BBB, 21 Safar 1436 = 14 Disember 2014 (Ahad):
Kehidupan menuntut banyak keperluan. Keperluan kepada bahasa
untuk penandaan maklumat dan berkomunikasi ,
keperluan kepada perlindungan yang
dikenali dengan rumah dan keperluan kepada catatan tulisan (persuratan) yang
membawa kepada penglahiran menerusinya rasa seni yang dikenali dengan khat
(kaligrafi) dan berbagai-bagai keperluan yang lain. Bagi menghasilkan keperluan-keperluan di atas ada
penghasilnya yang dinamakan pengkarya.
Pengkarya adalah amat penting sebagai pemula dan penggerak
bagi ketiga-tiga bidang di atas dan bidang-bidang kreatif yang lain, bahkan
dapat dikatakan sebagaimana tajuk di atas bahawa, ``Segalanya Bermula Dari
Pengkarya``. Siapakah pengkarya bagi
ketiga-tiga bidang berkenaan ? Sukar
bagi menjawabnya dengan tepat. Tetapi dari segi bahasa, melihat pada sejarah dan kronologi kehidupan
seseorang, sang ibu dan anak adalah pemula yang rapat mengajar dan menerima
pengajaran bahasa yang diterima melalui pengajaran dan sosialisasi kehidupan
seseorang anak yang kemudian masyarakat keliling dan institusi formal seperti
sekolah dan institusi-institusi pendidikan yang lain sama berperanan sebagai
penambahsempurnaan bagi kemampuan berbahasa. Dalam konteks ini kelihatan
seperti semua institusi di atas
sebagai meneruskan kemampuan
berbahasa pada tahap level biasa, bahkan sebahagian besar daripada mereka
mengulangi apa yang ada di dalam tradisi dan konvensi penyampaian bahasa
berkenaan. Ini pada umumnya proses transformasi maklumat yang diandaikan tanpa
kreativiti dan inovasi. Bayangkan betapa besarnya masa dan tenaga , setiap
individu, institusi dan pihak berkuasa (pemerintah) menghabiskan sumber baik
masa, tenaga dan kewangan bagi urusan transformasi tersebut yang hasilnya
bersifat ulangan baik dari pihak pentransformasi , penerima transformasi dan
pihak berkuasa.
Dalam hal ini adalah dilihat betapa amat pentingnya
`kreativiti-inovasii dan transformasi` agar ada pertambahan dan penambahbaikan
dan tidak bersifat ulangan yang membazirkan masa, tenaga dan kewangan.
Di dalam hal ini pentingnya diberi perhatian terhadap diri
manusia yang seharusnya dipupuk menjadi
pengkarya yang kreatif dan inovatif`. Jika
tidak tiada perkembangan, sebaliknya meneruskan konvensi lama. Contoh bahasa berkembang dengan penggunaan di
dalam bidang keilmuan dan diperluaskan oleh penulis-penulis secara kreatif
seperti di dalam bidang puisi, cerpen, novel dan drama yang menyegarkan bahasa
di dalam penghasilan karya-karya tersebut.
Mungkin dalam bidang seni bina ada pertumbuhan kreativiti dan inovasi yang memberangsangkan, kerana ia
melibatkan kehidupan masayarakat banyak yang memerlukan kediaman. Kediaman berkembang dari rumah tradisi di
kampong berbagai jenis dari berbagai tempat, meskipun kurang ketara siapa
yang mencipta, tetapi ketara dari
jenis-jenis rumah yang dinisbahkan kepada tempatan seperti rumah Trengganu
dengan rumah peleh, rumah negeri Sembilan yang berciri tanduk (melengkuk di
tengah), rumah Melaka dengan tangga batunya, rumah panjang di Sarawak, dan
berbagai-bagai lagi. Beralih ke zaman moden akibat dari pertambahan penduduk
berbagai-bagai jenis kediaman lahir yang dimiliki menurut kemampuan seperti
rumah teres, rumah pangsa, rumah kondo, rumah semi D, rumah banglo. Manakala
bangunan-bangunan dikenali dengan masjid-masjid yang mempunyai bentuk, ciri dan
identiti tersendiri, bangunan parlimen, banguna KLIA, Twin-Towers dan berbagai-bagai jenis bangunan komersil.
Jelas pembinaan perumahan
berkembang secara luas dan menampilkan ciri estetika tersendiri, bahkan membawa
imejnya yang tersendiri dan bagi
setengah menjadi identiti kepada Negara. Pengkarya-pengkarya bagi berbagai
bangunan sudah pasti wujud, tetapi arkiteknya biasanya ramai dan tidak menonojol.
Tapi kita tahu sektor pembangunan perumahan adalah satu bidang yang pesat
membangun dan membawa bentuk dan ciri estetika tersendiri seperti Twin-Towers,
KLIA, Bangunan Perlimen dan bangunan komersil yang lain. Di sini dapat dilihat desakan
keperluan, menampilkan arkitek-arkitek berwibawa yang dapat menghasilkan bangunan
secara kreatif dan inovatif yang mencerminkan dinamika pembangunan
perumahan bagi industri berkenaan.
Kreativiti dan inovasi sebenarnya tiada had dan limit bagi
yang mampu berkreatif dan berinovatif. Bidang kreatif dan inovatif tidak
pernah kering dan pupus, tetapi yang kering ialah idea pengkarya yang pupus
dari daya kreativiti dan inovasi.
Kreativiti dan inovasi yang terus hidup dan berkembang maju dapat
dilihat pada peringkat global yang aktif menghasilkan model-model kenderaan hasil dari keperluan pergerakan dan
mobiisasi serta kepentingan komersil yang menghasilkan
model-model kenderaan yang berbagai-bagai jenama dan berbagai-bagai
bentuk sama ada dihasilkan dalam Negara,
lebih-lebih lagi dari luar Negara. Ini adalah contoh yang baik bagi bidang
kreativiti dan inovasi yang menjadi tenaga penggerak yang dinamik, kreatif dan
inovatif yang bersaing dari segi pasaran pada peringkat global. Pengkarya dan
pencipta model adalah penggerak yang aktif bagi kemajuan bidang automatif berkenaan.
Kita menyentuh satu lagi dari bidang kreatif, iaitu
berhubung dengan khat atau tulisan yang dari segi seni tulisannya melahirkan
berbagai bentuk khat seperti nasakh, raq`ah, thuluth, diwani dan sebagainya. Bentuk-bentuk tulisan khat berdaya
estetik tinggi dan rohani sifatnya. Khat
dengan tulisan yang bersifat fleksibel mampu menerima berbagai bentuk tulisan. Ayat yang menjadi tulisan biasanya
yang membawa makna suci seperti petikan dari ayat Qur`an juga Hadith Nabi,
lantaran itu khat yang dihasilkan membawa unsur keilmuan, kerohanian dan kekudusan. Oleh itu khat yang
berdaya estetik lebih halus dan mendalam sifat seninya. Ianya menjadi budaya
kudus umat yang berperanan mengkhusyukkan hati
dan melembutkan jiwa.
Apa yang mau ditekankan ialah pengkarya adalah penting sebagai penggerak utama yang bersifat
kreatif dan inovatif yang sentiasa boleh membawa pembaharuan dan
kesegaran. Pengajian keilmuan yang tidak
mencetuskan kesedaran kreativiti dan
inovasi mereka meneruskan kesediaan yang
sedia ada dan tidak berkembang. Sebaliknya jika keilmuan disertai dengan kretiviti dan
inovasi nescaya begitu banyak kemajuan
dan pembaharuan dapat berlaku berterusan. Keilmuan seharusnya berkembang bersama kretiviti dan inovasi supaya tidak statik
dan terhenti .
Sekian.
No comments:
Post a Comment