BBB, 28 Safar 1436 = 21 Disember 2014 (Ahad):
Nilai adalah penting bagi Takmilah. Nilai disifatkan sebagai `Tiang Seri` bagi Takmilah dan berkedudukan antara
pengkarya dengan karya dan khalayak di dalam segitiga dan berada pada garis
tengah di dalam menuju puncak, iaitu Takmilah. Dengan nilai berkenaan
menentukan mutu sesebuah karya kreatif sama ada bermutu atau tidak. Nilai
berkenaan memberi erti:
1)
Ciri estetika yang ada pada sesebuah karya –
Nilai indah
2)
Betul dan Salah, Baik dan buruk, manfaat atau
mudarat
3)
Pembelaan
– Adil dan zalim
4)
Kemanusiaan – simpati kerana sesuatu tragedi
5)
Keunggulan dan keluhuran
Persoalan yang menjadi perbahasan falsafah ialah siapa
yang menentukan nilai-nilai berkenaan
yang kesemuanya bersifat subjektif dan juga bagaimana menilaikan tentang
kualiti yang bahan bukan bersifat nyata
dan bukan kuantitatif itu ? Antara penentuan sesuatu yang begitu serius contoh
berkenaan betul dan salah. Tidakkah di dalam mengambil pendirian berlaku
kontradiksi dan kekacauan ?
Pendapat tentang
menentukan kebenaran sebagai pegangan Islam ialah mutlak Allah Ta`ala contoh seperti tentang benar seperti ketuhanan
yang Maha Esa - tauhid dan salah mengenai syirik, tentang apa yang ma`ruf
(berbakti kepada ibu bapa) dan munkar
(derhaka kepada keduanya), tentang halal dan haram yang semuanya
mempunyai dalil-dalil naqli dan qat`i.
Di samping pegangan Ahlu al-Sunnah seperti di atas ada yang berpendapat bahawa soal benar, salah dan baik
buruk adalah ditentukan oleh akal – antaranya
golongan rasional seperti Mu`tazilah. Menurut Mu`tazilah akal akan tiba
pada kebenaran sebagaimana apa yang diwahyukan. Banyak perkara yang dapat ditentukan
dengan akal,contoh misalnya merokok
membahayakan kesihatan, meninggalkannya adalah amalan yang baik. Syarak juga
sama berpendapat sedemikian.
Namun ada bidang yang nisbi dan relatif yang di luar dari
hukum betul dan salah, sebaliknya bergantung pada persepti `hati-rohani`.
Contoh persepsi tentang `sesuatu fenomena alam, kekaguman terhadap sesuatu seni
bina dan `keharuan terhadap keindahan lagu.
Apa yang dibicarakan di atas adalah nilai dari pihak
tertinggi dan penilai atau pada pihak khalayak yang menghayati tentang sesuatu
`seni-rohani` sesuatu yang ditanggapi.
Bagi pengkarya, penggubahan adalah lebih kompleks dan
menuntut ketelitian dari segi seni dan akli. Misalnya dari aspek sastera bagaimana
pengkarya mampu menggubah cerita misalnya bertemakan keyakinan terhadap keesaan
Allah, misalnya dengan menampilkan watak yang
hidup mewah bersikap sombong, durhaka
dan lalai hingga dia menemui ujian penyakit pada dirinya, menyebabkan ia insaf
dan menemui jalan kembali. Di dalam cerita boleh diselit elemen Ketuhanan Yang
Maha Esa, tentang benar dan salah, ma`ruf dan mungkar dan pada puncak jalinan
cerita misalnya penyelesaian yang mengharu dan menginsafkan. Di dalam karya berkenaan banyak melibatkan nilai yang
merupakan ketentuan dari Yang Tertinggi di samping akli dan juga nilai
`hati-rohani`.
Berlainan bidang seni, bebeza pendekatan
dan gubahan seninya, seorang arkitek menggubah pelan sebuah bangunan moden, tetapi berciri Islam dan tradisional tempatan –Rumah Melayu, mencari ilham gabungan interteks pelan
bangunan yang sedia ada, tetapi secara
kreatif melakarkan secara asimilasi misalnya arah rumah mengarah ke Kiblat, bumbung
atapnya mengambil bentuk rumah peleh berbuah butung sebagai tunjuk langit lambang
mengarah kepada keagungan yang Maha Esa, bertebar layar pada kedua belah sutuh
dan atap. Pada tingkat bawah ruang tamu pada
bahagian depan, berasing dari ruang masuk keluarga, jika ada tamu dari bahagian
depan. Rumah mempunyai bilik solat untuk keluarga. Bilik air dan toilet tidak
berada pada bahagian menghadap kiblat. Hiasan dalam banyak dari ayat Qur`an dan
sebagainya.
Dari segi ukiran pengukir yang memahami Islam dan budaya
Melayu, misalnya mengukir ayat-ayat Qur`an secara tebuktembus pada bahagian
atas mimbar masjid dan bahagian bawah mengukir dengan mengambil motif-motif
flora dan fauna seperti daun dan bunga
ketumbit, bunga dan daun kangkung, bunga cempaka, pucuk rebung dan sebagainya.
Manakala untuk hadangan pemisah antara lelaki dan perempuan diukir penghadang dari kayu jati, cengal dan
sebagainya bermotifkan geometric design. Penulisan khat juga selain dari mengikuti bentuk-bentuk sedia ada
seperti nasakh, raq`ah, thuluth dan
dewani para khattat bebas melakar bentuk secara kreatif menurut bentuk
terang (nasakh), ringkas (raq`ah),
pantas (thuluth) dan berbunga secara bebas (diwani). Khat-khat yang dihasilkan
dilihat begitu seni, murni dan kudus lantaran ayat-ayatnya diambil dari
ayat-ayat Qur`an, Hadith atau kata-kata hikmat, lagi pula lokasi diletakkannya
ialah pada tempat yang terhormat dan
suci seperti di dalam masjid, surau, dewan, rumah kediaman dan sebagainya.
Kekudusan, merdu dan indah juga dapat dihayati seperti dari
qasidah, marhaban, lagu-lagu salawat ke
atas Nabi secara beramai-ramai. Kemerduan dan indah dan kudus adalah dari
senikata lagu, rentak dilagukan disertai dengan paluan gendang menurut rentak
lagi secara mudah dan memukau. Filem-filem dapat ditampilkan bertema agama dan
dakwah dengan jalan cerita yang baik, pelakun-pelakun yang beretika dan mesej
yang jelas.
Nilai selain dari yang bersifat hukum, maka nilai seni dan
indahnya bergantung pada mutu karya yang dihasilkan dan impaknya pada khalayak.
Terlalu sukar untuk mendefinasi tentang seni dan indahnya. Antaranya jika
bersifat bahasa dan ungkapan khususnya puisi
ialah bersamaan jumlah akhir suku kata, sama panjang dan pendeknya,
merdu bahasa, indah sebutan dan luhur perutusan. Ada elemen berulangan,
bertentangan dan keharmonian, manakala bagi yang berbentuk cerita termasuk
filem bahawa jalan ceritanya menarik, ada watak unggul, protoganis, antigonis
dan pipih ada konflik yang diselesaikan dengan menarik dan mempunyai perutusan
yang memuaskan.
Manakala yang berbentuk seperti seni bina, ukiran dan khat menampilkan bentuk yang harmonis, ada
keseimbangan, memberi rasa kekaguman,
keluhuran, mencerminkan ketelitian dan kehalusan kerja pengkarya, menampilkan
sesuatu yang istimewa dan tidak ada yang lain seumpamanya.
Demikianlah nilai selain dari ditentukan oleh Yang
Tertinggi, maka yang bersifat seni cita rasa jiwa-rohani berperanan
menghayatinya dan menilainya, pun tidak terlepas dari subjektif.
Sekian.
No comments:
Post a Comment