May 1, 2021

 

TIBA HARI  PEMBEDAHAN MATA

(Fikrah Bangi:  895).

BBB:  19 Ramadhan 1442H. = 01 Mei 2021 (Sabtu).

 Hari pembedahan mata kiri Penulis, iaitu pada Rabu 19.8.2020 adalah hari penting bagi Penulis. Walau bagaimana tidak kurang dari debaran. Ini ialah kerana bimbang menghadapi kegagalan. Ini ialah kerana sejak ujian pertama dilakukan pada 2.7.2020, Penulis dimaklumkan bahawa katarak pada mata kiri Penulis agak tebal dan melitupi saraf-saraf di belakang hingga sukar dipastikan apakah saraf-saraf berkenaan masih hidup dan berfungsi. Penulis juga sedar sejak terakhir  mata ini agak terseorok ke dalam, kerana bila Penulis mau pastikan penglihatan dengan mata kanan, maka terpaksa dipencengkan dan mata kiri ini bergerak ke dalam. Walau bagaimana harapan tinggi dipanjatkan kepada Allah pembedahan berjaya dan mata kiri dapat diselamatkan dan dapat kembali berfungsi sebagaimana biasa. Selama ini Penulis memakai cermin mata sejak lebih kurang 10 tahun lepas.

Persediaan sebelum pembedahan dilakukan sebagaimana diarahkan oleh pihak Hospital Mata, iaitu melakukan pembersihan muka, terutama bahagian mata,syampu rambut dan tidak memakai minyak rambut dan membeli cermin mata hitam untuk dipakai selepas pembedahan (bawa dua cermin mata).

Ingatan dari pihak Hospital mata, iaitu perlu telefon ke Hospital  pada Isnin 17.8.2020 antara jam 2.00 hingga 4.00 petang membuat kepastian, tiada halangan atau tiada perubahan tarikh dan masa yang telah ditemujanji. Seawal jam 2.30 petang pihak Penulis menghubungi no. Telefon yang ditentukan dan membuat confirmation, bahawa tiada perubahan tarikh dan masa pembedahan yang ditentukan.

Pihak Hospital  Mata juga memberi arahan pada bahagian Perkhidmatan Pembedahan Jagaan Harian Jabatan  Oftalmologi, iaitu:

Sila berada di Wad Pembedahan Harian (Day Care Surgery), Tingkat Empat, Menara Timur, PPUM Jam 7.30 pagi pada hari pembedahan. (Sekiranya anda terlewat pembedahan anda akan dibatalkan).

Barang-barang yang perlu dibawa ke Hospital.

1.      Barang-barang persendirian (seperti berus gigi, sabun mandi dan sebagainya). Sebenarnya tidak bermalam. Jangan bawa barang yang tidak berkenaan.

2.     Ubat-ubatan yang diperlukan (bagi kes kencing manis & darah tinggi) dan ubat titis mata.

3.     Dokumen yang perlu dibawa:

Kad Pengenalan, surat jaminan majikan, Kad pencen, kad temujanji dan lain-lain.

Hari  Pembedahan:

1.     Sila mandi pada pagi sebelum pembedahan.

2.     Jangan pakai alat solek atau pewarna kuku.

3.     Jangan pakai sebarang barang kemas.

4.     Sila ambil sarapan pagi yang ringan.

5.     Sila bawa bersama anda semua ubat-ubatan atau ubat titis mata.

Datang bersama penghantar adalah penting, lantaran pakaian dan barang yang dibawa bersama, selain daripada dapat dimasukkan ke dalam locker yang disediakan (pakaian dan selipar), dokumen-dokumen pentang bila sudah digunakan atau tidak perlu digunakan seperti purse bagi Kad Pengenalan, jam yang dipakai dan duit dapat diserahkan kepada pengiring yang datang untuk diambil dan dijaga agar tidak kehilangan.

Pada pagi hari dijanjikan, iaitu pada pagi Rabu (Hari pembedahan Rabu setiap minggu) 19  Ogos 2020 janji telah dibuat dengan anakanda Ahmad Zakir agar datang menjemput Penulis dari Bandar Baru Bangi. Sememangnya sejak jam 7.00 pagi anakanda Ahmad Zakir telah tiba di rumah  dari rumahnya di Bukit Jelutung di Shah Alam. Penulis yang memang menunggu dengan isteri, segera bertolak dua beranak – tidak disertai isteri Ke Jabatan  Optalmologi, Hospital Mata Universiti Malaya. Anakanda Muhammad Nasim yang tinggal di Bungsar Baru, terus hadir bersama ke Universiti Malaya pada pagi itu.

Kehadiran untuk pembedahan pada pagi itu tidak perlu melalui pendaftaran biasa pada tingkat dua, Menara Selatan, sebaliknya diarah terus ke Tingkat Empat, Menara Timur. Check list dilakukan di tingkat ini bersama dengan pesakit-pesakit yang lain yang juga mau melakukan pembedahan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment