December 9, 2014

Uruf Sahih Dan Uruf Fasid: Perspektif Perundangan Islam


BBB, 15 Safar 1436 = 08 Disember 2014 (Isnin)
Berhubung dengan pantang larang dan petua yang menjadi budaya dan kepercayaan masyarakat tradisi dan dalam istilah keislaman dikenali sebagai `Uruf` (Adat), maka  Dato` Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor membahagikan uruf kepada dua, iaitu Uruf Sahih (Benar) dan Uruf Fasid (Rosak). Uruf Sahih ialah uruf yang tidak bertentangan dengan dalil syara`, maka ianya boleh diterima, maka Uruf Fasid, ialah yang bertentangan dengan dalil syara`, maka ianya tertolak dan tidak boleh diterima’


Contoh Uruf Sahih (tidak diberi penerangan oleh Dato` Mufti) ialah yang tidak menjadi pantang larang dan merupakan petua bersifat positif dan tidak bercanggah dengan kehendak agama seperti ungkapan:
1)       Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit (menggalakkan supaya berjimat cermat)
2)      Di mana ada kemahuan di sana ada jalan (menggalakkan untuk rajin berusaha)
3)      Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing (menggalakkan kerjamasa dan bergotong royong)
Sebaliknya pantang larang dan petua yang tidak selari dengan kehendak agama, ia diistilahkan sebagai `Uruf Fasid (Rosak). Menurut Dato` Mufti  Selangor, ``Dalam perundangan Islam, majority ulama` memasukkan uruf atau adat sebagai sumber perundangan tambahan.`` (hlm. 5). Dengan syarat tidak bercanggah dengan perundangan Islam, jika bercanggah, maka ianya ditolak, walaupun menjadi kepercayaan dan amalan sesebuah masyarakat. Penilaian dibuat berasaskan Al-Qur`an dan Al-Sunnah juga berdasarkan ijtihad yang meliputi ijma`, qiyas, istihsan, istislah (maslahah), masalih al-mursalah dan lain-lain.
Uruf fasid dalam masyarakat Melayu diakibatkan oleh adunan pengaruh Animisme, Hindu, Buddha dan Barat, kepercayaan bersifat  khurafat, karut,  tahyul dan bid`ah sayyiah (tercela).
Pantang larang dan petua di dalam masyarakat Melayu melibatkan semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu.  Antara pantang larang dan petua yang bersifat fasid (rosak), contoh:
a)      Kanak-Kanak
1)      Tidak boleh meniarap ibu akan mati
2)      Tidak boleh tunjuk pelangi jari akan kudung
3)      Bersiul waktu malam hantu akan datang

b)      Orang Dewasa Terhadap Bayi
1)      Duduk di hujung kepala bayi, bayi akan kena sawan
2)      Tidak boleh disebut gemuk (tetapi semangat) bimbang terencat pertumbuhan fizikal
3)      Banyak makan ikan, banyak cacing dalam perut

c)       Ketika Ibu Mengandung
1)      Mengalihkan sesuatu barang dalam rumah kandungan atau bayi menjadi songsang
2)      Makan kerak nasi bayi melekat diuri
3)      Menutup lubang atau mengunci rumah mengalami kesukaran ketika bersalin

d)      Anak Gadis
1)      Menyanyi di dapur akan mendapat suami tua
2)      Makan dengan pinggan yang berlapik akan hidup bermadu
3)      Makan beralih tempat akan mendapat suami ramai

e)      Umum
1)      Burung gagak berbunyi ketika keluar rumah, akan mendapat bala atau sial
2)      Menyapu rumah pada malam Jumaat, malaikat tidak sudi datang ke rumah
3)      Tidak boleh sebut tiada duit, rezeki akan jauh.
Menurut Dato` Mufti, uruf bukan aspek dominan, tetapi diberi pertimbangan berdasarkan keperluan dan kemaslahatan sesebuah masyarakat, namun ia bukanlah sumber yang bersifat berasingan bahkan perlu bergandingan dengan dalili-dalil syara` yang muktabar. Kata Dato` Mufti:
``Secara umumnya, hukum terhadap sesuatu uruf itu akan berubah apabila uruf itu turut berubah atau disebabkan berlaku perkara dharurah dalam masyarakat. Ia bagi mengelakkan dari timbulnya masyaqqah kepada manusia. Perkara ini adalah merupakan pandangan dan amalan Imam Malik, Imam Al-Shafie dan Imam Abu Hanifah.`` (hlm. 9).
Ini bererti pertimbangan diambil dari segi maqasid al-shar`iyyah ketika meletakkan hukum bagi sesuatu uruf yang bersifat juz`iyyah (khusus) sekiranya uruf tersebut tidak mempunyai sumber dalil. Pendeknya kaedah fiqhiyyah mengambil kira uruf, konsep maslahah al-ammah sekiranya tidak bertentang dengan perundangan Islam.
Khurafat dan tahyul  tumbuh dalam masyarakat primitif yang masih belum berfikir secara rasional. Elemen-elemen berkenaan digunakan untuk menakut-nakutkan masyarakat yang dalam masa yang sama digunakan untuk mendidik dan mengawal masyarakat. Sifat-sifat negatif  ini tidak menggalak dan menahan masyarakat dari berfikiran rasional dan logic. Pantang larang yang bersifat khurafat dan tahyul yang merupakan uruf yang fasid tidak boleh digalakkan bagi membentuk masyarakat yang dinamik. Uruf yang fasid tidak boleh selari dengan perundangan – termasuk syara`. Hanya uruf yang sahih boleh dipertimbangkan sebagai sokongan kepada perundangan dan menjaga dari segi maqasid al-Shar`iyyah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment