December 4, 2014

Zodiak Dan Feng Shui Dalam Pantang Larang Orang Cina


BBB, 10 Safar 1436 = 03 Disember 2014 (Rabu):
Tuan Haji Ann Wan Seng telah membentang kertaskerja tentang Pantang Larang Masyarakat Cina di Selangor pada hari kedua (26 November 2014) Seminar Pantang Larang Masyarakat Di Selangor di PADAT, Shah Alam. Menurut Pembentang sungguhpun terdapat  14 suku  masyarakat Cina di Malaysia dan yang paling dominan ialah suku Hokkien, Kantonese, Hakka dan Teochew dan di Selangor didominasi suku Hokkien, dan Hakka diikuti suku Teochew, Kantonese dan Hailam pada dasarnya adat dan pantang larang mereka hampir bersamaan dari segi kepercayaan, kebudayaan dan warisan adat resam. Dilihat dari segi petempatan di Selangor Suku Hokkien ramai terdapat di Klang, Hakka di Bandar Kajang, Teochew di Pulau Ketam dan Kuala Selangor, Kantonese di Petaling Jaya dan Hailam di Bagan Hailam di Pelabuhan Klang.  Kebudayaan mereka dipengaruhi oleh  Toisme, Confuciunisme, Buddhisme dan pegangan pada leluhur. Mereka mempunyai pantang larang dan taboo.


Orang Cina menurut Haji Ann Wan Seng percaya bahawa perjalanan dan pusingan hidup amat dipengaruhi oleh gerak lunar dan bintang-bintang  yang dikenali dengan `Zodiak`.  Pergerakan mempengaruhi pusingan hidup dari segi tarikh, masa lahir, nama dan anggota tubuh  yang menentukan Feng Shui. Orang Cina menggunakan system lunar berasaskan bentuk bintang-bintang yang menyerupai bentuk binatang-binatang yang berjumlah 12 zodiak, iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyek, ayam, anjing dan babi. Perjalanan hidup dipengaruhi tarikh lahir menurut zodiak berkenaan. Lantaran itu ada pantang larang bagi kelahiran yang tidak serasi dengan zodiac, contoh:
Lahir tahun tikus dilarang kahwin dengan yang lahir tahun kuda dan arnab
Lahir tahun lembu sebaiknya mencari yang lahir pada tahun ayam, tikus, ular dan juga lembu
Lahir tahun harimau perlu elak dari mengahwini yang lahir tahun ular, monyet, lembu, arnab dan harimau
Lahir tahun arnab tidak sesuai dengan yang lahir tahun ayam, tikus dan harimau
Lahir tahun naga tidak sesuai dengan yang lahir tahun anjing
Lahir tahun ular jangan berkahwin dengan yang berzodiak babi dan harimau
Tahun kuda tidak boleh dengan Tahun tikus
Tahun lembu tidak boleh dengan tahun anjing
Lahir tahun monyet tidak sesuai dengan lahir tahun kuda dan harimau
Tahun ayam tak sesuai dengan tahun arnab dan ayam
Tahun anjing tidak sesuai dengan tahun kambing dan naga
Tahun babi hendaklah menjauhkan tahun ular. Jika larangan-larangan tidak dipatuhi, maka akan berlaku ketidakserasian dan kecelakaan.
Adapun Feng Shui (Angin dan Air) , bukanlah sesuatu yang khurafat, sebaliknya merupakan pemerhatian bersifat saintifik dan logic. Misalnya untuk mendirikan rumah atau bangunan mesti mencari tapak yang sesuai dengan unsur angin (feng) yang dikenali sebagai `ying` dan Air (shui) yang dikenali  dengan `yang`’  Dalam ajaran Taoisme kedua-dua unsur ini begitu penting di dalam kehidupan dan perlu seimbang, jika tidak akan mencetuskan konflik. Contoh tidak sesuai mendirikan rumah di persimpangan jalan atau di kawasan rendah dan terlindung. Perkuburan sewajarnya di tempat tinggi. Lokasi sesuai memberi  lempah kekayaan, kesejahteraan dan kebahagiaan.
Bagi pantang larang yang lain, maka kaum Cina.
Mementingkan kelahiran anak lelaki yang akan membawa turunan dan silsilah keluarga
Wanita mengandung jangan berjalan berkaki ayam – sejuk tidak baik bagi ibu
Tidak boleh menamakan anak sebelum lahir elak kekecewaan jika yang lahir anak perempuan.
Bayi yang baru lahir tidak boleh dipuji untuk mengelak gangguan  penunggu dan syaitan
Bayi tidak boleh dibedakkan ini menghalang  roh bayi mengenali jasadnya..
Bila member nama bayi perlu diperhati bahawa:
 Nama hendaklah membawa makna yang baik, bunyi nama sedap didengar, nama hendaklah mengikut kiraan angka yang sepadan, perlu mempunyai unsur  Ying  (angin) dan yang (air). Perlu seimbang dengan unsur emas, air, api, tanah dan kayu.


Manakala pantang larang perkahwinan seperti kebanyakan adat dan pantang larang kaum lain iaitu melalui merisik, meminang, bertunang,, menghantar tanda, member wang hantaran dan kenduri.
Orang Cina dilarang memilih pasangan berpangkal nama keluarga yang sama – ada hubungan darah. Contoh perkahwinan dengan sepupu tidak digalakkan. Tidak ada amalan poligami. Jika ada selebihnya gundik atau perempuan simpanan dan tidak setaraf. Bercerai dilarang dan dianggap perkara tercela. Bila berlaku kematian pada keluarga terdekat perkahwinan hendaklah ditangguhkan hingga boleh sampai kepada tiga tahun.
Larangan bagi sambutan Tahun Baru Cina dilarang berpakaian warna hitam atau warna yang suram, dilarang dari bersedih dan menangis. Hari sambutan sehingga 15 hari (cap go meh) dalam masa tersebut dilarang dari membersih dan menyapu dibimbangi hilang rezeki ada setengah suku setakat tiga hari. Pada Hari Makan Besar malam jamuan hari pertama ikan jamuan tidak boleh diputuskan atau dicarikkan supaya tidak putus rezeki. Memberi ang pau perlu dalam sampul merah dan dilarang sama sekali menggunakan sampul putih.
Dilarang dari member hadiah berbentuk jam, penyapu, dan pisau.. masa makan dilarang mengetuk pinggan mangkuk dengan penyepit dan orang Cina tidak menyukai angka `empat` yang memaksudkan kepada mati. Dan dilarang bersumpah `memotong ayam.
Sebagaimana kaum lain kematian adalah kedukaan. Mayat setelah diziarah diarak dengan kenderaan ke jerat dengan pakaian perkabungan, termasuk ada kumpulan tangis. Tempat jerat melambangkan status si mati. Biasanya bertempat kawasan tinggi dengan ruang yang agak luas bagi yang berstatus dan berkemampuan. Tapi kini ada yang memilih persemadian secara dibakar dan bekas abu disimpan di bangunan yang berstatus seperti di Bangunan Nirwana di Kuala Lumpur dan sebagainya.
Kertaskerja Haji Ann Wan Seng, walaupun ringkas, tetapi padat dan bersifat informative.
Kesimpulan,  walaupun setengah adat pantang larang di dalam masyarakat Cina berasaskan perkiraan zodiac  dan Feng Sui yang nampaknya berunsur rasional, tetapi ada juga bersifat khurafat dan tahyul.  Sebahagian daripada adat dan pantang larang tidak lagi dipatuhi, sebaliknya dihormati sebagai warisan yang tidak semestinya diikuti.

Sekian.

No comments:

Post a Comment