BBB, 04 Rabiul Awal 1436 = 26 Disember 2014 (Jumaat):
Bahasa Arab adalah merupakan salah satu bahasa Semetik
(Aaramiyah, Kan`aniyah dan Arabiyah). Bahasa
Arab digunakan di Yaman dan
Habasyah yang dikenali sebagai bahasa Qahtan di bahagian selatan , manakala
bahagian utara dikenali dengan bahasa
Adnani. Apabila berlaku peristiwa `Pecahnya Empangan al-`Arim) dan memusnahkan tamadun Saba` pada
447M. keturunan Qahtan bergerak ke utara dan mendominasi penduduk di utara, tetapi oleh kerana keturunan Adnani lebih
unggul dari segi budaya dan bahasa dan berinteraksi dengan Rum dan Parsi dan
mempunyai kedudukan penting di Makkah
(keturunan Qurasy), mereka menenggelamkan pengaruh Qahtan. Turunan Adnan
diperkukuhkan lagi dengan kedatangan Islam.
Kehidupan Arab yang keras dengan suasana padang pasir dan
sering berlaku persengkitaan dan peperangan antara kaum menjadikan mereka cekal
dan keras hati, namun di satu pihak terbentuk sifat-sifat mulia seperti
memuliakan tamu, halus sentuhan jiwa di
kalangan para sasterawan mereka. Turunan Adnan yang pernah menurut agama Hanif
Nabi Allah Ibrahim terseleweng, antaranya pengaruh Rum dan Yunani yang memuja
seni patung melalui interaksi perniagaan
menyebabkan mereka terikut menyembah patung dan berhala.Namun dalam interaksi
sedemikian dari satu segi melahirkan tokoh-tokoh sasterawan yang mengungkapkan
karya-karya mereka di pasar-pasar Ukkaz, al-Majanah dan Zul Majaz.
Dua bidang sastera dihasilkan oleh para sasterawan Arab,
iaitu Prosa dan puisi.
Bidang prosa terbahagi kepada dua, iaitu:
1)
Ungkapan berentak 2) Ungkapan biasa – prosa mursal
Untuk berentak ialah hujuang bagi setiap ayat ada persamaan,
tetapi agak bebas. Contoh:
``Untuk mengenal kabilah ada pahlawan, pimpinan sering menang di dalam peperangan.`
Manakala prosa mursal ialah:
a)
Kata Mathal
b) Hikam c) Wasiat d) Khutbah e) Gambaran f) Cerita-cerita
a)
Mathal
Ungkapan ringkas membawa pandangan hidup
yang ditimba dari masyarakat dan kehidupan persendirian. Contoh:; Muafakat mendatangkan berkat. Menurut Ahmad Hassan
al-Zayyat, usaha menghimpunkan ungkapan mathal ini dilakukan oleh Maidani (m.
518H.) yang menghasilkan sebanyak 50 buah kitab berkenaannya.
(Muhammad Hassan al-Zayyat Tarikh
al-Adab al-`Arabi, Terbitan Kerajaan Arab
Saudi, Kementerian Pendidikan, Tahun ?: 18).
b)
Hikam
Ialah kata-kata hikmat yang indah
ungkapan dan mendalam dari segi makna. Antaranya bersifat falsafah dan nasihat.
Contoh: Kesalahan adalah pelajaran berguna dan panduan masa depan. Contoh Hikam
(Zaman Islam) ialah Hikam Ibn Ata`I Llah (709H./1309M.).
C) Wasiat
Ialah ungkapan yang disampaikan
oleh pemimpin terhadap kabilah tentang sesuatu ingatan atau oleh kepimpinan
sebelum masuk ke dalam medan peperangan tentang perkara yang patut dibuat atau
dilarang dibuat atau pesanan dari ibu bapa terhadap keluarga dan anak-anak,
khususnya ketika hampir ajal
c)
Khutbah
Ialah ucapan yang disampaikan oleh pemimpin kepada kabilah
atau kumpulan yang dipimpin. Contoh khutbah Qis bin Sa`idah al-Iyadi (m.
600M.). Sambil berada di tempat tinggi dan memegang pedang. Ucapan biasanya
bersemangat atau cermat dan hati-hati. Antara ucapannya:
``Wahai manusia dengar dan ingat, sesungguhnya siapa yang
hidup dia mati, siapa yang mati dia luput, setiap yang datang mendatang, malam
kelam, siang terang, langit mempunyai bintang-bintang, bintang-bintang
berkerlipan, laut bergelombang, bukit bukau
berpasak, bumi tetap, sungai air berlari, di langit kebaikan, di bumi
ada panduan. Mengapa manusia pergi tidak kembali ? Adakah mereka reda maka dia pergi
? Atau tertinggal mereka bangkit ? Wahai yang hadir. Di mana bapa, di mana
ninda. Di mana Firaun-Firaun yang amat keras ? Adakah tidak harta mereka lebih
banyak daripada kamu ? Lebih panjang ajal ? Masa menghukum mereka ! (Bersambung
dengan puisi )
(Ahmad Hassan al-Zayyat, tt:21)
d)
Gambaran Alam
Bermaksud apresiasi tentang alam mengikut lokasi, khususnya
seperti pandangan di padang pasir yang berbukit-bukau batu dan berpasir,
gambaran ketika ribut taufan pasir. Gambaran waktu malam yang lebih mesra, kerana
nyaman berbanding dengan siang yang panas dan sebagainya – Antara gambaran
seperti di dalam khutbah di atas.
e)
Cerita-cerita
Terutama tentang tokoh-tokoh kabilah yang perkasa dalam
peperangan. Cerita tentang tokoh pemurah seperti Hatim al-Tai yang menjadi
legenda orang-orang Arab (m.605M.), lantaran kerana sifat pemurahnya. Berkata
Abu `Ubaidah:
``Tiga orang pemurah Arab, Ka`b bin Mamat, Hatim al-Ta`I,
keduanya menjadi sebutan tauladan dan Haram bin Sinan sahabat Zuhayr.``
(Diwan Hatim al-Ta`I, Dar Sadir, Beirut, 1401/1981: 4).
Kesimpulan bahan-bahan sastera Jahiliyyah, sungguhpun kurang
dari fikiran dan pengajaran, tetapi bentuk-bentuk sasteranya seperti khutbah
menjadi bentuk yang kekal, bahkan menjadi sebahagian dari ibadat, contoh
khutbah solat Jumaat, khutbah nikah dan sebagainya Puisi-puisi juga dijadikan
contoh dan kajian bagi perkembangan bahasa dan sastera, juga dapat dikaji dari
segi budaya dan kemasyarakatan masyarakat Arab sebelum Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment