December 24, 2014

Negara Wadah Perjuangan Dan Pengisian: Takmilah Diharap Menjadi Dinamika Ummah


BBB, 01 Rabiul Awal 1436 = 23 Disember 2014 (Selasa):
Sukar untuk dibayangkan seseorang dilahir atau berada di dalam situasi tanpa bernegara, selain dari kedudukannya tergugat, banyak urusan dan kegiatan menghadapi masalah. Menarik kewarganegaraan seseorang adalah hukuman yang berat, lantaran kebebasannya sama ditarik. Lantaran itu hak bernegara adalah hak asasi manusia.


Negara sebenarnya, selain dari tempat tinggal dan meneruskan kehidupan biasa,  adalah wadah perjuangan bagi individu atau kelompok bagi melaksanakan  sesuatu visi dan misi.  Ada perjuangan yang mau melaksanakan hasrat dan tujuan dengan mengambil pendekatan secara kekerasan yang antaranya membawa kepada penaklukan dan penjajahan.  Ada perjuangan bagi menentang kebatilan bagi menegakkan kebenaran  seperti  Rasulullah yang merupakan anak watan Makkah berjuang untuk menegakkan kebenaran di Makkah, tetapi tidak mendapat sambutan pada peringkat awal di Makkah, memerlukan tapak dan wadah perjuangan dan mengambil pendekatan berhijrah dan menjadikan Madinah sebagai Negara baginya berjuang dan berjihad bagi menegakkan Islam yang kemudiannya kebenaran yang dibawa ini bukan saja bagi Madinah, tetapi juga kepada Makkah, tetapi meluas ke seluruh dunia. Rasulullahs.a.w. pembawa kebenaran adalah insan cemerlang  yang Berjaya membawa perubahan dunia.
Konsep kecemerlangan ini seharusnya menjadi contoh tauladan yang baik. Usaha meningkatkan kecemerlangan Negara `Malaysia`  bukan hak mutlak  milik individu perseorangan atau kelompok tertentu, tetapi hak semua seharusnya bertujuan untuk kebaikan. Bagi pembangunan dan kemajuan Malaysia rakyat Malaysia dari berbagai sector dan lapisan masyarakat sememangnya sedang bekerja dengan kebolehan dan kapasiti masing-masing. Petani  di bendang, walaupun dilihat kerja ini bertaraf rendah, bekerja bertanam padi yang peranan mereka membekalkan beras sebagai makanan utama penduduk. Demikian dengan nelayan yang diklasifikasikan sebagai golongan rakyat termiskin, tetapi sebenarnya berperanan membekalkan protein sebagai makanan utama sebagaimana yang dihasilkan petani.  Di sebalik itu para buruh yang berperanan memberi  khidmat sebagai tenaga perkhidmatan di berbagai sector bagi menghasil dan menyampaikan keperluan dan perkhimatan kepada rakyat adalah merupakan penggerak utama kemajuan, walaupun mereka tidak diberi pengiktirafan, lantaran mereka dari kalangan bawahan dan pelaksana arahan. Memanglah diakui semakin tinggi peranan dan perkhidmatan semakin diiktiraf khidmat. Misalnya sector pertanian seperti Felda sedang berusaha mengembalikan harga minyak sawit yang jatuh, Petronas berusaha mengatasi kemerosotan pendapatan akibat penurunan harga minyak dunia, para peniaga biasa mengadjust harga barangan agar terjamin keuntungan, sedangkan rakyat banyak mengeluh dengan kenaikan harga barangan, walaupun harga minyak menurun, para pentadbir di jabatan-jabatan menjalan rutin kerja harian dalam suasana yang lebih selamat dan orang politik yang sentiasa tamak kuasa sentiasa berusaha dengan berbagai cara untuk mendapat sokongan rakyat bagi mengekalkan kuasa, manakala pihak keselamatn di samping mengawasi  agar tidak berlaku pencerobohan musuh di sempadan juga mengawasi kegiatan-kegiatan yang boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Negara, selain dari memerlukan berbagai kegiatan di atas bagi meneruskan kelangsungan, memerlukan kepada kompas dan panduan yang boleh meningkatkan prestasi kehidupan dan unggul pegangan dan pencapaian. Maksud prestasi kehidupan ini lebih kepada kejayaan-kejayaan tampak. Menyebut Negara maju, maka terpandang kita pada ibu kota ibu kota Negara yang maju dengan bangunan-bangunan pencakar langit, pentadbiran cekap, industry maju, hasil Negara meningkat, sector swasta yang giat dengan pendapatan rakyat tinggi hasil dari pimpinan yang cekap dan dipandang hormat baik di dalam dan luar Negara.
Maksud dari segi `unggul pegangan dan pencapaian` bahawa wujudnya `Falsafah Nilai yang Membudayakan masyarakat` yang menjadi daya yang menggerakkan masyarakat berkenaan. Kita percaya bagi orang German ada falsafah pegangan yang jika setiap kerja dan penghasilan dilakukan dengan teliti dengan  hasil bermutu, begitu juga prestasi orang Jepun dan Korea.  Apakah system pendidikan dan budaya positif mereka Berjaya menghasilkan falsafah dan niali unggul bagi mereka ?
Pendidikan dan nilai budaya diterapkan, memainkan peranan yang penting di dalam membentuk falsafah nilai dan sudut pandangan masyarakat. Malaysia dilihat dari jumlah institusi pengajian lebih dari cukup bagi membangun Negara dan tidak rendah diri jika disbanding dengan German, Jepun dan Korea yang pernah kalah, tetapi berjaya bangkit dalam masa yang singkat. Apakah pengajian-pengajian tinggi kita masih pada peringkat mengeluarkan pelajar-pelajar bagi berbagai peringkat, tetapi masih gagal menemui falsafah dan nilai yang kukuh menghasilkanpara genius yang dapat mencetuskan pemikir-pemikir yang berdaya memajukan masyarakat ?
Takmilah sebenarnya meletakkan ideal unggul dari akidah dan uswah  hasanah  untuk dijadikan falsafah dan dinamika kehidupan dan perjuangan berasaskan falsafah Islam, iaitu berasaskan konsep  Allah bersifat ~Kamal` dan juga Rasulullah s.a.w. disifatkan `Insan Kamil`. Maka pecahan dari akar kata bagi kedua-dua istilah ini diambil `Takmilah` bagi dijadikan  falsafah pendidikan dan kehidupan yang berusaha ke a rah penghasilan amalan sempurna bagi setiap pekerjaan, walaupun pada hakikatnya tidak mungkin sampai kepada tahap Takmilah perfect. Semoga ianya merupakan dinamika masyarakat dan umat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment