Mendalami Tafsir Itu
Bukan bidang yang baru bagiku
Dipelajari sejak sekolah menengah lagi
Dan berterusan
keperluan rujukan
Tapi membantu tazkirah berselang pagi
Di Surau Al-Umm tertua di Bangi
Antara Hadith dan Tafsir di surau itu
Melatih diriku lebih memahaminya
Bahkan setiap sebelum menjelang subuh
Ialah wadah ilmu pertama kuhadapi
Ibn Kathir, Syed Qutub dan Hamka
Dengan Tafsir Ibn Kathir, Fi Zilal Al-Qur`an
Al-Azhar dan
kitab-kitab rujukan
Wadah awal pemecah subuh
Kucurahkan di depan jamaah
Sebaik selesai solat dan doa.
Jadual sebagai kemestian itu
Mendisiplin diri dengan bacaan
Buat catatan sebagai rumusan
Menambah diri dengan kefahaman
Membuka dimensi bagi diri
Menghayati estetika Kitab Suci
Kini menjadi bidang tumpuan
Memahami bacaan surah dalam solat
Tadarrus pagi dan malam di pejabat
Atau di rumah bila sempat
Lebih menambah kefahaman
Kandungan dan tafsiran.
Tapi dengan tafsir begitu banyak
Dengan umur berbaki begitu
terhad
Aku mengira kemungkinan
Tak sempat khatam
Namun jauh di hati kecilku
Tiada pengajian yang khatam
Dengan keilmuan tiada watas sempadan
Dan tafsiran yang makin mendalam
Apalah sebuah kehidupan
Tak mampu mencecah kerahsiaan
Tugas diri mempelajari dan menghayati
Hingga padam diri di dunia ini.
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
18 Safar 1436
11 Disember 2014.
No comments:
Post a Comment