December 16, 2014

Bakat Penting, Tetapi Bukan Segalanya


BBB, 22 Safar 1436 = 15 Disember 2014 (Isnin):
Segala yang bersifat kreatif melibatkan bakat. Sesungguhnya bakat penting bagi pengkarya untuk menghasilkan karya kreatif. Takmilah adalah teori yang mengiktiraf dan mengakui pentingnya bakat bagi penghasilan semua karya yang melibatkan penghasilan bersifat  kreatif. Bahkan aspek seni  yang dinamakan sebagai `Tiang Seri Takmilah` adalah bidang yang melibatkan bakat. Seni dan bakat ditambah dengan elemen-elemen yang lain mempertingkatkan  mutu yang menjadi tonggak bagi Takmilah.


Bakat adalah kurniaan semula jadi Allah Ta`ala kepada sesiapa yang berbakat di dalam bidangnya dan sentuhan yang  berbakat pada bidang karya berkenaan menyerlahkan bakat yang ada padanya dan dengan kesungguhan dan komitmen diri  yang berkat, di tambah dengan berbagai-bagai faktor yang ada padanya  menyokong penyerlahan bakat, maka pemilik bakat dengan kehendak Allah akan menyerlah dan berjaya di dalam bidang yang diceburinya dengan bakat yang ada padanya. Sebagai contoh kita menerima  Amir Hamzah sebagai penyair Melayu yang mempunyai jiwa yang lembut dan berbakat. Dengan bakat, pengalaman yang dialami dan kemampuannya berpuisi Amir Hamzah mampu menghasilkan puisi-puisi yang bertemakan kerinduan, kecintaan dan ketuhanan sebagaimana dalam kumpulan puisinya  `Nyanyi Sunyi (Zaman Baru, KL, 1963: 35hlm.).
Di dalam bidang senibina Raja Kamarul Bahrin Shah seorang arkitek (kini Ahli Parlimen Kuala Terengganu) banyak mengkaji tentang `Rumah Terengganu – Rumah Berpeleh` dan ciri estetikanya . Beliau menghasilkan senibina `Master Piece`nya, iaitu Bangunan Muzium Negeri Terengganu dan beberapa buah rumah tradisi Terengganu yang didirikannya (Pusaka II, 1984: 24-66). Dari segi bangunan moden maka boleh diambil seperti Bangunan KLCC  (ilham Tun Mahathir) - Bangunan Berkembar yang menarik dan antara bangunan tertinggi di dunia dan menjadi identit di Malaysia.
Satu bidang kreatif lagi ialah bidang ukiran yang melibatkan kayu seperti cengal, merbau, meranti, kapur atau jati. Ukiran mempunyai hubungan dengan pertukangan kayu. Sebagaimana khat ukiran kayu mempunyai daya estetik yang bertemakan keagamaan dan kerohanian. Misalnya pengukir mengukir ayat-ayat Al-Qur`an  secara tebuktembus yang dijadikan hiasan pada bahagian atas mimbar. Biasanya dipetik dari ayat-ayat Al-Qur`an yang ada hubungan dengan ibadat solat. Pada bahagian lain dihias mimbar dengan ukiran-ukiran yang bersifat geometric atau yang bersifat alam flora dari daun dan bunga tempatan. Dengan ukiran tersebut menjadikan mimbar menarik dan bersifat kudus sesuai dengan kedudukannya di dalam masjid dan tempat khatib menyampaikan khutbah. Ukiran secara tebuktembus juga dibuat pada rehal, iaitu tempat meletakkan Al-Qur`an bagi membacanya.  Ukiran sama ada bermotifkan alam flora atau bersifat geometric design secara tebuktembus juga dijadikan hiasan bahagian atas pintu rumah atau dinding, di samping  sebagai hiasan juga  sebagai ruang keluar masuk udara dan cahaya. Sudah tentu kerja mengukir memerlukan bakat dan kemahiran yang dapat menghasilkan ukiran yang tinggi mutunya.
Khat juga adalah bidang kreatif yang memerlukan bakat. Bakat menyerlah di dalam bidang khat ialah dari guru-guru dan mereka yang terdidik di dalam bidang agama dan menulis di dalam tulisan jawi atau Arab. Dengan bakat yang ada dan keterlibatan di dalam tulisan menyerlahkan yang berbakat berkenaan dengan khat-khat yang indah dan menarik di dalam berbagai jenis khat sama ada nasakh, thuluth, raq`ah, diwani dan sebagainya. Mereka yang terkenal seperti Tuan Haji Omar Basri (Dewan Bahasa dan Pustaka), Haji Mohd Saleh bin Muhammad (Ustaz Imbab) guru Sekolah Arab, Terengganu, Tuan Haji Muhammad Yusof bin Abu Bakar yang pernah mengetuai Persatuan Khat Malaysia dan Tuan Syed Ahmad Jamal (Pensyarah Seni) – Keasemua mereka telah meninggal.
Dari segi seni pelan perbandaran dan seni taman  yang bercirikan Islam memerlukan pakar penyusunan perbandaran dan seni taman, maka masjid misalnya adalah merupakan bangunan utama yang seharusnya berada pada kedudukan yang sentral dengan kubah  dan menaranya kelihatan tertinggi dari bangunan-bangunan yang lain, berdekatan dengannya ialah bangunan pemerintah (Sultan dan Perdana Menteri) dan pegawai-pegawai kanan. Manakala bangunan-bangunan pemerintahan (pejabat-pejabat) berada di sekitarnya. Bangunan-bangunan berada di dalam kawasan landscape yang menarik dengan hiasan-hiasan taman-taman yang menyedapkan mata memandang. Kita dapati  Bandar Pentadbiran Putrajaya ada mempunyai ciri-ciri Bandar Perbandaran Islam, meskipun tidak keseluruhan, kerana ada antaranya tidak tersusun, tidak harmoni dan kecamuk.
Berhubung dengan bakat dan kejayaan  dapat dilihat sekali gus di dalam perfileman dan lagu-lagu. Haruslah diakui bahawa P. Ramli adalah seniman yang berbakat besar dan mempunyai daya kreatif yang tinggi. Semua filem  yang dihasilkannya adalah bermutu dan evergreen demikianlah dengan lagu-lagu gubahannya adalah bermutu, ibarat dikatakan `Tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan. Dalam filem-filemnya terselit unsur-unsur pengajaran di samping wujudnya unsur-unsur humour. Lagu-lagunya indah dan senikata  mempunyai mesej pendidikan. P. Ramli  adalah tokoh Seniman Melayu yang serba boleh dan ikon masyarakat. Satu fenomena yang baru, bahawa lagu-lagu nasyid, qasidah dan salawat terhadap Rasulullah mendapat sambutan masyarakat. Dengan daya tarikan ini dapat memenuhi kekosongan jiwa terutama di kalangan muda mudi yang dapat mengisi minat dengan hiburan yang berfaedah.
Sebanyak tujuh bidang telah dibicarakan di atas secara ringkas, iaitu:
1)      Sastera           2)  Senibina     3) Ukiran        4) Khat    5)  Seni Taman dan Perbandaran
6)    Filem              7)  Lagu
Dari contoh dan perbincangan di atas menunjukkan, bahawa bakat merupakan faktor yang penting di dalam menyerlahkan seseorang individu berbakat. Mereka dapat menghasilkan bidang-bidang seni yang bermutu di dalam lapangan masing-masing. Hasil seni bermutu tidak ada tandingan dan tidak ada yang lain dari yang telah dihasilkan. Hasil seni yang bermutu, tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan ianya abadi dengan nilainya yang bukan saja menjadi identiti  dirinya, tetapi boleh meningkat menjadi dentiti Negara, umat dan bangsa. Bayangkan Bangunan Twin Towers yang menjadi identiii Negara yang bakal menjadi bangunan klasik dan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, demikian dengan Bandar Pentadbiran Putrajaya yang menjadi Pusat Pemerintahan Negara dan dengan P.Ramli yang merupakan seniman anugerah Tuhan yang dimegahkan sebagai Seniman Negara.


Justeru Bakat penting bagi perkembangan potensi individu yang boleh berkembang maju hingga menjadi asset dan identiti Negara, maka usaha menjejak bakat wajar dilakukan, agar mereka yang berbakat di dalam berbagai-bagai lapangan dapat dikenalpasti  dan melalui berbagai mekanisme dapat dikembangmajukan bakat mereka hingga memberi kemajuan bagi yang berbakat dan kemajuan juga bagi Negara. Pengenalan bakat secara menyeluruh dan digembling secara teratur dapat memajukan Negara, contoh Jepun satu masa dulu mengeluarkan barang-barang mainan anak-anak yang diexportkan ke luar Negara. Bakat rakyatnya dipertingkatkan dari keluaran barang mainan, kini mereka pengeluar industri terutama kenderaan yang asalnya kurang bermutu, kini bermutu. Demikian German yang berbakat yang menghasilkan segala barangan dan keluaran secara bermutu. Dengan bakat dan mutu yang tinggi, keluaran German diyakini dan mendapat pasaran di seluruh dunia. Kita juga patut mengenal pasti bakat mereka yang berbakat dan melatih mereka dan menghasilkan sesuatu yang bernilai yang diyakini dan menjadi kepercayaan dunia.

(Bersambung). 

No comments:

Post a Comment