February 13, 2011

UNISEL Tidak Perlu Kepada Penukaran Nama

BBB, 12 Februari = 9 Rabiul Awwal (Sabtu):

Sebelum ini penulis tidak begitu jelas berhubung dengan hebahan melalui media cadangan UNISEL menjenamakan semula UNISEL. Terima kasih kepada wartawan Sinar Harian Noor Ainulyakin Mohamad Ishak dan Syahidatul Akmal Dunya yang mewawancara Presiden dan Naib Canselor UNISEL Datuk Dr Rosti Saruwono berhubung dengan konsep penjenamaan semula UNISEL.

Sebelum berbicara lebih lanjut, diperingatkan tulisan ini bersifat ilmu, kalau ada pendapat berbetulan dengan pihak lain atau seperti mempertahankan pihak dahulu, bukan atas dasar politik, tetapi kerana pertimbangan ilmu semata-mata. Berdasarkan keterangan yang diberi oleh Presiden yang juga Naib Canselor UNISEL, nampaknya tidak ada fakta dan hujah yang kukuh yang mewajarkan nama UNISEL diubah dari Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor. Perlunya perubahan jenama, kerana mahu perluaskan kursus di UNISEL kepada bidang yang dianggap luar dari industri seperti komunikasi media dan kewartawanan, bahkan pendidikan Islam atau apa jua nama kursus bagi memperkukuhkan modal insan bukan hujah kukuh hingga perlunya kepada perubahan nama UNISEL. Kemasukan kursus-kursus baru atas nama lama – Universiti Industri Selangor tidak sedikit menghalang dari kemasukan kursus-kursus baru. Kita tidak bergembira, bahkan bimbang, jika didasarkan perubahan bersifat politik, kerana nama lama diwujudkan pada zaman kerajaan sebelum Pakatan Rakyat, maka dengan kerajaan baru nama UNISEL perlu diubah. Jika demikian amat keanak-anakan tindakan yang mahu diambil. Lebih bercelaru dan memalukan takdir berlaku pertukaran kerajaan, maka nama UNISEL akan dikembalikan kepada yang asal.

Penulis menulis sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman penulis sebagai pensyarah di universiti selama 25 tahun dan berkecimpung di dalam merangka kursus dan pernah menjadi ahli jawatankuasa kurikulum bagi pengajian ijazah lanjutan fakulti, bahawa pengubahan, penambahan, pembaharuan, bahkan pengurangan bagi kursus-kursus yang ditawarkan adalah perkara biasa. Bahkan menjadi kewajipan bagi penyampai kursus, jabatan dan fakulti meneliti, mengkaji, mengubah dan meningkatkan kursus-kursus yang ditawarkan. Bahkan bagi universiti, fakulti dan jabatan menjadi kebiasaan bagi setiap lima tahun sekali menjemput penilai luar membuat penilaian terhadap unversiti, fakulti dan kursus-kursus yang ditawar dan dijalankan dan membuat cadangan dan perubahan yang sesuai bagi meningkatkan mutu keilmuan yang disampaikan. Ianya merupakan kaedah biasa bagi mempertingkatkan universiti. Kita ingin bertanya dengan usia UNISEL sudah melebihi 10 tahun, sewajarnya sudah dua kali UNISEL menjemput penilai-penilai luar, termasuk luar Negara menilaikan UNISEL, fakulti dan kursus-kursus yang dijalankan. Apakah penilaian-penilaian ini dijalankan? Apakah laporan yang dikeluarkan? Adakah antara cadangan agar diubahkan nama UNISEL?

Sekali lagi ditekankan dengan cadangan pengluasan kursus yang disebut Presiden dan Naib Canselor UNISEL tidak sedikit mencacatkan nama UNISEL yang asal, bahkan itulah unjuran yang biasa berlaku di dalam perkembangan kurikulum dan kursus-kursus bagi sesebuah universiti. Dengan pengekalan nama Universiti Industri Selangor tidak menghalang Universiti Industri Selangor mengekalkan kursus Teras Universiti Industri Selangor berindukkan Industri atau sebagai Major dan dikembangkangkan kursus yang lain yang kurang dari sifat industri sebagai minor atau cabang, dahan dan ranting. Dalam kata yang lain dengan pengekalan nama Universiti Industri Selangor tidak menghalang Universiti Industri Selangor merangka kursus pendidikan Islam, psikologi, sukan bahkan perubatan. Semua kursus ini releven bagi Universiti Industri Selangor dan kehidupan masyarakata industri, urban dan moden.

Penulis melihat dengan penjenamaan semula UNISEL kepada Universiti Selangor sebagai mundur kebelakang. Dengan demikian pihak yang mencadangkan perubahan dan penjenamaan berkenaan berfikir secara umum dan biasa dan meletakkan diri pada tahap biasa, menginginkan konon `kebaikan` pada orang lain dan tidak menyedari kebaikan dan keistimewaan yang sudah ada pada diri. Dalam kata lain penjenamaan semula UNISEL meletakkan UNISEL yang dijenama baru sama dengan universiti-universiti negeri yang ada kini seperti Universiti Pahang, Universiti Perlis, Universiti Terengganu dan sebagainya. Universiti berkenaan lebih bersifat negeri yang tidak menciri dan mengidentitikan diri kepada bidang keilmuan yang lebih khusus. Tidak ada salah dan rendah dengan nama Universiti Industri Selangor, bahkan imejnya lebih unggul kerana menisbahkan diri dengan bidang dan keilmuan khusus sebagai bidang major dan tidak menghalang dari diperkembangkan kepada bidang minor - cabang dan ranting. Dengan nama Universiti Industri sebenarnya UNISEL berada sebaris dengan universiti-universit elit di Malaysia yang menjenamakan universiti dengan ilmu seperti Universiti Teknologi, Universiti Teknikal dan sebagainya. UNISEL dengan nama asal tidak bersifat duplikasi dengan nama universiti-universiti negeri yang lain. Kita berpendapat dengan usia Universiti Industri Selangor baru sedekad dan relatifnya muda, banyak ruang yang belum diterokai dan menuntut keupayaan intelektual memperkembang kursus-kursus secara berkualiti. Janganlah dipersalahkan kepada nama, tetapi persoalkan pada pimpinan universiti mengapa hingga kini imej UNISEL universiti belum terserlah dan pelajar dikatakan makin berkurang, mengapa sumbangan nyata kepada bidang industri dan negeri belum menonjol dan akhir sekali kita ingin bertanya, persoalan dan isu sebegini penting tidak layakkah dibawa berbincang ke peringkat Dewan Negeri Selangor. Apakah ahli-ahli Dewan Negeri Selangor tidak berkelayakan membincang soal-soal ilmiah ?

Mereka layak dan berhak!

Sekian.

February 12, 2011

Melawat Industri Sate Haji Samuri Di Bangi

BBB, 07 Rabiul Awwal = 10 Februari (Khamis):


Lawatan ke Industri Sate Dato` Haji Samuri bin Haji Juraimi adalah merupakan puncak dari lawatan 5 hari berturut-turut ADUN Bangi ke Sungai Ramal Dalam. Dalam lawatan itu sejumlah lebihkurang 80 orang yang terdiri dari pemimpin-pemimpin tempatan, warga mas, orang sakit, ibu tunggal dan anak-anak yatim berjaya ditemui. Jam 12.30 tengahari rombongan lawatan dan penculaan yang melebihi 30 orang itu berhimpun di Dataran al-Falah dan berkonvoi bergerak ke Bangunan Industri Sate Dato` Haji Samuri berdekatan dengan Bangunan Petronas, Jalan Bangi ke Tol Kajang.


Masuk ke kawasan Bangunan, kami disambut oleh Dato` Haji Samuri sendiri dan pegawai-pegawainya. Selepas sesi pengenalan ADUN dan yang datang bergerak ke atas di tingkat satu bagi menyaksikan melalui dinding kaca pekerja-pekerja sedang menyocok sate. Kemudian kami dibawa ke bilik taklimat. Sepanjang bergerak kami bercakap dan dimaklumi tentang latar perusahaan Sate Samuri yang merupakan lanjutan dari generasi pengusaha-pengusaha sebelumnya.


Menurut Dato` Haji Samuri perusahaan satenya bermula sejak 1990 di warung Round About Kajang yang diusahakan bersama isterinya. Perusahaan satenya berkembang, kini dia mempunyai 20 outlet dengan seramai 600 pekerja. Setiap hari sebanyak 150,000 cucuk sate disediakan yang melibatkan penggunaan 3 ton daging ayam dan satu tan daging sehari yang dibekalkan kepada 20 cawangan, hotel, restoran, jabatan. Jenis-jenis sate yang disediakan selain dari ayam dan daging, ialah sate hati, perut, kambing, rusa, arnab dan sate ikan. Permintaan meningkat pada musim-musim perayaan.


Ayam dibekalkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan secara tetap, manakala daging dari India. Beliau tidak mendapat bekalan ikan secara tetap, sebab itu sate ikan kadang-kadang ada bila ada supply, kadang-kadang tiada bila tidak ada supply atau ikan terlampau mahal. Menurut Dato` Haji Samuri perusahaannya memerlukan bekalan tetap seperti penyocuk buluh yang dulu pernah dibekal dari Terengganu, tetapi tidak mampu dibekalkan secara berterusan dan terpaksa dibekal dari Indonesia. Bekalan berterusan juga diperlukan ialah timun, serai, kacang tanah, kelapa, lada, bawang dan arang bakar. Setiap hari sebanyak antara 20 hingga 30 periuk besar kuah sate disediakan. Nasi impit juga disediakan menurut keperluan.

Oleh kerana perusahaan sate bertambah luas dan tidak terhad kepada lembah Kelang sahaja, tetapi di stesyen Rehat dan Rawat sepanjang lebuh raya, maka perjalanan pentabdiran yang lebih bersifat keluarga disusun. Pentadbiran digerak di bawah Ahli Lembaga Keluarga. Mereka ialah:

  1. Pengarah Urusan Dato` Haji Samuri bin Juraimi
  2. Pengarah Executive Puan Norsham binti Dato` Samuri
  3. Pengarah Marketing Encik Supian bin Dato` Samuri
  4. Pengarah Trading Puan Noraini binti Dato Samuri
  5. Pengarah Processing En. Shafiq bin Dato` Haji Samuri


Ditanya tentang perkembangan masa depan. Dato` Haji Samuri berkata, ``Kita bercadang mendapatkan piawayan GMP (Good Manufacturing Product) dari Kementerian Kesihatan dan juga Pensijilan Halal dari Jakim dan Proses penilaian sedang berjalan.


Ditanya adakah hasrat syarikat untuk memperkembangkan pengeluaran ?

`Memang ada, misalnya dari Indonesia. Walaupun sejarah sate berasal dari Indonesia, tetapi tidak ada perusahaan seperti yang kita lakukan di Indonesia. Ada syarikat di sana maukan kita membuka cawangan di sana,` Katanya. Beliau menambah,

`Kami juga berhasrat untuk mengexport keluaran sate secara beku ke Negara-negara Timur Tengah dan ke pasaran di Barat, tetapi kemampuan tenaga dan pengeluaran adalah terhad.` Dato` Haji Samuri juga b,erkata,

`Kami juga berhasrat membuka cawangan secara franchise`

Apabila ditanya tentang pekerja-pekerja yang sejumlah 600 orang itu, katanya,

`Kita memang mau menggalakkan pekerja tempatan, tetapi kebanyakan mereka itu bekerja sekejap dan berhenti, sebab itu 80% daripada pekerja-pekerja yang ada sekarang adalah Indonesia. Sebahagian mereka adalah wanita.`

Ditanya, ``Adakah syarikat mempunyai ladang ternakan ayam, lembu, kambing, ladang timun dan kacang sendiri ?

Menurutnya, `Semuanya dari bekalan tetap dari berbagai tempat. Kami masih tidak mampu mengusahakan semua.`

Menurutnya, `Siapa yang mau mencebur diri untuk menjadi suppliers bagi barang-barang berkenaan peluang adalah terbuka dan boleh dirundingkan.`

Ditanya mengenai galakan dari pihak pemerintah, menurutnya, `Kita adalah lebih berdikari.` Beliau melahirkan kekeciwaan, ``Hasrat mau mendapat kedai-kedai jualan seperti di Bandar Baru Bangi, sukar. Kedai-kedai yang mau dibeli selalu habis dijual dan tidak berpeluang untuk mendapat tempat untuk dibeli.``


Kita berharap, kerana sate mempromosi Kajang dan Selangor, sewajarnya kemudahan diberi kepada syarikat seperti ini untuk terus berkembang.

Ditanya mengenai publisiti, menurutnya memang ada iklan dibuat, tapi ia lebih bergantung kepada penyebaran dari mereka yang datang menikmati sate, terutama di Bangunan Dato` Nazir di Kajang yang merupakan tempat utama, jualan Sate Samuri.


Ditanya mengenai Muzium Sate di Kajang, menurutnya, beliau tidak begitu tahu, katanya, `Muzium Sate itu telah ditukar kepada Geleri Sate. Sejauh mana fungsi dan perkembangannya saya tidak begitu tahu.`

Ketika bercakap, ADUN menyebut, untuk mempromosikan sate Kajang, ADUN pernah mencadangkan dalam Dewan Negeri Selangor supaya disediakan tapak Pekan Sate di tepi lebuh raya antara Bangi dan Kajang bagi memudahkan penggemar sate singgah menikmati sate. Menurutnya, cadangan yang baik. Ia diharap dapat dilaksanakan.


Dalam percakapan selanjutnya ADUN mencadangkan agar Sate Samuri di patternkan bagi menjamin hak milik dan keaslian, diwujudkan bahagian research agar peningkatan mutu dan perkembangan dan kemajuan terus berlaku dan logo dan publisiti melalui media perlu dipromosi dan dipertingkatkan.


Pada akhir pertemuan rombongan kami lebih 30 orang dijamu dengan sate. Bukan setakat itu, Jamuan Rakyat yang diadakan di Masjid Sungai Ramal Dalam pada malamnya juga dibekalkan sate oleh Syarikat Sate Samuri.


Kita mendoakan agar perusahaan Sate Samuri terus berkembang maju. Insya Allah.


Sekian.

February 11, 2011

UNISEL Jangan Sekadar `Universiti-Universitian`

BBB, 07 Rabiul Awwal = 10 Februari (Khamis):


Sebagaimana dimaklumkan melalui media, bahawa UNISEL akan menjenamakan dirinya dan sekaligus menukarkan nama universiti itu dari Universiti Industri Selangor (UNISEL) kepada Universiti Selangor (Akronimnya tetap sama UNISEL). Penjenamaan ini mengingatkan kita kepada apa yang berlaku pada masa UPM di bawah Naib Canselornya Tan Sri Profesor Jalaluddin yang mencadangkan dan mengubahkan nama Universiti Pertanian Malaysia (UPM) kepada Universiti Putera Malaysia (Akronimnya juga tetap sama UPM). Penjenamaan baru dijangka membawa misi perubahan yang lebih dinamik sesuai dengan kehadiran abad ke 21. Namun walaupun dengan nama Universiti Putera Malaysia, orang lebih membuat telahan, bahawa keinginan merubah nama universiti itu kepada Universiti Putera, sempena Putera kepimpinan Negara yang merujuk kepada Tengku Abdul Rahman, orang lebih membuat telahan, bahawa ada anggapan UPM atas nama Universiti Pertanian Malaysia ada semacam membawa imej kurang maju, keterbelakangan dan ketinggalan lantaran pertanian bersifat rural dan agrari dan tidak bersifat moden dan kontemporari. Barangkali pentadbir yang menukarkan nama universiti itu melihat universiti-universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia lebih luas cakupan dan ruang lingkup serta kepelbagaian bidang kursus dapat ditawarkan, lantas dilihat lebih terkehadapan dan dinamaik serta lebih menarik pelajar dalam dan luar Negara melamar untuk belajar, lantas bertukarlah nama Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putera yang dilihat lebih patriotik, terbuka dan dapat diperluaskan cakupannya. Namun hingga kini imej Universiti Pertanian yang terkenal sebagai salah sebuah Universiti Pertanian terbaik di dunia tetap kekal dan kita lebih selesa dan menghormatinya sebagai sebuah Universiti Pertanian Malaysia.

Sifat melihat kebaikan pada orang lain dan tidak menyedari tentang keistimewaan diri dan bersyukur, lantas bersifat mengikut dan duplikasi dengan universiti lain berlaku. Misalnya di UPM diwujudkan fakulti Sastera dengan pengajian bahasa dan sebagainya. Sedangkan kekuatan pengajian sedemikian berada di Universiti Malaya, UKM dan USM. Bagi yang mahu mengkhusus dalam bidang bahasa dan sastera tentu memilih antara tiga universiti ini. Begitulah dengan bidang-bidang yang bersifat duplikasi yang kekuatannya berada pada universiti-universiti yang lain. Seharusnya UPM memperkukuhkan kedudukannya di dalam bidang Sains Pertanian yang ruang lingkupnya begitu luas dan peranan bagi memajukan bidang berkenaan dan memajukan negera di dalam bidang pertanian amat luas.

Apakah UNISEL juga bersifat terikut-ikut dan didorong oleh motif yang sama? Tetapi pola dan imej antara UPM dengan UNISEL tidak sama. UPM sudah lama dan begitu menonjol, sedangkan UNISEL relatifnya amat baru, usianya baru 10 tahun. UNISEL belum mencipta nama. Ketokohan kepimpinan dalam bidang akademik dan kepimpinan tidak dikenali sebagai terkenalnya misalnya Profesor Ungku Aziz di Universiti Malaya dan Profesor (al-Marhum) Ahmad Ibrahim di UIAM. Nama Universiti Industri Selangor adalah identik dan sesuai dengan negeri Selangor yang maju dan terkehadapan di dalam bidang industri berbanding dengan negeri-negeri yang lain dan bidang ini amat luas untuk diteroka untuk kepentingan negeri Selangor dan juga negara Malaysia.

Lagi pula dengan memberi nama Universiti Selangor secara umum kurang wajar kerana pada masa hadapan akan lahir lagi universiti-universiti lain di Selangor yang boleh dipanggil sebagai Universiti Selangor. Lantas mengapa mahu ditukar atau dalam bahasa yang lebih ilmiah menjenamakannya semula dengan perubahan nama? Adakah kerana melihat pada nama institusi-institusi pengajian tinggi yang lain lebih baik dan luas cakupannya, lantas mahu diubah agar bidang dan cakupan serta kekuatan pada institusi yang lain mahu diikuti dan diekori? Kalau ada sifat sedemikian, misalnya melihat UITM kuat dalam bidang perundangan, maka UNISEL juga mahu buka bidang perundangan, melihat Universiti Lim Kok Weng maju dalam bidang seni, maka UNISEL mahu menawarkan bidang berkenaan, jika demikian UNISEL tak ke mana. UNISEL seharusnya membina kekuatan di dalam bidang yang bakal mengidentitikannya dengan Industri. Dalam keadaan sekarang orang lebih melihat pelarian UNISEL dari skop asal lebih kepada kelemahan UNISEL sendiri di dalam membina imejnya sebagai Universiti Industri. Banyak pendekatan yang dapat dibuat bagi pembinaan imej UNISEL sebagai Universiti Industri yang belum diteroka, menyebabkan UNISEL sebagai Universiti Industri masih belum dikenali, jauh dari terkenal sebagai Universiti Industri. UNISEL jangan bersifat ikut-ikutan dan jangan sekali-kali bersifat cacamurbi. Di dalam hal ini penulis masih teringat pada kata-kata Profesor Sutan Takdir Ali Shahbana seorang ahli filosof dan akademik yang mengkagumi barat – terutama German sehingga beliau pun berkahwin dengan wanita German. Beliau dijemput ke UKM sekitar 1980an sebagai Profesor Pelawat Istimewa UKM. Dalam satu seminar yang disampaikan beliau di UKM beliau menyebut:

``Janganlah mengikut orang bina universiti, kita pun turut mahu bina universiti. Sedangkan kekuatan universiti dan dihormati adalah dengan kekuatan dan mutu ilmiah, sedangkan kita sekadar universiti-universitian. Pelajar sebuah universiti tekun di dalam pengajian sedangkan pelajar bersifat universiti-universitian lebih berkogeran dari pengajian.``

Sekian.

February 10, 2011

Penawaran Tanah Di DUN Bangi: Contoh Negeri Selangor Mempercepatkan Permohonan Tanah Secara Berkelompok

BBB, 06 Rabiul Awwal = 09 Februari (Rabu):


Kerajaan Negeri Selangor berusaha mempercepat bagi meluluskan permohonan-permohonan tanah secara berkelompok di Negeri Selangor. Hasilnya sejak pemerintah Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, banyak permohonan tanah yang selama ini tertunggak dan tertangguh dapat diselesai dan diluluskan kepada mereka yang berkelayakan.


Sebagai contoh di DUN Bangi terdapat beberapa permohonan Tanah secara berkelompok diluluskan seperti:


1) Di Sungai Ramal Luar kerajaan negeri meluluskan sejak 2009 permohonan kelompok bagi seramai 61 orang di kawasan Sungai Ramal Luar berhampiran dengan seksyen 8. Sebahagian dari kawasan ini termasuk di bawah Seksyen 8. Pengukuran dan penyesuaian lot-lot, baru dibuat dan memerlukan pembangunan dari segi infra-struktur untuk didirikan perumahan di lokasi yang begitu strategic yang memang tanah sudah amat terhad di DUN Bangi.


2) Di Kampung Bahagia, Pekan Bangi, pada tahun 2010 kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan berkelompok di tanah berbukit yang landskapingnya menarik bagi sejumlah 50 unit lot tanah. Bayaran premium bagi setiap keping tanah bergantung pada keluasan. Keluasan terbesar adalah 11,000 kaki persegi yang jumlah premium hingga RM32,000. Keluasan normal ialah antara 5,000 hingga 7,000 kaki persegi yang jumlah premium yang dikehendaki dibayar oleh mereka yang diluluskan ialah antara 16,000 hingga RM20,000. Walau bagaimana terdapat mereka yang tidak berkemampuan membayar premium dan mereka membuat rayuan melalui ADUN Bangi. Al-hamdulillah pengurangan diberi sebanyak 40% kepada mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

3) Pada hari ini ADUN Bangi turun dengan Penolong Pegawai Daerah Bahagian Tanah Encik Rashidi, Pegawai dari Bahagian Ukur Encik Hashim dan Ketua Kampong Encik Shukor bin Jantan bagi menilai permohonan berkelompok tanah bertempat di Jalan Teluk Lebai Chili, di Tepian Sungai Langat di Jalan ke Taman Sentosa. Sebanyak 39 pemohon bagi lebih 30 lot tanah di sini.


Tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan, didapati sebahagiannya tidak memenuhi syarat dan permohonan terpaksa ditolak. Ada daripada pemohon terlebih dahulu mendirikan bangunan perumahan di atas tanah reserve sungai. Tanah sedemikian tidak dapat diberi pemilikan tetap dan berkemungkinan dibenarkan buat sementara atas kategori tanah tol. Mereka sepatutnya tidak mendirikan bangunan kekal yang berharaga beratus ribu, tanpa kepastian dari segi pemilikan, apa lagi melanggar peraturan, kerana ini merugikan pendiri bangunan-bangunan berkenaan.


Pemohon yang benar-benar layak, ialah penduduk tempatan yang sememangnya tidak mempunyai tanah yang lain. Bagi pemohon yang tidak berminat dan membiarkan tanah yang dipohon, apa lagi sudah mempunyai kediaman yang lain, tidak diberi keutamaan dan keutamaan akan diberi kepada yang memerlukan sahaja. Satu tindakan yang tidak wajar dan tidak patut dilakukan, ada pemohon yang masih tidak pasti dari segi pemilikan tanah yang dimohon, bertindak menjual tanah yang dipohon kepada orang yang lain. Jika tidak ada dokumen penjualan yang jelas, mungkin tidak diberi pemilikan dan ditawarkan kepada yang berkelayakan. Bagi yang mendapat tawaran pemilikan tanah setelah melalui siri penilaian diharap dapat membayar premium yang ditentukan.


Adalah diharapkan tanah yang diberi milik sama ada di Teras Jernang, Kg. Bahagia Bangi dan di Sungai Ramal Dalam tidak menjual tanah yang ditawarkan kepada mereka untuk mencari keuntungan.


Sekian.

February 9, 2011

Sesudah Pulang: Bagaimana Dengan Masa Depan ?

BBB, 05 Rabiul Awwal = 08 Februari (Selasa):


Satu perpindahan –exodus secara besar-besaran berlaku terhadap pelajar-pelajar Malaysia. Sejumlah 10.000 pelajar dapat dipindahkan dari Mesir melalui Jeddah dan lain-lain ke Malaysia dalam masa yang singkat. Semua pihak berterima kasih kepada pihak berkuasa di atas tindakan bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar dari kesan Revolusi Rakyat terhadap pemerintah dictator Hosni Mubarak di Negara Mesir.

Namun harapan revolusi dapat menjatuhkan regime Mubarak tidak berlaku sebagaimana jatuhnya regime Zainal Abidin bin Ali di Tunisia. Zainal Abidin melarikan dirinya ke Saudi, tetapi Hosni Mubarak masih bertahan. Tanda-tanda campur tangan Amerika-Yahudi berlaku bagi menyelamatkan kedudukan Amerika Yahudi di Mesir dan kesan terhadap Israel (Ikhwanul Muslimin disekat dari menyertai sama dalam rundingan), apalagi pihak tentera mulai mempertahankan kedudukan Hosni Mubarak. Pertentangan di Medan Tahrir mulai berpindah ke Medan Rundingan yang sudah tentu banyak tawar menawar akan berlaku. Sudah tentulah banyak yang diharapkan berubah secara total dari kesan revolusi tidak berlaku. Hosni Mubarak dijangka sedikit demi sedikit akan menarik kembali kekuasaannya melalui kerjasama Timbalan Presidennya Omar Suleiman. Ini bermakna Hosni Mubarak dengan pertolongan sekutu-sekutunya Amerika-Israel dapat mengubahkan hala peluru meriam revolusi tertuju kepada dirinya ke arah yang lain dan beliau berjaya mengubah revolusi berdarah kepada penangguhan yang kononnya akan diadakan pilihanraya pada bulan September depan dalam mana kemahuannya dan maruahnya dapat diselamatkan melalui Omar Suleiman yang disenangi oleh Amerika dan Israel. Banyak halangan, sekatan dan rundingan akan ditempoh. Semangat rakyat pada masa ini tidak seampuh pada permulaan kebangkitan. Revolusi tertangguh di Mesir ini memberi kesan kepada tertangguhnya kebangkitan yang dijangka berlaku seperti di Jordan, Syria, Yamen dan beberapa tempat yang lain. Hosni Mubarak kemungkinan berjaya mengubah teks dan episode revolusi yang seharusnya tertulis dengan darah kepada tertulis dengan dakwat biru dan tidak mustahil beliau akan mengubah sejarah yang seharusnya mengecam beliau kepada pujian !

Kesan tertangguhnya gerakan revolusi di Mesir memberi kesan tertangguh kepada pelajar-pelajar Malaysia yang dikeluarkan dari Mesir, sama ada pusat-pusat pengajian tinggi dan universiti-universiti di Mesir yang menjadi tempat pengajian pelajar-pelajar Malaysia meneruskan pengajian atau menangguhkan pengajian sehingga redanya keadaan di Mesir. Perkembalian pelajar-pelajar dari Mesir demi keselamatan dari satu segi menghilangkan keresahan, terutama ibubapa, tetapi bagi pelajar-pelajar yang bercita-cita menghadapi pengajian secara bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan, kemelut politik yang berlaku di Mesir mengeciwakan mereka. Pengajian mereka terganggu dan mungkin terhenti bagi satu semester atau mungkin satu tahun atau mungkin ada yang terganggu terus. Dengan kemelut ini tidak wajar dibiarkan pelajar-pelajar menghadapi secara bersendirian. Kementerian Luar, Kementerian Pengajian Tinggi, bahkan kerajaan perlu mengambil tanggungjawab menyelesaikan kemelut yang dihadapi pelajar-pelajar. Cabaran bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi sepuluh ribu pelajar ini lebih besar dari cabaran mengexoduskan mereka keluar dari Mesir. Jika pihak berkenaan gagal mengatasi masalah berkenaan, keuntungan politik yang didapati oleh pihak pemerintah dari usaha pemindahan akan tenggelam dengan kepelbagaian masalah berdepan pelajar. Kita kira kegelisahan pelajar mulai terbetik sejak mula mereka dibawa pulang dan permasalahan akan lebih membesar, jika mereka dibiar tanpa mendapat pembelaan dan tindakan.

Antara persoalan yang harus diambil tindakan ialah merundingkan dengan pihak universiti-universiti yang pelajar Malaysia belajar bagi mendapat jaminan pelajar dapat kembali belajar dan bagaimana mengatasi pengajian yang tertangguh. Biaya bagi mereka untuk kembali belajar, perlu juga menjadi kiraan, terutama bagi pelajar dari kalangan keluarga miskin.

Andainya pihak universiti di sana juga menangguhkan pengajian dalam kadar yang lama, apakah pelajar yang pulang dibiarkan menunggu tanpa penentuan. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dan rundingan bagi menempatkan pelajar-pelajar di universiti-universiti di Mesir yang setara dan setaraf dengannya. Jika kekurangan tempat bagi universiti-universiti yang dibuka, contohnya bagi pelajar-pelajar perubatan apakah pelajar-pelajar berkemampuan dan kerajaan bersedia menempatkan mereka di universiti-universiti di barat sebagaimana pelajar-pelajar yang lain dari Malaysia dihantar belajar di barat. Setarakah pelajar-pelajar kita dan mampukah mereka ?

Akhirnya jika ruang dan peluang bagi pelajar-pelajar yang dibawa pulang mengecil, pihak berkuasa mesti berusaha menempatkan mereka di universiti-universit tempatan yang setaraf dan setara. Tempat perlu disediakan sepadan dengan jumlah mereka yang dibawa pulang.

Pokoknya pelajar-pelajar yang dibawa pulang jangan dibiar terumbang ambing sehingga menghilangkan arah, matlamat dan azam yang selama ini mereka tanam, berusaha dan perjuangnkan.

Sekian.

February 8, 2011

Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Islam Puchong (SMIP)

Puchong, 28 Safar = 2 Februari (Rabu):


SMIP adalah lambang kegigihan satu jamaah pendidik yang berusaha menyediakan Pendidikan Peringkat Menengah Islam yang amat kekurangan tempat, khususnya di negeri Selangor. SMIP didirikan sejak 13 tahun yang lepas. Biarpun dengan segala kekurangan SMIP berjaya mendidik pelajar-pelajar dengan keilmuan dunia-akhirat berkembang maju dan melahirkan pelajar-pelajar berjaya yang menamatkan pengajian di dalam dan luar Negara.


Hari ini SMIP bagi kali ke 12 mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar. ADUN Bangi dijemput sama bagi meraikan pelajar-pelajar berjaya. Persediaan majlis di bawah Pengarah Ustaz Aznur bin Abdullah dan AJKnya dengan tetamu-tetamu jemputan yang hadir selain dari ADUN Bangi ialah Ustaz Haji Mohd Nasir bin Yusoff, Ahli MPSJ Zon 12 yang juga selaku Pemangku Mudir, Tuan Haji Yusoff bin Ibrahim Pengerusi Lembaga Pengarah SMIP, Puan Norhani bt. Ismail selaku Koordinator dan ibu bapa pelajar-pelajar.


Majlis Anugerah Kecemerlangan pada malam itu bermula dengan ucapan alu-aluan dari Pengarah Program Ust. Aznur bin Abdullah yang berterima kasih kepada semua jemputan dan ibu bapa yang sudi datang meraikan kejayaan pelajar-pelajar dan memeriahkan program sesuai dengan tema pada tahun ini ialah, ``Kejayaan Anda Kebanggaan Kami.``


Pengerusi Lembaga Pengarah Tuan Hj. Mohd. Yusoff bin Haji Ibrahim di dalam ucapannya melahirkan kesyukuran kepada Allah, kerana Majlis Kesyukuran Kejayaan sekali lagi dapat diadakan. Kejayaan menurutnya paling utama di atas usaha gigih pelajar-pelajar dengan bantuan guru-guru dan doa ibu bapa. Beliau berharap kejayaan yang dicapai pada peringkat kini menjadi dorongan kepada pelajar-pelajar untuk meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. Beliau tidak lupa berpesan kepada pelajar-pelajar yang belum berjaya, jangan putus asa, bahkan perlu meningkatkan lagi usaha agar kejayaan yang diimpikan selama ini akan dapat dicapai. Pesannya, jadikan kejayaan teman-teman sebagai dorongan dan semangat bagi diri untuk mencapai kejayaan. Beliau mahu pelajar-pelajar bukan saja cemerlang di dalam bidang akademik, tetapi juga dari segi syakhsiah dan akhlak. Mewakili Lembaga Pengarah beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kejayaan program, lebih-lebih lagi kejayaan pelajar-pelajar. Semoga mereka akan terus mengharumkan nama SMIP.


ADUN Bangi selaku Pembantu Exco Agama Islam dan Adat-Adat Melayu berterima kasih kerana diberi penghormatan merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kali Ke 12 dan mengucap tahniah kepada pelajar-pelajar, khususnya SMIP yang telah menabur bakti memperkembangkan pendidikan Islam sejak lebih sedekad yang lepas. SMIP sebenarnya secara langsung atau tidak secara langsung membantu menyediakan tempat kepada ibu bapa dan anak-anak yang mau meneruskan pengajian mereka secara didikan Islam. Sebenarnya kita amat memerlukan sekolah-sekolah sedemikian lebih banyak lagi. Sekiranya pihak SMIP berhasrat mau membuka cawangan sekolah-sekolah sedemikian pihak negeri amat mengalu-ngalukan. Sememangnya pihak negeri mempunyai banyak persekolahan Agama, terutama pada peringkat rendah, tetapi kurang pada peringkat menengah. Dulu Negeri mempunyai 23 buah Sekolah agama menengah, tetap pada zaman pemerintahan kerajaan BN diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Sungguhpun kita masih mempunyai hak dari segi bangunan dan hartanah, tetapi suara kita terhad. Pelajar dari Sekolah-sekolah agama terhad dan bersyarat untuk memasukinya, sebab itu pelajar-pelajarnya adalah lebih ramai dari Sekolah rendah biasa, manakala pelajar-pelajar agama tetap kekurangan tempat. Kerajaan negeri kini berusaha untuk mengadakan pengajian menengah agama yang dikenali sebagai Sekolah tahfiz yang setakat ini baru berjumlah dua buah iaitu di Shah Alam dan Kuala Langat. Dalam hal ini ruang adalah terbuka luas bagi pengusaha-pengusaha dan badan-badan pendidikan yang mau mendirikan pengajian Islam pada peringkat menengah di negeri Selangor dan kerajaan negeri adalah memberi galakan.

Dari segi galakan kerajaan negeri selain dari menyediakan berbagai-bagai pengajian Islam dari peringkat rendah, menengah dan tinggi, kerajaan negeri juga menyediakan kemudahan pengajian seperti bantuan anak-anak miskin, tetapi maju di dalam pelajaran, menyediakan asrama pengajian di bawah Yayasan Selangor, menyediakan hadiah masuk universiti, bahkan menyediakan pinjaman/biasiswa pengajian tinggi tanpa faedah. Saluran bagi anak-anak Selangor meningkatkan pengajian adalah terbuka, yang perlu kepada anak-anak Selangor adalah kesungguhan.


Majlis diakhiri dengan penyampaian Anugerah Cemerlang pada peringkat Penilaian Menengah Ugama (7 orang), Penilaian Menengah Rendah (5), Sijil Menengah Ugama (13) dan SPM (3), iaitu Noorshaqeela bt. Mohd Hishamuddin, Shakinah bt. Sharif dan Nur Husna bt. Hj. Roslan. Hadiah tokoh pelajar ialah Mohd Asyraff bin Razali (Putera) dan Nur Azira bt. Azahari (Puteri). Selamat Maju Jaya - semoga mendapat Hidayah dan Taufiq dari Allah.


Sekian.

February 7, 2011

Intra-Mas Siri Dua: ADUN Bangi Di Sungai Ramal Dalam

Sungai Ramal Dalam, 03 Rabiul Awwal = 06 Februari (Ahad):


Dengan didahului berpuluh motosikal berkonvoi dari Stesyen Minyak Shell Sungai Ramal Luar, ADUN Bangi berdiri di atas kenderaan Hilux bersama pengiring-pengiring bergerak berarak menuju ke Dataran Al-Falah (sempena nama Masjid Al-Falah). Di sini berhadapan Masjid dan bersebelah Sekolah Agama Sungai Ramal Dalam, khemah-khemah sedia didirikan bagi Majlis Perasmian diadakan.


Hadir bersama ke Majlis Perasmian YB Masuk Kampong sebagai Siri Kedua Intraksi Kemasyarakatan (Intra-Mas) ialah En. Lateb Bin Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Ustaz Shafie Ngah Pengarah Program yang juga Ahli MPKj Zon 23, saudara Yusof Bachek Ahli MPKj Zon 21, Tuan Haji Mazwan Bin Johar Ahli MPKj Zon 24, Tuan Haji Yusof Bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Encik Azlan Nordin Ketua Kampong Bangi Bahagia, Ustaz Haji Asnawi Ketua Cawangan Pas Sungai Ramal Dalam, saudara Ari Krishnan Ketua Kelab Penyokong Pas Serdang, para jemputan dan penduduk setempat.


Ustaz Shafie dalam ucapan alu-aluan memaklumkan program hari ini adalah lanjutan dari program yang julung-julung kali diadakan di Sungai Ramal Luar. Tujuan utama program diadakan bagi merapatkan hubungan ADUN dan pimpinan dengan penduduk setempat. Melalui program dapat disampaikan maklumat dari pihak kerajaan yang mungkin selama ini tidak begitu dimaklumi seperti program Usia Mas, Tawas, Air Percuma, Insentif Anak Masuk Universiti, Pinjaman dan Biasiswa ke Universiti, Mikro Kredit dan sebagainya. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program hari ini.


Encik Lateb Manan selaku Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam berterima kasih kerana dipilih program YB Masuk Kampong mengikuti Sungai Ramal Luar. Beliau melahirkan harapan Sungai Ramal Dalam tidak akan tertinggal jauh berbanding dengan tempat-tempat lain. Banyak pembaikan yang perlu dilaksanakan di Sungai Ramal Dalam yang sebahagian terletak di bawah Ketua Kampong dan sebahagian di bawah Ahli Majlis. Namun beliau berharap kerjasama dari banyak pihak dapat membantu Sungai Ramal Dalam meningkat dari segi kemajuan.


ADUN Bangi menyebut keistimewaan di Sungai Ramal Luar dengan gerakerja sepadu yang bermarkaskan Baitul Imtiaz, maka di Sungai Ramal Luar kali ini diadakan Karnival Bermotoran di Dataran Al-Falah. Beliau menyebut kejayaan program baik di Sungai Ramal Luar pada minggu lepas, maupun di sini di Sungai Ramal Dalam adalah hasil kerjasama dari Ketua Kampong dan anak buah, Pimpinan Cawangan Setempat, penduduk tempatan dan AJK dari Pejabat ADUN. Berdasarkan kerjasama ini mencerminkan hasrat mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat tercapai. Tetapi kita mau pergi lebih jauh lagi, sebab itu program ini akan ditingkatkan dengan lawatan-lawatan kepada pemimpin-pemimpin setempat dan ziarah penduduk-penduduk. Semoga perhubungan melalui Intra-Mas dapat dicapai.


Selepas perasmian ADUN melawat Karnival permtoran yang diseri dengan kehadiran saudara Yasir Said, Bekas Juara Motorsikal Cuprix tiga tahun berturut-turut 1993 – 1995.
Sebanyak 120 servis percuma motorsikal tajaan ADUN dilakukan oleh pihak Syarikat Maxwell kepada pemilik-pemilik motor yang datang dan mendaftar. Kemudian Cabutan Bertuah dan hadiah-hadiah disampaikan. Manakala ceramah keselamatan pemanduan bermotor diadakan berdekatan. ADUN juga meninjau gerai-gerai jualan dan Lapangan Memanah.


Dari Dataran Al-Falah ADUN dan pengiring-pengiring bergerak ke Dewan Orang Ramai di mana diadakan di sini pemeriksaan Blood Pressure, ceramah Permakanan Seimbang dan Pemeriksaan Kesihatan dengan mendapat kerjasama dari Hospital An-Nur dan juga dari HUKM. Terima kasih di atas kerjasama dari tenaga-tenaga hospital-hospital berkenaan.


Sebagaimana semasa program berlangsung di Sungai Ramal Luar ada berlaku kematian, maka pada hari pertama ini juga ada berlaku kematian berdekatan. ADUN bersama-sama pengiring-pengiring pergi menziarah kematian bayi yang dilahirkan sebelum cukup bulan. Selepas ziarah semasa pulang ke Dataran Al-Falah, kami bertembung dengan pasukan berpuluh motor berarak yang ditaja oleh pihak lawan yang mungkin mau mensabotaj program Masuk Kampong yang diadakan. Tapi bagi kami tindakan mereka memeriahkan lagi suasana sambutan program yang diadakan. Mereka menjadikan program sambutan dan orang ramai lebih exited. Dari maklumat risikan pemilik-pemilik beberapa buah motor dari pihak lawan secara senyap-senyap datang ke tempat service percuma kami menukar minyak motor mereka. Dari risikan juga kami dimaklumi mereka adalah dari luar diupah dan penyertaan mereka semata-mata untuk mendapat duit !

Program pada tengahari ialah menziarah lokasi-lokasi bermasalah disertai ADUN, Encik Latif, Encik Yusof Bacik, saudara Shukor Atan, Haji Omar, Azizi, Ustaz Asnawi, Ari Krishnan dan Amir Othman. Beberapa lokasi dilawati dari Sungai Ramal Dalam hingga ke Surada yang semuanya melibatkan keperluan saliran atau pembesaran yang selama ini berlaku banjir jika hujan agak lebat. Pengaduan ini akan dibawa ke atas, khususnya ke JPS untuk diambil perhatian dan tindakan.

Sekian.