BBB, 07 Rabiul Awwal 1436 = 28 Disember 2014 (Ahad):
Dua lagi penyair Jahiliyyah selepas Al-Shinfari digolongkan
sebagai penyair gelandangan (Sa`alik) ialah Taabbata Sharran (m. 530 M. ?) dan `Urwah
bin Al-Ward (m. 596).
Nama sebenar bagi Taabbata Sharran ialah Thabit bin Jabir
bin Sufyan al-Fahmi. Gelaran Taabbata Sharran (Mengepit Kejahatan) oleh kerana
dikatakan, pada satu hari dia keluar dari rumahnya dengan mengepit pedangnya di
bawah ketiak, kebetulan datang seorang bertanya mengenainya kepada emaknya.
Ibunya menjawab, ``Aku tidak tahu, dia keluar mengepit pedangnya !`` Dia sering
bersendirian keluar malam dan siang dan pantas bergerak dua kakinya. Dikatakan
dia bergelandangan dengan Amri bin Barraq, `Amir bin al-Ahnas dan al-Shinfari.
Bila Al-Shinfari dibunuh musuhnya, dia bersumpah untuk menuntut bela, akhirnya
dia turut mati terbunuh. Puisinya disifatkan sebagai kental dengan ciri
gelandangan, namun ada kehalusan rasa
dan ketelitian gambaran. Terdapat sejumlah kumpulan puisi dinisbahkan
kepadanya. Antara petikan:
Penyair dan Al-Ghaul Perenang Malam
``Ingatan pada kehadiran dua pemuda
Dengan apa yang Kutemuinya di Reha Bitan !
Sesungguhnya kutemui Al-Ghaul secara mesra
Di tanah rata seperti permukaan bumi sahsahan
Aku memukul tanpa kesungguhan dia tersungkur
Terkedang dengan tangan dan kaki gelempang.``
Dalam puisi yang lain Taabbata Sharran tentang sifat pemurah
dan keberanian kata Taabbata Sharran:
``Sesungguhnya aku menyaksi dari pujianku bertujuan
Puji kepada sepupu
yang benar Shamsu bin Malik
Kuangkatnya di Kelab
al-Hayy tentang kehebatannya
Sebagaimana diangkatnya diriku di Hijan al-Aweak.``
Jelas persoalan yang dibawa oleh Taabbata Sharran ialah
sifat gelandangan, kekasaran, antaranya melakukan pembunuhan, di samping
dikatakan sifat mulia dan berani. Jelas sifat Jahiliyyahnya.
Seorang lagi penyair gelandangan ialah Al-`Urwah bin Al-Ward
(m.596M. ?) yang digambarkan sebagai seorang yang berani, pemurah dan tinggi
himmah. Beliau sering melibatkan diri dalam peperangan di Najd dan pinggiran kawasan Hijaz dan Iraq’
Urwah meninggalkan banyak qasidah yang mencerminkan
fikirannya dan peristiwa-peristiwa peperangan. Puisinya dihimpun oleh Al-Asma`I
dan Ibn Al-Sakbati. Antara puisinya yang ditujukan kepada isterinya berjudul:
Siapa Gelandangan ?
Hentikan celemu ke atasku wahai Binti Munzir
Tidurlah, kalau tidak mau tidur berjagalah
Tinggallah aku sendirian wahai Ummu Hussan
Aku tidak berkemampuan menjual dan membeli
Peristiwa kekal dan keremajaan tetap pergi
Kelmarin adalah berlalu di permukaan Sayyar
Bersahutan bunyi batu-batu di Al-Kinas
Mengadu kepadaku tentang ma`ruf dan munkar.``
Tentang Adab Muliakan Tamu, kata `Urwah:
Adab Tamu
``Permadaniku permaidani tamu dan rumahku adalah rumahnya
Tidak menyusahkan daku semua keperluan mencukupi
Aku bercakap tentang kenangan-kenangan dari desa
Engkau ketahui tiba masanya tamu itu akan brlalu.``
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithah, Jil. I,
Al-Maktabat al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 13-26).
Melengkapkan sifat gelandangannya, tidak saja mengungkapkan
tentang gelandangan, sifat merayau, tetapi juga diungkapkan tentang keterlibatannya di dalam peperangan.
Dengan tema, persoalan dan pembawaan tiga penyair
gelandangan, iaitu Taabbata Sharran, , `Urwah bin Al-Ward dan Al-Shinfari
sebelumnya cukup memberi gambaran
tentang sifat gelandangan penyair-penyair berkenaan dan menebal dengan ciri
Jahiliyyah mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment