BBB, 26 Safar 1436 =
19 Disember 2014 (Jumaat):
Model Takmilah Sempurna bersumberkan Islam, iaitu berdasarkan Al-Qur`an yang mengandungi
prinsip-prinsip Islam dan menjadi Tonggak dan Piawaian Tertinggi bagi Takmilah. Rasulullah s.a.w menyampaikan kandungan
Al-Qur`an tersebut kepada ummah di samping memperkukuhkan kandungan dengan Sunnah Baginda. Apa yang disampaikan
oleh Baginda adalah menjadi sumber ilmu yang melibatkan berbagai-bagai bidang
keilmuan dan penyampaian tersebut juga melibatkan nilai-nilai Islam. Dakwah
Rasulullah s.a.w. selama tiga belas tahun di Makkah sebelum wujudnya Negara
Islam. Selepas Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah, maka terbentuklah Negara
Islam Pertama bertempat di Madinah. Tumpuan pembicaraan di bawah adalah tentang
ilmu yang menjadi `Sandaran Kukuh` dan
penting bagi Takmilah – Ilmu.
Rajah:
Modul Takmilah Sempurna
berprinsip Al-Qur`an, lantaran Al-Qu`an adalah wahyu diterima Rasulullah
s.a.w. dari Allah yang menjadi panduan dan perlembagaan bagi Islam. Antara ayat
Al-Qur`an bermaksud:
Alif lam mim, Kitab Al-Qur`an itu tidak diragui memberi pertunjuk kepada mereka yang bertaqwa.
(Al-Baqarah: 1 -2)
Ayat yang lain bermaksud:
Sesungguhnya Al-Qur`an itu memberi pertunjuk kepada jalan yang betul (Al-Isra`: 9).
Al-Qur`an yang menjadi prinsip dan perlembagaan Islam ini
sesungguhnya menagndungi segala ilmu dan
maklumat segala maujud sama ada yang bersifat ghaib, terutama tentang prinsip ketuhanan
Yang Maha Esa, sifat-sifat sempurna Allah, tentang kiamat, hari akhirat, syurga, neraka, malaikat dan
segala yang ghaib yang di luar dari jangkauan minda.
Al-Qur`an juga menyatakan
mengenai alam syahadah tentang kejadian alam yang terdiri bumi, planet-planet
dan bintang-bintang. Di dalam hal ini Dr. Maurice Bucaille seorang intelektual
Perancis yang mengkaji secara perbandingan antara Bible, Qur`an dan Sains Moden
menyatakan:
``Qur`an itu penuh dengan pemikiran-pemikiran tentang
langit-langit. Dalam fasal yang lalu yang membicarakan penciptaan alam, kita telah melihat bahawa adanya
langit-langit dan bumi-bumi telah disebutkan; begitu juga tentang adanya
ciptaan tengah (antara langit dan bumi) yang telah ditunjukkan kebenarannya
oleh sains modern. Ayat-ayat tentang ciptaan alam, telah menunujukkan secara
tidak langsung ide umum tentang isi langit, artinya tentang segala sesuatu yang
berada di luar bumi kita.
Di samping ayat-ayat yang khusus menggambarkan penciptaan,
ada lebih dari 40 ayat Qur`an yang memberikan kepada astronomi (ilmu bintang)
keterangan-keterangan tambahan. Sebahagian dari ayat-ayat tersebut hanya
merupakan renungan tentang keagungan Zat Pencipta dan Pengatur segala sistem
bintang-bintang dan planet-planet yang kita ketahui, dan yang dipelihara dalam
keseimbangan dengan peraturan yang dikemukakan oleh Newton, iaitu peraturan
daya tarik antara benda-benda (law of gravitation). (Dr. Maurice Bucaille,
Bible, Qur`an & Sains Moden, (Terjemahan Prof. Dr. H.M. Rasjidi), Thinker`s Library Sdn. Bhd, Malaysia, Batu
Caves, Selangor, 1994: 169).
Sebagai konklusi umum bagi bidang sains Dr. Maurice Bucaille
menyatakan:
``Qur`an yang diwahyukan sesudah kedua kitab suci
sebelumnya, bukan saja bebas dari kontradiksi dalam riwayat-riwayatnya,
kontradiksi yang menjadi ciri Injil-Injil kerana disusun oleh manusia tetapi
juga menyajikan kepada orang yang mempelajarinya secara onjektif dengan
mengambil petunjuk dari Sains modern, suatu sifat yang khusus, yakni
persesuaian yang sempurna dengan hasil
Sains modern. Lebih dari itu semua, sebagai yang sudah kita buktikan.
Qur`an mengandungi pernyataan ilmiah yang sangat moden yang tidak masuk akal,
jika dikatakan bahawa orang yang hidup
pada waktu Qur`an diwahyukan itu adalah pencetus-pencetusnya. Dengan begitu
maka pengetahuan ilmiah modern memungkinkan kita memahami ayat-ayat tertentu
dalam Qur`an yang sampai sekarang tidak dapat ditafsirkan.`` (Maurie Bucaille,
1994: 292-293).
Selain dari aspek-aspek sains di atas Al-Qur`an membicarakan
tentang kejadian manusia dari peringkat awal dari dalam kandungan hingga
kelahiran dan meninggal. Turut dibicarakan tentang sains samudera, sungai, hujan,
tumbuh-tumbuhan, lebah dan hasil
buah-buahan.
Selain daripada yang
bersifat sains Al-Qur`an membawa perundangan syariah yang melibatkan ibadah,
mu`amalat, munakahat, jinyah dan jihad. Bidang-bidang berkenaan begitu banyak
diberi tumpuan oleh ulama dan
menghasilkan kitab-kitab fiqh terkenal. Di dalam al-Qur`an juga membicarakan
tentang sejarah Negara-negara silam dan tokoh-tokoh terkenal sama ada sifat
zalim atau baik yang dapat menjadi contoh tauladan.
Al-Qur`an yang diturunkan di dalam bahasa Arab itu menjadi
model dan piawaian bagi bahasa Arab. Daripada Al-Qur`an disusun keilmuan yang
dikenali dengan nahu dan saraf dan Al-Qur`an tetap menjadi contoh dan rujukan
bagi bidang bahasa Arab dan kaedah pembacaan yang dikenali dengan tajwid.
Membaca Al-Qur`an meningkatkan fasahahdan ingatan bagi pembaca di dalam bahasa tersebut.
Dengan kandungan keilmuan dalam al-Qur`an dan banyak
ayat-ayat berkenaan ilmu dan gesaan agar mempelajari ilmu, maka Al-Qur`an
menjadi `Tonggak` dan `Piawaian` rujukan, contoh keilmuan serta inspirasi bagi Takmilah. Bahkan keilmuan menjadi
`Sandaran Kukuh` bagi Takmilah di samping `Tiang Seri` estetika.
Firman Allah bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah semua jenis lautan
menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis
kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi
lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.`` (Al-Kahfi:
109).
Sekian.
No comments:
Post a Comment