BBB, 24 Safar 1436 = 17 Disember 2014 (Rabu):
Pepatah ada berkata, ``Jauh perjalanan banyak pengalaman,
lama hidup banyak dirasa``. Demikianlah sebagaimana dikatakan bahawa, ``Bakat
perlu di dalam berkreativiti, tetapi tidak keseluruhannya``, bakat perlu
diperkukuhkan dengan ilmu dan kesungguhan minat. Pun begitu, bagi memantapkan
seorang pengkarya di dalam bidang seni yang diceburinya, masih tidak cukup dengan
bakat, keilmuan dan minat sahaja. Satu keperluan yang penting ialah kekayaan
pengalaman. Sesungguhnya penghasilan sesebuah karya tidak berlaku dari sebuah kekosongan.
Bayangkan seorang pengkarya yang mempunyai bakat, ilmu dan minat mau menulis sebuah novel, cerpen, puisi atau
teater, ia mesti menimba dari masyarakat sama ada peristiwa benar, atau fiksi,
lantaran fiksi dan imaginasi juga adalah
berdasarkan kepada kemungkinan yang berlaku di dalam masyarakat. Ambil saja
contoh seperti Novel Di Bawah Lindungan Ka`bah oleh Hamka adalah berdasarkan
pengalaman reality Hamka Di Makkah dan tanahairnya di Indonesia, cerpen
Sebuah Lampu Antik oleh saudara Harun Hj. Salleh yang memenangi Hadiah
Pertama Peraduan Cerpen Berunsur Islam Kali
Ke V (1983) adalah berdasarkan pengalaman di Kg. Tempurung Negeri Sembilan
dan begitu juga puisi Istana Deli oleh Penulis yang memenangi Hadiah Sastera
Malaysia 1986 adalah berdasarkan realiti sebenar yang mana Penulis telah
melawat istana tersebut di Medan pada tahun 1983. Bidang-bidang seni yang lain
tidak kosong dari pengalaman yang dilalui oleh pengkarya sama ada bidang
senibina, ukiran, khat, landscaping dan seni taman, flem dan lagu. Apa yang
digubah, walaupun sesuatu yang baru dari segi kreatif, tetapi
sekurang-kurangnya berdasarkan kepada peristiwa atau pengalaman yang lalu
sebagai panduan bagi yang baharu.
Berbagai-bagai cara pengalaman yang didapati oleh pengkarya
bagi dijadikan tema, inspirasi atau gubahan dan jalinan bagi karyanya. Cara
mendapat pengalaman.
a)
Berdasarkan pengalaman hidup harian biasa
b)
Bertugas di dalam sesuatu bidang yang memberi ilham bagi pengkaryaan
c)
Episod-episod yang pahit di dalam kehidipan
d)
Sengaja mengembara mencari pengalaman
e)
Berdasarkan pengalaman orang lain yang dihayati
dan dijadikan tema penggubahan.
a)
Berdasrkan pengalaman hidup harian
Pengalama hidup harian, walaupun dirasakan biasa, tetapi
penting, di dalam menggubah dan menjalin cerita dan peristiwa, pengalaman biasa
dimasukkan sebagai budaya kehidupan biasa, walaupun ianya tidak menjadi tema
utama. Tetapi kebiasaan ini dapat diangkat kepada persembahan seni yang
menarik. Contoh lukisan-lukisan Lat contoh Kampung Boy adalah refleksi
kehidupan biasa di kampong, tetapi diangkat secara kreatif sehingga menjadi
tema lukisan yang menarik, bahkan disifatkan sebagai bertaraf antarabangsa.
Ukiran juga misalnya adalah ditimba dari pengalaman hidup yang ditimba dari
alam keliling. Misalnya motif-motif ukiran berdasarkan bunga ketumbit, daun
kangkung yang berjalir dan bunga tanjung dan sebagainya.
b)
Berkhidmat dalam sesuatu bidang yang ada hubungan
dengan bidang kretiviti yang diminati
Ramai mereka berpeluang memperkembangkan
bakat di dalam bidang kreativiti yang diminati ialah dengan berkhidmat di institusi
yang ada hubungan dengan minat . Misalnya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka,
misalnya di dalam bidang penerbitan, maka dia berpeluang mempertingkatkan bakat
dan mendapat tempat. Ramai dari mereka yang berbakat dan bekerja di institusi
berkenaan lebih berpeluang memperkembangkan bakat, demikian juga bekerja
misalnya di penerbitan akhbar, apa lagi jika berpeluang bekerja bahagian
`Ruangan Sastera`. Demikian juga seorang arkitek berpeluang bekerja di firma
arkitek, maka dengan demikian dia berpeluang melahirkan bakatnya dalam bidang arkitek yang memungkinkannya menjadi arkitek
terkenal. Demikian seorang pengukir bekerja di bengkel ukiran terkenal, maka
dia berpeluang melahirkan bakat di dalam bidang ukiran atau memungkinkan dengan
pengalaman yang ditimba dia dapat membuka bengkel ukiran sendiri. Keadaan yang
sama di dalam hal menimba pengalaman ini boleh berlaku kepada peminat bidang
perfileman dapat bekerja di syarikat berkaitan dan seorang penyanyi di syarikat
rakaman. Walau bagaimana tidak semestinya seseorang boleh berkembang dengan
hanya di institusi berkenaan. Banyak cara lagi dapat dilakukan. Kalau minat dan
berbakat, hendak seribu daya.
c)
Episod-episod yang pahit dalam kehidupan
Orang yang hidup senang lenang dengan
kemewahan tidak boleh menjadi seniman yang baik. Bagi bidang seni keterlibatan
di dalam berbagai ujian getir dan susah, sebenarnya makin meningkatkan persepsi
terhadap hidup dan pengalaman-pengalaman pahit menjadi ilham yang baik dan
dapat dijadikan tema di dalam bidang kreatif. Kepahitan mengalami zaman perang,
susah dan miskin banyak memberi ilham
kepada seniman-seniman besar menghasilkan karya mereka seperti yang dialami
oleh Chairil Anwar zaman perang yang menghasilkan kumpulan puisi `Krikil Tajam`
dan `Deru Campur Debu`, Achdiat K. Mihardja menghasilkan novel `Etheis` dan A.
Samad Said menghasilkan `Salina`. Demikian dengan filem-filem perang menarik
perhatian seperti `Bukit Kepong` , Yamashita` dan sebagainya.
d)
Sengaja Mengembara Mencari Pengalaman
Bagi seniman yang komited, kadang-kadang sengaja keluar mencari pengalaman bagi meningkatkan ketajaman
persepsi dan menghidupkan tema-tema pilihan. Sebab itu ramai seniman misalnya
sengaja mengembara bagi mendapat pengalaman dan mendapat ilham. Latiff Mohidin
seorang pelukis-penyair banyak menghasilkan karyanya hasil dari pengembaraannya
contoh Sungai Mekong (disekalikan antara lukisan dan puisi), Kembara Malam dan
beberapa lagi. Pengembaraan juga dilakukan bagi bidang perfileman, seni bina
(bagi mendapat ilham dari seni bina di tempat-tempat yang lain), juga bidang landscaping
dan sebagainya.
e)
Berdasarkan pengalaman orang lain
Cara ini paling banyak dilakukan. Pengalaman-pengalaman
menarik yang dialami oleh individu atau kelompok, dijadikan tema cerita atau
filem. Misalnya Kisah Natrah, Tok Gajah, Mat Kilau dan sebagainya.
Kadang-kadang bagi mendapat kepastian sesuatu peristiwa menarik, maka dijadikan
bidang kajian untuk dijadikan penulisan sejarah atau kreatif. Misalnya episode-episod tertentu zaman pemerintahan
Jepun dan sebagainya.
Sesungguhnya pengalaman amat penting di dalam bidang
kreatif, semakin unik dan menarik sesuatu peristiwa, makin menarik. Namun jika
ada pengalaman berharga yang dialami sendiri, terutama oleh penulis sendiri,
maka ianya lebih menarik dan kental untuk dihasilkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment