December 31, 2014

Penyair Al-Mu`allaqat (Puisi Gantungan) - Mengepalainya Imri`ul Qays


BBB, 09 Rabiul Awwal 1436 = 30 Disember 2014 (Selasa):
Daripada puluhan penyair pada zaman Jahiliyyah terdapat sekelompok penyair yang disifatkan sebagai penyair elit dari kedudukan kepuisian. Sebagaimana telah disentuh puisi adalah pengucapan masyarakat Arab Zaman Jahiliyyah, ianya menjadi khazanah maklumat bagi masyarakat zaman Jahiliyyah yang pada umumnya adalah buta huruf. Ungkapan penyair sebagai khizanah maklumat yang dihafal dan diwarisi masyarakat generasi ke generasi.  Kelahiran penyair di dalam satu-satu kabilah dianggap sebagai kurniaan serta dimegahkan dan penyair berkenaan menjadi jurucakap bagi kabilah berkenaan.



Popularnya puisi dan penghormatan terhadap penyair dapat dilihat dari sanjungan peniaga dan pengunjung di Pasar Ukkaz di Makkah yang memberi  ruang kepada penyair-penyair bertanding puisi di Pasar Ukkaz. Pertandingan puisi di sini mendapat sambutan dan mana-mana puisi yang menang pertandingan selain dari dideklamasi, maka puisi-puisi yang menang diberi penghormatan dengan menggantungkan puisi-puisi berkenaan di Ka`bah.
Melalui siri-siri pertandingan  pasar Ukkaz telah melahirkan barisan penyair-penyair terkenal yang teruji puisi mereka di pertandingan menggubah puisi di Pasar Ukkaz. Dalam tempoh pertandingan 7 orang penyair diiktiraf dan diberi jolokan sanjungan sebagai penyair-penyair `Al-Mu`allaqat – Yakni puisi-puisi mereka digantung di Ka`bahyang  setiap kali pertandingan seorang daripada mereka terpilih dan diberi penghormatan. Mereka adalah seramai 7 orang, iaitu:
1)      Imri`ul-Qays      2)   Tarfah bin al-`Abd        3)  Al-Zuhayr
4)    Labid                   5)  Amru bin Kalthum         6)  `Antarah
7)    Al-Harth bin Hillizah
Bagi setiap penyair di atas masing-masing mempunyai sejumlah puisi yang dihasilkan dan diwarisi. Adalah menjadi tradisi bagi setiap penyair bagi satu kaum, apa lagi yang terkenal dan bertaraf `Al-Mu`allaqat` mempunyai penghafal dan perawi sendiri yang darinya dihebahkan kepada orang ramai.
Penyair Al-Mu`allaqat` Imra`ul- Qays  misalnya perawi dan penghafalnya ialah Abu Daud al-Iyadi, bagi Zuhayr perawinya ialah Aus bin Hajar dan Al-A`sha perawinya ialah al-Musayyab bin `Alas.
Penyair Al-Mu`allaqat terkenal ialah Imri`ul-Qays (500-540M.) beliau ialah Imri`ul-Qays bin Hajar al-Kindi kelahiran Najd,  Pemuka keturunan Diraja  Bani Asad, dipanggil sebagai Abu Wahab atau Abu al-Harith. Dikatakan nama sebenarnya ialah Jandah digelar Imri`ul-Qays. Nama ibunya Fatimah binti Rabi`ah bin al- Harith, dikatakan saudari perempuan kepada Kalib dan Al-Muhalhil . Sebagai anak berketurunan elit dia hidup dalam berpoya-poya. Beliau menggubah puisi sebagai lirik lagu, hingga ayahnya terbunuh, lantas beliau bangkit menuntut bela di atas kematian bapanya dan bergerak antara kabilah, akhirnya mendapat tempat di Istana Kerajaan Ghassan pada masa pemerintahan Qaisar Bustinanus (527-565M.) melalui perantaraan Al-Harth al-Ghassani. Dia dihantar oleh Qaisar melalui perutusannya (Ibrahim) ke Istana kerajaan Rum (Byzantin) mengungkap puisi dan memuji Raja Rum dan mendapat habuan darinya.  Imriu`l-Qays  meninggal di sana tahun  540M.
Walaupun Imri`ul-Qays dikira sebagai penyair berketurunan elit dan puisinya dianggap antara puisi terbaik dari kalangan penyair Jahiliyyah dan tergolong sebagai penyair Al-Mu`allaqat utama, tetapi tidak terlepas dari lemen-elemen Jahiliyyah. Contoh puisinya yang bertema:
Tuntut Bela Di Atas Pembunuhan (Bapanya)
Terkilas kilat di malam kelam
Memancar cahaya ke tinggi gunung
Sampai kepadaku berita kudustakan
Dengan perkara menggoncang puncaknya
Banu Asad tergamak membunuh Tuannya
Tidakkah semua yang lain kecil banding dengannya ?
Di mana Rabiah dengan Tuannya
Di mana Tamin, di mana al-Khaul ?
Tidakkah mereka datang ke pintunya
Sebagaimana mereka hadir bila berita gembira ?
(Diwan Imriu`ul-Qays,  Dar Sadir,  Beirut: tt: 14-15).
Dalam puisi yang lain Imri`ul Qays mengungkapkan:
Berdiri menangis mengingati kekasih dan rumah
Bertaburan kerikil di laman ke ruang
Walau dijelaskan  tidak nyata  dibaca
Bagai garisan dari selatan utara
Berdiri sama sahabatku bagai memacu
Mereka berkata, ``Jangan rosakkan harapan berkaca``.

Sesungguhnya kesembuhanku adalah nadi-nadi berdenyut
Adakah garis tulisan  dipelajari oleh yang memberi  perhatian ?
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat Jil I,  Al-Matba`at al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 31).
Imri`ul-Qays adalah penyair terkemuka Arab sebelum Islam, dikatakan Saidina Abbas bin Abdul Muttalib bertanya saidina Umar al-Khattab tentang ketokohan penyair Imriul-Qays, maka katanya, `` Imri`ul Qays adalah tokoh terkemuka, mempunyai ketajaman persepsi``. Saidina Ali bin Abi Talib juga memberi  pendapat tentang Imri`ul Qays, katanya:
``Imri`ul Qays sebaik-baik penyair, nadir, dan mendahului yang lain, Dia mengungkapkan yang dingini dan yang ditakuti``.
(Diwan Imru`ul-Qays, Dar Sadir, tt: 27).
Puisi-puisi Imri`ul-Qays tidak saja dihayati dari segi kandungan dan keindahan, tetapi banyak dari puisinya menjadi contoh nahu dan kebahasaan di dalam kitab-kitab nahu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment