December 25, 2014

Baldah Tayyibah Negara Idaman Takmilah


BBB, 02 Jamadil Awal 1436 = 24 Disember 2014 (Rabu):
Tentang Negara tidak ada di dalam Al-Qur`an istilah yang menyebut secara direct Negara Islam (Baldah Islamiyyah). Ayat yang mengungkap tentang Negara ialah:
Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15)
Bermaksud: Negara makmur mendapat keampunan Tuhan
Al-Balad al-Amin (Al-Tin: 3). Bermaksud: Negara Yang Aman
Al-Balad al-Tayyib (Al-`A`araf: 58). Bermaksud: Negara yang Elok (Maju).
Al-Balada Aamina (Ibrahim: 35). Bermaksud: Negara  Aman
Baladan Aamina (Al-Baqarah: 126). Bermaksud: Negara Yang Aman
Manakala Negara Islam yang jelas aplikasi Rasulullah s.a.w. ialah Negara Madinah.
Tentang Negara Madinah diasas oleh Rasulullah s.a.w. sejarah menyebutkan bahawa masyarakat di Madinah bukan bersifat homogenous, tetapi adalah terdiri  dari:
1)       Masyarakat Islam yang disatukan oleh Rasulullah s.a.w, antara golongan Muhajirin dan Ansar (Aus dan Khazraj)
2)      Kaum Yahudi
3)      Kaum Nasara
4)      Penyembah Berhala
5)      Pendatang dari luar tertarik dengan Islam dan datang menganut Islam dan menetap di Madinah
Jelas masyarakat di Madinah pada peringkat permulaan diasas oleh Rasulullah adalah Masyarakat Majmuk.  Rasulullah memberi  kebebasan bagi semua masyarakat di Madinah  mengamalkan agama masing-masing. Ini bererti dengan pengasasan  Negara Madinah, maka umat Islam mempunyai Negara Islam yang di dalamnya dapat dijalanakan pemerintahan Islam dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam.


Ciri Negara Islam Madinah ini seolah-olah ada persamaan dengan masyarakat majmuk di Malaysia yang dari segi kaumnya terdiri dari Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Dusun, Murut dan kaum-kaum yang lain. Malaysia juga, walaupun perlembagaan Malaysia mencatat bahawa agama Persekutuan ialah Islam, tetapi agama-agama lain bebas diamalkan di Malaysia oleh penganut agama masing-masing.
Bagi menjamin kekukuhan Madinah sebuah Negara  yang disifatkan seharusnya sebagai  `Negara makmur, aman dan maju sudah tentulah  berbagai pendekatan dan tindakan diambil Rasulullah s.a.w.  antaranya  merubah Negara yang asalnya bernama Yathrib itu kepada nama Madinah. Pendekatan  ini dilakukan dengan  penuh sedar iaitu bertujuan bagi meningkatkan Madinah menjadi sebuah `Negara Madani` (Sivil society) yang bakal bangkit dan maju dengan ciri tamadun. Bagi tujuan pertamadunan ini Madinah menyerlahkan potensinya, iaitu:
1)       Madinah menyusun pentadbiran sebagai sebuah Negara yang diketuai Rasulullah s.a.w.
2)      Melengkapkan pertahanan Negara yang menghadapi ancaman musuh, terutama dari kuffar Makkah
3)      Menjadikan Madinah Pusat Perniagaan yang menghubungkan  Semenanjung Arab dengan Makkah, Sham,  Mesir , Parsi,  Rum dan lain-lain
4)      Menjadikan Madinah Negara Aman dihuni oleh mana-mana pihak
5)      Mengenakan cukai dan zakat kepada mereka yang layak bagi kepentingan pentadbiran
6)      Mengadakan perjanjian dengan pihak-pihak berkenaan bagi kepentingan Negara Madinah
7)      Mengadakan hubungan diplomatic dengan dengan Negara-negara luar.
Bersama menjadikan Madinah sebagai Negara Madani yang bertamadun, serentak dengan itu juga Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. membangunkan dari segi peradaban. Konsep peradaban ini sebenarnya bermula dari Rasulullah s.a.w. yang sejak dari awal lagi mempunyai adab dan akhlak yang mulia. Ini merupakan asas peradaban. Apabila Baginda dibangkitkan, maka peribadi baginda sendiri adalah menjadi asas peradaban. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu adalah uswah yang elok`` (Al-Ahzab: 21).
Persoalan bagi membina adab dan peradaban ini ditekankan oleh Rasulullah s.a.w  dengan tindakan seperti berikut.
1)      Mewajibkan jenis-jenis ibadat  dan mendirikan masjid sebagai pusat ibadat dan kemasyarakatan
2)      Memperluaskan pengajaran Al-Qur`an dan pengajaran dari diri Baginda yang kemudian menjadi satu konsep ilmu yang dikenali dengan Hadith
3)      Menyebarluaskan ilmu pengetahuan melalui institusi masjid dan tempat-tempat bersesuaian
4)      Memberi penekanan terhadap dakwah sama ada dalam Negara atau ke luar Negara
5)      Menugas dan menghantar guru-guru terkenal  mengajar hingga ke luar contoh sampai ke Yaman
6)      Menghantar perutusan dakwah kepada pemerintah-pemerintah luar menawarkan agama Islam
7)      Menjaga kebajikan masyarakat, terutama anak yatim, faqir-miskin dan mereka yang mendepani kesusahan.
Takmilah di dalam pendekatannya mengambil kedua-dua konsep, iaiitu  Tamadun dan Peradaban dalam meningkatkan masyarakat ke puncak Takmilah. Takmilah melihat di dalam memajukan masyarakat pihak bertanggungjawab atau dalam rangka penulisan, pengkarya hendaklah mempertingkatkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan  mendidik juga dengan aspek-aspek nilai peradaban yang di dalam konteks penulisan nilai-nilai unggul dari ciri estetika, lantaran itu khalayak dapat dididik dan digerakkan dengan berbagai ilmu dan nilai bagi membina individu dan masyarakat yang tinggi dengan ilmu pengetahuan dan kaya dengan  nilai-nilai peradaban. Apabila masyarakat terdiri dari mereka yang berilmu dan tinggi dengan nilai dan peradaban, maka Negara maju dan menuju kepada masyarakat yang bertamadun dan berperadaban.

 Sekian.

No comments:

Post a Comment