December 26, 2014

Dari Tradisi Lisan Zaman Jahiliyyah Kepada Persuratan Zaman Islam


BBB, 03 Rabiul Awal 1436 = 25 Disember 2014 (Khamis):
Menjelang kehadiran Islam, masyarakat  Arab  bermegah dengan kemampuan berbahasa – khususnya berpuisi.  Kelahiran penyair di dalam satu-satu kabilah menjadi kebanggaan dan menjadi juru cakap mereka. Kemegahan ini bukan  setakat di kalangan kabilah, tetapi kemampun menggubah puisi ini menjadi acara tahunan di pertandingkan di pasar Ukkaz, di Makkah dan mana-mana puisi yang memenangi pertandingan diberi penghormatan dipamer dan digantung di Kabah.
Menjelang kehadiran Islam terdapat sejumlah penyair yang dikenali Penyair Zaman Jahiliyyah (500-622SM.) seperti Al-Shinfari, al-Muhalhil, Penyair-Penyair al-Mu`allaqat yang diberi penghargaan di Pasar Ukkaz iaitu seramai tujuh penyair, mereka  Imra`ul-Qays, Tarfah bin al-`Abd, Zuhayr, Labid, Amru Ibn Kalthum, `Antarah dan Al-Harth ibn Hillizah, Beberapa penyair lain yang berkesempatan dengan zaman Islam seperti Al-Nabighah (tak sempat), Al-A`shi al-Akbar, Al-Khansa`, Al-Hati`ah, Manakala penyair dua zaman  (Jahiliyah dan Islam) ialah Ka`b bin Zuhayr dan Hassan bin Thabit al-Ansari,


Puisi-puisi Arab zaman Jahiliyyah ini diwarisi secara hafalan, lantaran tidak ramai yang menguasai tulisan. Bagi setiap penyair Jahiliyah ini ada rawi dan penghafalnya dan diterima orang ramai darinya. Tradisi penulisan syair pada zaman Jahiliyah dan selepas itu hanya berlaku pada zaman Islam selepas tradisi penulisan berkembang terutama pada zaman Umawiyyah, namun tidak semua  diwarisi secara sempurna, banyak daripadanya hilang atau tidak disalin oleh pencatat atau perawinya hilang (meninggal atau tidak dikesan), lagi pula ianya dianggap tidak  begitu penting, kecuali sebagai bukti dan contoh kebahasaan dan nilai sastera secara perbandingan (Butrus al-Bustani, Udaba` al-~Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 37).
Islam datang membawa tradisi penulisan, tradisi menulis ini walaupun tidak begitu meluas di kalangan pemimpin-pemimpin Arab, tetapi melalui pertembungan budaya dan interaksi niaga seperti di Pasar Ukaz  dan pertemuan-pertemuan perniagaan lain, di luar Makkah didapati perlunya menguasai tulisan. Ada dua sumber penulisan. Satu dari Yaman yang agak maju dan mempunyai tulisan dikenali dengan  Tulisan Humairi yang hurufnya terpisah-pisah dan menyerupai tulisah Habashah. Daripadanya berkembang Khat Kufi. Bukti tulisan Yaman ini terdapat pada tinggalan duit syiling, dan ukiran-ukiran pada batu sekitar 800 S.M. Satu sumber tulisan ialah dikenali dengan Khat Jazam yang terkenal di Iraq dan Semenanjung Arab. Tulisan ini menyerupai Tulisan Nabti. Tulisan ini terkenal di Anbar, Hirah dan kawasan berdekatan dengan kedua tempat ini. Turut digunakan di Pelastin dan Sham. Khat Jazam ini dipelajari oleh orang-orang Quraisy di Herah dalam rangka pernioagaan mereka ke sana dan juga ke Iraq. Mereka membawanya  balik ke Makkah. Tulisan Herah ini digunakan sebelum Islam, juga turut digunakan di Madinah, terutama di kalangan orang Yahudi. Tradisi penulisan ini tidak meluas sebelum Islam dan dipelajari oleh pemuka-pemuka Arab. Mereka tidaklah begitu tekun mempelajarinya dan menggunakannya untuk kepentingan ekonomi sahaja. (Butrus al-Bustani: 1985: 35).
Menurut  Hafiz Ibn Kathir (700-774H.), ``Mereka yang belajar menulis  di negeri Arab adalah sedikit benar, Adapun orang yang awal mempelajarinya sebagaimana disebut oleh Hisham bin Muhammad bin al-Sa`ib al-Kalbi dan lainnya, ialah Bashar bin Abdul Malik saudara bagi Ukaidar Dumah, dia belajar tulisan dari Anbar, kemudian dia datang ke Makkah dan berkahwin dengan Sahba` binti Harb saudari perempuan bagi Abi Sufyan Sakhr bin Harb, maka dia mengajarnya kepada  Harb bin Umayyah dan anaknya Sufyan, dan mempelajarinya Umar ibn al-Khattab  daripada Harb bin Umayyah, dan turut mempelajarinya oleh Umayyah dari bapa saudaranya Sufyan bin Harb. Dan dikatakan yang mulai mempelajarinya dari al-Anbar ialah kaum dari Ta`I daripada kampong di sana yang dipanggil `Baqqah`, darinya dididik dan dikembangkan di Semenanjung Arab dengan luas dipelajari.`` (Ibn Kathir al-Hafiz, Kitab Fada`il al-Qur`an,  Dar al-Qublah li al-Thaqafat al-Islamiyyah, Jeddah – wa Muassasah `Ulum al-Qur`an,  Beirut, 1408H./1988M: 43).
Pada zaman permulaan Islam terdapat pemuka-pemuka Islam yang menguasai penulisan. Antara mereka ialah Zaid bin Thabit, Muawiyah bin Abi Sufyan, Sayduna Ali yang mencatat wahyu. Dan adalah apabila turunnya wahyu, Nabi membacanya kepada  yang hadir dari kalangan sahabat-sahabat, setengah mereka menghafal dan antaranya menulis di pelepah tamar atau pada kulit belulang atau pada tulang yang lebar atau pada batu yang nipis.


Riwayat Anas r.a. dia berkata: ``Mereka yang menghimpun Al-Qur`an pada masa Nabi s.a.w. ialah empat orang – Kesemuanya dari kalangan al-Ansar, iaitu Ubay bin Ka`b, Muadh bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zayd. Ditanya, Siapa Abu Zayd, katanya, `Tidak dikenali (Mati awal dikatakan dalam peperangan Badar.`` (Ibn Kathir, Fada`il al_Qur`nan, 1408/1988: 23).
Antara mereka yang menyalin Al-Qur`an berikutnya ialah Abdullah bin al-Zubair, Sa`id bin al-`As,  Abdul Rahman bin al-Harth ibn Hisham, Abdullah bin Mas`ud dan  Ubay bin Ka`b, Kemudian isemua bersetuju  hanya Naskhah`Saydina `Uthman adalah nakhah rasmi.
Jadi dengan turunnya Al-Qur`an bermulanya tradisi menulis dan membaca, sesuai dengan arahan ayat Al-Qur`an yang mula-mula diturunkan, Iqra`  (al-`Alaq: 1-5) bermaksud:
Bacalah dengan nama Tuhan engkau yang mencipta
Dia mencipta manusia dari titis baka
Bacalah dengan nama Tuhan engkau  Yang Mulia
Dia mengajar kamu menggunakan pena
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui.
Penurunan  Al-Qur`an  antaranya  mencabar golongan sasterawan Jahiliyah yang selama ini bermegah-megah dengan kemampuan mereka berpuisi; Firman Allah bermaksud:
``Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang kami turunkan (Al-Qur`an) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur`an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.`` (Al-Baqarah: 23)’
Al-Qur`an sebagai mu`jizat Rasulullah s.a.w., benar-benar melemahkan para pemuka penyair. Berkata  Labid seorang penyair sezaman permulaan Islam bermaksud:
``Sesungguhnya  Al-Qur`an itu merdu dan mengkagumkan ! Sesungguhnya Ianya tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Sesungguhnya jika sebelum Islam, kalangan pemuka Arab dari berbagai kabilah bermegah dengan keindahan puisi-puisi dari kalangan penyair-penyair mereka, maka dengan turunnya Al-Qur`an seolah-olah memadamkan cahaya (puisi-puisi) yang dimegah mereka. Sebaliknya keistimewaan Al-Qur`an memalingkan tumpuan kepada keistimewaan Kitab Suci tersebut. Al-Qur`an bukan sahaja hadir dan menjadi hafalan, tetapi terakam sebagai Persuratan yang di dalamnya terdapat sebanyak 114 surah  yang mengandungi berbagai-bagai pengajaran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment