May 3, 2021

 

ARAHAN  SELEPAS PEMBEDAHAN

(Fikrah Bangi: 897),

BBB:   21 Ramadhan 1442H. = 03 Mei 2021M. (Isnin).

Selepas pembedahan dilakukan, banyak arahan yang perlu dipatuhi agar rawatan mata selamat. Peringatan yang penting diberi, bahawa Penulis perlu hadir keesokan hari selepas pembedahan untuk rawatan susulan dan melihat perkembangan hasil pembedahan yang dilakukan. Keesokan – 20 Ogos 2020 sehari selepas pembedahan, ialah Khamis 01 Muharram 1442H. tahun baru Hijrah dan pejabat-pejabat adalah ditutup, walau bagaimana Penulis dan mereka yang lain berkenaan dikehendaki hadir bagi temu janji dan pemeriksaan mata. Selepas pembedahan mata dan pulang Penulis dalam kesyukuran dan bergembira kerana mata kiri yang sebelum itu tidak nampak, kembali berfungsi. Penglihatan amat terang. Namun mengelak dari becar, mata berkenaan sejak selepas dibedah dilindungi dengan eye shield (sebelah) berwarna meron gelap yang dilekatkan ke permukaan mata dengan pelekat micropore (micropore tape). Tujuan pemakaian tidak saja bagi melindungi dari cahaya yang kuat, tetapi juga bagi melindungi mata dari terkena sentuhan, terutama pada waktu tidur. Penulis juga gunakan cermin mata hitam bagi kedua-dua belah mata pada masa bergerak dan tidur agar mata tidak terganggu. Sebagaimana disebut ubat mata yang bersifat cecair tiga jenis dibekalkan. Juga dibekalkan alat pembersihan mata, iaitu bebola kapas, pelapik mata steril, pelekat micropore dan air steril 500ml.

Pada hari kedua selepas pembedahan Penulis dikehendaki hadir pada sebelah pagi. Oleh kerana hari tidak bekerja, tidak ramai pesakit yang hadir, melainkan mereka yang mempunyai temu janji khas sebagaimana Penulis. Pada pagi ini anakanda Muhammad Nadzmi yang sama tinggal  (di Seksyen 4 Tambahan)  di Bandar Baru Bangi datang pagi-pagi dari rumahnya ke rumah di Seksyen Satu dan bertolak ke Hospital Mata Universiti Malaya. Pada hari tutup pejabat ini tidak perlu melalui proses pendaftaran sebagaimana biasa, sebaliknya terus ke tempat pemeriksaan mata. Ahmad Zakir juga tiba hadir kemudian.

Penulis bersama Muhammad Nadzmi terus ke tempat pemeriksaan. Tempat kali ini berlainan dari tempat biasa, iaitu tingkat tujuh, Menara Timur, Hospital Mata. Tidak ramai pekerja yang bertugas. Bila tiba di atas tidak perlu menunggu giliran, bahkan terus mendapat giliran. Arahan pertama ialah ke ruang membaca huruf dari besar ke kecil. Penulis membaca huruf-huruf yang diminta baca, khususnya bagi mata sebelah kiri, juga mata sebelah kanan. Tidak semua dapat dibaca, khususnya pada peringkat kecil, lebih-lebih lagi bagi sebelah kanan. Walau bagaimana dapat disimpulkan dapat membaca secara normal.

Selepas ujian membaca, Penulis diminta ke bilik pemeriksaan mata. Dr, Mata lelaki dan dua pembantu bersama. Mata yang baru dibedah itu diperiksa dengan alat pemeriksaan yang sering dilakukan sebelum ini pada bahagian-bahagian pemeriksaan yang lain. Tujuan pemeriksaan hari ini lebih kepada mempastikan dari pembedahan tidak berlaku simpton yang serius. Misalnya mata merah pertanda berdarah atau sebarang kesakitan yang berlaku. Setelah pemeriksaan dilakukan lebih kurang suku jam, pihak Dr. Berpuashati dan sebagai memberi perakuan pembedahan adalah berjaya, tetapi perlu menjaga arahan-arahan seterusnya.

Antara arahan misalnya jangan tanggalkan eye shield, tidak boleh mengangkat barang yang berat.Jangan menggosok mata anda, jangan meneran (seperti masa membuang air besar) atau membuat kerja-kerja dan latihan berat. Jangan baring atau tidur pada sebelah mata yang telah dibedah pada minggu pertama. Hindarkan daripada memakai alat-alat solek (khususnya bagi perempuan) sekurang-kurangnya dua minggu selepas pembedahan.  Dilarang tunduk – secara khusus disebut tidak boleh sujud di dalam solat. Berpantang dari tunduk seperti sujud ini ialah selama 12 minggu.

Walau bagaimana selepas dua hari pemakaian eye shield yang ditampal dengan tape yang menghalang dari merata air pada kawasan muka daripada mengambil wudhu, Penulis telah tidak menggunakannya, sebaliknya terus menggunakan cermin mata hitam yang fungsinya sama dengan penutup mata sebelah sahaja itu. Dengan demikian tidak menghalang dari meratakan air di muka semasa mengambil wudhu``.

Walau bagaimana Penulis amat mematuhi, agar tidak menundukkan mata, khususnya sewaktu sujud. Jadi selepas pembedaha solat adalah dengan menggunakan kerusi dan waktu ruku` dan sujud dengan secara isyarat. Pantang menundukkan mata ke bawah ini dijaga oleh Penulis berterusan sehingga 12 minggu. Ini adalah bagi mengelak dari gagalnya  pembedahan.

Selain daripada itu berpantang juga dari segi makan minum agar mata tidak sakit  dan  selamat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment