December 23, 2014

Khalayak Fokus Penting Takmilah


BBB, 29 Safar 1436 = 22 Disember 2014 (Isnin):
Dalam skema Takmilah yang mempunyai  paksi pengkarya, karya, khalayak,  dengan bertonggakkan Al-Qur`an dan  sandaran utama kepada  Rasulullah dan ilmu, maka  bahagian tengah sebagai tiang seri  - nilai (estetika  dalam menuju puncak).  Khalayak bukan berkedudukan utama dalam Takmilah  berbanding dengan Al-Qur`an, Rasulullah, Akal, pengkarya dan karya, tetapi gemblengan dari keseluruhan adalah bagi meningkat martabat khalayak dari kedudukan paling rendah kepada  maqam-maqam dan  martabat-martabat setinggi mungkin. Perlu difahami  bahawa khalayak  ialah `orang ramai` yang mempunyai berbagai-bagai kedudukan. Ada yang terkeluar dari landasan, ada yang bersifat terpinggir yang perlu dibetulkan, ada bertahap biasa yang perlu digerakkan dan ada yang sudah mempunyai persediaan bagi  pergerakan kepada kualiti yang lebih tinggi.


Walaupun khalayak menjadi fokus utama bagi Takmilah, tetapi persediaan menyempurnakan infrastruktur kea rah Takmilah mesti disediakan sesempurna mungkin, tugas utama adalah di atas pengkarya. Pengkarya di dalam hal ini mempunyai niat murni, bahawa dengan karyanya dia mau  memperbaiki khalayak masyarakat dan meningkatkan mereka melalui maqam-maqam dan tabaqat-tabaqat kepada martabat yang lebih tinggi.  Di dalam hal ini pengkarya perlu menguasai segala bidang ilmu secara umum dan keilmuan yang khusus berhubung dengan bidang kreatif. Segala bidang ilmu pengetahuan sewajarnya diketahui oleh pengkarya baik bidang sains tulen,agama dan kemanusiaan, bahkan memiliki  pengetahuan umum, lantaran dikatakan bahawa, `Pengkarya harus mendahului zamannya`. Idealnya ia mesti mengatasi ilmu dan maklumat orang yang hendak disampaikan. Andainya dia mau menyampaikan perutusan karya yang mempunyai nilai ilmu dan estetika keislaman, maka dia juga harus menguasai bidang-bidang keilmuan Islam. Lebih penting kerana medium mau disampaikan ialah secara nilai dan estetik, maka dia harus menguasai berbagai kaedah penulisan, khususnya yang bersifat kreatif. Pendeknya pengkarya harus bergerak terlebih dahulu melalui sandaran keilmuan dan bidang keislaman ke peringkat tonggak Takmilah bersama dengan bidang kreatif yang digunakan. Pendek kata bidang keilmuan, keislaman dan kemahiran berkreatif haruslah bergerak serentak  secara vertical dan horizontal. Pergerakan vertical bermaksud pengkarya bergerak ke atas dari segi keilmuan, bidang khusus,  nilai dan estetika. Manakala pergerakan bersifat horizontal ialah pergerakan secara mendatar dari dirinya kepada khalayak yang mungkin rendah  kemampuannya berbanding dengan pengkarya. Di dalam hal ini tiga beban besar yang menjadi cabaran bagi pengkarya menguasai ilmu sebanyak yang mungkin dan mengaplikasikannya ke dalam karya, tugas kedua ialah menguasai bidang kreatif termasuk menggunakan pengalaman yang dilalui untuk mempertajamkan persepsi di dalam berkarya.
Tugas ketiga yang paling besar ialah bagi menggerakkan minda dan kesedaran khalayak yang  disebutkan kemungkinan berada di luar  atau di pinggir landasan kepada landasan yang betul atau lebih mudah jika sudah berada pada landasan, maka usaha  yang harus dilakukan ialah menggerakkannya.


Melaksanakan misi dan visi pengkarya yang mendukung dan bergiat melalui karya bagi menyebarkan ilmu dan nilai & estetika melalui penulisan, maka pengkarya perlu terjun ke tengah masyarakat melalui tulisan  di dalam menyampaikan mesej dan visi mengenai seni dan nilai. Fokus pengkarya ialah mengangkat kesedaran  khalayak dengan mempertingkatkan kesedaran dari segi keilmuan sekaligus menghargai karya yang membawa mesej ilmu dan elemen nilai dan estetika, Contoh karya-karya ilmu bersifat puisi seperti  Matan Jauharat al-Tauhid, Matan al-Rahbiyah bagi fiqh dan Matan al-Jauhar al-Maknun bagi Balaghah, banyak mempengaruhi khalayak di dalam bidang-bidang  ilmu berkenaan  yang disampaikan dalam bentuk puisi dan syarah.
Sekali  lagi diperingatkan bahawa lain bidang lain pendekatan yang boleh digunakan. Apa yang dibincangkan di atas lebih merupakan pendekatan releven dengan yang  bersifat persuratan kreatif.
Adapun dari  segi seni bina misalnya memerlukan penguasaan bidang seni, matematik dan juga geometri. Jurubina yang berkemampuan menghasilkan pelan yang bermutu dari segi bentuk dan daya estetik memungkinkan terhasilnya senibina  yang agung yang menjadi sebutan. Sejarah menyaksikan pengkarya atau pengkarya-pengkarya yang gigih yang terkenal mampu menghasilkan monument yang bernilai  dan terkenal dan memberi  impak kepada tamadun dan kesan pada khalayak. Ambil sahaja sebagai contoh Masjid Madinah, Masjid Cordova, Istana Granada, Taj Mahal, Jami` Isfahan, Masjid Salahuddin Shah Alam, Menara Berkembar dan sebagainya. Takmilah mengharapkan terhasilnya kerja-kerja  seni berasas ilmu dan bernilai  tinggi mutunya dan menjadi monument sebutan zaman.


Selain dari karya persuratan,  senibina,  boleh diambil contoh dalam bidang seni lagu seperti  marhaban, qasidah, salawat dan barzanji yang dilagukan itu. Karya-karya seperti marhaban menyambut Rasulullah ke Madinah terus hidup dan dikembangkan dengan tambahan-tamabahan seperti barzanji,  qasidah dan dilagukan dengan perluasan lagu-lagu salawat yang membawa nada dan nilai-nilai keislaman yang patut digalakkan sebagai tantangan lagu-lagu yang bersifat porno dan profane. Kita mau keilmuan dijunjung tinggi, kehalusan,  kekudusan, keihsanan dan keinsanan sama mengiringi. Khalayak yang berwibawa yang dapat menilai dan mengapresiasi hasil-hasil yang tinggi mutunya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment