BBB, 27 Safar 1436 = 20 Disember 2014 (Sabtu):
Tonggak kedua selepasa Al-Qur`an bagi Takmilah yang menjadi
piawaian keinsanan ialah Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan `Sandaran Kukuh` utama di samping `Ilmu`. Rasulullah s.a.w. dilihat pengkarya sebagai Uswah Hasanah pada tahap tinggi dan
mengusahakan `Pembawaan Rasulullah menjadi ikutan dan diaplikasi
sedapat-dapatnya pada dirinya selaku Pengkarya dan pada karyanya. Lantaran
pengkarya tidak mahu dilihat memperkatakan sesuatu, terutama yang bernilai
baik, tetapi tidak dilakukan pada dirinya (al-Saff: 2-3).
Melihat pada Rasulullah s.a.w sebagai Uswah Hasanah pada
beberapa tahap:
1)
Zaman Kanak-Kanak Dan Remaja
2)
Zaman Berkeluarga
3)
Tahap Insan Khalifah
4)
Tahap Insan Rabbani
5)
Tahap Insan Kamil
Semua tahap dapat dimanfaat dari kehidupan Rasulullah s.a.w.
!) Zaman Kanak-Kanak
Dan Remaja
Muhammad adalah dari turunan mulia yang bertalian keturunan
kepada Nabi Allah Ibrahim a.s.dan turun nasab melalu Nabi Allah Ismail a.s. dan
pertalian kepada kaum Quraisy. Bapanya Abdullah seorang peniaga dan ibunya
Aminah. Ayah dan ibunya wafat semasa Muhammad masih keci dan sebagai anak yatim
piatu Muhammad dijaga oleh Datuknya Abdul Muttali dan kemudiannya oleh bapa
saudaranya Abu Talib. Semasa remajanya Muhammad terkenal di kalangan masyarakat
Quraisy sebagai seorang yang jujur. Satu masa ketika hendak diangkat `hajarul
aswad` ke Ka`bah berikut dari pembaikan Ka`bah, berlaku pertikaian antara
qabilah. Masing-masing mau mengangkatkan `hajarul aswad` berkenaan, lantaran ia
dianggap sebagai satu penghormatan. Pertikaian dapat diselesaikan oleh
Muhaammad apabila beliau sebagai orang yang dipercayai dan terkenal sebagai
`Al-Amin` diberi kepercayaan menyelesaikan pertikaian dengan meletakkan
`hajarul aswad` di atas hamparan dan kabilah-kabilah berpeluang memegang
penjuru dan tepi kain dan Muhammad mengangkat sama ke tempat asal `hajarul
aswad``.
2) Zaman Berkeluarga
Semasa Muhammad di bawah peliharaan bapa saudaranya Abu
Talib, beliau pernah mengikuti bapa saudaranya berniaga di Sham. Setelah mahir
berniaga Muhammad sendiri berniaga dengan bantuan barang dagangan seorang yang
kaya pada masa itu, iaitu Khadijah bt. Khuailid. Kepandaian berniaga, sifat
amanahnya dan perniagaannya memberi keuntungan,
maka Saidatina Khadijah seorang janda telah meminang Muhammad menjadi suaminya
dan meneruskan kerjaya sebagai peniaga. Bersama Khadijah Muhammad mendapat
seramai lima anak, iaitu Fatimah, Zainab, Ruqayyah, Ummi Kalthum dan Al-Qasim.
Mutakhir dari kehidupannya bersama Khadijah, satu-satu isterinya Muhammad
cenderung kepada beribadat dan mengasingkan diri ke Gua Hira`. Semasa di sana Muhammad telah menerima wahyu dan
diangkat menjadi Rasul. Saidatina Khadijah memberi sekongan terhadap Muhammad Rasulullah s.a.w., walaupun
mendapat ancaman dan berbagai-bagai sekatan.
3. Tahap Insan Khalifah
Dapat dikira dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. menjadi
Rasul adalah baginda lebih dari taraf khalifah. Namun konsep kekhalifahan ini
dilihat dari usaha gigih Rasulullah mentadbir dan menjalankan dakwah secara
senyap dan secara terang, episode penentangan-penentangan yang dihadapi oleh
Islam semasa di Makkah. Pengislaman sahabat, pemergian ke Taif, hijrah ke
Habasyah, pertemuan-pertemuan di `Aqabah yang membuka jalan kepada Rasulullah s.a.w. berhirah ke Madinah.
Konsep kekhalifahan dapat dilihat dari usaha Rasulullah
bersama sahabat-sahabat membangunkan Madinah yang berasal dari nama `Yathrib`
menjadi model Negara Islam yang pertama. Pembangunan negara Islam pertama di
Madinah ini tidak sunyi daripada menghadapi konflik antara orang Yahudi dan
Islam, juga berlaku berpuluh peperangan antara orang kuffar dengan orang Islam
di Negara Madinah. Antara peperangan yang penting ialah seperti Badar, Uhud,
Khandak, Khaibar, Hunain, Mu`tah membawalah kepada perjanjian Hudaibiyah dan
Pembukaan Makkah. Pada zaman Rasulullah s.a.w. berlaku perluasan kawasan
pemerintahan Islam dan berlaku hubungan dengan Negara luar di dalam konteks
dakwah Islamiyah.
4. Tahap Insan
Rabbani
Dilihat dalam ruang masa yang sama iaitu selepas kebangkitan
Rasulullah s.a.w. menjadi Rasul di Makkah hingga membawa kepada zaman Madinah,
tetapi yang dilihat dari segi Rabbani yang lebih berciri rohani, iaitu dari segi ibadat Baginda Rasulullah sejak
dari masa di Gua Hira` dan ibadat-ibadat baginda seterusnya. Kehidupan Baginda
yang bersifat sederhana dan zuhud. Sabda-sabda baginda (Hadith-Hadith) mengenai
ibadat dan ibadat Baginda dan aspek-aspek kerohanian, Hadith-Hadith mengenai
kerohanian, pengajaran-pengajaran Baginda baik secara formal atau tidak formal
dan segala sabda (Hadith) baginda berhubung dengan keilmuan dan ke akhiratan.
5. Tahap Insan Kamil
Kedudukan Baginda di sisi Allah Subhanahu wa Ta`ala, sebagai Ciptaan Utama dan Istimewa ,
keistimewaan Baginda sebagai Penghulu
dan Ulul Azmi dari kalangan Rasul-Rasul. Begitu juga dengan penghormatan diberi
Allah kepada Baginda dengan peristiwa Isra` Mi`raj dan kedudukan Baginda di
akhirat. Pendek kata Baginda adalah Insan Sempurna dari segala kejadian. Pada
Baginda terhimpun sifat Insan Khalifah, Rabbani dan Kamil.
Pengkarya melalui karya-karyanya berusaha membawa
prinsip-prinsip utama Al-Qur`an yang mana Al-Qur`an adalah menjadi akhlak
Baginda nilai-nilai murni dari Rasulullah sendiri bersesuaian dengan bidang
kreatif yang dipilih dan nilai-nilai yang dibawa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment