BBB, 14 Safar 1436 = 07 Disember 2014 (Ahad):
Kertas ke 10 dan terakhir dibentangkan di dalam Seminar
Pantang Larang Masyarakat Di Selanogor di PADAT pada 26 November 2014 disampaikan
oleh YBhg. Sahibus Samahah Dato` Setia
Hj. Mohd. Tamyes Bin Abd. Wahid Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor bertajuk di atas.
Walaupun kertas ini bukan bersifat `Fatwa`
(berbeza dari `Petua`) secara rasmi atas kapasiti Pembentang sebagai Mufti
Selangor, tetapi gaya penyampaian adalah mirip gaya memberi Fatwa. Penulis diberi kepercayaan
mempengerusikan Majlis bagi kertas
tunggal bagi sesi terakhir (Sesi keempat) yang sesi lain antara
2 – 4 kertas bagi satu sesi.
Menurut S.S. Dato` Mufti, `Pantang larang diterima
masyarakat, kerana ketakutan menerima akibat, sekiranya sesuatu pantang larang
itu dilanggar`, Manakala `Petua`` pula, ``Adalah pelbagai ikutan dan kadangkala
diperluaskan oleh anggota masyarakat
untuk berbuat demikian,`` (hlm. 1).
Petua dan Pantang Larang ini tambah Dato` Mufti,
``Mengikut kaum serta budaya masing-masing. Ia telah menjadi
kawalan social sesuatu masyarakat dan seakan-akan sebagai peraturan hidup yang
dapat membantu memastikan keharmonian dan tatasusila.`` (hlm. 1).
Pandangan Islam Terhadap Pantang Larang Dan Petua
1.
Harus diamalkan sekiranya tidak bercanggah
dengan Al-Qu`an, Al-Sunnah, Ijma`
`Ulama` dan Qiyas.
2.
Tidak
bercanggah dengan akidah bahawa baik atau buruk, manfaat atau mudarat
yang berlaku kepada manusia adalah ketentuan dari Allah (Al-A`raf: 188).
3.
Tidak mengubah hukum Allah seperti
mengharamkan yang halal atau sebaliknya.
Pantang Larang Dan Petua Sebagai Uruf
S.S. Dato` Mufti merujuk kepada Ibnu Manzur di dalam
karya besarnya `Lisan al-Arab al-Muhit (Jil 11, hlm. 747) bahawa: `Uruf, iaitu
sesuatu yang diketahui oleh seseorang tentang sesuatu dan menjadikannya sebagai
kebiasaan untuk diamalkan.`` (hlm. 3).
Dengan memetik pendapat Shaykh Yusof al-Qaradhawi yang
menyatakan pada zaman Rasulullah s-a.w. Baginda pernah menerima beberapa adat
dan budaya Arab yang disesuaikan dengan Islam, juga idea dan metode digunakan
oleh orang `Ajam seperti menjemput tukang
kayu dari Rome mebina mimbar untuk
khutbah Juma`at dan menerima cadangan Salman al-Farisi bagi menggali parit
`khandak` keliling Madinah dalam peperangan al-Ahzab. Begitu pada zaman
Khulafa` ai-Rashidin diterima pakai system pentadbiran dan kewangan dari Rome
dan Parsi dan mengadaptasikan system
Al-Dawawin dan al-Rahnu dari Rome,
selagi semuanya tidak bercanggah dengan syariat. (hlm. 4).
Menurut Dato` Mufti Selangor,
`Majoriti fuqaha memperakui uruf mempunyai autoriti
sebagai salah satu sumber dalam penetapan hukum. Imam al-Qarafi menetapkan uruf
sebagai salah satu sumber perundangan Islam. Al-Tufi pula meletakkan uruf di tempat yang kesepuluh
dalam senarai sumber Perundangan Islam. (hlm. 4).
Manakala pendapat yang lain yang dipetik Dato` Mufti
Selangor dari pendapat Subhi Mahmasani
berpendapat, ``Uruf perlu disesuaikan dengan sumber-sumber perundangan yang
lain. Sekiranya ianya bertentangan dengan sumber atau falsafah perundangan
Islam, maka uruf tidak boleh digunakan. Seperti mana kaedah fiqh menyatakan
`adat menjadi hukum (boleh diamalkan) selagi tidak bertentangan dengan
syariat.`` (hlm. 4).
Berhubung dengan uruf ini Al-Imam Al-Ghazali memberi pendapat sebagaimana dipetik oleh Dato` Mufti
Selangor, ``Iaitu perkara yang dirasakan
mudah dan diterima oleh akal dan sifat semula jadi manusia`` (Al-Mustasfa, Jil.
1, hlm. 286-283), (hlm. 5). Manakala yang lain berpendapat, bahawa uruf ialah
kumpulan dasar atau prinsip yang telah
muncul dalam kalangan masyarakat. Ia diwarisi oleh generasi terkemudian
daripada generasi terdahulu dengan syarat uruf itu mempunyai kesan dari aspek
undang-undang.
Di dalam masyarakat Melayu sendiri ada hukum adat dan
ada ungkapan adat yang menjadi panduan
kehidupan. Ini terdapat di dalam ungkapan teromba di Negeri Sembilan menjadi panduan dan kecaman, bahkan hukuman
terhadap mereka yang melanggar hukum adat yang disifatkan
Adat mengia,, syarak mengata, hukum berpandukan Kitabullah
Aturan yang menjadi hukum adat juga boleh terdapat di
dalam ungkapan-ungkapan seperti di dalam
Grindam 12 Raja Ali Haji (Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji,
DBP, Kuala Lumpur, 1993: 89-105).
Dalam kata lain, bahawa uruf boleh menjadi panduan Hakim
sebagai neraca bagi mempertimbangkan hukuman
bagi kesalahan jenayah takzir berdasarkan perbezaan adat atau maslahah
bagi sesuatu tempat. Juga sebagai isyarat keizinan, tegahan, kewajipan atau
penyaksian tanpa memerlukan kepada
lafaz, tetapi menurut uruf yang diungkapkan sebagai `al-`adah
al-muhakkamah (adat hukuman).
Walau bagaimana uruf yang dinilai dan diterima pakai ini,
selagi tidak bercanggah dengan syara`, tetapi sekiranya jelas bertentangan dengan
syara`, maka dengan sendirinya tertolak Pendek kata pantang larang dan petua
yang dipakai di dalam masyarakat boleh diterima, selagi ianya tidak bercanggah
dengan Islam.
... bersambung.
No comments:
Post a Comment