December 14, 2014

Tonggak Takmilah

Tonggak Takmilah
BBB,  21 Safar 1436 = 14 Disember 2014 (Sabtu):
Tonggak dapat diertikan `Puncak Unggul`, `Piawaian Tertinggi` dan `Penujuan maksimum` bagi  bidang diperkatakan iaitu `Takmilah`. Antara ciri yang penting di dalam Takmilah ialah `perjalanan dan jarak yang dilalui dan diterokai Takmilah yang lebih bersifat kualiti dari kuantiti. Puncak kualiti bagi Takmilah ini dimaksudkan tonggak yang seharuslah menjadi destinasi perjalanan kualiti Takmilah. Namun jarak ini begirt  jauh dan panjang harus dilalui dan banyak maqam yang ditempuhi dan diatasi. Perjalanan adalah bersama beban, bukan saja diri, tetapi karya yang mau diungguli dan khayak yang diajak menyertai.


Tonggak Takmilah ada yang  lengkap sempurna dan menjadi piawaian yang nyata, tetapi tidak bererti dapat sampai kepadanya, tetapi ada tonggak yang bersifat `subjektif` dan penyampaian kepadanya begitu relatif ! Bagi tonggak lengkap sempurna adalah seperti Al-Qur`an yang misalnya mau dicontohi dari segi keilmuan dan estetika kandungan, maka kedua-dua elemen wujud, tetapi perjalanan kualiti  ke sini,  kemampuan meneroka, menggali, menafsir dan menghasilan keilmuan berkenaan, begitu juga aspek estetika bergantung kepada persediaan kemampuan penghayatan,  penerokaan dan penghayatan elemen estetika berkenaan. Bagi kedua-dua bidang berkenaan tidak ada had dan limit dan tidak ada kesampaian  ke sempadan terakhir. Tonggak kesampaian yang lengkap sempurna juga yang diibaratkan bagi insan sebagai insan Khalifah,Rabbani  lagi Kamil adalah Tonggak Takmilah keinsanan dari aspek ini iaitu Rasulullah s.a.w. Maka di dalam pembicaraan katakanlah dari segi mengunggulkan aspek insan Khalifah, Rabbani, Kamil, maka baginda Rasulullah s.a.w. model bagi semua jenis keinsanan berkenaan. Dalam kreativiti dan panduan contoh tauladan yang dibina dalam perjalanan kualiti keinsanan sebagai  watak unggul yang mau dibina dan ditampil, maka tidak mungkin sampai kepada dentinasi perjalanan kepada tonggak insan Khalifah, Rabbani dan Kamil itu. `Kesempurnaan` perjalanan bagi semua aspek yang diperkatakan di atas adalah pada `Ketidaksempurnaan`.
Adapun Takmilah yang lain  dari di atas  adal;ah `Kualiti yang bersifat subjektif`.  Perjalanan kepada  ke arahnya bertahap. Tahap awal dan biasa ialah dengan mempelajari dan mengikuti apa yang sedia ada di dalam mesayarakat. Contoh mampu menggubah sebuah pantun misalnya berdasarkan kepada  kaedah yang sedia ada pada masyarakat, mampu membina sebuah rumah mengikut pola biasa binaan yang dilakukan oleh generasi sebelumnya, bahkan mampu menghasilkan peralatan dari tanah liat bagi kegunaan harian katakana tempayan dan pasu, lantaran sudah ada pola dan bentuk yang sedia ada. Pola yang sedia ada ini dapat dikatakan sebagai `Tonggak Sedia Ada` sebagai model dan piawaian yang diikuti.  Pada peringkat ini sebenarnya belum melibatkan kreativiti pengkarya . Ianya seharusnya ada tonggak ideal yang yang mau dicipta dan dihasilkan oleh pengkarya. Di dalam konteks ini semua bidang yang melibatkan seni yang bukan utama adalah dalam keadaan `Terbuka untuk Diteroka` , walau macam ianya tidak keluar dari suasana alam budaya yang dia berada, keilmuan, bakat dan daya kretiviti yang ada pada pengkarya. Tonggak yang bersifat kreatif dapat dikatakan bersama proses penghasilan yang mungkin berada di dalam imaginasi dan kreativiti pengkarya. Jika dikatakan sudah ada contoh yang sudah siap, maka bukan hasil dari kreativitinya, dan ia bersifat tiruan dan bukan bersifat asli..
Tonggak bagi kreativiti dapat dikatakan bersifat terbuka. Walau bagaimana ianya tidak keluar dari lingkungan, pengaruh nilai yang dipegang,  budaya lingkungan dan tidak jarang tonggak kemampuan yang dicapai sekadar mengadakan perubahan dan tambahan. Pencapaian kepada tonggak yang `Bakal Jelas`  mengambil masa yang panjang. Kreativiti, perubahan, bahkan penyimpangan mengambil masa yang panjang ini hingga kadang-kadang tidak kelihatan peranan individu yang mungkin kecil peranannya dan kelihatan ianya adalah hasil dan kreativiti masyarakat.
Sebagai contoh `Penghasilan Puisi Bebas dan Moden ` yang boleh dikatakan tonggak perpuisian kini mengambil masa  lama dari peringkat penghasilan pantun mudah (dua kerat) kepada teriikat kepada banyak kerat, kepada pengucapan bebas ke peringkat ini hampir tidak dikenali dari segi penggubah dan pengkarya, bahkan di dalam puisi moden walaupun diperkenalkan pengkarya dengan menyertai  nama pencipta, tapi tidak mudah untuk meletakkan hasil karya sebagai tonggak yang diterima benar-benar lengkap dan bermutu.
Keadaan yang sama berlaku di dalam seni bina umpamnya, genius perseorangan agak sukar kelihatan. Perkembangan bentuk senibina  rumah dari peringkat pondok ke rumah yang berbagai bentuk dan berbagai jenama yang diberi, kelihatan sebagai perkembangan dari apa yang sedia ada dengan berlaku tambahan sesuai dengan keberadaan di sesuatu tempat, sesuai dengan iklim, cuaca dan suasana. Perubahan dan pergerakan begitu lambat dan bergantung kepada kesesuaian setempat. Apa yang dapat disimpulkan bahawa  `Tonggak` sebagai kretiviti yang kita katakan sebagai hasil Seni lebih merupakan perubahan perjalanan kualiti bersifat evolusi dan  melibatkan masa yang panjang. Di dalamnya ada yang membawa kelainan dan penmyimpangan kecil yang dikenali, tetapi lebih banyak tidak dikenali. Ianya lebih dikenali sebagai hasil budaya dan kretiviti masyarakat berkenaan contoh bagi sastera seperti hasil pantun dan puisi bebas yang jelas (terutama pantun) ialah hasil masyarakat Melayu, begitu juga rumah katakan `rumah peles`  atau `rumah limas  bungkus` dikenali hasil seni bina Melayu. Demikian tonggak seni dan Takmilah begitu sukar dicapai dan memerlukan masa yang panjang. Namun kelainan-kelainan kecil yang berlaku dalam masyarakat sebagai hasil kreativiti adalah besar bagi individu yang menjadi tonggak dan idealism awalnya yang kelak menjadi identitinya. Ini bererti begitu sukar melahirkan seseorang pengkarya yang genius yang mempunyai atau hasilnya menjadi tonggak baginya dan menjadi piawawan bagi dirinya dan juga bagi orang lain.
Masyarakat dan Negara perlukan pengkarya di dalam apa jua bidang kreativiti dan seni yang mempunyai tonggak kreativiti yang kita sifatkan sebagai Takmilah yang  menjadi identiti  baginya dan bagi masyarakat dan Negara.
Sekian.

No comments:

Post a Comment