April 29, 2021

 

BERPERATURAN DAN TELITI

(Fikrah Bangi:  893),

BBB: 17 Ramadhan 1442H. = 29 April 2021M. (Khamis).

 Dapat dikatakan bahawa antara anggota atau bahagian yang paling penting pada diri manusia adalah mata, jantung dan puncaknya akal. Bayangkan kerosakan mata keseluruhannya menyebabkan diri dalam kegelapan. Hilang dari nikmat memandang, tidak dapat membaca seperti biasa dan tidak dapat memandang kejadian Tuhan, terutama yang kita kasihi. Pendek kata sebahagian dari kurniaan Tuhan ditarik kembali. Jantung pula adalah pusat dari pergerakan badan. Denyut nadi dan pernafasan adalah berfungsi dengan adanya gerakan jantung yang menggerakkan perjalanan darah dan bererti masih hidup. Bila jantung terhenti dan tidak berfungsi, bererti mati. Serangan jantung, sakit jantung dan apa yang berhubung dengan sakit jantung, dikira sebagai sakit yang mengundang maut, baik secara secara bertahap atau mengejut dan maut. Sebab itu sebarang pertanda ke arah serangan jantung seharusnya diberi perhatian dan rawatan dari peringkat awal seperti darah  tinggi, kolestrol tinggi dan sebagainya. Paling ditakuti ialah kehilangan fungsi otak yang dipohon dari Allah dijauhi seperti gila. Tapi yang lebih ditakuti di sini ialah kehilangan fungsi dan daya fikir. Sememangnya ada yang hilang daya ingatan dan terbaring dan perlu diberi perhatian berterusan. Ketuaan juga boleh mengurangkan daya berfikir dan ingatan, iaitu nyanyuk disebabkan usia yang tua.

Masalah yang dihadapi Penulis yang berhubung dengan mata adalah pertanda ke arah sakit yang serius, jika tidak bertindak merawatnya dari peringkat awal. Walaupun Penulis akui dari segi merawat mata ini ada kecuaian, biarpun diperingat kawan sejak 2013, dan pernah dalam pemergian ke Hospital UKM dan bertemu dengan Prof. Dr. Muhaya Pakar Mata di UKM pada masa itu, beliau pernah mencadangkan supaya merawat mata di HUKM, hospital bagi universiti yang Penulis berkhidmat, tapi Penulis merasakan apa yang dihadapi Penulis pada masa itu tidaklah begitu serius.

Tindakan yang serius, sebagaimana disebutkan ialah melalui usaha anak Penulis – Ahmad Zakir yang telah membuat temu janji dari Profesor Dr. Norlina Pakar Mata di Universiti Malaya yang dikenalinya. Pemergian ke Bahagian Mata di Universiti Malaya pada 2.7.2020 membawa kepada temujanji seterusnya.

Pemeriksaan bagi merawat mata, Penulis dapati adalah melalui procedure standard dan penuh ketelitian. Pertemuan pada 2.7.2020 sebagaimana disebutkan dilakukan lebih dari sekali dan menemui beberapa pakar mata yang mau memastikan adakah mata kiri Penulis dapat dipulihkan, kerana katarak begitu tebal melitupi urat saraf ke bahagian bawah dan sukar dikenalpasti apakah ianya masih berfungsi. Dalam pertemuan dan pemeriksaan ini turut sama hadir beberapa pelajar Rawatan Mata hadir yang menjadikannya kes bagi pembelajaran. Walau bagaimana pada akhirnya dibuat keputusan kes mata Penulis diputuskan bagi temujanji seterusnya, iaitu pada Rabu 5 Ogos 2020, iaitu bagi tahap pemeriksaan kesihatan.

Persiapan perlu dibuat bagi pertemuan ketiga ini. Rawatan dan pembedahan mata di jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Oftamalogi ini memerlukan kos rawatan yang tinggi. Bagaimanapun sebagai Bekas Pekerja di UKM, maka perlu dibuktikan dengan `Kad Pesara`  yang melayakkan Penulis dikecualikan daripada bayaran. Walau bagaimana sebagai bekas pegawai di bahagian berkanun – tidak sepenuhnya diktiraf sebagai bekas pekerja kerajaan, maka Penulis diingatkan oleh pegawai di bahagian pendaftaran, perlu membayar sejumlah wang deposit dan bila selesai rawatan, maka deposit ini boleh dituntut kembali. Jadi Penulis perlu bersedia dengan sejumlah kewangan.

Sebagaimana dijanji, maka pada pagi 5.8.2020 anakanda Ahmad Zakir bertolak dari rumahnya di Bukit Jelutung di Shah Alam ke Bandar Baru Bangi dan pada jam 8.00 pagi bertolak dari Bandar Baru Bangi ke Jabatan  Oftamalogi di tingkat satu bahagian selatan bangunan. Tiba sebagaimana biasa perlu mendapat no giliran dan menunggu panggilan. Temu janji check kesihatan ini,ialah test pembacaan mata dan berbaring check badan dengan tampalan berpuluh pad pada bahagian badan terutama pada bahagian dada. Pada dasarnya tidak ada masalah yang menghalang daripada penerusan rawatan dan temujanji yang penting bagi rawatan mata kiri Penulis ditentukan, iaitu pada  Rabu 19 Ogos 2020, perlu hadir mulai jam 8.00 pagi. Sebelum pulang anakanda Ahmad Zakir pergi ke bahagian kaunter bayaran. Jumlah bayaran deposit ialah sebanyak RM1,340/=.

Sekian.

No comments:

Post a Comment