rakyat dilihat hadir memberi penghormatan kepada mendiang dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Turut hadir Tn. Hj. Mohd Sabu, YB Dr. Shafie Abu Bakar, YB Dr. Abd. Rani, YB Khalid Samad, YB Lee kim Sin.

En. Chan seorang ahli DAP dari Pulau Pinang yang turut hadir menyatakan kekesalannya terhadap cara SPRM bertindak.


Tambah beliau dengan penuh semangat,"Sebagaimana SPRM mahukan jawapan dari ADUN Pakatan Rakyat begitulah juga rakyat mahukan penjelasan dari SPRM bagaimana mereka yang masih dibawah siasatan SPRM menemui maut. Bezanya rakyat tidak berupaya mengheret mereka kesatu tempat lain dan disoal berterusan tanpa mengira waktu. Rakyat menunggu penjelasan dari SPRM dalam batas waktu dan tempat yang bergantung sepenuhnya kepada SPRM."

SUARA ADUN BANGI DI SIDANG DUN

Sidang Dewan Negeri Selangor

Sidang di atas berlangsung dari Rabu 8 Julai hingga Rabu 15 Julai. Antara perkara penting berhubung dengan sidang dewan:

a) Acara

8 Julai genap 50 tahun usia Dewan Negeri Selangor (Dewan Negeri adalah istilah asal digunakan di Selangor). Sejurus selepas sidang bermula, upacara perasmian sambutan 50 tahun Sidang Dewan Negeri diadakan di Bangunan Annex dilakukan oleh YAB Dato` Seri Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Selangor sudi hadir ke Jamuan Makan Malam dan bertitah sempena 50 tahun Dewan Negeri Selangor bertempat di Hotel Concord, Shah Alam.

b) Soalan Dewan

Sebanyak 277 soalan lisan diterima dari 42 ADUN dengan tujuh daripadanya ditolak
Sebanyak 137 soalan tulisan diterima dari 22 ADUN dan empat daripadanya ditolak.
ADUN Bangi menghantar jumlah maksimum soalan, iaitu 10 soalan lisan dan 10 soalan tulisan. Kesemua 20 soalan diterima.
Sepanjang sidang hanya sejumlah 62 soalan lisan daripada 270 soalan lisan yang diterima sempat dijawab.
Daripada 10 soalan lisan ADUN Bangi yang diterima, hanya 2 soalan sempat dijawab di dalam sidang, iaitu mengenai Pengurusan Air dan Sukan di Negeri Selangor. Turut membuat soalan-soalan tambahan pada setiap hari bagi masa menjawab soalan.

c) Isu Hangat Sepanjang Sidang

1. Isu pemilikan rumah Bekas Menteri Besar Selangor YB Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo di Shah Alam yang dikatakan berharga RM24 juta, tetapi dinafikan oleh Mohd Khir yang menyatakan beliau meminjam dari bank bagi membelinya sebanyak RM3.5 juta sahaja..
2. Penyelewengan di dalam Projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ)
3.YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor disaran agar merombak Exco Kerajaan Negeri Selangor
4. Gangguan terhadap perlantikan ahli-ahli PBT dan kritik terhadap perlantikan secara berperingkat
5. Penggantungan ADUN Sungai Panjang YB Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo selama setahun dari Dewan Negeri Selangor kerana ingkar dari menghadiri sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT). Beliau dan empat ADUN BN yang lain dituduh mengkritik SELCAT melalui media yang disifatkan sebagai menghina Dewan. Keempat-empat mereka ini digantung dari Dewan Negeri selama enam bulan. Mereka semua kehilangan elaun dalam masa penggantungan.
6.Penggunaan Sistem Waqaf sebagai pembiayaan kewangan Negeri Selangor
7. Objektif pemungutan cukai pasir yang tidak kesampaian

d) Apa yang dibangkitkan oleh ADUN Bangi di dalam sidang Dewan

-Memohon kembali agar dibina jalan pintas sama ada dalam bentuk terowong atau flyover dari Kajang Utama ke Kajang.
-Perlunya ada jalan yang sempurna dari Taman Universiti, Bangunan Asset KWSP dan Institut German Malaysia di Sungai Tangkas ke jalan Utama Kajang – Bangi.
-Perlu dinaiktaraf jalan-jalan kampong di Sungai Ramal Dalam dan Bangi Lama.
-Perlu didirikan Dewan Utama di Bandar Baru Bangi bagi pelbagai kegiatan seperti konvensyen, seminar, ceramah, perhimpunan, perkahwinan dan sebagainya.
-Perlunya diadakan galeri buku sesuai Bangi Bandar Ilmu.
-Perlunya dilengkapkan Perpustakaan Bandar Baru Bangi dengan buku-buku yang diperlukan oleh semua peringkat dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi.
-Perlunya diberi perhatian terhadap gejala sosial yang makin meningkat yang mengancam ketenteraman dan keamanan penduduk
-Perlunya ada klinik kesihatan bagi Bandar Seri Putra beserta Bukit Mahkota
-Perlunya didirikan sebuah sekolah agama di Sungai Tangkas.
-Penduduk Bandar Baru Bangi memerlukan sebuah Ma`had Tahfiz
-Perlu didirikan masjid di Bandar Seri Putera
-Perlu didirikan masjid di Bandar Bukit Mahkota
-Perlu didirikan masjid di West Country (Seksyen 5 Bandar Baru Bangi)
-Perlu didirikan masjid di Taman Kajang Prima
-Perlu didirikan masjid di Sungai Tangkas bagi kegunaan penduduk Sungai Tangkas, Taman Universiti dan German-Malaysia Institut
-Sungai Tangkas dan Taman Universiti memerlukan sekolah rendah dan sekolah menengah.

e) Respond Segera

1. Ma`had Tahfiz Moden akan dipertimbangkan dibina terutama di Kuala Langat, menurut Yang Berhormat Datuk Dr. Hassan Ali, kerana di sana belum ada lagi sekolah Menengah Agama dan juga Bangi berikutnya’ diberi perhatian.
2. Kerajaan Negeri menurut Yang Amat Berhormat Dato` Menteri Besar Tan Seri Khalid Ibrahim bersetuju akan membina sebuah masjid di Kajang Prima dengan pengambilan balik tanah komersil dan meminta pihak SILK sama menanggung kos, kerana syarikat ini telah mengambil tapak asal masjid bagi pembinaan highway SILK dan belum menggantikannya. Kos bagi pengambilan tanah dan pembinaan masjid melibatkan perbelanjaan puluhan juta ringgit.
3. Peruntukan bagi menaiktaraf Jalan Bangi ke KUIS telah dilulus dan dibelanjakan sejumlah RM1,300,000.00
4. Jalan rentas dari Sungai Tangkas-Bandar Universiti – Institut German Malaysia dan Asset (KWSP) akan siap dengan pembukaan Bandar Alam Sari.
5. Pihak Perpustakaan akan berusaha membekalkan buku-buku bersesuaian bagi semua peringkat, terutama di Perpustakaan Bandar Baru Bangi.

Sekian.

PESTA BUKU BERIKAN TANDA POSITIF BBI




Pesta Buku Bangi secara rasminya ditutup dalam satu program yaqng sederhana sambutannya. Majlis yang sepatutnya dihadiri oleh YB Dato’ Hasan Ali disempurnakan oleh ADUN Bangi, YB Dr. Shafie Abu Bakar mewakili beliau.
Pada majlis tersebut diadakan majlis penyampaian hadiah bagi acara pertandingan meneka jumlah mukasurat buku dan pertandingan mewarna. Peserta-peserta pesta buku yang kebanyakkan terdiri dari penjual dan penerbit buku berpuas hati dengan hasil jualan yang mereka perolehi sepanjang tempoh pesta tersebut. Penganjur berjaya menyusun program agar pesta itu sentiasa dikunjungi hampir setiap hari sepanjang berlangsungnya pesta tersebut selama dua minggu.
Barangkali terlalu awal untuk disimpulkan bahawa minat membaca bagi penduduk Bangi semakin meningkat. Namun sebagai menepati ciri-ciri Bangi sebagai bandar ilmu petanda ini memberikan satu input positif budaya membaca yang dimiliki oleh warga Bangi.

July 18, 2009

Kemeterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan ‘vandalisme’ terhadap ADUN Bangi.


Dalam satu kempen yang konon namanya “mencegah vandalisme” kerajaan pusat sebenarnya telah melakukan satu ‘vandalisme’ kepada wakil rakyat yang secara demokrasi dipilih oleh rakyat kawasan Bangi. Lebih buruk lagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memperalatkan pihak berkuasa tempatan (MPKj) . Pihak penganjur sekurang-kurangnya perlu menghormati Dr. Shafie Abu Bakar sebagai wakil rakyat kawasan tersebut samada memaklumkan kepada beliau atau menjemput sebagai tetamu. Apatah lagi program tersebut dijalankan dibelakang pejabat ADUN Bangi. Lebih perit lagi bila mengetahui pihak MPKj telah diugut untuk ditarik balik peruntukkan sekiranya menjemput atau membenarkan wakilrakyat dari Pakatan Rakyat hadir ke majlis tersebut.
Dr. Shafie merasa kesal dengan apa yang berlaku disebalik kempen Satu Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mula menampakkan belangnya.