December 17, 2014

Ilmu Pengukuh Bakat Diserlah Minat

BBB,  23 Safar 1436 = 16 Disember 2014 (Selasa):
Bakat penting bagi pengkarya mengukuh diri dan menghasilkan hasil-hasil kreatif, tetapi bakat tidak bererti apa-apa, jika tidak diketemui, bahkan jika diketahui dan dikenalpasti ada bakat pada seseorang individu,tidak bererti tanpa berilmu dan berminat. Melalui ilmu dari orang lain dapat dikenali bakat seseorang dan paling penting bakat yang ada pada seseorang perlu diangkatkan, tidak lain daripada ilmu. Bayangkan seseorang yang mempunyai suara  yang merdu dan dengan suara merdunya melayakkannya menjadi  seorang qari atau qariah yang memungkinkannya menjadi seorang qari atau qariah terkenal. Ada suara yang baik semata-mata dia tidak ke mana-mana. Dia perlu berminat mempelajari membaca Al-Qur`an dengan fasih dan betul dari segi tajwidnya. Dia perlu berguru dengan guru-guru mengajar tarannum dan dia wajar  memasuki pertandingan membaca Al-Qur`an yang dapat dinilai kebolehannya dan membuka ruang baginya  meningkat menjadi johan di dalam pertandingan Al-Qur`an.


Keilmuan yang diperlukan bagi semua bidang yang melibatkan bidang kreatif, bahkan semua bidang keilmuan dapat dibahagikan kepada dua, iaitu ilmu umum dan ilmu yang berkait dengan bidang. Sebenarnya bagi mempelajari bidang yang khusus seseorang itu perlu mempelajari ilmu yang bersifat umum untuk membantu kefahaman ilmu yang bersifat khusus. Dalam pengajian baik dari peringkat sekolah rendah hingga kepada peringkat pengajian tinggi pelajar dikehendaki belajar ilmu berbagai hingga kepada peringkat menengah mungkin mulai menuju kepada khusus misalnya aliran agama, sains dan sastera. Bila sampai pada peringkat universiti ia menuju kepada yang lebih klhusus, misalnya di Fakulti Islam dan difakulti tersebut dia mungkin mengambil bidang yang lebih khusus iaitu katakan  syariat dan dalam syariat itu ada yang lebih khusus misanya berhubung dengan fiqh halal-haram dan sebagainya. Pengajian yang pada awalnya bersifat meluas bagi meluaskan keilmuan pelajar berhubung dengan  pengajian Islam.  Perluasan ilmu pengetahuan ini, bukan saja bersifat formal, tetapi juga bersifat tidak formal, katakan seseorang yang berbakat dan berminat menjadi seorang jurnalis. dari awal dia seharusnya mengambil bidang yang luas misalnya di dalam fakulti sastera yang memperuntukkan baginya keilmuan yang lebih luas termasuklah mengenai sastera dan kaedah mengarang kreatif dan non-kreatif yang dapat membantu baginya  kemampuan mengarang seterusnya membuat berita dan laporan yang baik. Menjadi seorang jurnalis seperrti juga ingin menjadi seorang sasterawan selain dari mengikuti pengajian formal, dia mesti banyak membaca. Dengan membaca bukan sahaja menambahkan maklumat, tetapi dapat menguasai bahasa dan kalau dapat menjadikan dirinya mempunyai stail tersendiri di dalam membuat laporan atau menghasilkan karya-karya sastera kreatif.
Dapat juga dilihat di dalam memperkayakan bakat dengan keilmuan ini  pada peringkat umum ialah memperkayakan diri dengan segala maklumat kalau boleh secara global, kerana baik secara langsung atau tidak langsung kepelbagaian ilmu yang dikuasai dan kekayaan maklumat yang didapati oleh seseorang menolong meluas dan mempertajamkan persepsi dan bakat yang ada padanya. Dengan menguasai keilmuan umum secara meluas, sama ada melalui pengajian formal dan tidak formal seperti melalui pembacaan yang banyak, seseorang yang mempunyai bakat dalam bidang khusus, maka dia mesti mendalam di dalam bidang khusus ini secara terperinci. Seorang yang hendak menjadi sasterawan di samping mengkuti pengajian di Fakulti sastera, maka dia seharusnya mengkuti pengajian di Jabatan pengajian Sastera Kreatif yang langsung mendalam kaedah penulisan - penulisan kreatif seperti puisi, cerpen, novel dan drama dan turut di dalam penulisan dan yang berkait dengan kegiatan sastera. Seorang berbakat dan berminat di dalam arkitektur harus mengikuti pengajian seni bina, matematik, estetik, lukisan dan sains. Seorang yang mempunyai bakat dalam bidang khat dan mau memperdalaminya memerlukan kelembutan tangan bagi kemahiran menulis, mmahami jenis-jenis khat dan kaedah-kaedah penulisan khat-khat berkenaan, juga memahami aspek-aspek keagamaan, kerana fungsi khat lebih dekat kepada suasana keagamaan. Sama dengan keperluan kepada keilmuan khusus berkenaan seni, maka sebagaimana khat, seorang pengukir juga memerlukan kemahiran tangan di dalam mengukir dan memahat, jika masa kini mahir menggunakan peralatan moden berbagai-bagai mesen bagi mengukir, menebuk dan sebagainya.
Mereka yang terlibat dengan seni taman dan town planning, juga seharusnya berbakat dan berjiwa seni dan dengan minat secara kumpulan dapat menjadikan perbandaran sebagai sebuah taman yang teratur, menarik dan bersih. Dengan demikian Bandar dapat  menarik kegemaran orang untuk menghuninya dan menjadi tumpuan pelancong. Sebagaimana  bidang sastera, maka demikian juga dituntut dari seorang yang terlibat di dalam perfileman sama ada penulis skrip atau pengarang, pengarah dan  pelakun, juga penyanyi  seharusnya meningkatkan bakat yang ada pada mereka. Dengan kerjasama sebagai sepasukan dapat dijayakan filem bermutu dan mendapat sambutan penonton, mnakala bagi penyanyi berbakat dan meningkatkan bakat dan menjadi penyanyi yang Berjaya.
Semua penghasilan bidang seni lebih bermutu dengan pengkaryanya  yang berbakat dan diperkukuhkan dengan ilmu serta  mempunyai minat yang tinggi terhadap bidang seni masing-masing. Dengan minat dan  kecintaan pengkarya berbakat seni tidak jemu dengan tugas masing-masing. Mereka yang mempunyai bakat diperkukuh dengan keilmuan dan dikental dengan minat, mereka seolah terbakar dengan kecintaan terhadap bidang, tidak jemu dengan bidang seni yang dilibatkan, mereka tenggelam dengan keasyikan. Dengan bakat, keilmuan dan minat terhasil karya-karya yang bermutu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment