BBB, 01 Zulhijjah 1434 = 06 Oktober 2013 (Ahad):
Sultan Zainal Abidin (111) memerintah Terengganu antara
1881-1919. Pada zamannya Terengganu semarak dengan perkembangan ilmu pengetahuan.
Pusat-pusat pengajian terkenal pada masa itu ialah Tradisi Pengajian Shaykh
Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis) yang sedang berkembang di Sungai
Rengas di bawah pimpinan Haji Muhammad bin Abdul Malik, Kuala Terengganu,
Pengajian di Bukit Bayas yang dipimpin oleh Tuan Haji Abdul Kadir Bukit Bayas,
Pengajian di Pulau Duyung di bawah pimpinan Haji Wan Abdullah bin Mohd. Amin, pengajian di
bawah kepimpinan Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad al-`Idrusi di Paluh, Kuala
Terengganu dan turut dibantu pentadbiran oleh Haji Muhammad bin Abdul Malik
selaku Tuan Kadhi (Tuk Kali) pada masa itu.
Sultan Zainal Abidin yang diputerakan pada 27 Zulkaedah
1282H.= Mac 1866M. dan dilantik menjadi sultan dalam usia yang agak muda, enam
belas tahun, tapi dengan didikan ulama-ulama yang rapat dengan baginda, maka
baginda dapat ditanamkan dengan pendidikan Islam. Beliau berguru dengan Haji
Wan Abdullah bin Wan Mohd. Amin yang dikenali dengan Tuk Shaykh Duyung dan
baginda juga berguru dengan Haji Abdul Kadir Bukit Bayas, di samping mendapat
bimbingan dari Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad yang pernah menjadi sebagai
Shaykhul Islam di Terengganu. Hasil dari bimbingan ini, Sultan Zainal Abdin III disifatkan sebagai
Sultan yang alim yang tidak meninggalkan solat lima waktu dan solat Jumaat. Hasil dari
pengajian ilmu keislaman, Baginda menguasai bahasa Arab dan banyak menelaah
kitab-kitab. Baginda turut mendalami
ilmu Alam, Ilmu Hisab dan ilmu falak (Haji Buyong Adil, Sejarah
Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974: 139).
Tengku Dalam (Kalthum) bt. Tengku Khazaki di dalam Syair
Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga (2 Jilid), pada Jilid Pertama beliau
mengarang (Muharram 1355H.= 06 April 1936M.) berhubung dengan Sultan Zainal
Abidin ke 111:
Sahibul hikayat empunya warta Sebuah negeri khabarnya nyata
Seorang Raja sedang bertakhta Baginda nan wara` lagi pendita
Terengganu Darul Iman nama negeri Sultan nan sangat bijak bistari
Alim termasyhur tiada terperi Dengan yang lain sukar dicari
Zainal Abidin Sultan bernama Badannya hebat tiada umpama
Seperti dia seorang tak sama Perangainya lembut selama-lama
Istimewa pula gerak dan gaya Laku tertib sabar pun ia
Dengan segala hamba dan sahya Sekaliannya kasih kepada dia.
(Tengku Dalam (Kalthum) bt. Tengku Khazaki, Syair Tawarikh
Zainal Abidin Yang Ketiga, Penggal Yang Pertama, Al-Ahmadi Press, 61 Jalan
Sultan, Singapura, tiada Tahun: 3).
Baginda juga disifatkan:
Sultan Halim lagi ulama Terlalu kuat memegang
ugama
Baginda juga fasih berbahasa Arab dan menggalakkan alim
ulama datang mengajar, katanya:
Lemah lembut laku Sangnata Lidahnya fasih berkata-kata
Ilmu `Arab jangan dikata Tersangat faham Duli Mahkota
Oleh sangat alim betara Tiap-tiap yang masuk
ke dalam Negara
Orang yang mengetahui lagi sejahtera Disuruh periksa dengan segera
Jikalau dapat Duli Junjungan Orang yang alim sukar bandingan
Dipanggil masuk tiada larangan Menuntut belajar membuka tangan
Mehambur beberapa daripada harta Tiadalah
sayang oleh Sangnata
Demikianlah hal ku dapat warta Tiap-tiap yang masuk segala
pendita.
( Tengku Dalam (Kalthum) bt. Tengku Khazaki, Shair Tawarikh
Zainal Abidin Yang Ketiga, Penggal Pertama, hlm. 4.
Bagi meluaskan ilmumya menurut pengarang, Sultan Zainal
Abidin Ketiga tidak saja belajar dengan ulama tempatan, tetapi menjemput
ulama-ulama luar yang berwibawa:
Tersebut kisah Duli Mahkota Di dalam Terengganu sedang
bertakhta
Beberapa menteri kadhi pendita Baginda nan belum bersukacita
Oleh tak puas Seri Betara Menuntut guru di dalam Negara
Seorang Arab masuk Negara Habib Umar nama ketara
Menuntut belajar Mahkota negeri Mangkin bertambah bijak bistari
Menjadilah ahli segala qari Segala ilmu ia pelajari
Tiga puluh tahun Sultan qaryah Mengaji Qur`an berbagai hayah
Dan menuntut ilmu falaqiyah
Di dalam negeri dibanding
payah
Pada hal tiada berapa lama Belajar menuntut Baginda
saksama.
(Tengku Dalam (Kalthum) bt. Tengku Khazaki, Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga,
Penggal Pertama, hlm. 18).
Bagi mencukup rukun Islam
yang lima
Sultan Zainal Abidin juga merancang bagi menunaikan Haji. Gambaran persiapan ke
Makkah dirakamkan:
Di dalam demikian tak puas juga Berasalah ingin Seri Paduka
Hendak ke Makkah bersuka-suka Melihat kekayaan Tuhan yang Baqa`
Putus fikiran Mahkota Negeri Memanggillah segala jamaah Menteri
Mesyuarat seperti hasrat sendiri Sekalian bersetuju demikian peri
Tarikh berangkat disebut:
Hijrat Nabi Rasul Junjungan Seribu tiga ratus pada bilangan
Tiga puluh satu pula timbangan Hisab sebenar beta hitungan
Tarikh berangkat Duli Baginda Serta membawa seorang janda
Lagi kecil usul yang shuhada Sudah mangkat ayahanda bonda.
(Tengku Dalam (Kalthum) bt. Tengku Khazaki, Syair Tawarikh
Zainal Abidin Yang Ketiga, Penggal Yang Pertama, hlm. 19).
Turut bersama pergi ialah beberapa kerabat dan keluarga,
iaitu sepupu Tengku Abdullah, Tengku Hassan, Tuan Embong dan Naib Menteri pada
masa itu al-Haji Ngah seorang anak muda yang bistari. Pemergian tidak sahaja ke
Makkah, tetapi lawatan juga dibuat ke Mesir dan Baitul Maqdis
(Tengku Dalam (Kalthum) bt. Khazaki, Syair Tawarikh Zainal
Abidin Yang Ketiga, Penggal Yang Pertama, hlm. 20).
Kebijaksanaan Sultan Zainal Abidin Ke 111 memerintah,
kepintaran pimpinan Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Muhammad Amin, kekukuhan
pentadbiran dibawah pimpinan Haji Ngah dan Nasihat daripada Shaykhul Islam Syed
Abdul Rahman bin Muhammad Tuan Paluh, Terengganu menjadi sebuah negeri yang
kukuh kedudukan, didatangi penentang-penentang penjajah dari Pahang. Namun
pimpinan Terengganu pada masa itu waspada terhadap tektik dan hasrat penjajah – British yang telah meluaskan kekuasaan di
barat Semenanjung dan berhasrat mau menguasai – termasuk Terengganu dengan
membuat perjanjian sebelah pihak dengan Siam . Untuk mengawasi tektik
penjajah Sultan, pentadbir dan penasihat negeri Terengganu merangka
Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu bagi pentadbiran Negeri Terengganu dan
memperuntukkan enekman bahawa. ``Maka tiada lulus dan tiada sah sekali-kali
Raja membuat perjanjian atau ikhtiar melepas atau menyerahkan negeri dan
kerajaannya atau suatu bahagian daripada kuasa kerajaan atau huquqnya itu
kepada sebarang mana-mana kerajaan atau kuasa-kuasa bangsa Eropah atau lainnya.
(Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Cetak Kerajaan,
Kuala Lumpur, 1973:8).
Peruntukan ini bagi mencegah negeri Terengganu dari diambil
kesempatan atau dikuasai dengan apa cara oleh penjajah bagi menguasai negeri tersebut. Peruntukan ini memperkasakan kedudukan Negeri Terengganu di
dalam mendepani penjajah. Ada sejarawan yang berpendapat, walaupun pihak
British membuat perjanjian dengan umpamanya siam bagi melindungi negeri
Terengganu, tetapi perjanjian berkenaan adalah bersifat sebelah pihak dan dari
segi undang-undang sebenarnya kedudukan negeri Terengganu bebas dan tidak
pernah dijajah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment