December 19, 2014

Mengapa Berkreatif ?


BBB,  25 Safar 1436 = 18 Disember 2014 (Khamis):
Pembicaraan masih di bawah topik besar, iaitu tentang pengkarya dengan bidang-bidang kreatif. Soalan boleh ditimbulkan,
                                            Mengapa berkreatif ?
Jawapan mudah boleh saja dijawab ``Melahirkan bakat sebagai hasil kreatif  melalui medium seni yang dilibati (seharusnya ke puncak Takmilah) untuk sama dihayati dan dimanfaat oleh khalayak.``
Tetapi menjawab secara melibatkan `Falsafah Takmilah` dari pandangan wujud alam dari wujud tabi`I dan naluri kepada kedudukan insan sebagai `khalifah` dan peranan insan sebagai pentadbir alam yang menggunakan mekanisme akal dan hati  - dalam membangunkan kemajuan fizikal dan nilai yang mengangkatkan martabat insan melalui kemajuan tampak (fizikal) dan rohani (seni) yang diistilah sebagai tamadun dan peradaban. Takmilah adalah rangka pendekatan kreativiti insan dalam menuju puncak nilai (Takmilah) itu sendiri. Jadi fokus utama ialah insan bertujuan meningkatkannya ke martabat nilai yang tinggi.


Andaian alam tanpa insan alam dalam tabi`I dan naluri asli
Alam yang wujud yang usianya setua hakikatnya adalah penerusan tabi`I wujudnya yang terdiri dari segi bumi  yang buminya ditumbuhi tumbuh-tumbuhan pada permukaan atau laut dan tanah  kering kontang. Tabi` di muka bumi ini adalah sebahagian dari proses  alam yang bahagian yang lain ialah planet-planet dan bintang-bintang yang turut sama mempengaruhi iklim bumi, misalnya melalui peredaran bumi mengalami siang dan malam, turut dipengaruhi pergerakan angin dan awan dan mengalami kemarau dan hujan panas dan sejuk yang muka bumi ditumbuh tumbuhan yang berbagai jenis yang mengeluarkan bunga dan buah-buahan yang menyebarluaskan tumbuh-tumbuhan berkenaan. Sesungguhnya pandangan fizikal dan hiasan-hiasan dari pergerakan awan, hembusan angin, deburan ombak,turunnya hujan, mengalirnya sungai dan menumbuhkan tanam-tanaman mencerminkan hakikat tabi`I bahawa alam fizikal dan tumbuh-tumbuhan adalah pandangan indah. Pandangan alam dengan ciri estetika dalam keadaan tabi`i.
Perubahan diandaikan belum ada insan berlaku terhadap ciri tabi`I, tetapi masih lagi bersifat tabi`I dengan terciptanya haiwan yang dibekalkan dengan aspek penting iaitu `naluri` mulai dari dinasour yang dipercayai antara binatang tertua hinggalah hidupan-hidupan yang lain di permukaan bumi, di dalam laut dan terbang diudara. Keindahan tabi`I bertambah dengan binatang-binatang bergerak secara naluri  dipermukaan bumi menjarah mencari makanan, terutama dari tumbuh-tumbuhan, di laut terdiri dari hidupan-hidupan, maka di udara direntasi segala jenis burung yang dari pagi secara naluri keluar mencari makanan dan pulang waktu petang dengan kekenyangan. Kejadian secara tabi` dan naluri bagi haiwan, tetapi masih di dalam tahap tabi`I adalah berterusan. Fasa-fasa yang diperkatakan belum melibatkan insan dan belum termasuk di bawah rangka Takmilah yang seharusnya melibatkan insan  dan nilai-nilai yang dikaitkan dengannya. Apa yang wujud dari kejadian dan fenomena alam adalah persediaan bagi insan yang disifatkan sebagai khalifah yang memakmurkan alam dan nilai-nilai dinisbahkan kepada insan.
Fasa penting dari segi perubahan dan kemajuan  alam dan muka bumi ialah dengan pengiriman manusia (tercipta) – Adam dan Hawa yang memulakan  turunan generasi manusia yang memakmurkan bumi  ini. Rujuk ayat Al-Qur`an mengenai peristiwa berhubung dengan Adam dan Hawa` (Al-Baqarah: 22 & 30).
Episod kejadian manusia di muka bumi dan kelahiran generasinya di muka bumi adalah fasa penting bagi muka bumi dan alam ini sendiri. Sebelum dari adanya insan di muka bumi ini, walapun betapa tua sudah, tetapi ianya belum disentuh oleh insan. Kepentingan pada insan ialah dengan adanya akal dan hat-jiwa pada insan itu sendiri. Dari segi falsafah Takmilah adalah bermula dari wujudnya sentuhan akal sekaligun dengan hati-jiwa yang terjelma darinya elemen estetika.
Mulai Adam-Hawa di muka bumi  adanya episode kasih sayang antara Adam-Hawa dan anak-anak mereka sepert Habil, Aklima, Qabil dan Arifah dan lain-lain.  Pada zaman mereka juga berlaku konflik keluarga, iaitu Qabil enggan mengahwini Arifah, tetapi mahukan kembar perempuannya  Aklima (lebih cantik dari Arifah, tetapi tidak harus kahwin dengannya) yang Adam-Hawa mau menjuduhkannya. Pada masa itu juga berlaku konflik dan pembunuhan oleh Qabil  terhadap Habil yang tidak puashati  adik perempuan kembarnya  (Aklima dikahwinkan juga dengan Habil).  Selain dari nilai kasih sayang terdapat nilai hasad dengki yang puncaknya membawa kepada pembunuhan Qabil terhadap Habil. Sifat ini terus diwarisi oleh keturunan Adam-Hawa dan insan teruji di tengah tuntutan buat baik, tetapi terus ada kejahatan, juga tuntutan kepada manusia agar bertaubat dan kembali kepada Allah dengan amalan yang baik. Takmilah kaedah menggerakkan nilai kepada yang lebih baik dan menolak yang tidak baik, melalui mekanisme akal (ilmu) dan nilai estetika melalui medium seni yang dipilih.
Apa yang diperturunkan di atas mengenai anak-anak Nabi Adam dan Hawa adalah melalui  sastera berhubung dengan cerita yang ada watak baik dan jahat, tuntutan jangan mengambil jalan jahat dan kembali kepada kebaikan. Adam sebagai Khalifah tidak terlepas dari masalah sejak dari di syurga dan juga bila turun di dunia terus menghadapi masalah dari karinah anak-anak. Walau bagaimana usha terus dilakukan oleh Adam membaiki turunannya  meneruskan kehidupan dan memakmurkan bumi. Konflik sedemikian terus dihadapi generasi anak-anak Adam dan tarapi dilakukan sepanjang zaman, bukan setakat memperbaiki minda dan jiwa mereka, tetapi melalui  peningkatan minda insan membina tamadun dan melalui peningkatan hati-rohani mereka membina peradaban.
Kesimpulan, bahawa konsep Takmilah ialah berkait dengan wujudnya watak manusia di permukaan bumi yang disediakan sebagai medan kegiatan mereka dan manusia tidak terlepas dari konflik dan berdepan dengan nilai baik dan jahat, elok dan buruk, ikhlas dan hasad. Perjalanan kualiti di dalam takmilah ialah usaha  pengkarya menentang secara keras atau diplomasi  sebagai dakwah  melalui bidang seni dan estetik bagi mengembalikan penyelewengan  ke jalan yang betul dan bergerak secara kualiti maqam demi maqam ke peringkat takmilah di dalam masyarakat yang bertamadun dan berperadaban.

Sekian.

No comments:

Post a Comment