December 30, 2014

Al-Muhalhil Penyair Awal Tidak Dari Kalangan Gelandangan


BBB, 8 Rabiul Awwal 1436 = 29 Disember 2014 (Isnin):
Al-Muhalhil ialah gelaran bagi penyair Abu Laili `Adiyy bin Rabi`ah al-Taghallubiyy dari kalangan penyair peringkat awal diketahui. Beliau dijangka meninggal (531M.), iaitu sezaman dengan kalangan penyair-penyair gelandangan (al-Sa`alik), tetapi beliau tidak tergolong dari kalangan penyair berkenaan, kerana latar dan tema puisinya berlainan dari penyair-penyair gelandangan. Sebaliknya beliau digolongkan sebagai `Penyair Pahlawan` yang antaranya melibatkan diri dalam peperangan.


(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithah, Jil. 1, Al-Matba`at al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 264 -267).
Al-Muhalhil adalah bapa saudara sebelah ibu bagi Imra`ul Qays dan datuk kepada Amri bin Kalthum di sebelah ibunya. Dididik secara senang di kalangan keluarga yang tinggal di utara Najd,  utara ke Iraq. Beliau digelar Al-Muhalhil, menurut Ibn Qutaibah, kerana sifatnya yang teliti, terutama dari segi mengindah dan menghaluskan puisi-puisinya, maka beliau digelar Al-Muhalhil. Al-Muhalhil adalah seorang yang berwajah tampan. Kehidupannya yang senang mendorong beliau kepada cara hidup berpoya-poya, mabuk, suka bergaul dan bermesra dengan perempuan-perempuan muda hingga digelar oleh saudaranya sebagai `Kaki Perempuan`. Namun kelakuannya berubah selepas saudaranya Kalib bin Taghallub dan Bakar   dibunuh. Dia bangkit menuntut bela hingga mencetuskan peperangan yang dikenali dengan peperangan al-Basus yang berterusan selama 40 tahun (494-534M.). Nama Basus nisbah kepada nama perempuan bagi kabilah yang terlibat di dalam peperangan berkenaan.  Al-Muhalhil terkenal sebagai tokoh kepimpinan perang yang berani  mendepani  musuh. Puisinya  merakamkan peristiwa peperangan yang berlarutan, tentang kepahlawanan dan peristiwa-peristiwa berkenaan, di samping tema lalai dan berpoya-poyaan.
Diriwayatkan bahawa Wa`il bin Rabi`ah memimpin  Kabilah Ma`ad semuanya pada hari Khazara di bukit Yaman. Adalah bersama  seorang wanita mulia dari kabilah Kalib dan Bani Murrah yang mempunyai 10 adik beradik yang termuda lelaki bernama Jassas, turun sama ibu saudaranya bernama  Al-Basus binti Munqiz. Bersama juga  seorang lelaki dari Jarmi dari keluarga Jassas  bersamanya seekor unta bernama `sarab`, maka dipelihara bersama unta Jassas, maka untanya bersama unta Kalib bercampur sebagaimana dia dengan Kalib bermusaharah. Apabila dilihat Kalib dia marah dan membantah. Berita sampai kepada Al-Muhalhil sedang ia minum, ia mengungkapkan dendam kesumatnya dengan berkata:
``Hari ini arak di tangan
Esok darahlah minuman !``
 Dari isu yang kecil ini mencetuskan peperangan  yang membawa kepada terbunuhnya Kalib saudara bagi Al-Muhalhil. Al-Muhalhil menangisi dikubur saudaranya Al-Kalib , kemudian dia bangkit berperang antara Bani Bakar dan Taghallub yang dikenali dengan nama peperangan Basus yang berterusan selama 40 tahun itu yang berakhir terbunuhnya Jassas dibunuh anak saudara  perempuannya bernama Al-Mijris bin Kalib dan dikatakan bahawa Raja Al-Munzir bapa kepada Amri bin Hindun Raja Iraq yang mendamaikan antara dua puak selepas matinya Al-Muhalhil.
(Butrus al-Bustani, Aadab al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 92).
Puisi Al-Muhalhil banyak bertemakan `rintihan` terhadap kematian, terutama terhadap Kalib saudaranya. Antaranya berpuisi Al-Muhalhil:
Berjiran banu Bikr, tapi mereka tidak adil
Seseorang telah diketahui jalan tujuan
Turun barang-barang bertujuan cari kesempatan
Bersama kumpulan Jassas membebankan Wasuq
Wahai yang berdosa terhadap kaumnya
Jenayah yang tidak mungkin  diterima
Jenayah yang tidak diketahui sebab jadian
Dosa yang tidak boleh diterima.
(Al-Majani al-Hadithat, Jil. I, tt, 269).

Selepas kematian dan dikebumikan saudaranya Al-Muhalhil mengungkapkan:
Berguguran air mataku oleh ingatan
Teduh, terus berlinang  bersama kenangan
Jadilah malam merangkumi sekalian
Seolah malam tiada lagi siang.
(Butrus al-Bustani, 1989: 94).

Jelas ungkapan-ungkapan Al-Muhalhil lebih lembut dari ungkapan-ungkapan penyair-penyair gelandangan, walau bagaimana cirri-ciri jahiliyaah yang bersifat dendam kesumat, dendam antara kafilah dan peperangan berterusan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment