December 31, 2014

Penyair Al-Mu`allaqat (Puisi Gantungan) - Mengepalainya Imri`ul Qays


BBB, 09 Rabiul Awwal 1436 = 30 Disember 2014 (Selasa):
Daripada puluhan penyair pada zaman Jahiliyyah terdapat sekelompok penyair yang disifatkan sebagai penyair elit dari kedudukan kepuisian. Sebagaimana telah disentuh puisi adalah pengucapan masyarakat Arab Zaman Jahiliyyah, ianya menjadi khazanah maklumat bagi masyarakat zaman Jahiliyyah yang pada umumnya adalah buta huruf. Ungkapan penyair sebagai khizanah maklumat yang dihafal dan diwarisi masyarakat generasi ke generasi.  Kelahiran penyair di dalam satu-satu kabilah dianggap sebagai kurniaan serta dimegahkan dan penyair berkenaan menjadi jurucakap bagi kabilah berkenaan.



Popularnya puisi dan penghormatan terhadap penyair dapat dilihat dari sanjungan peniaga dan pengunjung di Pasar Ukkaz di Makkah yang memberi  ruang kepada penyair-penyair bertanding puisi di Pasar Ukkaz. Pertandingan puisi di sini mendapat sambutan dan mana-mana puisi yang menang pertandingan selain dari dideklamasi, maka puisi-puisi yang menang diberi penghormatan dengan menggantungkan puisi-puisi berkenaan di Ka`bah.
Melalui siri-siri pertandingan  pasar Ukkaz telah melahirkan barisan penyair-penyair terkenal yang teruji puisi mereka di pertandingan menggubah puisi di Pasar Ukkaz. Dalam tempoh pertandingan 7 orang penyair diiktiraf dan diberi jolokan sanjungan sebagai penyair-penyair `Al-Mu`allaqat – Yakni puisi-puisi mereka digantung di Ka`bahyang  setiap kali pertandingan seorang daripada mereka terpilih dan diberi penghormatan. Mereka adalah seramai 7 orang, iaitu:
1)      Imri`ul-Qays      2)   Tarfah bin al-`Abd        3)  Al-Zuhayr
4)    Labid                   5)  Amru bin Kalthum         6)  `Antarah
7)    Al-Harth bin Hillizah
Bagi setiap penyair di atas masing-masing mempunyai sejumlah puisi yang dihasilkan dan diwarisi. Adalah menjadi tradisi bagi setiap penyair bagi satu kaum, apa lagi yang terkenal dan bertaraf `Al-Mu`allaqat` mempunyai penghafal dan perawi sendiri yang darinya dihebahkan kepada orang ramai.
Penyair Al-Mu`allaqat` Imra`ul- Qays  misalnya perawi dan penghafalnya ialah Abu Daud al-Iyadi, bagi Zuhayr perawinya ialah Aus bin Hajar dan Al-A`sha perawinya ialah al-Musayyab bin `Alas.
Penyair Al-Mu`allaqat terkenal ialah Imri`ul-Qays (500-540M.) beliau ialah Imri`ul-Qays bin Hajar al-Kindi kelahiran Najd,  Pemuka keturunan Diraja  Bani Asad, dipanggil sebagai Abu Wahab atau Abu al-Harith. Dikatakan nama sebenarnya ialah Jandah digelar Imri`ul-Qays. Nama ibunya Fatimah binti Rabi`ah bin al- Harith, dikatakan saudari perempuan kepada Kalib dan Al-Muhalhil . Sebagai anak berketurunan elit dia hidup dalam berpoya-poya. Beliau menggubah puisi sebagai lirik lagu, hingga ayahnya terbunuh, lantas beliau bangkit menuntut bela di atas kematian bapanya dan bergerak antara kabilah, akhirnya mendapat tempat di Istana Kerajaan Ghassan pada masa pemerintahan Qaisar Bustinanus (527-565M.) melalui perantaraan Al-Harth al-Ghassani. Dia dihantar oleh Qaisar melalui perutusannya (Ibrahim) ke Istana kerajaan Rum (Byzantin) mengungkap puisi dan memuji Raja Rum dan mendapat habuan darinya.  Imriu`l-Qays  meninggal di sana tahun  540M.
Walaupun Imri`ul-Qays dikira sebagai penyair berketurunan elit dan puisinya dianggap antara puisi terbaik dari kalangan penyair Jahiliyyah dan tergolong sebagai penyair Al-Mu`allaqat utama, tetapi tidak terlepas dari lemen-elemen Jahiliyyah. Contoh puisinya yang bertema:
Tuntut Bela Di Atas Pembunuhan (Bapanya)
Terkilas kilat di malam kelam
Memancar cahaya ke tinggi gunung
Sampai kepadaku berita kudustakan
Dengan perkara menggoncang puncaknya
Banu Asad tergamak membunuh Tuannya
Tidakkah semua yang lain kecil banding dengannya ?
Di mana Rabiah dengan Tuannya
Di mana Tamin, di mana al-Khaul ?
Tidakkah mereka datang ke pintunya
Sebagaimana mereka hadir bila berita gembira ?
(Diwan Imriu`ul-Qays,  Dar Sadir,  Beirut: tt: 14-15).
Dalam puisi yang lain Imri`ul Qays mengungkapkan:
Berdiri menangis mengingati kekasih dan rumah
Bertaburan kerikil di laman ke ruang
Walau dijelaskan  tidak nyata  dibaca
Bagai garisan dari selatan utara
Berdiri sama sahabatku bagai memacu
Mereka berkata, ``Jangan rosakkan harapan berkaca``.

Sesungguhnya kesembuhanku adalah nadi-nadi berdenyut
Adakah garis tulisan  dipelajari oleh yang memberi  perhatian ?
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat Jil I,  Al-Matba`at al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 31).
Imri`ul-Qays adalah penyair terkemuka Arab sebelum Islam, dikatakan Saidina Abbas bin Abdul Muttalib bertanya saidina Umar al-Khattab tentang ketokohan penyair Imriul-Qays, maka katanya, `` Imri`ul Qays adalah tokoh terkemuka, mempunyai ketajaman persepsi``. Saidina Ali bin Abi Talib juga memberi  pendapat tentang Imri`ul Qays, katanya:
``Imri`ul Qays sebaik-baik penyair, nadir, dan mendahului yang lain, Dia mengungkapkan yang dingini dan yang ditakuti``.
(Diwan Imru`ul-Qays, Dar Sadir, tt: 27).
Puisi-puisi Imri`ul-Qays tidak saja dihayati dari segi kandungan dan keindahan, tetapi banyak dari puisinya menjadi contoh nahu dan kebahasaan di dalam kitab-kitab nahu.

Sekian.

December 30, 2014

Al-Muhalhil Penyair Awal Tidak Dari Kalangan Gelandangan


BBB, 8 Rabiul Awwal 1436 = 29 Disember 2014 (Isnin):
Al-Muhalhil ialah gelaran bagi penyair Abu Laili `Adiyy bin Rabi`ah al-Taghallubiyy dari kalangan penyair peringkat awal diketahui. Beliau dijangka meninggal (531M.), iaitu sezaman dengan kalangan penyair-penyair gelandangan (al-Sa`alik), tetapi beliau tidak tergolong dari kalangan penyair berkenaan, kerana latar dan tema puisinya berlainan dari penyair-penyair gelandangan. Sebaliknya beliau digolongkan sebagai `Penyair Pahlawan` yang antaranya melibatkan diri dalam peperangan.


(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithah, Jil. 1, Al-Matba`at al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 264 -267).
Al-Muhalhil adalah bapa saudara sebelah ibu bagi Imra`ul Qays dan datuk kepada Amri bin Kalthum di sebelah ibunya. Dididik secara senang di kalangan keluarga yang tinggal di utara Najd,  utara ke Iraq. Beliau digelar Al-Muhalhil, menurut Ibn Qutaibah, kerana sifatnya yang teliti, terutama dari segi mengindah dan menghaluskan puisi-puisinya, maka beliau digelar Al-Muhalhil. Al-Muhalhil adalah seorang yang berwajah tampan. Kehidupannya yang senang mendorong beliau kepada cara hidup berpoya-poya, mabuk, suka bergaul dan bermesra dengan perempuan-perempuan muda hingga digelar oleh saudaranya sebagai `Kaki Perempuan`. Namun kelakuannya berubah selepas saudaranya Kalib bin Taghallub dan Bakar   dibunuh. Dia bangkit menuntut bela hingga mencetuskan peperangan yang dikenali dengan peperangan al-Basus yang berterusan selama 40 tahun (494-534M.). Nama Basus nisbah kepada nama perempuan bagi kabilah yang terlibat di dalam peperangan berkenaan.  Al-Muhalhil terkenal sebagai tokoh kepimpinan perang yang berani  mendepani  musuh. Puisinya  merakamkan peristiwa peperangan yang berlarutan, tentang kepahlawanan dan peristiwa-peristiwa berkenaan, di samping tema lalai dan berpoya-poyaan.
Diriwayatkan bahawa Wa`il bin Rabi`ah memimpin  Kabilah Ma`ad semuanya pada hari Khazara di bukit Yaman. Adalah bersama  seorang wanita mulia dari kabilah Kalib dan Bani Murrah yang mempunyai 10 adik beradik yang termuda lelaki bernama Jassas, turun sama ibu saudaranya bernama  Al-Basus binti Munqiz. Bersama juga  seorang lelaki dari Jarmi dari keluarga Jassas  bersamanya seekor unta bernama `sarab`, maka dipelihara bersama unta Jassas, maka untanya bersama unta Kalib bercampur sebagaimana dia dengan Kalib bermusaharah. Apabila dilihat Kalib dia marah dan membantah. Berita sampai kepada Al-Muhalhil sedang ia minum, ia mengungkapkan dendam kesumatnya dengan berkata:
``Hari ini arak di tangan
Esok darahlah minuman !``
 Dari isu yang kecil ini mencetuskan peperangan  yang membawa kepada terbunuhnya Kalib saudara bagi Al-Muhalhil. Al-Muhalhil menangisi dikubur saudaranya Al-Kalib , kemudian dia bangkit berperang antara Bani Bakar dan Taghallub yang dikenali dengan nama peperangan Basus yang berterusan selama 40 tahun itu yang berakhir terbunuhnya Jassas dibunuh anak saudara  perempuannya bernama Al-Mijris bin Kalib dan dikatakan bahawa Raja Al-Munzir bapa kepada Amri bin Hindun Raja Iraq yang mendamaikan antara dua puak selepas matinya Al-Muhalhil.
(Butrus al-Bustani, Aadab al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 92).
Puisi Al-Muhalhil banyak bertemakan `rintihan` terhadap kematian, terutama terhadap Kalib saudaranya. Antaranya berpuisi Al-Muhalhil:
Berjiran banu Bikr, tapi mereka tidak adil
Seseorang telah diketahui jalan tujuan
Turun barang-barang bertujuan cari kesempatan
Bersama kumpulan Jassas membebankan Wasuq
Wahai yang berdosa terhadap kaumnya
Jenayah yang tidak mungkin  diterima
Jenayah yang tidak diketahui sebab jadian
Dosa yang tidak boleh diterima.
(Al-Majani al-Hadithat, Jil. I, tt, 269).

Selepas kematian dan dikebumikan saudaranya Al-Muhalhil mengungkapkan:
Berguguran air mataku oleh ingatan
Teduh, terus berlinang  bersama kenangan
Jadilah malam merangkumi sekalian
Seolah malam tiada lagi siang.
(Butrus al-Bustani, 1989: 94).

Jelas ungkapan-ungkapan Al-Muhalhil lebih lembut dari ungkapan-ungkapan penyair-penyair gelandangan, walau bagaimana cirri-ciri jahiliyaah yang bersifat dendam kesumat, dendam antara kafilah dan peperangan berterusan.

Sekian.

December 29, 2014

Taabbata Sharran Dan `Urwah Bin Al-Ward Penyair Gelandangan


BBB, 07 Rabiul Awwal 1436 = 28 Disember 2014 (Ahad):
Dua lagi penyair Jahiliyyah selepas Al-Shinfari digolongkan sebagai penyair gelandangan (Sa`alik) ialah Taabbata Sharran (m. 530 M. ?) dan `Urwah bin Al-Ward (m. 596).
Nama sebenar bagi Taabbata Sharran ialah Thabit bin Jabir bin Sufyan al-Fahmi. Gelaran Taabbata Sharran (Mengepit Kejahatan) oleh kerana dikatakan, pada satu hari dia keluar dari rumahnya dengan mengepit pedangnya di bawah ketiak, kebetulan datang seorang bertanya mengenainya kepada emaknya. Ibunya menjawab, ``Aku tidak tahu, dia keluar mengepit pedangnya !`` Dia sering bersendirian keluar malam dan siang dan pantas bergerak dua kakinya. Dikatakan dia bergelandangan dengan Amri bin Barraq, `Amir bin al-Ahnas dan al-Shinfari. Bila Al-Shinfari dibunuh musuhnya, dia bersumpah untuk menuntut bela, akhirnya dia turut mati terbunuh. Puisinya disifatkan sebagai kental dengan ciri gelandangan, namun ada  kehalusan rasa dan ketelitian gambaran. Terdapat sejumlah kumpulan puisi dinisbahkan kepadanya. Antara petikan:
Penyair dan Al-Ghaul Perenang Malam
``Ingatan pada kehadiran dua pemuda
Dengan apa yang Kutemuinya di Reha Bitan !
Sesungguhnya kutemui Al-Ghaul  secara mesra
Di tanah rata seperti permukaan bumi sahsahan
…..


Aku memukul tanpa kesungguhan dia tersungkur
Terkedang dengan tangan dan kaki gelempang.``
Dalam puisi yang lain Taabbata Sharran tentang sifat pemurah dan keberanian kata Taabbata Sharran:
``Sesungguhnya aku menyaksi dari pujianku bertujuan
Puji kepada  sepupu yang benar Shamsu bin Malik
Kuangkatnya  di Kelab al-Hayy tentang kehebatannya
Sebagaimana diangkatnya diriku di Hijan al-Aweak.``
Jelas persoalan yang dibawa oleh Taabbata Sharran ialah sifat gelandangan, kekasaran, antaranya melakukan pembunuhan, di samping dikatakan sifat mulia dan berani. Jelas sifat Jahiliyyahnya.
Seorang lagi penyair gelandangan ialah Al-`Urwah bin Al-Ward (m.596M. ?) yang digambarkan sebagai seorang yang berani, pemurah dan tinggi himmah. Beliau sering melibatkan diri dalam peperangan  di Najd dan pinggiran kawasan Hijaz dan Iraq’
Urwah meninggalkan banyak qasidah yang mencerminkan fikirannya dan peristiwa-peristiwa peperangan. Puisinya dihimpun oleh Al-Asma`I dan Ibn Al-Sakbati. Antara puisinya yang ditujukan kepada isterinya berjudul:
Siapa Gelandangan ?
Hentikan celemu ke atasku wahai Binti Munzir
Tidurlah, kalau tidak mau tidur berjagalah
Tinggallah aku sendirian wahai Ummu Hussan
Aku tidak berkemampuan menjual dan membeli
Peristiwa kekal dan keremajaan tetap pergi
Kelmarin adalah berlalu di permukaan Sayyar
Bersahutan bunyi batu-batu di Al-Kinas
Mengadu kepadaku tentang ma`ruf dan munkar.``
Tentang Adab Muliakan Tamu, kata `Urwah:
Adab Tamu
``Permadaniku permaidani tamu dan rumahku  adalah rumahnya
Tidak menyusahkan daku semua keperluan mencukupi
Aku bercakap tentang kenangan-kenangan dari desa
Engkau ketahui tiba masanya tamu itu akan brlalu.``
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithah, Jil. I, Al-Maktabat al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 13-26).
Melengkapkan sifat gelandangannya, tidak saja mengungkapkan tentang gelandangan, sifat merayau, tetapi juga diungkapkan tentang  keterlibatannya di dalam peperangan.
Dengan tema, persoalan dan pembawaan tiga penyair gelandangan, iaitu Taabbata Sharran, , `Urwah bin Al-Ward dan Al-Shinfari sebelumnya  cukup memberi gambaran tentang sifat gelandangan penyair-penyair berkenaan dan menebal dengan ciri Jahiliyyah mereka. 

Sekian.

December 28, 2014

Tema Puisi Penyair-Penyair Zaman Jahiliyyah: Al-Shinfari Penyair Terawal


BBB,  05 Rabiul Awwal 1436 = 27 Disember 2014 (Sabtu):
Pembicaraan tentang penyair dan puisi zaman Jahiliyyah ini untuk  perbandingan dengan zaman Islam, terutama dari sifat-sifat dan tema-tema yang dibawa penyair-penyair Jahiliyyah berkenaan, di samping tidak dapat dinafikan ada aspek-aspek positif yang dapat diambil, terutama dari segi bahasa dan kepuisian. Dilihat dari segi Takmilah ia adalah berada pada luar landasan yang menjadi contoh bagi pembetulan.


Puisi penyair-penyair  zaman  Jahiliyyah (500-622M.) dapat dibahagikan kepada empat kategori  iaitu
1)      Zaman Awal  iaitu Al-Shinfari, Ta`abbata Sharran, `Urwah bin al-Ward dan Al-Muhalhil
2)      Ashab al-Mu`allaqat  iaitu Imru`ul Qays, Tar fah bin al-`Abd, Zuhayr, Labid, Amru ibn Kalthum, `Antarah, Al-Harth bin Hillizah
3)      Generasi berkesempatan zaman Islam  iaitu  Al-Nabighah (tak sempat)  Al-A`sha  al-Akbar, Al-Khansa` dan Al-`Itahiyyah
4)      Generasi dua zaman (Jahiliyyah dan Islam)  iaitu Ka`b bin Zuhayr dan Hasan bin al-Thabit
Dari penyair generasi pertama dan terawal dapat dikesan dan diwarisi puisi-puisi mereka ialah Al-Shinfari  dan Al-Muhalhil.  Fuad Afram al-Bustani  di dalam al-Majani al-Hadithah, Jil. I, memasukkan Al-Muhalhil sebagai penyair dan turunan Parsi. Sebaliknya Fuad Afram memasukkan selain dari Al-Shinfari dan Al-Muhalhil dua orang lagi penyair zaman Jahiliyyah pada peringkat awal ialah Ta`abbata Sharran dan `Urwah bin al-`Abd. Fuad Afram menggolongkan penyair Al-Shinfari (Awal abad ke 6M.), Ta`abbata Sharran (m. 530M. ?) dan `Urwah bin al-Ward (m. 596M. ?)  di bawah kategori Penyair  al-Sa`alik. Istilah al-Sa`alik plural bagi al-sa`luk` ialah si faqir yang tidak mempunyai harta dan tiada tempat pergantungan. Mereka ibarat gelandangan di padang pasir dan kawasan kediaman.  Pun begitu mereka mempunyai kehalusan rasa mengungkap tentang alam keliling.
Nama sebenar Al-Shinfari ialah Al-Thabit bin Aus al-Azdi, digelar al-Shinfari kerana dua bibirnya yang tebal. Berasal dari Yaman dan  hidup di kalangan kabilah Bani Salaman menghambakan diri. Bila diketahui kedudukannya dia melarikan diri dan berdendam terhadap kabilah berkenaan. Dia dikatakan membunuh seterunya seramai 99 orang (mungkin sengaja dibesar-besarkan bagi memperlihatkan watak jahatnya secara tajam). Dia hidup secara merampas dan merompak dan menyembunyikan diri di bukit bukau.
Adalah dinisbahkan kepada Shinfari sebanyak 68 bayt qasidah satu-satunya puisi tinggalannya yang  bayt-baytnya  mempunyai rentak (bahar yang panjang) yang dikenali dengan (Lamiyah al-`Arab).  Oleh kerana ianya merupakan puisi tertua di dalam bahasa Arab yang diwarisi banyak tumpuan perhatian diberi terhadap puisi ini antaranya Al-Mubarrad, Tha`lab  dan Al-Zamakhshari termasuk oleh orientalis seperti dari Perancis.
Fuad Afram al-Bustani memperturunkan  persoalan-persoalan yang membina tema bagi puisi Lamiyah al-Arab ini kepada 12 perkara:
1)      Celaan penyair terhdap kaumnya, sebab itu dikenali sebagai Lamiyat al-`Arab `Celaan Arab`.
2)      Hubungannya dengan hidupan liar di bumi
3)      Tidak bergantung selain dari pedang dan panah
4)      Berbangga dengan dirinya selepas perpisahan dan kesusahan kehidupan
5)      Sabarnya menanggung lapar dan menisbahkan dirinya sebagai serigala lapar
6)      Usahanya mencari air mengatasi kedahagaan
7)      Gambaran tidurnya
8)      Pemerhatian dan kebimbangan
9)      Gambaran cekal dalam menempuh hidup
10)   Gambaran malam yang gelap
11)   Gambaran siang yang amat panas
12)   Merentasi perjalanan di darat dan bukit bukau.
Antara celaan terhadap kaumnya kata Al-Shinfari:
``Aku berdiri berdepan Bani Ummi mendepan tunggangan
Sesungguhnya  aku , kepada kaum dari kamu aku hormatkan
Engkau datang dengan hajat dan malam bulan mengambang
Bersangatan bergerak menandakan perpisahan.``
Tentang sabar Al-Shinfari di dalam mengalami kelapana,  kata Al-Shinfari:
Berpanjangan aku mengalami kelaparan
Aku nyahkannya dari ingatan dan aku perlikan
Aku hendar dari  tanah bumi agar tidak terlihat
Kepada harapan memanjang tak padam.``
Dan gambaran alam yang dialaminya, katanya:
``Aku merebahkan diri ke permukaan bumi
Dengan keras dan kasar dari tumbuhan
Dan bingkas seolah dari batu-batunya
Mengingatkan daku kasarnya kehidupan``
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithah, Al-Matba`at al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 2-12)
Sebagai puisi klasik, bahasanya begitu sukar untuk difahami, temanya tentang gelandangan Shinfari, wataknya begiti dihitamkan dan luar biasa. Istimewanya bagi pengkaji melalui puisi ini dapat menerokai ke zaman di awal abad ke 6 M. dari khazanah diwarisi.

Sekian.

December 27, 2014

Sastera Arab Sebelum Islam (Prosa)


BBB, 04 Rabiul Awal 1436 = 26 Disember 2014 (Jumaat):

Bahasa Arab adalah merupakan salah satu bahasa Semetik (Aaramiyah, Kan`aniyah dan Arabiyah). Bahasa  Arab digunakan  di Yaman dan Habasyah yang dikenali sebagai bahasa Qahtan di bahagian selatan , manakala bahagian utara dikenali dengan bahasa  Adnani. Apabila berlaku peristiwa `Pecahnya  Empangan  al-`Arim) dan memusnahkan tamadun Saba` pada 447M. keturunan Qahtan bergerak ke utara dan mendominasi penduduk di utara,  tetapi oleh kerana keturunan Adnani lebih unggul dari segi budaya dan bahasa dan berinteraksi dengan Rum dan Parsi dan mempunyai kedudukan penting di Makkah  (keturunan Qurasy), mereka menenggelamkan pengaruh Qahtan. Turunan Adnan diperkukuhkan lagi dengan kedatangan Islam.


Kehidupan Arab yang keras dengan suasana padang pasir dan sering berlaku persengkitaan dan peperangan antara kaum menjadikan mereka cekal dan keras hati, namun di satu pihak terbentuk sifat-sifat mulia seperti memuliakan tamu, halus  sentuhan jiwa di kalangan para sasterawan mereka. Turunan Adnan yang pernah menurut agama Hanif Nabi Allah Ibrahim terseleweng, antaranya pengaruh Rum dan Yunani yang memuja seni patung  melalui interaksi perniagaan menyebabkan mereka terikut menyembah patung dan berhala.Namun dalam interaksi sedemikian dari satu segi melahirkan tokoh-tokoh sasterawan yang mengungkapkan karya-karya mereka di pasar-pasar Ukkaz, al-Majanah dan Zul Majaz.
Dua bidang sastera dihasilkan oleh para sasterawan Arab, iaitu  Prosa dan puisi.
Bidang prosa terbahagi kepada dua, iaitu:
1)      Ungkapan berentak  2) Ungkapan biasa – prosa mursal
Untuk berentak ialah hujuang bagi setiap ayat ada persamaan, tetapi agak bebas. Contoh:
``Untuk mengenal  kabilah ada  pahlawan, pimpinan sering menang di dalam peperangan.`
Manakala prosa mursal ialah:
a)      Kata Mathal       b) Hikam       c) Wasiat       d) Khutbah     e) Gambaran  f) Cerita-cerita 

a)      Mathal
Ungkapan ringkas membawa pandangan hidup yang ditimba dari masyarakat dan kehidupan persendirian. Contoh:; Muafakat  mendatangkan berkat. Menurut Ahmad Hassan al-Zayyat, usaha menghimpunkan ungkapan mathal ini dilakukan oleh Maidani (m. 518H.) yang menghasilkan sebanyak 50 buah kitab berkenaannya.
(Muhammad Hassan al-Zayyat Tarikh al-Adab  al-`Arabi, Terbitan Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Pendidikan, Tahun ?: 18).

b)      Hikam
Ialah kata-kata hikmat yang indah ungkapan dan mendalam dari segi makna. Antaranya bersifat falsafah dan nasihat. Contoh: Kesalahan adalah pelajaran berguna dan panduan masa depan. Contoh Hikam (Zaman Islam) ialah Hikam Ibn Ata`I Llah (709H./1309M.).  
C)  Wasiat
Ialah ungkapan yang disampaikan oleh pemimpin terhadap kabilah tentang sesuatu ingatan atau oleh kepimpinan sebelum masuk ke dalam medan peperangan tentang perkara yang patut dibuat atau dilarang dibuat atau pesanan dari ibu bapa terhadap keluarga dan anak-anak, khususnya ketika hampir ajal
c)       Khutbah
Ialah ucapan yang disampaikan oleh pemimpin kepada kabilah atau kumpulan yang dipimpin. Contoh khutbah Qis bin Sa`idah al-Iyadi (m. 600M.). Sambil berada di tempat tinggi dan memegang pedang. Ucapan biasanya bersemangat atau cermat dan hati-hati. Antara ucapannya:
``Wahai manusia dengar dan ingat, sesungguhnya siapa yang hidup dia mati, siapa yang mati dia luput, setiap yang datang mendatang, malam kelam, siang terang, langit mempunyai bintang-bintang, bintang-bintang berkerlipan, laut bergelombang, bukit bukau  berpasak, bumi tetap, sungai air berlari, di langit kebaikan, di bumi ada panduan. Mengapa manusia pergi tidak kembali ? Adakah mereka reda maka dia pergi ? Atau tertinggal mereka bangkit ? Wahai yang hadir. Di mana bapa, di mana ninda. Di mana Firaun-Firaun yang amat keras ? Adakah tidak harta mereka lebih banyak daripada kamu ? Lebih panjang ajal ? Masa menghukum mereka ! (Bersambung dengan puisi )
(Ahmad Hassan al-Zayyat, tt:21)
d)      Gambaran Alam
Bermaksud apresiasi tentang alam mengikut lokasi, khususnya seperti pandangan di padang pasir yang berbukit-bukau batu dan berpasir, gambaran ketika ribut taufan pasir. Gambaran waktu malam yang lebih mesra, kerana nyaman berbanding dengan siang yang panas dan sebagainya – Antara gambaran seperti di dalam khutbah di atas.
e)      Cerita-cerita
Terutama tentang tokoh-tokoh kabilah yang perkasa dalam peperangan. Cerita tentang tokoh pemurah seperti Hatim al-Tai yang menjadi legenda orang-orang Arab (m.605M.), lantaran kerana sifat pemurahnya. Berkata Abu `Ubaidah:
``Tiga orang pemurah Arab, Ka`b bin Mamat, Hatim al-Ta`I, keduanya menjadi sebutan tauladan dan Haram bin Sinan sahabat Zuhayr.``
(Diwan Hatim al-Ta`I, Dar Sadir, Beirut, 1401/1981: 4).
Kesimpulan bahan-bahan sastera Jahiliyyah, sungguhpun kurang dari fikiran dan pengajaran, tetapi bentuk-bentuk sasteranya seperti khutbah menjadi bentuk yang kekal, bahkan menjadi sebahagian dari ibadat, contoh khutbah solat Jumaat, khutbah nikah dan sebagainya Puisi-puisi juga dijadikan contoh dan kajian bagi perkembangan bahasa dan sastera, juga dapat dikaji dari segi budaya dan kemasyarakatan masyarakat Arab sebelum Islam.

Sekian.

December 26, 2014

Dari Tradisi Lisan Zaman Jahiliyyah Kepada Persuratan Zaman Islam


BBB, 03 Rabiul Awal 1436 = 25 Disember 2014 (Khamis):
Menjelang kehadiran Islam, masyarakat  Arab  bermegah dengan kemampuan berbahasa – khususnya berpuisi.  Kelahiran penyair di dalam satu-satu kabilah menjadi kebanggaan dan menjadi juru cakap mereka. Kemegahan ini bukan  setakat di kalangan kabilah, tetapi kemampun menggubah puisi ini menjadi acara tahunan di pertandingkan di pasar Ukkaz, di Makkah dan mana-mana puisi yang memenangi pertandingan diberi penghormatan dipamer dan digantung di Kabah.
Menjelang kehadiran Islam terdapat sejumlah penyair yang dikenali Penyair Zaman Jahiliyyah (500-622SM.) seperti Al-Shinfari, al-Muhalhil, Penyair-Penyair al-Mu`allaqat yang diberi penghargaan di Pasar Ukkaz iaitu seramai tujuh penyair, mereka  Imra`ul-Qays, Tarfah bin al-`Abd, Zuhayr, Labid, Amru Ibn Kalthum, `Antarah dan Al-Harth ibn Hillizah, Beberapa penyair lain yang berkesempatan dengan zaman Islam seperti Al-Nabighah (tak sempat), Al-A`shi al-Akbar, Al-Khansa`, Al-Hati`ah, Manakala penyair dua zaman  (Jahiliyah dan Islam) ialah Ka`b bin Zuhayr dan Hassan bin Thabit al-Ansari,


Puisi-puisi Arab zaman Jahiliyyah ini diwarisi secara hafalan, lantaran tidak ramai yang menguasai tulisan. Bagi setiap penyair Jahiliyah ini ada rawi dan penghafalnya dan diterima orang ramai darinya. Tradisi penulisan syair pada zaman Jahiliyah dan selepas itu hanya berlaku pada zaman Islam selepas tradisi penulisan berkembang terutama pada zaman Umawiyyah, namun tidak semua  diwarisi secara sempurna, banyak daripadanya hilang atau tidak disalin oleh pencatat atau perawinya hilang (meninggal atau tidak dikesan), lagi pula ianya dianggap tidak  begitu penting, kecuali sebagai bukti dan contoh kebahasaan dan nilai sastera secara perbandingan (Butrus al-Bustani, Udaba` al-~Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 37).
Islam datang membawa tradisi penulisan, tradisi menulis ini walaupun tidak begitu meluas di kalangan pemimpin-pemimpin Arab, tetapi melalui pertembungan budaya dan interaksi niaga seperti di Pasar Ukaz  dan pertemuan-pertemuan perniagaan lain, di luar Makkah didapati perlunya menguasai tulisan. Ada dua sumber penulisan. Satu dari Yaman yang agak maju dan mempunyai tulisan dikenali dengan  Tulisan Humairi yang hurufnya terpisah-pisah dan menyerupai tulisah Habashah. Daripadanya berkembang Khat Kufi. Bukti tulisan Yaman ini terdapat pada tinggalan duit syiling, dan ukiran-ukiran pada batu sekitar 800 S.M. Satu sumber tulisan ialah dikenali dengan Khat Jazam yang terkenal di Iraq dan Semenanjung Arab. Tulisan ini menyerupai Tulisan Nabti. Tulisan ini terkenal di Anbar, Hirah dan kawasan berdekatan dengan kedua tempat ini. Turut digunakan di Pelastin dan Sham. Khat Jazam ini dipelajari oleh orang-orang Quraisy di Herah dalam rangka pernioagaan mereka ke sana dan juga ke Iraq. Mereka membawanya  balik ke Makkah. Tulisan Herah ini digunakan sebelum Islam, juga turut digunakan di Madinah, terutama di kalangan orang Yahudi. Tradisi penulisan ini tidak meluas sebelum Islam dan dipelajari oleh pemuka-pemuka Arab. Mereka tidaklah begitu tekun mempelajarinya dan menggunakannya untuk kepentingan ekonomi sahaja. (Butrus al-Bustani: 1985: 35).
Menurut  Hafiz Ibn Kathir (700-774H.), ``Mereka yang belajar menulis  di negeri Arab adalah sedikit benar, Adapun orang yang awal mempelajarinya sebagaimana disebut oleh Hisham bin Muhammad bin al-Sa`ib al-Kalbi dan lainnya, ialah Bashar bin Abdul Malik saudara bagi Ukaidar Dumah, dia belajar tulisan dari Anbar, kemudian dia datang ke Makkah dan berkahwin dengan Sahba` binti Harb saudari perempuan bagi Abi Sufyan Sakhr bin Harb, maka dia mengajarnya kepada  Harb bin Umayyah dan anaknya Sufyan, dan mempelajarinya Umar ibn al-Khattab  daripada Harb bin Umayyah, dan turut mempelajarinya oleh Umayyah dari bapa saudaranya Sufyan bin Harb. Dan dikatakan yang mulai mempelajarinya dari al-Anbar ialah kaum dari Ta`I daripada kampong di sana yang dipanggil `Baqqah`, darinya dididik dan dikembangkan di Semenanjung Arab dengan luas dipelajari.`` (Ibn Kathir al-Hafiz, Kitab Fada`il al-Qur`an,  Dar al-Qublah li al-Thaqafat al-Islamiyyah, Jeddah – wa Muassasah `Ulum al-Qur`an,  Beirut, 1408H./1988M: 43).
Pada zaman permulaan Islam terdapat pemuka-pemuka Islam yang menguasai penulisan. Antara mereka ialah Zaid bin Thabit, Muawiyah bin Abi Sufyan, Sayduna Ali yang mencatat wahyu. Dan adalah apabila turunnya wahyu, Nabi membacanya kepada  yang hadir dari kalangan sahabat-sahabat, setengah mereka menghafal dan antaranya menulis di pelepah tamar atau pada kulit belulang atau pada tulang yang lebar atau pada batu yang nipis.


Riwayat Anas r.a. dia berkata: ``Mereka yang menghimpun Al-Qur`an pada masa Nabi s.a.w. ialah empat orang – Kesemuanya dari kalangan al-Ansar, iaitu Ubay bin Ka`b, Muadh bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zayd. Ditanya, Siapa Abu Zayd, katanya, `Tidak dikenali (Mati awal dikatakan dalam peperangan Badar.`` (Ibn Kathir, Fada`il al_Qur`nan, 1408/1988: 23).
Antara mereka yang menyalin Al-Qur`an berikutnya ialah Abdullah bin al-Zubair, Sa`id bin al-`As,  Abdul Rahman bin al-Harth ibn Hisham, Abdullah bin Mas`ud dan  Ubay bin Ka`b, Kemudian isemua bersetuju  hanya Naskhah`Saydina `Uthman adalah nakhah rasmi.
Jadi dengan turunnya Al-Qur`an bermulanya tradisi menulis dan membaca, sesuai dengan arahan ayat Al-Qur`an yang mula-mula diturunkan, Iqra`  (al-`Alaq: 1-5) bermaksud:
Bacalah dengan nama Tuhan engkau yang mencipta
Dia mencipta manusia dari titis baka
Bacalah dengan nama Tuhan engkau  Yang Mulia
Dia mengajar kamu menggunakan pena
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui.
Penurunan  Al-Qur`an  antaranya  mencabar golongan sasterawan Jahiliyah yang selama ini bermegah-megah dengan kemampuan mereka berpuisi; Firman Allah bermaksud:
``Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang kami turunkan (Al-Qur`an) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur`an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.`` (Al-Baqarah: 23)’
Al-Qur`an sebagai mu`jizat Rasulullah s.a.w., benar-benar melemahkan para pemuka penyair. Berkata  Labid seorang penyair sezaman permulaan Islam bermaksud:
``Sesungguhnya  Al-Qur`an itu merdu dan mengkagumkan ! Sesungguhnya Ianya tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Sesungguhnya jika sebelum Islam, kalangan pemuka Arab dari berbagai kabilah bermegah dengan keindahan puisi-puisi dari kalangan penyair-penyair mereka, maka dengan turunnya Al-Qur`an seolah-olah memadamkan cahaya (puisi-puisi) yang dimegah mereka. Sebaliknya keistimewaan Al-Qur`an memalingkan tumpuan kepada keistimewaan Kitab Suci tersebut. Al-Qur`an bukan sahaja hadir dan menjadi hafalan, tetapi terakam sebagai Persuratan yang di dalamnya terdapat sebanyak 114 surah  yang mengandungi berbagai-bagai pengajaran.

Sekian.

December 25, 2014

Baldah Tayyibah Negara Idaman Takmilah


BBB, 02 Jamadil Awal 1436 = 24 Disember 2014 (Rabu):
Tentang Negara tidak ada di dalam Al-Qur`an istilah yang menyebut secara direct Negara Islam (Baldah Islamiyyah). Ayat yang mengungkap tentang Negara ialah:
Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15)
Bermaksud: Negara makmur mendapat keampunan Tuhan
Al-Balad al-Amin (Al-Tin: 3). Bermaksud: Negara Yang Aman
Al-Balad al-Tayyib (Al-`A`araf: 58). Bermaksud: Negara yang Elok (Maju).
Al-Balada Aamina (Ibrahim: 35). Bermaksud: Negara  Aman
Baladan Aamina (Al-Baqarah: 126). Bermaksud: Negara Yang Aman
Manakala Negara Islam yang jelas aplikasi Rasulullah s.a.w. ialah Negara Madinah.
Tentang Negara Madinah diasas oleh Rasulullah s.a.w. sejarah menyebutkan bahawa masyarakat di Madinah bukan bersifat homogenous, tetapi adalah terdiri  dari:
1)       Masyarakat Islam yang disatukan oleh Rasulullah s.a.w, antara golongan Muhajirin dan Ansar (Aus dan Khazraj)
2)      Kaum Yahudi
3)      Kaum Nasara
4)      Penyembah Berhala
5)      Pendatang dari luar tertarik dengan Islam dan datang menganut Islam dan menetap di Madinah
Jelas masyarakat di Madinah pada peringkat permulaan diasas oleh Rasulullah adalah Masyarakat Majmuk.  Rasulullah memberi  kebebasan bagi semua masyarakat di Madinah  mengamalkan agama masing-masing. Ini bererti dengan pengasasan  Negara Madinah, maka umat Islam mempunyai Negara Islam yang di dalamnya dapat dijalanakan pemerintahan Islam dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam.


Ciri Negara Islam Madinah ini seolah-olah ada persamaan dengan masyarakat majmuk di Malaysia yang dari segi kaumnya terdiri dari Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Dusun, Murut dan kaum-kaum yang lain. Malaysia juga, walaupun perlembagaan Malaysia mencatat bahawa agama Persekutuan ialah Islam, tetapi agama-agama lain bebas diamalkan di Malaysia oleh penganut agama masing-masing.
Bagi menjamin kekukuhan Madinah sebuah Negara  yang disifatkan seharusnya sebagai  `Negara makmur, aman dan maju sudah tentulah  berbagai pendekatan dan tindakan diambil Rasulullah s.a.w.  antaranya  merubah Negara yang asalnya bernama Yathrib itu kepada nama Madinah. Pendekatan  ini dilakukan dengan  penuh sedar iaitu bertujuan bagi meningkatkan Madinah menjadi sebuah `Negara Madani` (Sivil society) yang bakal bangkit dan maju dengan ciri tamadun. Bagi tujuan pertamadunan ini Madinah menyerlahkan potensinya, iaitu:
1)       Madinah menyusun pentadbiran sebagai sebuah Negara yang diketuai Rasulullah s.a.w.
2)      Melengkapkan pertahanan Negara yang menghadapi ancaman musuh, terutama dari kuffar Makkah
3)      Menjadikan Madinah Pusat Perniagaan yang menghubungkan  Semenanjung Arab dengan Makkah, Sham,  Mesir , Parsi,  Rum dan lain-lain
4)      Menjadikan Madinah Negara Aman dihuni oleh mana-mana pihak
5)      Mengenakan cukai dan zakat kepada mereka yang layak bagi kepentingan pentadbiran
6)      Mengadakan perjanjian dengan pihak-pihak berkenaan bagi kepentingan Negara Madinah
7)      Mengadakan hubungan diplomatic dengan dengan Negara-negara luar.
Bersama menjadikan Madinah sebagai Negara Madani yang bertamadun, serentak dengan itu juga Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. membangunkan dari segi peradaban. Konsep peradaban ini sebenarnya bermula dari Rasulullah s.a.w. yang sejak dari awal lagi mempunyai adab dan akhlak yang mulia. Ini merupakan asas peradaban. Apabila Baginda dibangkitkan, maka peribadi baginda sendiri adalah menjadi asas peradaban. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu adalah uswah yang elok`` (Al-Ahzab: 21).
Persoalan bagi membina adab dan peradaban ini ditekankan oleh Rasulullah s.a.w  dengan tindakan seperti berikut.
1)      Mewajibkan jenis-jenis ibadat  dan mendirikan masjid sebagai pusat ibadat dan kemasyarakatan
2)      Memperluaskan pengajaran Al-Qur`an dan pengajaran dari diri Baginda yang kemudian menjadi satu konsep ilmu yang dikenali dengan Hadith
3)      Menyebarluaskan ilmu pengetahuan melalui institusi masjid dan tempat-tempat bersesuaian
4)      Memberi penekanan terhadap dakwah sama ada dalam Negara atau ke luar Negara
5)      Menugas dan menghantar guru-guru terkenal  mengajar hingga ke luar contoh sampai ke Yaman
6)      Menghantar perutusan dakwah kepada pemerintah-pemerintah luar menawarkan agama Islam
7)      Menjaga kebajikan masyarakat, terutama anak yatim, faqir-miskin dan mereka yang mendepani kesusahan.
Takmilah di dalam pendekatannya mengambil kedua-dua konsep, iaiitu  Tamadun dan Peradaban dalam meningkatkan masyarakat ke puncak Takmilah. Takmilah melihat di dalam memajukan masyarakat pihak bertanggungjawab atau dalam rangka penulisan, pengkarya hendaklah mempertingkatkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan  mendidik juga dengan aspek-aspek nilai peradaban yang di dalam konteks penulisan nilai-nilai unggul dari ciri estetika, lantaran itu khalayak dapat dididik dan digerakkan dengan berbagai ilmu dan nilai bagi membina individu dan masyarakat yang tinggi dengan ilmu pengetahuan dan kaya dengan  nilai-nilai peradaban. Apabila masyarakat terdiri dari mereka yang berilmu dan tinggi dengan nilai dan peradaban, maka Negara maju dan menuju kepada masyarakat yang bertamadun dan berperadaban.

 Sekian.

December 24, 2014

Negara Wadah Perjuangan Dan Pengisian: Takmilah Diharap Menjadi Dinamika Ummah


BBB, 01 Rabiul Awal 1436 = 23 Disember 2014 (Selasa):
Sukar untuk dibayangkan seseorang dilahir atau berada di dalam situasi tanpa bernegara, selain dari kedudukannya tergugat, banyak urusan dan kegiatan menghadapi masalah. Menarik kewarganegaraan seseorang adalah hukuman yang berat, lantaran kebebasannya sama ditarik. Lantaran itu hak bernegara adalah hak asasi manusia.


Negara sebenarnya, selain dari tempat tinggal dan meneruskan kehidupan biasa,  adalah wadah perjuangan bagi individu atau kelompok bagi melaksanakan  sesuatu visi dan misi.  Ada perjuangan yang mau melaksanakan hasrat dan tujuan dengan mengambil pendekatan secara kekerasan yang antaranya membawa kepada penaklukan dan penjajahan.  Ada perjuangan bagi menentang kebatilan bagi menegakkan kebenaran  seperti  Rasulullah yang merupakan anak watan Makkah berjuang untuk menegakkan kebenaran di Makkah, tetapi tidak mendapat sambutan pada peringkat awal di Makkah, memerlukan tapak dan wadah perjuangan dan mengambil pendekatan berhijrah dan menjadikan Madinah sebagai Negara baginya berjuang dan berjihad bagi menegakkan Islam yang kemudiannya kebenaran yang dibawa ini bukan saja bagi Madinah, tetapi juga kepada Makkah, tetapi meluas ke seluruh dunia. Rasulullahs.a.w. pembawa kebenaran adalah insan cemerlang  yang Berjaya membawa perubahan dunia.
Konsep kecemerlangan ini seharusnya menjadi contoh tauladan yang baik. Usaha meningkatkan kecemerlangan Negara `Malaysia`  bukan hak mutlak  milik individu perseorangan atau kelompok tertentu, tetapi hak semua seharusnya bertujuan untuk kebaikan. Bagi pembangunan dan kemajuan Malaysia rakyat Malaysia dari berbagai sector dan lapisan masyarakat sememangnya sedang bekerja dengan kebolehan dan kapasiti masing-masing. Petani  di bendang, walaupun dilihat kerja ini bertaraf rendah, bekerja bertanam padi yang peranan mereka membekalkan beras sebagai makanan utama penduduk. Demikian dengan nelayan yang diklasifikasikan sebagai golongan rakyat termiskin, tetapi sebenarnya berperanan membekalkan protein sebagai makanan utama sebagaimana yang dihasilkan petani.  Di sebalik itu para buruh yang berperanan memberi  khidmat sebagai tenaga perkhidmatan di berbagai sector bagi menghasil dan menyampaikan keperluan dan perkhimatan kepada rakyat adalah merupakan penggerak utama kemajuan, walaupun mereka tidak diberi pengiktirafan, lantaran mereka dari kalangan bawahan dan pelaksana arahan. Memanglah diakui semakin tinggi peranan dan perkhidmatan semakin diiktiraf khidmat. Misalnya sector pertanian seperti Felda sedang berusaha mengembalikan harga minyak sawit yang jatuh, Petronas berusaha mengatasi kemerosotan pendapatan akibat penurunan harga minyak dunia, para peniaga biasa mengadjust harga barangan agar terjamin keuntungan, sedangkan rakyat banyak mengeluh dengan kenaikan harga barangan, walaupun harga minyak menurun, para pentadbir di jabatan-jabatan menjalan rutin kerja harian dalam suasana yang lebih selamat dan orang politik yang sentiasa tamak kuasa sentiasa berusaha dengan berbagai cara untuk mendapat sokongan rakyat bagi mengekalkan kuasa, manakala pihak keselamatn di samping mengawasi  agar tidak berlaku pencerobohan musuh di sempadan juga mengawasi kegiatan-kegiatan yang boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Negara, selain dari memerlukan berbagai kegiatan di atas bagi meneruskan kelangsungan, memerlukan kepada kompas dan panduan yang boleh meningkatkan prestasi kehidupan dan unggul pegangan dan pencapaian. Maksud prestasi kehidupan ini lebih kepada kejayaan-kejayaan tampak. Menyebut Negara maju, maka terpandang kita pada ibu kota ibu kota Negara yang maju dengan bangunan-bangunan pencakar langit, pentadbiran cekap, industry maju, hasil Negara meningkat, sector swasta yang giat dengan pendapatan rakyat tinggi hasil dari pimpinan yang cekap dan dipandang hormat baik di dalam dan luar Negara.
Maksud dari segi `unggul pegangan dan pencapaian` bahawa wujudnya `Falsafah Nilai yang Membudayakan masyarakat` yang menjadi daya yang menggerakkan masyarakat berkenaan. Kita percaya bagi orang German ada falsafah pegangan yang jika setiap kerja dan penghasilan dilakukan dengan teliti dengan  hasil bermutu, begitu juga prestasi orang Jepun dan Korea.  Apakah system pendidikan dan budaya positif mereka Berjaya menghasilkan falsafah dan niali unggul bagi mereka ?
Pendidikan dan nilai budaya diterapkan, memainkan peranan yang penting di dalam membentuk falsafah nilai dan sudut pandangan masyarakat. Malaysia dilihat dari jumlah institusi pengajian lebih dari cukup bagi membangun Negara dan tidak rendah diri jika disbanding dengan German, Jepun dan Korea yang pernah kalah, tetapi berjaya bangkit dalam masa yang singkat. Apakah pengajian-pengajian tinggi kita masih pada peringkat mengeluarkan pelajar-pelajar bagi berbagai peringkat, tetapi masih gagal menemui falsafah dan nilai yang kukuh menghasilkanpara genius yang dapat mencetuskan pemikir-pemikir yang berdaya memajukan masyarakat ?
Takmilah sebenarnya meletakkan ideal unggul dari akidah dan uswah  hasanah  untuk dijadikan falsafah dan dinamika kehidupan dan perjuangan berasaskan falsafah Islam, iaitu berasaskan konsep  Allah bersifat ~Kamal` dan juga Rasulullah s.a.w. disifatkan `Insan Kamil`. Maka pecahan dari akar kata bagi kedua-dua istilah ini diambil `Takmilah` bagi dijadikan  falsafah pendidikan dan kehidupan yang berusaha ke a rah penghasilan amalan sempurna bagi setiap pekerjaan, walaupun pada hakikatnya tidak mungkin sampai kepada tahap Takmilah perfect. Semoga ianya merupakan dinamika masyarakat dan umat.

Sekian.

December 23, 2014

Khalayak Fokus Penting Takmilah


BBB, 29 Safar 1436 = 22 Disember 2014 (Isnin):
Dalam skema Takmilah yang mempunyai  paksi pengkarya, karya, khalayak,  dengan bertonggakkan Al-Qur`an dan  sandaran utama kepada  Rasulullah dan ilmu, maka  bahagian tengah sebagai tiang seri  - nilai (estetika  dalam menuju puncak).  Khalayak bukan berkedudukan utama dalam Takmilah  berbanding dengan Al-Qur`an, Rasulullah, Akal, pengkarya dan karya, tetapi gemblengan dari keseluruhan adalah bagi meningkat martabat khalayak dari kedudukan paling rendah kepada  maqam-maqam dan  martabat-martabat setinggi mungkin. Perlu difahami  bahawa khalayak  ialah `orang ramai` yang mempunyai berbagai-bagai kedudukan. Ada yang terkeluar dari landasan, ada yang bersifat terpinggir yang perlu dibetulkan, ada bertahap biasa yang perlu digerakkan dan ada yang sudah mempunyai persediaan bagi  pergerakan kepada kualiti yang lebih tinggi.


Walaupun khalayak menjadi fokus utama bagi Takmilah, tetapi persediaan menyempurnakan infrastruktur kea rah Takmilah mesti disediakan sesempurna mungkin, tugas utama adalah di atas pengkarya. Pengkarya di dalam hal ini mempunyai niat murni, bahawa dengan karyanya dia mau  memperbaiki khalayak masyarakat dan meningkatkan mereka melalui maqam-maqam dan tabaqat-tabaqat kepada martabat yang lebih tinggi.  Di dalam hal ini pengkarya perlu menguasai segala bidang ilmu secara umum dan keilmuan yang khusus berhubung dengan bidang kreatif. Segala bidang ilmu pengetahuan sewajarnya diketahui oleh pengkarya baik bidang sains tulen,agama dan kemanusiaan, bahkan memiliki  pengetahuan umum, lantaran dikatakan bahawa, `Pengkarya harus mendahului zamannya`. Idealnya ia mesti mengatasi ilmu dan maklumat orang yang hendak disampaikan. Andainya dia mau menyampaikan perutusan karya yang mempunyai nilai ilmu dan estetika keislaman, maka dia juga harus menguasai bidang-bidang keilmuan Islam. Lebih penting kerana medium mau disampaikan ialah secara nilai dan estetik, maka dia harus menguasai berbagai kaedah penulisan, khususnya yang bersifat kreatif. Pendeknya pengkarya harus bergerak terlebih dahulu melalui sandaran keilmuan dan bidang keislaman ke peringkat tonggak Takmilah bersama dengan bidang kreatif yang digunakan. Pendek kata bidang keilmuan, keislaman dan kemahiran berkreatif haruslah bergerak serentak  secara vertical dan horizontal. Pergerakan vertical bermaksud pengkarya bergerak ke atas dari segi keilmuan, bidang khusus,  nilai dan estetika. Manakala pergerakan bersifat horizontal ialah pergerakan secara mendatar dari dirinya kepada khalayak yang mungkin rendah  kemampuannya berbanding dengan pengkarya. Di dalam hal ini tiga beban besar yang menjadi cabaran bagi pengkarya menguasai ilmu sebanyak yang mungkin dan mengaplikasikannya ke dalam karya, tugas kedua ialah menguasai bidang kreatif termasuk menggunakan pengalaman yang dilalui untuk mempertajamkan persepsi di dalam berkarya.
Tugas ketiga yang paling besar ialah bagi menggerakkan minda dan kesedaran khalayak yang  disebutkan kemungkinan berada di luar  atau di pinggir landasan kepada landasan yang betul atau lebih mudah jika sudah berada pada landasan, maka usaha  yang harus dilakukan ialah menggerakkannya.


Melaksanakan misi dan visi pengkarya yang mendukung dan bergiat melalui karya bagi menyebarkan ilmu dan nilai & estetika melalui penulisan, maka pengkarya perlu terjun ke tengah masyarakat melalui tulisan  di dalam menyampaikan mesej dan visi mengenai seni dan nilai. Fokus pengkarya ialah mengangkat kesedaran  khalayak dengan mempertingkatkan kesedaran dari segi keilmuan sekaligus menghargai karya yang membawa mesej ilmu dan elemen nilai dan estetika, Contoh karya-karya ilmu bersifat puisi seperti  Matan Jauharat al-Tauhid, Matan al-Rahbiyah bagi fiqh dan Matan al-Jauhar al-Maknun bagi Balaghah, banyak mempengaruhi khalayak di dalam bidang-bidang  ilmu berkenaan  yang disampaikan dalam bentuk puisi dan syarah.
Sekali  lagi diperingatkan bahawa lain bidang lain pendekatan yang boleh digunakan. Apa yang dibincangkan di atas lebih merupakan pendekatan releven dengan yang  bersifat persuratan kreatif.
Adapun dari  segi seni bina misalnya memerlukan penguasaan bidang seni, matematik dan juga geometri. Jurubina yang berkemampuan menghasilkan pelan yang bermutu dari segi bentuk dan daya estetik memungkinkan terhasilnya senibina  yang agung yang menjadi sebutan. Sejarah menyaksikan pengkarya atau pengkarya-pengkarya yang gigih yang terkenal mampu menghasilkan monument yang bernilai  dan terkenal dan memberi  impak kepada tamadun dan kesan pada khalayak. Ambil sahaja sebagai contoh Masjid Madinah, Masjid Cordova, Istana Granada, Taj Mahal, Jami` Isfahan, Masjid Salahuddin Shah Alam, Menara Berkembar dan sebagainya. Takmilah mengharapkan terhasilnya kerja-kerja  seni berasas ilmu dan bernilai  tinggi mutunya dan menjadi monument sebutan zaman.


Selain dari karya persuratan,  senibina,  boleh diambil contoh dalam bidang seni lagu seperti  marhaban, qasidah, salawat dan barzanji yang dilagukan itu. Karya-karya seperti marhaban menyambut Rasulullah ke Madinah terus hidup dan dikembangkan dengan tambahan-tamabahan seperti barzanji,  qasidah dan dilagukan dengan perluasan lagu-lagu salawat yang membawa nada dan nilai-nilai keislaman yang patut digalakkan sebagai tantangan lagu-lagu yang bersifat porno dan profane. Kita mau keilmuan dijunjung tinggi, kehalusan,  kekudusan, keihsanan dan keinsanan sama mengiringi. Khalayak yang berwibawa yang dapat menilai dan mengapresiasi hasil-hasil yang tinggi mutunya.

Sekian.

December 22, 2014

Nilai, Bagaimana Menentukannya ?


BBB, 28 Safar 1436 = 21 Disember 2014 (Ahad):
Nilai adalah penting bagi Takmilah. Nilai disifatkan  sebagai `Tiang Seri`  bagi Takmilah dan berkedudukan antara pengkarya dengan karya dan khalayak di dalam segitiga dan berada pada garis tengah di dalam menuju puncak, iaitu Takmilah. Dengan nilai berkenaan menentukan mutu sesebuah karya kreatif sama ada bermutu atau tidak. Nilai berkenaan memberi  erti:
1)      Ciri estetika yang ada pada sesebuah karya – Nilai indah
2)      Betul dan Salah, Baik dan buruk, manfaat atau mudarat
3)      Pembelaan  – Adil dan zalim
4)      Kemanusiaan – simpati kerana sesuatu tragedi
5)      Keunggulan dan keluhuran
Persoalan yang menjadi perbahasan falsafah ialah siapa yang  menentukan nilai-nilai berkenaan yang kesemuanya bersifat subjektif dan juga bagaimana menilaikan tentang kualiti yang bahan  bukan bersifat nyata dan bukan kuantitatif itu ? Antara penentuan sesuatu yang begitu serius contoh berkenaan betul dan salah. Tidakkah di dalam mengambil pendirian berlaku kontradiksi dan kekacauan ?


Pendapat  tentang menentukan kebenaran sebagai pegangan Islam ialah mutlak Allah Ta`ala  contoh seperti tentang benar seperti ketuhanan yang Maha Esa - tauhid dan salah mengenai syirik, tentang apa yang ma`ruf (berbakti kepada ibu bapa) dan munkar  (derhaka kepada keduanya), tentang halal dan haram yang semuanya mempunyai dalil-dalil naqli dan qat`i.
Di samping pegangan Ahlu al-Sunnah seperti di atas ada yang  berpendapat bahawa soal benar, salah dan baik buruk adalah ditentukan oleh akal – antaranya  golongan rasional  seperti  Mu`tazilah. Menurut Mu`tazilah akal akan tiba pada kebenaran sebagaimana apa yang diwahyukan. Banyak perkara yang dapat ditentukan dengan akal,contoh  misalnya merokok membahayakan kesihatan, meninggalkannya adalah amalan yang baik. Syarak juga sama berpendapat sedemikian.
Namun ada bidang yang nisbi dan relatif yang di luar dari hukum betul dan salah, sebaliknya bergantung pada persepti `hati-rohani`. Contoh persepsi tentang `sesuatu fenomena alam, kekaguman terhadap sesuatu seni bina dan `keharuan terhadap keindahan lagu.
Apa yang dibicarakan di atas adalah nilai dari pihak tertinggi dan penilai atau pada pihak khalayak yang menghayati tentang sesuatu `seni-rohani` sesuatu yang ditanggapi.  
Bagi pengkarya, penggubahan adalah lebih kompleks dan menuntut ketelitian dari segi seni dan akli. Misalnya dari aspek sastera bagaimana pengkarya mampu menggubah cerita misalnya bertemakan keyakinan terhadap keesaan Allah, misalnya dengan menampilkan watak yang  hidup mewah bersikap sombong,  durhaka dan lalai hingga dia menemui ujian penyakit pada dirinya, menyebabkan ia insaf dan menemui jalan kembali. Di dalam cerita boleh diselit elemen Ketuhanan Yang Maha Esa, tentang benar dan salah, ma`ruf dan mungkar dan pada puncak jalinan cerita misalnya penyelesaian yang mengharu dan menginsafkan. Di dalam karya  berkenaan banyak melibatkan nilai yang merupakan ketentuan dari Yang Tertinggi di samping akli dan juga nilai `hati-rohani`.
Berlainan bidang seni,  bebeza  pendekatan dan gubahan seninya, seorang arkitek menggubah pelan sebuah  bangunan moden, tetapi berciri  Islam dan tradisional tempatan –Rumah Melayu,  mencari ilham gabungan interteks pelan bangunan yang  sedia ada, tetapi secara kreatif melakarkan secara asimilasi misalnya arah rumah mengarah ke Kiblat, bumbung atapnya mengambil bentuk rumah peleh berbuah butung sebagai tunjuk langit lambang mengarah kepada keagungan yang Maha Esa, bertebar layar pada kedua belah sutuh dan atap.  Pada tingkat bawah ruang tamu pada bahagian depan, berasing dari ruang masuk keluarga, jika ada tamu dari bahagian depan. Rumah mempunyai bilik solat untuk keluarga. Bilik air dan toilet tidak berada pada bahagian menghadap kiblat.  Hiasan dalam banyak dari ayat Qur`an dan sebagainya.


Dari segi ukiran pengukir yang memahami Islam dan budaya Melayu, misalnya mengukir ayat-ayat Qur`an secara tebuktembus pada bahagian atas mimbar masjid dan bahagian bawah mengukir dengan mengambil motif-motif flora dan fauna seperti  daun dan bunga ketumbit, bunga dan daun kangkung, bunga cempaka, pucuk rebung dan sebagainya. Manakala untuk hadangan pemisah antara lelaki dan perempuan  diukir penghadang dari kayu jati, cengal dan sebagainya bermotifkan geometric design. Penulisan khat juga  selain dari mengikuti bentuk-bentuk sedia ada seperti nasakh, raq`ah, thuluth dan  dewani para khattat bebas melakar bentuk secara kreatif menurut bentuk terang (nasakh),  ringkas (raq`ah), pantas (thuluth) dan berbunga secara bebas (diwani). Khat-khat yang dihasilkan dilihat begitu seni, murni dan kudus lantaran ayat-ayatnya diambil dari ayat-ayat Qur`an, Hadith atau kata-kata hikmat, lagi pula lokasi diletakkannya ialah pada tempat yang terhormat  dan suci seperti di dalam masjid, surau, dewan, rumah kediaman dan sebagainya.
Kekudusan, merdu dan indah juga dapat dihayati seperti dari qasidah, marhaban,  lagu-lagu salawat ke atas Nabi secara beramai-ramai. Kemerduan dan indah dan kudus adalah dari senikata lagu, rentak dilagukan disertai dengan paluan gendang menurut rentak lagi secara mudah dan memukau. Filem-filem dapat ditampilkan bertema agama dan dakwah dengan jalan cerita yang baik, pelakun-pelakun yang beretika dan mesej yang jelas.
Nilai selain dari yang bersifat hukum, maka nilai seni dan indahnya bergantung pada mutu karya yang dihasilkan dan impaknya pada khalayak. Terlalu sukar untuk mendefinasi tentang seni dan indahnya. Antaranya jika bersifat bahasa dan ungkapan khususnya puisi  ialah bersamaan jumlah akhir suku kata, sama panjang dan pendeknya, merdu bahasa, indah sebutan dan luhur perutusan. Ada elemen berulangan, bertentangan dan keharmonian, manakala bagi yang berbentuk cerita termasuk filem bahawa jalan ceritanya menarik, ada watak unggul, protoganis, antigonis dan pipih ada konflik yang diselesaikan dengan menarik dan mempunyai perutusan yang memuaskan.
Manakala yang berbentuk seperti seni bina, ukiran dan  khat menampilkan bentuk yang harmonis, ada keseimbangan, memberi  rasa kekaguman, keluhuran, mencerminkan ketelitian dan kehalusan kerja pengkarya, menampilkan sesuatu yang istimewa dan tidak ada yang lain seumpamanya.
Demikianlah nilai selain dari ditentukan oleh Yang Tertinggi, maka yang bersifat seni cita rasa jiwa-rohani berperanan menghayatinya dan menilainya, pun tidak terlepas dari subjektif.

Sekian.

December 21, 2014

Rasulullah Uswah Hasanah Bagi Pengkarya


BBB, 27 Safar 1436 = 20 Disember 2014 (Sabtu):
Tonggak kedua selepasa Al-Qur`an bagi Takmilah yang menjadi piawaian keinsanan ialah Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan  `Sandaran Kukuh`  utama di samping  `Ilmu`. Rasulullah s.a.w. dilihat pengkarya  sebagai Uswah Hasanah pada tahap tinggi dan mengusahakan `Pembawaan Rasulullah menjadi ikutan dan diaplikasi sedapat-dapatnya pada dirinya selaku Pengkarya dan pada karyanya. Lantaran pengkarya tidak mahu dilihat memperkatakan sesuatu, terutama yang bernilai baik, tetapi tidak dilakukan pada dirinya (al-Saff: 2-3).


Melihat pada Rasulullah s.a.w sebagai Uswah Hasanah pada beberapa tahap:
1)      Zaman Kanak-Kanak Dan Remaja
2)      Zaman Berkeluarga
3)      Tahap Insan Khalifah
4)      Tahap Insan Rabbani
5)      Tahap Insan Kamil
Semua tahap dapat dimanfaat dari kehidupan Rasulullah s.a.w.
!)  Zaman Kanak-Kanak Dan Remaja
Muhammad adalah dari turunan mulia yang bertalian keturunan kepada Nabi Allah Ibrahim a.s.dan turun nasab melalu Nabi Allah Ismail a.s. dan pertalian kepada kaum Quraisy. Bapanya Abdullah seorang peniaga dan ibunya Aminah. Ayah dan ibunya wafat semasa Muhammad masih keci dan sebagai anak yatim piatu Muhammad dijaga oleh Datuknya Abdul Muttali dan kemudiannya oleh bapa saudaranya Abu Talib. Semasa remajanya Muhammad terkenal di kalangan masyarakat Quraisy sebagai seorang yang jujur. Satu masa ketika hendak diangkat `hajarul aswad` ke Ka`bah berikut dari pembaikan Ka`bah, berlaku pertikaian antara qabilah. Masing-masing mau mengangkatkan `hajarul aswad` berkenaan, lantaran ia dianggap sebagai satu penghormatan. Pertikaian dapat diselesaikan oleh Muhaammad apabila beliau sebagai orang yang dipercayai dan terkenal sebagai `Al-Amin` diberi kepercayaan menyelesaikan pertikaian dengan meletakkan `hajarul aswad` di atas hamparan dan kabilah-kabilah berpeluang memegang penjuru dan tepi kain dan Muhammad mengangkat sama ke tempat asal `hajarul aswad``.
2)  Zaman Berkeluarga
Semasa Muhammad di bawah peliharaan bapa saudaranya Abu Talib, beliau pernah mengikuti bapa saudaranya berniaga di Sham. Setelah mahir berniaga Muhammad sendiri berniaga dengan bantuan barang dagangan seorang yang kaya pada masa itu, iaitu Khadijah bt. Khuailid. Kepandaian berniaga, sifat amanahnya dan perniagaannya memberi  keuntungan, maka Saidatina Khadijah seorang janda telah meminang Muhammad menjadi suaminya dan meneruskan kerjaya sebagai peniaga. Bersama Khadijah Muhammad mendapat seramai lima anak, iaitu Fatimah, Zainab, Ruqayyah, Ummi Kalthum dan Al-Qasim. Mutakhir dari kehidupannya bersama Khadijah, satu-satu isterinya Muhammad cenderung kepada beribadat dan mengasingkan diri ke Gua Hira`. Semasa  di sana Muhammad telah menerima wahyu dan diangkat menjadi Rasul. Saidatina Khadijah memberi  sekongan  terhadap Muhammad Rasulullah s.a.w., walaupun mendapat ancaman dan berbagai-bagai sekatan.


3. Tahap Insan Khalifah
Dapat dikira dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. menjadi Rasul adalah baginda lebih dari taraf khalifah. Namun konsep kekhalifahan ini dilihat dari usaha gigih Rasulullah mentadbir dan menjalankan dakwah secara senyap dan secara terang, episode penentangan-penentangan yang dihadapi oleh Islam semasa di Makkah. Pengislaman sahabat, pemergian ke Taif, hijrah ke Habasyah, pertemuan-pertemuan di `Aqabah yang membuka jalan kepada  Rasulullah s.a.w. berhirah ke Madinah.
Konsep kekhalifahan dapat dilihat dari usaha Rasulullah bersama sahabat-sahabat membangunkan Madinah yang berasal dari nama `Yathrib` menjadi model Negara Islam yang pertama. Pembangunan negara Islam pertama di Madinah ini tidak sunyi daripada menghadapi konflik antara orang Yahudi dan Islam, juga berlaku berpuluh peperangan antara orang kuffar dengan orang Islam di Negara Madinah. Antara peperangan yang penting ialah seperti Badar, Uhud, Khandak, Khaibar, Hunain, Mu`tah membawalah kepada perjanjian Hudaibiyah dan Pembukaan Makkah. Pada zaman Rasulullah s.a.w. berlaku perluasan kawasan pemerintahan Islam dan berlaku hubungan dengan Negara luar di dalam konteks dakwah Islamiyah.
4.  Tahap Insan Rabbani
Dilihat dalam ruang masa yang sama iaitu selepas kebangkitan Rasulullah s.a.w. menjadi Rasul di Makkah hingga membawa kepada zaman Madinah, tetapi yang dilihat dari segi Rabbani yang lebih berciri rohani,  iaitu dari segi ibadat Baginda Rasulullah sejak dari masa di Gua Hira` dan ibadat-ibadat baginda seterusnya. Kehidupan Baginda yang bersifat sederhana dan zuhud. Sabda-sabda baginda (Hadith-Hadith) mengenai ibadat dan ibadat Baginda dan aspek-aspek kerohanian, Hadith-Hadith mengenai kerohanian, pengajaran-pengajaran Baginda baik secara formal atau tidak formal dan segala sabda (Hadith) baginda berhubung dengan keilmuan dan ke akhiratan.
5. Tahap Insan Kamil
Kedudukan Baginda di sisi Allah Subhanahu wa  Ta`ala,  sebagai Ciptaan Utama dan Istimewa , keistimewaan Baginda  sebagai Penghulu dan Ulul Azmi dari kalangan Rasul-Rasul. Begitu juga dengan penghormatan diberi Allah kepada Baginda dengan peristiwa Isra` Mi`raj dan kedudukan Baginda di akhirat. Pendek kata Baginda adalah Insan Sempurna dari segala kejadian. Pada Baginda terhimpun sifat Insan Khalifah, Rabbani dan Kamil.
Pengkarya melalui karya-karyanya berusaha membawa prinsip-prinsip utama Al-Qur`an yang mana Al-Qur`an adalah menjadi akhlak Baginda nilai-nilai murni dari Rasulullah sendiri bersesuaian dengan bidang kreatif yang dipilih dan nilai-nilai yang dibawa.

Sekian.

December 20, 2014

Model Takmilah Sempurna Bersumberkan Islam


BBB,  26 Safar 1436 = 19 Disember 2014 (Jumaat):
Model Takmilah Sempurna bersumberkan Islam, iaitu  berdasarkan Al-Qur`an yang mengandungi prinsip-prinsip Islam dan menjadi Tonggak dan  Piawaian Tertinggi bagi Takmilah.  Rasulullah s.a.w menyampaikan kandungan Al-Qur`an tersebut kepada ummah di samping memperkukuhkan kandungan  dengan Sunnah Baginda. Apa yang disampaikan oleh Baginda adalah menjadi sumber ilmu yang melibatkan berbagai-bagai bidang keilmuan dan penyampaian tersebut juga melibatkan nilai-nilai Islam. Dakwah Rasulullah s.a.w. selama tiga belas tahun di Makkah sebelum wujudnya Negara Islam. Selepas Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah, maka terbentuklah Negara Islam Pertama bertempat di Madinah. Tumpuan pembicaraan di bawah adalah tentang ilmu yang menjadi `Sandaran Kukuh`  dan penting bagi Takmilah – Ilmu.
Rajah:



Modul Takmilah Sempurna  berprinsip Al-Qur`an, lantaran Al-Qu`an adalah wahyu diterima Rasulullah s.a.w. dari Allah yang menjadi panduan dan perlembagaan bagi Islam. Antara ayat Al-Qur`an bermaksud:
Alif lam mim, Kitab Al-Qur`an itu tidak diragui memberi  pertunjuk kepada mereka yang bertaqwa.
(Al-Baqarah: 1 -2)
Ayat yang lain bermaksud:
Sesungguhnya Al-Qur`an itu memberi  pertunjuk kepada jalan yang betul  (Al-Isra`: 9).
Al-Qur`an yang menjadi prinsip dan perlembagaan Islam ini sesungguhnya menagndungi segala  ilmu dan maklumat segala maujud sama ada yang bersifat ghaib, terutama tentang prinsip ketuhanan Yang Maha Esa, sifat-sifat sempurna Allah, tentang kiamat,  hari akhirat, syurga, neraka, malaikat dan segala yang ghaib yang di luar dari jangkauan minda.
Al-Qur`an  juga menyatakan mengenai alam syahadah tentang kejadian alam yang terdiri bumi, planet-planet dan bintang-bintang. Di dalam hal ini Dr. Maurice Bucaille seorang intelektual Perancis yang mengkaji secara perbandingan antara Bible, Qur`an dan Sains Moden menyatakan:
``Qur`an itu penuh dengan pemikiran-pemikiran tentang langit-langit. Dalam fasal yang lalu yang membicarakan penciptaan alam,  kita telah melihat bahawa adanya langit-langit dan bumi-bumi telah disebutkan; begitu juga tentang adanya ciptaan tengah (antara langit dan bumi) yang telah ditunjukkan kebenarannya oleh sains modern. Ayat-ayat tentang ciptaan alam, telah menunujukkan secara tidak langsung ide umum tentang isi langit, artinya tentang segala sesuatu yang berada di luar bumi kita.


Di samping ayat-ayat yang khusus menggambarkan penciptaan, ada lebih dari 40 ayat Qur`an yang memberikan kepada astronomi (ilmu bintang) keterangan-keterangan tambahan. Sebahagian dari ayat-ayat tersebut hanya merupakan renungan tentang keagungan Zat Pencipta dan Pengatur segala sistem bintang-bintang dan planet-planet yang kita ketahui, dan yang dipelihara dalam keseimbangan dengan peraturan yang dikemukakan oleh Newton, iaitu peraturan daya tarik antara benda-benda (law of gravitation). (Dr. Maurice Bucaille, Bible, Qur`an & Sains Moden, (Terjemahan Prof. Dr. H.M. Rasjidi),  Thinker`s Library Sdn. Bhd, Malaysia, Batu Caves, Selangor, 1994: 169).
Sebagai konklusi umum bagi bidang sains Dr. Maurice Bucaille menyatakan:
``Qur`an yang diwahyukan sesudah kedua kitab suci sebelumnya, bukan saja bebas dari kontradiksi dalam riwayat-riwayatnya, kontradiksi yang menjadi ciri Injil-Injil kerana disusun oleh manusia tetapi juga menyajikan kepada orang yang mempelajarinya secara onjektif dengan mengambil petunjuk dari Sains modern, suatu sifat yang khusus, yakni persesuaian yang sempurna dengan hasil  Sains modern. Lebih dari itu semua, sebagai yang sudah kita buktikan. Qur`an mengandungi pernyataan ilmiah yang sangat moden yang tidak masuk akal, jika dikatakan bahawa  orang yang hidup pada waktu Qur`an diwahyukan itu adalah pencetus-pencetusnya. Dengan begitu maka pengetahuan ilmiah modern memungkinkan kita memahami ayat-ayat tertentu dalam Qur`an yang sampai sekarang tidak dapat ditafsirkan.`` (Maurie Bucaille, 1994: 292-293).
Selain dari aspek-aspek sains di atas Al-Qur`an membicarakan tentang kejadian manusia dari peringkat awal dari dalam kandungan hingga kelahiran dan meninggal. Turut dibicarakan tentang sains samudera, sungai, hujan, tumbuh-tumbuhan, lebah dan  hasil buah-buahan.
 Selain daripada yang bersifat sains Al-Qur`an membawa perundangan syariah yang melibatkan ibadah, mu`amalat, munakahat, jinyah dan jihad. Bidang-bidang berkenaan begitu banyak diberi  tumpuan oleh ulama dan menghasilkan kitab-kitab fiqh terkenal. Di dalam al-Qur`an juga membicarakan tentang sejarah Negara-negara silam dan tokoh-tokoh terkenal sama ada sifat zalim atau baik yang dapat menjadi contoh tauladan.


Al-Qur`an yang diturunkan di dalam bahasa Arab itu menjadi model dan piawaian bagi bahasa Arab. Daripada Al-Qur`an disusun keilmuan yang dikenali dengan nahu dan saraf dan Al-Qur`an tetap menjadi contoh dan rujukan bagi bidang bahasa Arab dan kaedah pembacaan yang dikenali dengan tajwid. Membaca Al-Qur`an meningkatkan fasahahdan ingatan  bagi pembaca  di dalam bahasa tersebut.
Dengan kandungan keilmuan dalam al-Qur`an dan banyak ayat-ayat berkenaan ilmu dan gesaan agar mempelajari ilmu, maka Al-Qur`an menjadi `Tonggak` dan `Piawaian` rujukan,  contoh keilmuan  serta inspirasi  bagi Takmilah. Bahkan keilmuan menjadi `Sandaran Kukuh` bagi Takmilah di samping `Tiang Seri` estetika.
Firman Allah bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.`` (Al-Kahfi: 109).

Sekian.

December 19, 2014

Mengapa Berkreatif ?


BBB,  25 Safar 1436 = 18 Disember 2014 (Khamis):
Pembicaraan masih di bawah topik besar, iaitu tentang pengkarya dengan bidang-bidang kreatif. Soalan boleh ditimbulkan,
                                            Mengapa berkreatif ?
Jawapan mudah boleh saja dijawab ``Melahirkan bakat sebagai hasil kreatif  melalui medium seni yang dilibati (seharusnya ke puncak Takmilah) untuk sama dihayati dan dimanfaat oleh khalayak.``
Tetapi menjawab secara melibatkan `Falsafah Takmilah` dari pandangan wujud alam dari wujud tabi`I dan naluri kepada kedudukan insan sebagai `khalifah` dan peranan insan sebagai pentadbir alam yang menggunakan mekanisme akal dan hati  - dalam membangunkan kemajuan fizikal dan nilai yang mengangkatkan martabat insan melalui kemajuan tampak (fizikal) dan rohani (seni) yang diistilah sebagai tamadun dan peradaban. Takmilah adalah rangka pendekatan kreativiti insan dalam menuju puncak nilai (Takmilah) itu sendiri. Jadi fokus utama ialah insan bertujuan meningkatkannya ke martabat nilai yang tinggi.


Andaian alam tanpa insan alam dalam tabi`I dan naluri asli
Alam yang wujud yang usianya setua hakikatnya adalah penerusan tabi`I wujudnya yang terdiri dari segi bumi  yang buminya ditumbuhi tumbuh-tumbuhan pada permukaan atau laut dan tanah  kering kontang. Tabi` di muka bumi ini adalah sebahagian dari proses  alam yang bahagian yang lain ialah planet-planet dan bintang-bintang yang turut sama mempengaruhi iklim bumi, misalnya melalui peredaran bumi mengalami siang dan malam, turut dipengaruhi pergerakan angin dan awan dan mengalami kemarau dan hujan panas dan sejuk yang muka bumi ditumbuh tumbuhan yang berbagai jenis yang mengeluarkan bunga dan buah-buahan yang menyebarluaskan tumbuh-tumbuhan berkenaan. Sesungguhnya pandangan fizikal dan hiasan-hiasan dari pergerakan awan, hembusan angin, deburan ombak,turunnya hujan, mengalirnya sungai dan menumbuhkan tanam-tanaman mencerminkan hakikat tabi`I bahawa alam fizikal dan tumbuh-tumbuhan adalah pandangan indah. Pandangan alam dengan ciri estetika dalam keadaan tabi`i.
Perubahan diandaikan belum ada insan berlaku terhadap ciri tabi`I, tetapi masih lagi bersifat tabi`I dengan terciptanya haiwan yang dibekalkan dengan aspek penting iaitu `naluri` mulai dari dinasour yang dipercayai antara binatang tertua hinggalah hidupan-hidupan yang lain di permukaan bumi, di dalam laut dan terbang diudara. Keindahan tabi`I bertambah dengan binatang-binatang bergerak secara naluri  dipermukaan bumi menjarah mencari makanan, terutama dari tumbuh-tumbuhan, di laut terdiri dari hidupan-hidupan, maka di udara direntasi segala jenis burung yang dari pagi secara naluri keluar mencari makanan dan pulang waktu petang dengan kekenyangan. Kejadian secara tabi` dan naluri bagi haiwan, tetapi masih di dalam tahap tabi`I adalah berterusan. Fasa-fasa yang diperkatakan belum melibatkan insan dan belum termasuk di bawah rangka Takmilah yang seharusnya melibatkan insan  dan nilai-nilai yang dikaitkan dengannya. Apa yang wujud dari kejadian dan fenomena alam adalah persediaan bagi insan yang disifatkan sebagai khalifah yang memakmurkan alam dan nilai-nilai dinisbahkan kepada insan.
Fasa penting dari segi perubahan dan kemajuan  alam dan muka bumi ialah dengan pengiriman manusia (tercipta) – Adam dan Hawa yang memulakan  turunan generasi manusia yang memakmurkan bumi  ini. Rujuk ayat Al-Qur`an mengenai peristiwa berhubung dengan Adam dan Hawa` (Al-Baqarah: 22 & 30).
Episod kejadian manusia di muka bumi dan kelahiran generasinya di muka bumi adalah fasa penting bagi muka bumi dan alam ini sendiri. Sebelum dari adanya insan di muka bumi ini, walapun betapa tua sudah, tetapi ianya belum disentuh oleh insan. Kepentingan pada insan ialah dengan adanya akal dan hat-jiwa pada insan itu sendiri. Dari segi falsafah Takmilah adalah bermula dari wujudnya sentuhan akal sekaligun dengan hati-jiwa yang terjelma darinya elemen estetika.
Mulai Adam-Hawa di muka bumi  adanya episode kasih sayang antara Adam-Hawa dan anak-anak mereka sepert Habil, Aklima, Qabil dan Arifah dan lain-lain.  Pada zaman mereka juga berlaku konflik keluarga, iaitu Qabil enggan mengahwini Arifah, tetapi mahukan kembar perempuannya  Aklima (lebih cantik dari Arifah, tetapi tidak harus kahwin dengannya) yang Adam-Hawa mau menjuduhkannya. Pada masa itu juga berlaku konflik dan pembunuhan oleh Qabil  terhadap Habil yang tidak puashati  adik perempuan kembarnya  (Aklima dikahwinkan juga dengan Habil).  Selain dari nilai kasih sayang terdapat nilai hasad dengki yang puncaknya membawa kepada pembunuhan Qabil terhadap Habil. Sifat ini terus diwarisi oleh keturunan Adam-Hawa dan insan teruji di tengah tuntutan buat baik, tetapi terus ada kejahatan, juga tuntutan kepada manusia agar bertaubat dan kembali kepada Allah dengan amalan yang baik. Takmilah kaedah menggerakkan nilai kepada yang lebih baik dan menolak yang tidak baik, melalui mekanisme akal (ilmu) dan nilai estetika melalui medium seni yang dipilih.
Apa yang diperturunkan di atas mengenai anak-anak Nabi Adam dan Hawa adalah melalui  sastera berhubung dengan cerita yang ada watak baik dan jahat, tuntutan jangan mengambil jalan jahat dan kembali kepada kebaikan. Adam sebagai Khalifah tidak terlepas dari masalah sejak dari di syurga dan juga bila turun di dunia terus menghadapi masalah dari karinah anak-anak. Walau bagaimana usha terus dilakukan oleh Adam membaiki turunannya  meneruskan kehidupan dan memakmurkan bumi. Konflik sedemikian terus dihadapi generasi anak-anak Adam dan tarapi dilakukan sepanjang zaman, bukan setakat memperbaiki minda dan jiwa mereka, tetapi melalui  peningkatan minda insan membina tamadun dan melalui peningkatan hati-rohani mereka membina peradaban.
Kesimpulan, bahawa konsep Takmilah ialah berkait dengan wujudnya watak manusia di permukaan bumi yang disediakan sebagai medan kegiatan mereka dan manusia tidak terlepas dari konflik dan berdepan dengan nilai baik dan jahat, elok dan buruk, ikhlas dan hasad. Perjalanan kualiti di dalam takmilah ialah usaha  pengkarya menentang secara keras atau diplomasi  sebagai dakwah  melalui bidang seni dan estetik bagi mengembalikan penyelewengan  ke jalan yang betul dan bergerak secara kualiti maqam demi maqam ke peringkat takmilah di dalam masyarakat yang bertamadun dan berperadaban.

Sekian.