December 2, 2014

Pantang Larang Masyarakat Banjar Di Selangor


BBB, 08 Safar 1436 = 01 Disember 2014 (Isnin):
Bagi mereka yang mengaji kitab, Banjar dikenali dengan pengajian kitab fiqh terkenal dalam bahasa Melayu (Jawi) yang dikarang oleh ulama` terkenal Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari  - berasal dari Banjar yang hidup dan mengarang kitab berkenaan pada zaman pemerintahan Sultan Tahmidullah bin Tamjidullah pada akhir abad ke 19, bahkan turunan tokoh ini antaranya menjadi ulama` terkenal seperti Shaykh Abdul Rashid Banjar yang mengarang kitab Perukunan dan Tuan Haji Hussein Kedah yang membuka pondok di Kedah  dan banyak menghasilkan kitab-kitab.
Menurut  Dr. Ghazali bin Basri yang membentangkan kertaskerja di atas dari segi Huraian dan Konsep bahawa kehadiran masyarakat Banjar ke Selangor berlaku sekitar akhir  abad ke 19 dan awal abad 20. Mereka berasal dari Kalimantan Selatan. Penghijrahan mereka berikut dari tindakan Belanda mengenakan Cukai Kepala dan menjadi Buruh Paksa yang di dalam bahasa Banjar dipanggil `irak dan bairakan` yang memaksa mereka membina jalan raya, jambatan-jambatan dan bangunan-bangunan kerajaan. Mereka berpindah secara kekal disebut `bamadam. Mereka berasal dari kawasan  Kalua, Amuntai dan Alai Kadangan. Mereka adalah  petani-petani, sebab itu pemilihan penempatan mereka juga di kawasan-kawasan pertanian di Selangor  seperti di Sungai Besar dan  Sungai Burung. Satu ciri pertanian mereka ialah membuat parit sebagai keperluan  pengairan sawah mereka, lantaran itu kampung-kampung bernama parit seperti Parit Satu, Dua hinggalah Duabelas. Selain dari Selangor komuniti Banjar terdapat di Perak, Johor hinggalah ke Sabah dan Sarawak.


Untuk menjaga kepentingan etnik  Banjar Sejak 2002 telah ditubuhkan  Persatuan Banjar Malaysia yang Yang Dipertua Pertama ialah Tuan Haji Abdul Karim Alas. Menurut Tuan Haji Mohd Salleh bin Haji Kassim Yang Dipertua kini (keempat), ``Hingga kini terdapat 10 cawangan  di seluruh Malaysia dengan keahlian kini ialah sejumlah 7,000 orang. Pejabat utama persatuan ini ialah di Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi dengan Setiausahanya ialah  Tuan Dr.  Haji Zainuddin bin Sulaiman. Tujuan utama penubuhan ialah menghidupkan budaya Banjar dan adat-adat, mempunyai asset persatuan yang kini persatuan mempunyai bangunan di Bukit Mahkota, Bangi, menerbitkan buku-buku mengenai Banjar dan mengadakan sambutan seperti kehadiran Ramadhan, perayaan, ceramah, pengajian dan sebagainya.
Menurut Tuan Haji Dr. Ghazali masyarakat Banjar adalah masyarakat tertutup. Pembentukan tradisi budayanya dipengaruhi alam perhumaan dan persawahan.  Pantang larang yang disebut dalam bahasa Banjar ialah `Pamali`. Konsep `Pamali`yang merupakan `ujar orang-orang bahari`  ialah:
1)      Larangan daripada melakukan perkara yang ditegah
2)      Ancaman yang diterima sekiranya melakukan perkara yang dilarang
3)      Kewajaran mentaati larangan `Pamali` yang juga merupakan nasihat
4)      Pamali juga merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan.
5)      Selamat jika mematuhi aturan – suruh dan larang
Contoh suruhan adat Banjar `bamandi adat pengantinan` - memandikan bakal pengatin yang disertai dengan penyediaan aneka `wadai`  disebut bawadaian (kueh mueh hingga sejumlah 40 jenis yang mesti dilakukan, jika tidak sempurna dilakukan penyajian dipercayai  akan ada nantinya yang jatuh pengsan., sama ada pengantin sendiri atau berlaku di kalangan keluarga. Semasa diadakan majlis bersanding atau akan mengalami mengantuk sehingga teleng atau terlentuk.
Orang-orang Banjar terkenal sebagai masyarakat yang kuat berpegang kepada agama Islam, lantaran wujudnya pengajian agama Islam dan ramainya lahir ulama terkenal dari masyarakat Banjar seperti Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari yang menghasilkan Kitab Sabil  al-Muhtadin dan Shaykh Abdul Rashid Al-Banjari yang menghasilkan Kitab Perukunan. Lantaran itu banyak aktiviti keagamaan yang dilakukan seperti  memberi  nama anak yang baharu lahir pada hari ketujuh yang dinamakan `batasmiah` bermaksud `menamakan anak` (bi tasmiah), sebagai amalan yang disuruh Nabi Muhammad s.a.w. bersama diadakan Majlis Aqiqah`. Sempena majlis ini diadakan upacara `Madihin`, iaitu bersalawat dan memuji Nabi seperti Marhaban dan Barzanji dan memotong jambul atau bercukur dan bersedekah kepada faqir miskin dinilai seberat rambut dicukur dari segi timbangan emas.


Antara adat, ialah merisik dengan mengunjung (baparaan) keluarga lelaki terhadap keluarga  perempuan (si diyang), setelah setuju ditentulah jumlah jujuran (maskawin) serta menyerahkan cincin tanda pertunangan. Dalam masa pertunangan  kedua-dua tidak boleh bekerja  lasak. Mereka dianggap berdarah manis dan mudah mengalami kemalangan, tidak boleh berdua-duaan yang dalam bahasa Banjar disebut `balarangan`. Jumlah jujuran terpulang di atas kemampuan pihak lelaki dengan persetujuan pihak perempuan.
Sesudah berkahwin  dan mengandung, si isteri dilarang menyiang ikan, ditakuti anak menjadi sumbing. Si suami dilarang berburu dan menyembelih binatang atau menyakiti dibimbang anak dilahir dalam keadaan cacat.  Suami juga dilarang merencong buluh dan mencacaknya di tanah dibimbang berlaku pendarahan pada isteri.  Semasa mau melahirkan anak adalah melalui bidan kampung seorang atau dua. Untuk mengelak dari  gangguan makhluk halus diletak surah yasin di bahagian kepala, juga ditaruh kacip, pisau, sembilu atau duri mengkuang kerana dipercayai boleh menghalang dari gangguan. Bidan juga mencalit kapur sirih yang dijampi  pada dahi atau pergelangan tangan ibu. Juga diberi air Yasin dan `banyu pilusur`  yang disediakan oleh si suami untuk diminum dan suami membaca Surah Al-Fil dan dinyaringkan ketika membaca ``tarmihim`  beberapa kali sebelum menghabiskan surah.


Selain daripada itu terdapat pantang larang umum
Jangan bangun lambat, pendek rezeki, jangan bernyanyi di dapur bagi anak dara, kerana dipercayai sukar mendapat jodoh, jangan makan pisang kembar, dibimbangi mendapat anak kembar, jangan mendahului makan orang tua nanti, sukar mendapat rezeki dan sebagainya.
Beberapa kesimpulan dibuat oleh Dr. Ghazali bin  Basri, bahawa sungguhpun orang Banjar kuat berpegang dengan agama Islam terdapat juga kepercayaan khurapat umpamnya masih ada upacara sasajin untuk menghindari dari gangguan makhluk halus. Namun masyarakat Banjar pada hari ini yang lebih berilmu dan mendalam dengan keilmuan Islam tidak lagi mempercayai elemen-elemen khurafat. Mereka lebih teguh berpegang pada ajaran Islam. Mereka lebih mengamalkan perubatan moden baik bagi kelahiran anak atau mengubati penyakit. Nilai budaya lepas dilihat sebagai cerminan bagi memperbetul dan memperbaiki diri pada masa hadapan selari dengan kehendak Islam dan sesuai dengan kehidupan moden.

Sekian.

No comments:

Post a Comment