June 28, 2010

Pelancaran Hari Ilmu Di Taman Tasik, Shah Alam

Shah Alam, 13 Rajab = 26 Jun (Sabtu):


Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Negeri Selangor menggesa rakyat supaya membudayakan diri dengan membaca, berusaha mencari ilmu dan jangan bosan mengunjungi perpustakaan sebagai sumber ilmu pengetahuan. Baginda bertitah sedemikian semasa melancarkan Hari Ilmu bertempat di Taman Tasik, Shah Alam. Baginda juga menasihati rakyat, khususnya pelajar-pelajar mempelajari banyak bahasa, khususnya bahasa Inggeris, kerana ia merupakan bahasa Ilmu, tetapi tambah baginda, jangan mengabaikan bahasa Malaysia.


Taman Tasik sejak pagi-pagi lagi dikunjungi peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam upacara pelancaran Hari Ilmu. Mereka datang dari 9 daerah dan 22 PBT, Mereka terdiri dari pegawai-pegawai, jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, pelajar-pelajar dan orang ramai. Baginda hadir ke petasmian Hari Ilmu melalui boat merentasi tasik ke upacara perasmian yang berwarna warni dan gilang gemilang.


Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim yang mengiringi Baginda berucap sebelum baginda, merujuk kepada Firman Allah Ta`ala di dalam Surah Al-'Alaq yang menggesa kita membaca. Dengan membaca menurutnya menambahkan ilmu dan meningkatkan kualiti hidup. Disamping pelancaran Hari Ilmu, pada hari ini juga diadakan pesta buku di PKNS yang menggalakkan membaca dan juga ada pameran-pameran di PKNS yang merangsang pengunjung kepada membaca dan mencintai ilmu.


Dr. Halimah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang juga selaku Pengerusi sambutan menekankan bahawa Selangor adalah Hub-Ilmu dan berusaha menegakkan negeri ini sebagai Negeri yang baik yang mendapat keampunan dari Allah. Pada hari ini menurutnya akan dilancarkan juga Buku Berantai dalam mana rakyat dari setinggi-tinggi dan rakyat biasa boleh melahirkan pendapat mengenai Hari Ilmu melalui buku ini. Semua pendapat akan disusun dan diterbitkan.


Menurut Dr. Halimah, sasaran kehadiran pada hari ini lebih kurang 5,000, tetapi oleh sambutan yang menggalakkan kehadiran adalah berjumlah 15,000 orang . Satu kejayaan yang diluar dugaan. Sebelum dari upacara perasmian oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, para hadirin diminta membaca buku dan bahan bacaan yang diminta di bawa sebelum ini. Mereka diminta membaca satu jam tanpa henti-henti sebagai gimik Hari Ilmu. Ini dimasukkan ke dalam Guinnes Book of Record.


Sambutan hari ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran 58 syarikat menyertai sambutan pamiran dan 115 buah gerai perniagaan. Pameran berlangsung higga 5 Julai 2010.

Pada akhir sambutan diadakan penyampaian hadiah kepada jabatan, agensi dan Sekolah yang teramai menghantar peserta antaranya ialah Perbadanan Negeri Selangor bagi kategori jabatan, Sekolah Agama Perempuan Jamaah Shah Alam bagi kategori Sekolah, Unisal bagi kategori Pengajian Tinggi dan beberapa kategori yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment