July 23, 2009

WASPADA TERHADAP PENANGGUHAN PPSMI




BBB: 26 Rajab = 19 Julai,

Ahli-ahli Pengucap Bersama genapnya 6 tahun perlaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mengingatkan agar berwaspada tentang penarikan PPSMI yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Seri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai baru-baru ini , tetapi menangguhkan perlaksanaannya pada 2012. Dalam masa tersebut kemungkinan berlaku perubahan. Kini terdapat desakan-desakan terutama dari penyokong-penyokong pendapat dan pendirian Dr Mahathir agar dikekalkan PPSMI atau sekurang-kurang menjadi pilihan. Ahli-ahli Pengucap Bersama menghujahkan jika pada peringkat permulaan pengumuman dan perlaksanaan PPSMI dulu hanya memakan masa 3 bulan, mengapa perlaksanaan penarikannya tidak dari sekarang ?

Ahli-ahli Pengucap Bersama terdiri dari Datuk Dr. Hassan Ahmad Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Datuk A. Samad Said (Pak Samad), Sasterawan Negara selaku Penasihat GMP, Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, selaku tuan rumah, Sdr. Azman Safawi Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Sdr. Mustafa Kamil Ayob Naib Presiden PKR, Saudara Hasni Setiausaha GMP dan Sdr Mohd Faisal mewakili PKPIM. Pemilihan Bangi genapnya 6 tahun PPSMI ialah kerana di Bangi terdirinya UKM sebagai lambang kejayaan perjuangan menegakkan bahasa kebangsaan dan pendidikan kebangsaan.

Menurut Datuk Dr. Hassan Ahmad oleh kerana bimbangkan PPSMI tidak dimansuhkan, tetapi ditangguhkan, sebab itu GMP tidak akan dibubarkan, sebaliknya akan terus aktif dan berusaha berjuang dan memberi cadangan-cadangan yang positif bagi meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu. Pak Samad Said melahirkan kekesalannya bahawa sebuah badan penulis terkenal seperti GAPENA yang fungsinya sepatutnya memperjuangkan bahasa Melayu dan pendidikan kebangsaan sepatutnya bersama GMP, tetapi sebaliknya mengecap GMP sebagai gangster. Gapena menurutnya bercadang menubuhkan Grup atau Kelab bahasa Inggeris. Secara sinis melalui puisinya Pak Samad menyifatkan mereka ini sebagai `Pemimpin Cakap Serukin (Cakap tak seperti bikin) dan Peludah Bahasa – Negarawan Haloba. Seperti Pak Samad, Sdr. Shahril Azrul turut berpuisi berjudul `Api Dari Lelaki Berdua itu`.

Dr. Shafie Abu Bakar membangkitkan keputusan yang dibuat dengan tergesa-gesa berhubung dengan PPSMI Negara kerugian RM5 bilion bagi menjayakan PPSMI dan RM5 milion lagi bagi memperbaiki dan meningkatkan kemampuan pelajar di dalam bahasa Inggeris. Menurutnya kita tidak menentang pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tetapi hendaklah menurut kaedah yang betul dan tepat. Kita menggalakkan warga Negara yang berkemampuan dalam dwi-bahasa atau lebih. Beliau mengingatkan dalam keghairahan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris tumpuan utama hendaklah diberi kepada meningkatkan bahasa Melayu sebagai `Bahasa Ilmu dan Antarabangsa`. Saudara Azman Sapawi mengingatkan bahawa sejak BN memerintah lebih dari 50 tahun, banyak kesilapan yang telah dilakukan, termasuklah PPSMI yang merugikan masa dan peruntukan. Ramai pelajar menjadi mangsa experiment dan terkorban, khususnya pelajar-pelajar dari luar Bandar. BN juga gagal menguruskan ekonomi, khususnya bagi kalangan bumiputra. BN juga gagal dan berlakunya penolakan terhadap Islam Hadhari yang bercanggah dengan Islam dan ianya pupus dengan pengunduran pemimpin yang mengutarakannya – Pak Lah Badawi.

Dr. Tajul memuji GBP yang begitu gigih melanjutkan perjuangan bahasa, tatkala pejuang-pejuang bahasa yang dulu begitu lantang dan kini layu dan tak bermaya, tetapi masih ada yang tetap gigih berjuang seperti Datuk Dr. Hassan dan Pak Samad. Manakala Sdr. Mustafa Kamil Ayob kesal dengan kesilapan yang telah dilakukan menyebabkan kita kerugian masa, tenaga dan kewangan. Sdr. Hasni mengimbau tentang penubuhan GMP yang tidak diyakini banyak pihak dan sukar mencari mereka yang berani tampil ke hadapan. Terima kasih kepada Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Pak Samad yang sanggup dan berani kedepan. Sdr. Faisal menegaskan bahawa PKPIM tetap istiqamah dalam perjuangan menegakkan bahasa Melayu di persada tanahair dan antarabangsa.

Perhimpunan dan Pengucap Bersama diadakan sempena 6 tahun PPSMI pada hakikatnya melahirkan kewaspadaan tentang PPSMI yang penarikan hanya berlaku pada tahun 2012, bahawa tidak mustahil sehingga tiba ke tarikh tersebut akan berlaku perubahan yang merugikan bahasa Melayu. Desakan dibuat agar perlaksanaannya mulai dari kini. Mereka maukan dalam usaha memajukan bahasa Inggeris tumpuan paling tinggi dan uatama hendaklah dilakukan di dalam mempertingkatkan bahasa Melayu itu sendiri. Antaranya memberi peruntukan yang secukup bagi perkembangan bahasa Melayu. Meningkatkan penggunaannya di dalam bidang pendidikan dan penyelidikan sehingga menjadi bahasa ilmiah dan meningkat kepada taraf antarabangsa dan menjadi salah satu bahasa penting di dunia. Bahasa Melayu juga hendaklah digunakan di dalam bidang pentadbiran dan pengurusan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah kembali diaktifkan di dalam pembinaan bahasa dan pengeluaran buku-buku ilmiah. Anugerah-anugerah hendaklah kembali diadakan bagi buku-buku ilmiah dan kreatif yang bermutu. Kerjasama di dalam bidang bahasa dengan Negara-negara jiran dan antarabangsa dilakukan. Penggunaan bahasa Melayu perlu dilaksanakan di dalam majlis-majlis rasmi Negara, forum dan konvensyen antarabangsa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment