BBB, 18 Rabiul Akhir 1435 = Februari 2014 (Selasa):
`Perjudian` (1973) dan `Juara`(1976) adalah antara
novel-novel S. Othman Kelantan, seorang Novelis dan Sasterawan Negara.
Kedua-dua novel ini mengambil tema dari politik pilihanraya yang diolah secara
satira. Unsur satira ini menjadi kegemaran S. Othman di dalam menulis
novel-novel dan juga cerpennya – Contoh Pahlawan Lembu – juga cerpen bersifat
satira politik. Bahkan kajian peringkat Ph. D.nya juga mengenai satira (Penulis
bersama Prof. Dr. Wan Hashim Pengarah ATMA, UKM menjadi Penyelia bersama).
Bagi penulis kreatif menghayati dan menimba ilham bagi
penulisan novel atau cerpen, bahkan drama dari PRK Kajang yang akan berlangsung
pada 23 Mac 2014 nanti amat menarik. Episode ceritanya sudah bermula sejak
perletakan jawatan Lee Chin Cheh pada 27 Januari 2014 yang lepas, bahkan boleh
disorot lebih jauh ke awal pilihanraya ke 13. Ia merupakan satu intro cerita yang
menarik, kerana ianya merupakan satu kejutan yang jika di dalam novel atau
cerpen merupakan intro yang dapat menarik pembaca meneruskan pembacaan bagi
novel atau cerpen yang dapat kita namakan di sini `Siapa Juara Kajang ?`
Menggunakan tajuk `Memperjudikan Masa Depan` di atas secara
satira politik adalah tepat, lantaran orang yang hendak `berjudi`, terutama
bagi yang menganjur dan juga bagi yang hendak berjudi sudah ada peruntukan
kewangan yang hendak dipertaruhkan dalam `perjudian` berkenaan. Secara satira,
PR, khususnya PKR sudah mempunyai modal yang kukuh, iaitu telah memenangi
kerusi Dun Kajang pada pilihanraya ke 13 ! Namun kerana dikatakan melalui Kajang secara tektikal ada
peluang, kesempatan dan masa depan yang lebih cerah, antaranya `Jalan Ke
Putrajaya` !, maka Kajang `dipertaruhkan` bagi mencapai tujuan-tujuan yang
dianggap `unggul`, lantas Lee Chin Cheh – tak kiralah dengan rela atau diminta,
meletakkan jawatan.
Jalan cerita bagi `Siapa Juara Kajang ?` boleh menjadi tema
yang menarik, apa lagi jika penulis berkemampuan menggabungjalinkan cerita
secara kreatif. Cerita kejayaan sebuah negeri bagi dijadikan landasan bagi
meningkatkan prestasi kepada kejayaan sebuah pemerintahan pada peringkat Persekutuan
! Itu adalah gambaran pada lapisan luaran yang mau dipertontonkan, tetapi di sana ada berbagai lapisan
yang terdiri dari berbagai episode yang sebenarnya merupakan konflik-konflik
yang mewarnai cerita. Semakin banyaknya konflik yang dramatic dan mendebarkan
seperti konflik dalaman parti, konflik antara parti, konflik antara tokoh dan
konflik dengan musuh politik. Dengan konlik-konflik ini sebenarnya menjadikan cerita
lebih menarik. Konflik-konflik ini tidak semestinya diterima secara terus dan
begitu sahaja, tetapi bagi penulis kreatif yang mempunyai `poetic licence` boleh menokoktambah atau mengurangkan bahan-bahan
secara kreatif.
Apa yang menarik berhubung dengan cerita `Siapa Juara Kajang
?` ini, ialah tekateki tentang kejuaraan itu sendiri. Di dalam cerita ini ada
watak yang dilihat sebagai watak utama – protogonis dalam jalan cerita, ada watak yang dianggap
sebagai watak kedua yang dihadapkan kepadanya konflik akibat dari apa yang
disebutkan sebagai `Formula Kajang` dan watak antigonis dari musuh yang tidak
akan melepaskan peluang bagi meruntuhkan bukan saja formula Kajang, tetapi
watak-wataknya sama sekali. Di dalam cerita turut sama watak sampingan yang
sebenarnya mengambil kesempatan bagi publisiti diri dari peluang tersaji yang
sebenarnya tidak memberi kesan ketara terhadap jalan dan peleraian cerita.
Dalam cerita akan dibungai dengan kehadiran tokoh-tokoh
turun padang -
lawatan-lawatan, perancangan dan gagasan semua pihak terhadap khalayak
mesyarakat Kajang sebagai pengundi. Di dalamnya terkandung ceramah-ceramah yang
membentangkan hujah-hujah, tawaran-tawaran, serangan-serangan, kecaman-kecaman
yang mungkin bersifat peribadi terutama antara watak utama sebagai protogonis
dan dengan watak musuh sebagai antigonis.
Klimek dari cerita `Siapa Juara Kajang ?` sebenarnya bahawa
jawapannya, tidak semestinya jika watak protoganis menang menjadi juara. Juara
mungkin dicapai oleh watak yang dihadapkan kepadanya konflik akibat dari grand
design dari `Formula Kajang`. Mungkin pula kedua-duanya tidak menjadi juara,
sebaliknya dicapai oleh pihak musuh selaku antigonis ! Jika demikian makin
terbina konflik dan cerita makin lebih menarik. Walau apa pun kita tunggu
keputusan, jalan cerita boleh disesuaikan !
Sekian.
No comments:
Post a Comment