April 5, 2015

Za`ba Tokoh Bahasa Dan Nahu Melayu Ulung


BBB, 14 Jamadil Akhir 1436 = 04 April 2015 (Sabtu):
Setelah begitu lama Bahasa Melayu dimartabatkan di Alam Melayu dan bahasa tersebut menjadi medium ilmu dengan ulama-ulama menghasilkan berbagai kitab di dalam berbagai lapangan keilmuan Islam dan pengarang-pengarang menghasilkan buku-buku yang makin memartabatkan bahasa Melayu, namun bahasa Melayu masih kekeringan dari kitab atau buku yang membicarakan tentang nahu dan bahasa Melayu. Cahaya awal yang diusahakan oleh Raja Ali Haji pada pertengahan abad ke 19 dipuncakkan oleh Za`ba dengan mengarang buku panduan mengarang dan buku nahu bahasa Melayu terawal.


Za`ba yang nama penuhnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad ( (1895-1973) anak kampung memulakan pengajian Al-Qur`an dan Sekolah Melayu Linggi, kemudian lulus Senior Cambridge dari St. Paul`s Institution Seremban (1915). Beliau terlibat dengan beberapa kerjaya antaranya guru. Beliau terpilih menjadi pensyarah bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies di London, beliau berpeluang menyambung pelajaran di universiti tersebut dan lulus ijazah Sarjana Muda Sastera (1953) dalam bidang Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Sepulangnya dari London beliau telah berkhidmat antaranya sebagai guru di English College, Johor Bahru (1916). Dua tahun kemudian beliau bertugas sebagai guru bahasa dan penterjemah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, diikuti sebagai penterjemah di Pejabat Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Persekutuan Tanah Melayu hingga membawa beliau berkhimat di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (1924-1939). Semasa berkhidmat di sini sebagai tenaga pengajar dan penterjemah beliau telah menghasilkan berbagai buku dan artikal, tetapi yang penting dari segi bahasa ialah Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu tiga jilid. Pada tahun 1947 beliau bertugas selaku pensyarah di Universiti London dan sepulang darinya beliau berkhidmat selaku pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya di Singapura selaku Ketua Jabatan berkenaan.
(Wajah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1961: 436-441).
Baik Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu adalah merupakan hasil keterlibatan Za`ba di dalam pengajaran beliau tentang bahasa tersebut dari peringkat kolej hinggalah ke universiti. Buku-buku tersebut asalnya dalam tulisan jawi – Ilmu Mengarang Melayu (1934-1956). Begitulah juga Pelita Bahasa Melayu 1 – III asalnya dalam tulisan jawi. Dalam kata pendahuluan bagi Ilmu Mengarang Melayu (1934) semasa di Maktab Perguruan Tanjung Malim kata Za`ba;
``Bahawa kitab ini dimaksudkan bagi penggunaan guru-guru di sekolah Melayu dan penuntut di Kolej.``
(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1965: VII).
Ilmu Mengarang Melayu menerangkan kaedah mengarang seperti asas mengarang, memanjangkan karangan yang ringkas dan sebaliknya, gaya bahasa, bagaimana menggunakan simpulan bahasa, bahasa kiasan dan ragaman bahasa. Za`ba turut membicarakan kaedah mengarang yang melibatkan unsur estetik seperti menulis puisi seperti pantun, syair, bayt dan nazam, juga gurindam, seloka dan sajak. Turut dibicarakan tentang pengaruh bahasa asing dan bahasa daerah. Pendek kata kaedah mengarang yang disusunnya melibatkan karangan yang bersifat prosa dan yang melibatkan puisi.
Kesedaran yang lebih tinggi timbul dari Za`ba ialah menyusun kaedah nahu Melayu yang diusahakan dari tahun (1934-1936) bagi jilid pertama, kata Za`ba:
``Bahawa kitab ini ialah cubaan yang pertama pada mengaturkan kaedah nahu Melayu dengan keadaan yang lebih lengkap daripada yang sudah-sudah dicuba orang dalam bahasa Melayu. Aturan ringkasnya banyak ditirukan kepada acuan nahu Inggeris dan sedkit-sedikit nahu Arab. Tetapi isi yang memenuhkan rangka itu semua dipadankan dengan pembawaan tabiat sejati bahasa Melayu dan dengan kaedah-kaedahnya yang khas tersendiri daripada bahasa-bahasa lain.``
(Za`ba, Pelita Bahasa Melayu I, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1961: IX).
Dalam buku Pelita Bahasa Melayu I, Za`ba membicarakan mengenai bunyi huruf, kaedah-kaedah ejaan dan sifat-sifat huruf, ia laksana membicarakan ilmu tajwid. Selepas itu baru dibicarakan mengenai nama, perbuatan, perkataan sifat, sendi dan seruan, huruf-huruf penambahan dan sambungan, mengenai rangkaikata, pembinaan ayat dan jenis-jenis ayat. Contoh dalam membicarakan penambahan `ter`, antaranya menunjukkan tidak sengaja. Contoh:
``Saya hendak menyepak bola tersepak kakinya.``
Menunjukkan ada upaya. Contoh, ``Terlawankah oleh engkau dia ?
Menunjukkan sedia dan telah sempurna, contoh `Kitab itu terpakai di sekolah.``
Dan beberapa maksud dan contoh yang lain.
(Za`ba, Pelita Bahasa Melayu I, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1961: 209-210).   
Bagi buku dua atau penggal dua fokus persoalan ialah mengarang, ayat-ayat tunggal, cara penyambungan ayat, memakai tanda-tanda dalam tulisan, cakap ajuk dan cakap pindah, perenggan-perenggan ayat, perkataan-perkataan pembatas karangan dan latihan mengarang termasuk menulis cerita pendek.



Contoh  cakap ajuk, ialah memindah cakap orang tanpa mengubahnya. Contoh:
Katanya kepada saya, ``Bapa  engkau itu terlalu garang.``
Manakala cakap pindah ialah mengubah cakap disampaikan, contoh:
``Katanya kepada saya bapa saya itu terlampau garang.``
(Za`ba, Pelita Bahasa Melayu, Penggal II, Macmillan And Co Limited, London, 1959: 105).
Di dalam buku Pelita Bahasa Melayu Penggal Ketiga Za`ba membicarakan tentang bagaimana mengarang dan petua-petua mengarang. Kesalahan-kesalahan yang besar dalam karangan. Cara memakai setengah perkataan dan sendi-kata, kecacatan karangan, mencantikkan karangan, mengarang pantun dan syair, mengarang sajak, gurindam dan seloka, mengarang surat kiriman, membaikkan karangan dan beberapa teladan karangan dan mengajar karangan berbentuk rencana.
Sebagai contoh menggunakan sendikata seperti sambil, seraya, sementara, serta, lalu.
Contoh: Sambil menyelam sambil minum air
Guru menyuruh murid membaca seraya menyerahkan buku bacaan kepada murid itu. Begitulah dengan contoh-contoh yang lain yang semuanya mempunyai elemen  penyertaan.
(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, Penggal III, Macmillan And Co Limited. London, 1960: 89-90).
Meneliti kepada kandungan ketiga-tiga penggal buku Pelita Bahasa Melayu Za`ba nampaknya tidak sepenuhnya menumpukan pembicaraan pada kaedah bahasa dan nahu Melayu, tetapi dibicarakan kaedah-kaedah mengarang sebagaimana di dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu. Walau bagaimana dengan buku Pelita Bahasa Melayu tiga penggal Za`ba telah meletakkan asas yang kukuh berhubung dengan kaedah bahasa dan nahu Melayu. Bidang ini kemudian diperluaskan lagi oleh pakar-pakar bahasa selanjutnya seperti oleh Profesor Asmah Haji Omar, Profesor Nik Safiah Karim, Profesor Farid Mohd. Onn. Profesor Abdullah Hasan, Dr. Awang Sariyan dan ramai lagi.

Sekian.                                                                                  

No comments:

Post a Comment