December 10, 2014

Penilaian Dan Cadangan Seminar Pantang Larang Masyarakat Di Selangor


BBB, 16 Safar 1436 = 09 Disember 2014 (Selasa):
Seminar Pantang Larang  Masyarakat Di Selangor anjuran PADAT dari 25-26 November 2014 bertempat di Bangunan Muzium Sultan Alam Shah, di Shah Alam dapatlah dikatakan Berjaya. Kejayaan banyak bergantung kepada kepakaran pembentang-pembentang kertaskerja yang memang menguasai bidang masing-masing dengan baik.
Oleh kerana seminar ini telah lama dirancang adalah lebih sempurna jika seminar ini disertakan dengan pameran bahan-bahan budaya dari semua etnik yang pantang larang etnik berkenaan dibincangkan. Ini dapat dilakukan melalui kerjasama dengan  jabatan-jabatan misalnya tentang Orang Asal melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JKOA), melalui persatuan, misalnya tentang masyarakat Banjar, mereka mempunyai Persatuan Banjar Malaysia atau melalui institusi-institusi berkenaan, misalnya  tentang  orang Sikh melalui Persatuan Gurdwara mereka. Dengan adanya pameran etnik-etnik berkenaan bukan saja peserta-peserta seminar dapat memahami aspek-aspek yang dibincangkan lebih mendalam, tetapi pameran boleh menarik orang luar melawat pameran di muzium, apa lagi seminar berkenaan dilangsungkan dalam masa cuti sekolah dan hunjung tahun. Pameran boleh dilanjutkan hingga ke akhir tahun 2014. Bahkan bahan-bahan yang dipamerkan boleh dirunding dengan pihak-pihak berkenaan menjadi koleksi muzium.


Satu yang menarik bahawa  ada persamaan di samping perbezaan pantang larang antara  kaum dan etnik yang dibicarakan. Ini merupakan bidang yang menarik bagi kajian melihat pola-pola dan  nilai-nilai kaum yang akhirnya boleh dilihat sebagai rumusan nilai-nilai kaum di Selangor, bahkan di Malaysia, lantaran ada persamaan, di samping perbezaan. Pantang larang sebenarnya sebagai `tip of  iceberg`. Kajian dari segi pantang larang ini sebenarnya boleh diperbesarkan kajian untuk seminar akan datang iaitu tentang nilai budaya mesyarakat berbagai kaum di Selangor, bahkam Malaysia. Budaya sebagai bidang yang luas banyak perkara yang dapat dibincang dan diambil rumusan sebagai nilai-nilai (positif) masyarakat di Selangor yang sebenarnya boleh diaplikasikan kepada masyarakat di Malaysia. Nilai-nilai positif ini dapat digunakan kepada semua masyarakat yang menjadi nilai Selangor dan Malaysia.
Kemajuan Negara begitu pesat dan berubah. Turut berlaku perubahan terhadap demografi, mobility sosial dan nilai  masyarakat yang misalnya berasal dari estate berpindah  tinggal di pinggir Bandar  yang menghilangkan identiti   budaya mereka. Usaha mesti dilakukan merakam identiti  etnik kaum-kaum yang berada di Selangor agar identiti awal mereka tidak kehilangan, sebaliknya dirakam dan  menjadi sejarah dan kenangan. Seminar mungkin juga dapat diadakan mengenai `Identiti Masyarakat Berbagai Kaum  di  Selangor: Identiti Selangor !`
Seminar  tentang identiti  awal  bagi semua etnik di Selangor dari Orang Asal, jawa, Banjar, Cina, India, Sikh, Bugis  dengan menampilkan imej misalnya petani kepada orang Melayu, pekerja lombong bagi masyarakat Cina, pekerja estet bagi kaum India. Imej mereka dapat dirakam dan diabadikan sebagai kenangan bagi anak cucu dan generasi akan datang. Perkara ini jika tidak diseminar dan mengekalkan identiti  semua sebagai identiti  Selangor dan Malaysia akan hilang begitu sahaja.


Jika kita melihat pembentangan-pembentangan yang dilakukan ialah setakat memperkenalkan pantang larang bagi etnik dan melihatnya sebagai aspek nilai budaya masyarakat berkenaan dan tidak ada sebarang cadangan apa yang patut dilakukan bagi penilaian, pengekalan dan cadangan, kecuali kertas yang membicarakan pantang larang dan petua dari perspektif Islam. Kertas pantang  larang dari perspektif Islam dilihat dari segi perundangan dan hukum, bahkan adat dapat diterima dan dinilai bagi perundangan Islam. Berpandu kepada aspek ini, maka wajar dikaji misalnya undang-undang adat dan dan nilai etika sebagai sumbangan kepada perundangan Malaysia. Kita juga mendengar tentang ungkapan `kontrek social`  yang tidak tertulis dalam masyarakat Malaysia. Sejauhmanakah validnya apa yang dikatakan kontrek social Ini,  juga boleh dijadikan bidang kajian yang bersifat ilmiah yang boleh dikaji oleh pusat-pusat pengajian tinggi di Negara ini sama ada oleh pihak yang mengkaji adat dan budaya atau  perundangan. Pihak PADAT atau muzium boleh meluaskan seminar pada peringkat yang lebih tinggi yang melibatkan kerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi dan pihak yang mendukung satu-satu budaya berkenaan. Dengan itu aspek-aspek berkenaan dilihat lebih ilmiah dan tidak semata-mata khurafat, tahyul dan sebagainya.
Sebagaimana seminar tentang pantang larang masyarakat di Selangor seharusnya diambil kesempatan menghimpun koleksi tentang pantang larang, demikian juga dengan adanya seminar mengenai budaya dan identiti  kaum-kaum dan etnik di Selangor, maka bukan sahaja bahan-bahan tulisan berkenaan dapat dihasilkan, tetapi melalui pameran-pameran dapat dihimpun maklumat dan koleksi berhubung dengan budaya dan identi kaum dan etnik bagi masyarakat di Selangor yang daripadanya dapat diambil rumusan dan ciri identiti negeri Selangor,  bahkan di Malaysia.
Pada akhirnya kertas-kertas yang dihasilkan dalam seminar Pantang Larang Masyarakat di Selangor ini wajar diterbit dan dibukukan dan mana-mana yang kurang dapat diperbaiki, agar penerbitan menjadi dokumen penting sebagai maklumat dan panduan bagi generasi akan datang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment