Sebuah lagi puisi yang diperkenalkan oleh
Islam kepada persuratan Melayu ialah `Qit`ah`. Istilah qit`ah di dalam bahasa
Melayu ialah bererti `sepotong`. Dalam maksud puisi qit`ah ini puisi yang
ringkas, namun temanya selalu membawa persoalan yang luhur, insaf dan
kerohanian. Membaca buku-buku yang membicarakan tentang perkembangan puisi di
dalam bahasa Arab sejak dari zaman Jahiliyyah membawalah kepada zaman Islam dan
moden, maka tiada yang membicarakan jenis puisi ini sebagai satu bentuk puisi
di dalam bahasa Arab. Puisi qit`ah yang diperkenalkan di dalam bahasa Melayu
adalah melalui karya Taj al-Salatin yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari.
Memandangkan bahawa Taj al-Salatin itu sendiri kaya dengan unsur Arab-Parsi,
maka kemungkinan bahawa qit`ah adalah dari pengaruh Arab-Parsi. Walau bagaimana
nama qit`ah bukanlah sebagai satu jenis atau bentuk yang ketara – termasuk dari
bahasa Parsi. Nama qit`ah diberi oleh pengarang apabila tiba kepada ungkapan
yang bersifat sedemikian, Contoh kata
pengarang:
``Tiada dapat dibezakan pada antara sultan dan
peminta dan ... pada antara miskin dan
kaya semuanya samalah dengan tanah dan suatu alamat daripada wujud mereka itu
pun tiadalah seperti kataku qit`ah:
Jikalau kulihat dalam tanah pada ihwal
sekalian insan,
Tiadalah ku dapat bedakan pada antara rakyat
dan sultan.
Fana juga sekalian yang ada, dengarkan yang
Allah Berfirman
Kullu man `alaiha fanin, iaitu,
Barang siapa yang di atas bumi itu lenyap jua.
(S.Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru
Limited, Petaling Jaya, 1965: 119) juga: Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966: 24).
Untuk mendapat lebih penjelasan kita petik lagi
ungkapan yang bersifat qit`ah. Contoh petikan berikut:
``Adapun akan adil itu menerangkan sekalian
isi negeri adanya dan yang aniaya itu akan membinasakan isi negeri adanya
daripada pihak dirinya juga seperti kata Bukhari – Qit`ah:
Yang adil itu umpama matahari adanya
Dan yang zalim itu maklumkan adanya
Daripada kebinasaan dirinya juga
Maka pada tiap-tiap hari akan menambah
kehinaan dirinya
Dan menambah kerugian dirinya jua adanya.
(Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, hlm. 69).
Daripada dua qit`ah di atas yang disebut oleh
pengarangnya sebagai qit`ah dapat dibuat ciri-cirinya bahawa:
1) Qit`ah adalah puisi ringkas yang di bawah 10 baris.
2) Ada kesamaan bunyi pada akhir setiap baris seperti berakhir dengan
aaaaa, namun ada sedikit penyimpangan – Qit`ah pertama.
3) Jumlah perkataan bagi sesuatu baris dalam lingkungan 10 perkataan,
cukup penyebutan dengan satu nafas normal.
4) Kandungan mengenai keluhuran, bersifat rohani dan keinsafan. Contoh
soal keadilan, kefanaan dan sebagainya
5) Terdapat penyelitan ayat Al-Qur`an atau Al-Hadith bagi mengukuhkan
persoalan
6) Bersifat intuitif estetik kerohanian
7) Mengandungi nilai pendidikan keislaman
8) Menjadi panduan pihak pemerintah dan juga orang awam.
Ada beberapa ungkapan sebagai qit`ah yang
tidak disebut pengarangnya sebagai qit`ah. Contoh:
(Dari Segenggam Tanah Adamu Itu)
Hai yang berdiri, ingatlah adamu dan
dengarkanlah
Al-hukum apa dan daripada apa adamu itu
Bukankah dengan segengam tanah adamu itu
Daripada segala bumi dan demi Tuhan yang
menjadikan
Maha luas bumi itu dan berkata pada
peri
buminya
Inna ardhi wasi`ah (al-`Ankabut: 56).
(Sesungguhnya bumi-Ku adalah luas).
(Bukhari al-Jauhari. Taj al-Salatin, hlm. 22).
Atau ungkapan berikut yang ada elemen qit`ah:
(Manusia Kembali Ke Tanah)
Apa hal manusia yang jadi tanah
Dalam tanah itu yang hina jadikan akhir tubuh
ia
Yang ia yang pada ia termulia
Hai yang berbudi dengar katalah lagi
Perkataan ini yang indah.
(Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, hlm. 23).
Daripada petikan-petikan di atas dan sebelum
daripadanya, bahawa qit`ah lebih dicirikan oleh mesejnya yang luhur, bersifat
keinsafan tentang hakikat kewujudan dan alam adalah kefanaan. Hanya Allah yang
wujud, Kekal dan Abadi. Ciri keterikatan hujung baris tidak rigid – Ada semacam
bebas dari segi penyusunan baris, namun ada elemen keterikatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment