April 30, 2008
POLITIK KAMPUNGAN
Pendahuluan
Akibat politik kampungan dan ketinggalan zaman, Umno-BN kecundang di dalam pilihanraya ke 12, pada 8 Mac 2008. BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang lima buah negeri yang penting. Contoh antaranya Selangor yang merupakan pusat pentadbiran yang penting bagi kerajaan Persekutuan dan sumber ekonomi yang lumayan bagi pentadbiran Negara.
BN dapat mengekalkan negeri-negeri yang disekat dan kurang terdedah kepada maklumat dan perkembangan semasa. Sebagai contoh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak. Selepas kalah teruk dan membuat post mortom mereka masih tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman. Mereka salah menyalahkan antara sama sendiri bahkan menuduh ada pembelotan dalaman yang diibaratkan gunting dalam lipatan.
Lebih dari itu ada kalangan ahli tertinggi parti (Umno) terang-terang menyalahkan kelemahan Abdullah hingga antara mereka ada yang menuntut Abdullah meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada bakal penggantinya Najib dan tak kurang pula yang mempertahankan Abdullah.
Sebaliknya Abdullah dilihat terperangkap di dalam manipulasi media yang di belakangnya perancang-perancang politik dari kalangan Umno sendiri yang mau beliau meletakkan jawatan sebagai satu pihak dan yang mempertahankannya dari satu pihak yang lain.
Kejayaan dilihat terutama bagi yang menuntut beliau meletakkan jawatan, apabila Abdullah menerima untuk menyusun pelan penyerahan kuasa, walaupun Abdullah menegaskan pelan perpindahan hanya akan dilakukan selepas pemilihan di dalam mesyuarat agung. Kini dilihat Abdullah sedang bertungkus lumus memulihkan imejnya dengan mengurangkan suara-suara yang membantahnya agar dapat kembali mengukuhkan cengkamannya di dalam politik dan pemerintahan.
Cara Lama Mengembalikan Kuasa?
Memang lumrah bagi yang hampir kalah dan yang kalah kembali bermuhasabah dan menilai diri dan berusaha memperkasakan diri kembali dan melemahkan musuh politik. Bagi tujuan ini BN, khususnya Umno nampaknya tidak mampu melepaskan diri dari menggunakan mekanisme lama, iaitu menahan dan menyekat musuh, tanpa memikirkan kesan sebaliknya dalam mana akibat darinya rakyat yang lebih celik politik marah dan membenci Umno dan BN.
Taktik menahan dan menyekat, bukannya menawan dan memikat memang lumrah dilakukan dan inilah yang kita kenali sebagai politik kampungan. Banyak contoh yang boleh dibawa dari sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya. Contoh besar apabila sesebuah negeri kalah di tangan BN yang menguasai pusat, maka sekatan-sekatan dilakukan terhadap negeri tersebut.
Misalnya apabila Terangganu jatuh kepada Pas pada tahun 1999, maka royalty minyak bagi negeri tersebut disekat. Kini Terengganu yang di bawah BN sedang mendesak kerajaan Persekutuan mengembalikan royalty minyak yang disekat sejak Kerajaan PAS memerintah Terengganu (1999-2004). Jawapan dari Perdana Menteri kepada Terengganu amat tidak meyakinkan. Lima negeri yang BN kalah mendepani sekatan-sekatan dari kerajaan Persekutuan. Contoh kecil dari segi menahan dan menyekat ialah jika seseorang pegawai yang didapati menyokong parti pembangkang, maka dikenakan berbagai-bagai tekanan, termasuk ditukar ke kawasan yang menyusahkan,
Tidak Menerima Kekalahan
Politik kampungan ini dapat dicontohi dari apa yang berlaku di negeri Selangor. BN seolah-olah tidak dapat menerima kekalahannya di Selangor secara mengejut dan hilang punca bagi menghadapinya. Khir Toyo Bekas Menteri Besar Selangor mampu mentadbir ketika negeri di dalam keadaan selesa dan tidak mampu menangani masalah apabila negeri dalam keadaan krisis. Bahkan hilang keyakinan diri hingga mengambil tindakan meletakkan jawatan dari Ketua Perhubungan Umno Negeri Selangor dan menyerahkan jawatan tersebut kepada Tan Sri Muhammad Muhd Taib veteran Umno dan Bekas Menteri Besar Selangor.
Sebagai orang lama, maka mekanisme lama terus juga digunakan oleh Muhammad di negeri Selangor. Iaitu menahan dan menyekat. Sebagai contoh sesudah penulis memenangi DUN Bangi, antaranya atas sokongan kuat dari pengundi India, disamping undi Melayu dan Cina, sebagai penghormatan kepada penulis sebagai ADUN mereka sebuah sekolah Tamil di Bangi (Lama) telah menjemput penulis merasmikan satu mesyuarat yang akan diadakan di sekolah tersebut.
Pada peringkat awal kemenangan belum ada sebarang larangan dan memikirkan sekolah berkenaan di dalam kawasan DUN Bangi, maka penulis bersetuju untuk menghadirinya. Tetapi sebelum tiba tarikh jemputan penulis menerima maklumat, bahawa sekolah berkenaan baru menerima surat pekeliling dari arahan Umno-Bn, bahawa didalam konteks negeri Selangor yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, maka ADUN-ADUN tidak dibenarkan dijemput dan merasmikan sebarang apa-apa aktiviti persekolahan. Kebenaran hanya diberi kepada ahli parlimen BN. Jelas ianya bertujuan untuk menyekat ADUN-ADUN Pakatan Rakyat di Selangor dari peluang berinteraksi dengan ibu-bapa anak-anak di kawasan mereka, walaupun Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor.
Namun peraturan yang dibuat yang bersifat kampungan ini dilanggar atas dasar kepentingan politik sempit. Misalnya sebuah sekolah rendah di Seksyen tujuh di tempat ADUN yang bias kepada Umno, menjemput ADUN di luar dari kawasan, iaitu dari Semenyih datang merasmikan Hari Sukan di sekolah tersebut. Perbuatan guru besar tersebut bukan saja bercanggah dengan peraturan yang dibuat, tetapi melukai hati ibubapa yang sebahagian besar daripada mereka adalah penyokong-penyokong Pas. Tujuan jemputan yang dibuat terhadap ADUN BN dari Semenyih itu, tentulah untuk mempromosi Umno-BN menaikkan imej ADUN berkenaan di mata rakyat, tetapi kita percaya cara kampungan yang dibuat di tengah masyarakat intelektual di Bandar Baru Bangi, tidak membantu menaikkan imej ADUN tersebut, tetapi membawa implikasi terbalik, kerana sikap bias guru besar yang menjemput orang luar dari kawasan DUN Bangi.
Cara kampungan juga dilakukan oleh Muhammad Muhd Taib terhadap jawatan-jawatan ketua kampong di Selangor yang dilantik secara politik, bahawa dengan kekalahan BN di Selangor, maka secara otomatik, jawatan-jawatan lantikan politik ini adalah gugur, tetapi UMNO tidak mau menerima realiti kekalahan mereka, walaupun jawatan ketua kampong ini tamat, tetapi mereka dilantik di bawah skim pembangunan luar Bandar – Kementerian di bawah Muhammad yang membuka ruang bagi mereka meneruskan peranan mereka dahulu.
Cara mereka bertindak seolah-olah memperbodohkan masyarakat dan menafikan hak dan pemilihan rakyat, Kita berkeyakinan rakyat tidak sebodoh yang mereka jangkakan, tanpa membaca dan menilai apa-apa tindakan mereka. Sesungguhnya tindakan menahan dan menyekat banyak dilakukan. Misalnya semasa BN memerintah di Selangor tempat-tempat kemudahan rakyat seperti penggunaan balai raya, pusat komuniti, padang awam adalah dikawal BN dan mereka yang dari parti-parti pembangkang tidak mendapat kelulusan dan dilarang sama sekali menggunakannya, walaupun secara bayaran.
Pernah sebelum Pakatan Rakyat memerintah, kita membuat permohonan menggunakan Dewan Mesyuarat di PKNS untuk bermesyuarat agung , tetapi setelah deposit dibayar sehari dari masa berlangsung sidang, permohonan ditolak menyebabkan kita terpaksa menyediakan tempat baru secara tergesa-gesa dan serba kekurangan.
Kita juga pernah memohon penggunaan padang awam di Kompleks Sukan MPKj, Seksyen 15 bagi tujuan mengadakan hari sukan, tetapi permohonan ditolak. Larangan dan sekatan juga berlaku di masjid dan surau. Mereka menguasainya dari segi pentadbiran melalui arahan, bukan melalui pemilihan. Mereka yang berkelayakan mengajar dan menjadi imam dari ahli kariah, tetapi dianggap penyokong pembangkang pada masa itu dilarang dari mendapat ruang di surau. Mereka lebih senang masjid dan surau tidak makmur dan tiada pengajaran daripada ianya disemarakkan dengan pengajaran dan didikan keislaman.
Larangan yang bersifat double standard berlaku di universiti. Bangi adalah berada di dalam kawasan yang dikelilingi banyak unversiti. Pada dasarnya parti-parti politik dilarang memasuki dan menggunakan kemudahan-kemudahan universiti, tetapi apa yang berlaku, sedang parti-parti politik bukan dari kerajaan memerintah tidak dibenarkan masuk ke universiti, tetapi parti Umno dan BN bebas keluar masuk universiti. Mereka menggunakan kampus untuk bermesyuarat baik oleh pemuda dan puteri, pada peringkat kawasan dan negeri. Dalam musim pilihanraya kampus, mereka bebas berkempen dan memberi sokongan dan peruntukan bagi parti atau pihak yang menyokong pemerintah
Tindakan balas?
Sebenarnya pada masa kerajaan Pakatan Rakyat memerintah sekarang, sekiranya mau diambil tindakan balas terhadap tindakan menyekat dan menahan yang menjadi polisi BN, khusnya di Selangor dari yang sebesar-besarnya membawa kepada yang sekecil-kecilnya adalah banyak. Sebagai contoh apa yang berlaku pada FM Selangor. Stesyen penyiaran ini adalah terletak di bangunan Sekretariat kerajaan negeri di Shah Alam. Stesyen yang dikuasai BN ini amat wajar member i sedikit ruang bagi kerajaan negeri menyebarkan maklumat dari kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi permintaan negeri adalah ditolak. Sesungguhnya bagaimana boleh dibiarkan sebuah penyiaran beroperasi di bangunan kerajaan negeri Selangor tidak mesra pemilik, bahkan menyerang pemilik. Tindakan Kerajaan Selangor meminta FM Selangor keluar dari bangunan sekretariat adalah amat wajar dan berpatutan.
Komen Menteri Penerangan yang baru – Sabri Chik, bahawa kerajaan di bawah Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai tamakkan kuasa adalah tidak releven, bahkan melucukan. Lebih dari itu Kerajaan Pakatan Rakyat boleh mempersoalkan banyak perkara dalam mana semasa BN memerintah pada peringkat kekuasaan pusat dan turut berkuasa di negeri Selangor selama lebihkurang setengah abad banyak perkara diambil mudah, kerana menguasai pada peringkat Federal dan negeri banyak perkara yang berhubung dengan Selangor merugikan Selangor’.
Perkara-perkara yang boleh dibangkitkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengenai pampas an penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan, apakah pampas an telah dibayar menurut perjanjian dan jadual yang disyaratkan. Apakah kerajaan negeri masih berhak mempersoalkan jumlah bayaran oleh Kerajaan Persekutuan di bawah kekuasaan BN wajar atau tidak wajarkah pampas an lanjutan dan kerugian cukai kerajaan negeri perlu dipertimbangkan kembali. Kerajaan Pakatan Rakyat juga boleh membangkitkan kembali cara penyerahan Putrajaya yang berlaku pada masa permulaan Khir Toyo menjadi Menteri Besar Selangor (2001).
Pada masa itu penulis sebagai ADUN Kajang telah mmempersoalkan bagaimana penyerahan Putrajaya dibuat tanpa dibawa kepada persidangan Dewan Undangan negeri. Menyedari kesilapan soal penyerahan Putrajaya telah dibawa ke persidangan DUN Selangor. Tapi kini boleh dibangkitkan kembali soal pampasan yang tidak setimpal kepada kerajaan negeri. Apakah pembayaran telah dilakukan sepenuhnya atau apakah masih ada lagi yang tertonggak. Pada masa itu ADUN Kajang telah menentang penyerahan secara mutlak kepada Kerajaan Pusat, sebaliknya mencadangkan agar dipajak sahaja. Dengan itu kerajaan negeri Selangor mendapat bayaran tahunan pajakan dengan jumlah disetujui dan dengan itu juga kerajaan boleh meningkatkan jumlah bayaran pajakan jika difikirkan perlu dan mengambil balik apabila tempoh pajakan berakhir.
Kita juga bertanya, negeri Selangor yang mempunyai jumlah tol yang paling banyak dan syarikat-syarikat tol ini pada setiap tahun mengaut keuntungan dari pengguna jalanraya, apakah negeri Selangor yang menyediakan tanah yang begitu luas terhadap syarikat-syarikat itu, apakah Kerajaan Negeri Selangor mendapat hasil dari kutipan-kutipan berkenaan. Sewajarnya syarikat yang mengendalikan lebuhraya-lebuhraya juga sepatutnya memberii sebahagian dari keuntungan dan kenaikan tol kepada Kerajaan Negeri Selangor. Seterusnya banyak dari bangunan-bangunan federal berada di atas tanah-tanah negeri, maka jika kerajaan federal mau terus mengamalkan budaya menahan dan menyekat, maka Kerajaan negeri boleh meningkatkan cukai ke atas tanah yang digunakan oleh kerajaan federal. Contoh kecil pula kerajaan negeri yang memberi kekecualian kepada rakyat dari membayar bil air bagi 20 cubic meter pertama air dengan tidak memberi kekecualian kepada kegunaan oleh mana-mana penggunaan oleh kerajaan federal.
Sebenarnya tindakan menghalang dan menyekat tidak hanya berlaku pada peringkat negeri, khususnya di negeri Selangor, tetapi lebih berlaku pada peringkat federal. Sesungguhnya masih segar di dalam ingatan bantahan rakyat dan berlakunya demonstrasi, maukan pilihanraya tidak disekat dari ketelusan dan mau dijalankan secara bersih, bantahan juga dilakukan terutama oleh parti-parti politik terhadap kerajaan Federal yang bersikap monopoli terhadap media – cetak dan letronik, rakyat juga tidak senang dan membantah terhadap kekecohan dan penyelewengan di dalam bidang perundangan yang melibatkan kalangan tertinggi di dalam perundangan Negara.
Lebih dari itu rakyat menuntut hak mereka dari segi demokrasi dikembalikan. Hak mereka dari segi kebebasan mengeluarkan pendapat dan hak mereka berhimpun secara aman dan meminta ditarik ugutan-ugutan terhadap rakyat dari segi ISA, OSA, AUKU dan sebagainya. Oleh kerana desakan dan bantahan rakyat tidak dipeduli, maka rakyat telah menterjemahkan bantahan mereka ke dalam peti undi, sebagaimana yang berlaku pada pilihanraya kedua belas pada Mac yang lepas yang kerajaan Fedeiral kehilangan dua pertiga majority dan kehilangan lima buah negeri, termasuklah negeri Selangor. Barangkali semua ini cukup menjadi pengajaran kepada Kerajaan Federal dan lebih-lebih lagi di Negeri Selangor.
Kesimpulan
Kita berpendapat dan sepatutnya sesudah berkonfrontasi secara politik di dalam pilihanraya kali ke 12 yang lepas dan selepas selesai pilihanraya berkenaan dan yang menang memerintah dan yang kalah mengundur diri dan menjadi pembangkang, adalah diharapkan masing-masing memain dan menjalankan peranan masing-masing sebaik mungkin.
Kita berpendapat kerajaan Pakatan Rakyat, tidak berhasrat untuk berkonfrantasi dengan mana-mana pihak, bahkan bertujuan berbaik-baik antara komponan dan lawan, maka sewajarnya tiada sekatan dan konfrontasi. Namun andainya politik kampungan menahan dan menyekat berterusan, maka Kerajaan Pakatan mempunyai banyak option dan pilihan untuk mengambil tindakan balas terhadap Umno-BN yang masih mau menggunakan kaedah menahan dan menyekat terhadap Kerajaan Pakatan.
Sekian. Terima kasih.
Bangi,
17 Rabiul Akhir 1429
24 April 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
YB, adakah semua perkara ini diketahui oleh rakyat Selangor keseluruhannya? Kalau yang celik internet tentu mereka akan pergi layari pelbagai blok-blok tetapi macam mana dengan penduduk dikampung2 yang sukar untuk melayari internet. Macam mana pula dengan rakyat yang otai2 di kampung2, mereka bukan mudah untuk mengerti perkara2 begini, tatapan mereka cuma media arus perdana saje...bukan begitu???
ReplyDeleteBetul apa yang dicakapkan oleh sdr dmz, jadi langkah seterusnya ialah meneruskan ceramah, menyiarkan maklumat dalam media perdana, menggalakan rakyat celik internet, menggesa kerajaan pusat memberi penekanan kepada memperluaskan coverage telekomunikasi juga menurunkan kadar caj internet
ReplyDeleteSekarang ni dah kedengaran suara sumbang yang berkata "walaupun Pakatan Rakyat menang harga barang tetap naik..."
ReplyDeleteSuara sumbang golongan otai inilah yang perlu diberi kefahaman. Mereka tak mengerti kuasa Kerajaan Pusat dan kuasa Kerajaan Negeri atau mungkin sengaja tidak mengerti kerana kerana "KERIS DAH BERKARAT" dalam tubuh mereka...
Pengetahuan golongan otai ini amat cetek berkaitan politik, cuma tahu pangkah...pangkah...pangkah... tak mengeti apa yang dipangkah...
TERIMA KASIH atas usaha berterusan YB dan AJK meneruskan kerja dan mengemaskini blog ini.
ReplyDeleteDIHARAPKAN publisiti diteruskan hingga ke setiap lorong dan ceruk, sekurang-kurangnya di seluruh DUN Bangi ini.
DAN tidak ketinggalan juga perlulah dinaikkan poster atau iklan mengenai ahli-ahli '21' yang telah dilantik supaya mudah orang ramai hubungi.
SEMOGA usaha bersungguh-sungguh semua pihak akan mendapat berkat dan ramah dari ALLAH SWT.. amiin.
TAHNIAH Dr. atas inisiatif menyediakan blog.
ReplyDeleteSatu contoh yg baik dimulakan oleh pimpinan untuk tunjuk bukti berkhidmat untuk masyarakat.
Saya doakan Dr. terus istiqamah dalam perjuangan dan dipelihara daripada sifat-sifat mazmumah sepanjang menjawat jawatan rasmi kerajaan.
Semoga pemimpin2 seumpama Dr. mampu menjaga amanah mentadbir negara dengan baik.Amin.