February 14, 2011

Intra-Mas Siri 3: Program Di Sungai Tangkas Amat Berjaya

Sungai Tangkas, 10 Rabiul Awwal = 13 Februari (Ahad):

Bagi Siri Ketiga, Interaksi Kemasyarakatan di bawah Program YB Masuk Kampong di Sungai Tangkas, maka pendekatan kali ini adalah berlainan dari pendekatan dua siri sebelum ini. Masa bagi siri kedua ini walaupun dipendekkan dari 5 hari bagi setiap dua siri yang lepas, tetapi pada kali ini dikompakkan kepada dua hari sahaja, iaitu 12 – 13 Februari (Sabtu & Ahad). Kehadiran bagi kedua-dua hari adalah rekod terbanyak. Kejayaan adalah dari kerjasama erat dari Ketua Kampong Tok Haji Abdul Hadi dan JKKnya, kerjasama dari pihak Surau al-Hidayah, AJK Cawangan, AJK Khidmat Masyarakat ADUN, AJK-AJK Cawangan-Cawangan yang lain dan pimpinan setempat.



Program yang disusun bagi dua hari adalah pelbagai dan padat, iaitu:

1. Makan pagi bersama Rakyat bagi setiap pagi
2. Ziarah pemimpin setempat, warga mas dan mereka yang sakit/uzur bagi setiap hari.
3. Pemeriksaan Kesihatan
4. Program dari Darul Shifa`
5. Taklimat Kesihatan dari Master Skill College
6. Penerangan mengenai Memasyarakatkan Ekonomi Selangor
7. Pendaftaran Ahli dan Pengundi
8. Kaunter Aduan
9. Sembahyang berjamaah dan Ceramah Agama
10. Pertandingan Sukan dan Kemahiran
a) Pertandingan Mewarna Bagi Kanak-Kanak
b) Pertandingan Memasak Bagi Kaum Ibu
c) Pertandingan Futsal
d) Pertandingan Ping Pong
e) Hadiah Bertuah

Makan Pagi Bersama Rakyat bagi hari pertama bertempat di sebuah warung bersebelah dengan Stesyen Komuter UKM, diikuti dengan Taklimat di bawah khemah berdekatan dengan Balai Polis Sungai Tangkas. Semua kegiatan hari ini digerak dari khemah di sini seperti ziarah, penerangan, pendaftaran dan aduan.


Selepas Taklimat Program Utama Ziarah dilakukan di sekitar Pekan Sungai Tangkas, di bawah dan ke atas. Ziarah diketuai oleh Ketua Kampong Tok Haji Hadi bersama ADUN berkomboi dengan beberapa kenderaan, termasuk kalangan muslimat mendepani muslimin bertemu ibu-ibu di rumah. Pasukan penculaan adalah bergerak secara berasingan. Pertemuan hari ini berjumlah 20 orang. Majlis hari pertama berakhir dengan makan tengahari di pekarangan Surau Al-Hidayah. Pada hari pertama ini ada sedikit pertembungan dilakukan oleh pihak lawan yang berkonvoi motorsikal (seperti di Sungai Ramal Dalam) mencanggahi lawatan yang kami lakukan. Mereka pada hakikatnya sama memeriahkan suasana. Pada malam hari pertama diadakan sembahyang berjamaah bersama di Surau al-Hidayah diikuti dengan ceramah berhubung dengan Peranan Muslim Sebagai Khalifah Allah sempena bulan Maulid Ar-Rasul yang disampaikan oleh Al-Fadhil Dr. Kamaruzzaman bin Abdul Ghani dari UKM. Setelah mengikuti ceramah ADUN bersama Ketua Kampong Tok Haji Abdul Hadi bersama menonton pertandingan Futsal di Bangunan tepi Jalan Besar, Sungai Tangkas dan sama menyampaikan hadiah-hadiah kepada pasukan-pasukan yang menang (Johan Pasukan B2, Naib B1, No.3 Pasukan Breakdown dan No.4 Pasukan Patapong).

Bagi hari kedua semua kegiatan digerak dari pekarangan Surau Al-Hidayah, termasuk makan pagi bersama rakyat dengan kehadiran begitu ramai dan amat memuaskan. Disinilah diadakan program pemeriksaan kesihatan dan berbagai perkhidmatan yang ditawarkan dan kaunter di atas. Semua pertandingan kecuali Futsal dan Peng Pong juga diadakan di sini. Suasana amat meriah kerana dihadiri ramai penduduk dan juga petugas-petugas. Manakala Tok Ketua Kampong bersama ADUN dan pengiring-pengiring meneruskan lawatan menemui antaranya bekas-bekas ketua kampong, tokoh-tokoh akademik, pimpinan surau, pimpinan NGO, warga mas dan mereka yang uzur. Lawatan amat berjaya. Ada suasana menceriakan berdepan dengan tokoh-tokoh yang menceritakan sejarah dan pengalaman silam yang membuka maklumat lebih luas tentang tokoh, kepimpinan dan sejarah setempat, kadang-kadang kami turut sama bermuram melawat mereka yang sakit dan uzur serta yang kesepian sambil menyampaikan nasihat dan simpati dengan diiringi buah tangan tanda lawatan dan kemesraan. Lawatan pada hari ini melibatkan sebelah pagi dan disambung lagi pada sebelah petang. Timing yang diatur melibatkan kami bersama Tok Ketua Kampong dapat menyelesaikan ziarah tepat dengan waktu dan cukup-cukup dengan bahan-bahan buah tangan yang dibawa. Seramai lebih kurang 50 orang dapat kami ziarahi bagi kedua-dua hari. Dari lawatan yang dibuat kami dapati dengan perkembangan dan pertambahan penduduk yang begitu pesat bahawa penduduk di sini amat memerlukan sebuah masjid, Sekolah agama, Sekolah rendah, Sekolah menengah, padang rekreasi dan jalan keluar masuk yang sempurna. Perkara ini kami bincang dengan Tok Ketua Kampung dan akan membawanya kepada pihak atasan.


Selepas Solat Asar berjamaah di Surau Al-Hidayah berlangsungnya acara puncak yang dihadiri ramai penduduk dan petugas. Acaranya menyampaikan hadiah bagi semua pertandingan yang dijalankan (selain Futsal malam tadi). Suasana meriah terbayang di wajah yang hadir menandakan kegembiraan dan kepuasan. Tok Ketua Kampong Haji Abdul Hadi berucap dengan gembira dan puashati dengan kejayaan program kerana mendapat kerjasama dari semua pihak. Begitu juga ADUN melahirkan kegembiraan di atas kejayaan program dan dapat merapatkan hubungan dengan penduduk setempat. Hubungan erat ini diharap akan terus berkekalan di samping tindakan susulan akan diambil. Selepas acara penutup Jamuan Rakyat berlangsung, iaitu jamuan sate yang memang banyak disediakan dan mencukupi, walaupun begitu ramai yang hadir.


Bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua pihak.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment