January 31, 2012

Malam Anugerah Al-Kauthar Sempena Maulid Ar-Rasul S.A.W. Y.B. Dr. Ahmad Yunus Exco Rasmikan

Bandar Baru Bangi, 05 Rabiul Awal 1433 = 29 Januari 2012 (Ahad):

Surau Al-Kauthar adalah salah sebuah surau yang aktif di Bandar Baru Bangi kerana berada di bawah beberapa pimpinan muda yang dinamik. Aktiviti yang diadakan ialah berencam dan berimbang dari segi kegiatan ibadat, fizikal dan kegiatan kemasyarakatan, melibatkan semua golongan termasuk warga emas, jamaah biasa, muslimat dan golongan belia. Malam ini sempena dengan Maulid Ar-Rasul s.a.w. adalah Malam Anugerah al-Kauthar yang merupakan malam puncak dalam mana penghargaan diberi kepada mereka yang menjayakan berbagai-bagai kegiatan yang dijalankan di surau ini sejak dari bulan Disember 2011 lepas. Kemeriahan ini bertambah berseri kerana pada malam ini pihak Surau al-Kauthar berjaya menarik kehadiran Y.B. Dr. Ahmad Junus bin Hairi Exco Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu yang baru dilantik. Beliau hadir sejak solat maghrib untuk menyampaikan hadiah-hadiah bagi berbagai kegiatanyang diadakan sejak beberapa bulan yang lepas. Hadir sama sebagai jemputan ialah Adun Bangi Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar. Turut sama hadir ialah Ustaz Shafie Ngah dan saudara Adram Musa yang kedua-duanya adalah ahli MPKj. Pegawai-pegawai Surau Al-Kauthar yang meraikan mereka ialah Tuan Haji Nazri bin Daud selaku Pengerusi surau, Ustaz Haji Ismail Hashim selaku Setiausaha, Tuan Haji Zulkifli Bendahari, Dato` Haji Abdul Karim Keselamatan dan AJK yang lain..

Sebelum Y.B. Dr. Ahmad Yunus brucap merasmikan Malam Anugerah, Pengerusi Surau Al-Kauthar menyampaikan ucapan alu-aluan dan taklimat berhubung dengan kegiatan surau yang mendapat sambutan masyarakat sehingga ketidakcukupan ruang, lebih-lebih lagi pada hari Jumaat. Beliau mengemukakan rancangan untuk mendirikan Anjung Tambahan bagi surau (kanan) untuk kegiatan jamaah dan pendidikan. Beliau juga memaklumkan pihak surau telah memohon dari pihak kerajaan negeri tanah bersebelahan (kiri) seluas 1.75 ekar untuk dijadikan sebahagian dari tanah surau yang kini digunakan sebagai kawasan parkir, tetapi untuk jangka panjang untuk didirikan sekolah agama, di samping tempat kegiatan fizikal.

Dalam ucapannya Y.B. Dr. Ahmad Yunus melahirkan kekagumannya terhadap surau yang besar sebagai masjid yang dihadiri oleh ramai jamaah. Beliau lebih-lebih lagi kagum dengan penerangan Pengerusi Majlis yang surau penuh kegiatan dengan 24 kuliah satu bulan, lapan ceramah, pada hari-hari minggu diadakan kegiatan senaman robik diikuti orang dewasa, muslimat (berasingan) dan remaja, diadakan karnival, Hari Kesihatan sehingga pihak Jabatan Kesihatan menamakan Surau Al-Kauthar sebagai `Surau Sejahtera`, ada kelab basikal, sering mengadakan gotong royong dan Jualan Jombo Sale Barangan Terpakai, manakala bagi kalangan muslimat juga mengadakan kegiatan-kegiatan keilmuan dan masakan dan bagi remaja ditubuhkan Kelab Remaja Islam Al-Kauthar yang nama ringkasnya dikenali dengan KRIS yang mengadakan kegiatan akdemik, kerohanian dan kegiatan luar seperti pada tutup Sekolah pada bulan Disember 2011 mengadakan Kem Anak Salih/Salihah bertempat di Camp Princess Haliza di Sepang, kegiatan bertadarus pada bulan Ramadhan dan kegiatan-kegiatan ibadat yang lain.

Dr. Ahmad Yunus memberi respond terhadap kegiatan remaja dan menyebut peruntukan-peruntukan yang boleh dimohon. Beliau juga menyebut tentang tuisyen yang akan disambung kembali pada tahun ini yang diperuntukkan sebanyak RM3.5 juta yang boleh diambil manfaat oleh pelajar-pelajar melalui kelas-kelas tuisyen percuma yang dianjurkan oleh pihak kerajaan negeri. Beliau mau remaja berjiwa cekal seperti remaja Palestin yang beliau pernah saksikan semasa berkunjung ke sana. Y.B. Dr. Ahmad Yunus menyokong terhadap usaha phak surau untuk menambah bangunan dan sedia memberi sokongan terhadap permohonan tanah yang dibuat.

Adun Bangi sebelum daripada itu mengucapkan tahniah kepada Y.B. Dr. Ahmad Yunus yang baru dilantik sebagai Exco Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu. Adun Bangi juga selaku Tuan Rumah mengucapkan terima kasih di atas kesudian Y.B. Dr. Ahmad Yunus memilih hadir ke Bangi buat pertama kali, walaupun difahamkan Y.B. Dr. Ahmad Yunus mempunyai beberapa program yang lain pada masa yang sama, tetapi memilih hadir di Bangi. Adun Bangi menyebut tentang Surau Al-Kauthar sebagai sebuah surau yang giat dengan kegiatan terutama keilmuan di Dun Bangi yang secara tidak langsung memenuhi hasrat Bangi Bandar Ilmu. Adun Bangi juga menyebut tentang kegiatan seimbang dilaksanakan di Surau al-Kauthar dari segi ibadat, kegiatan fizikal, pendidikan dan kebajikan. Begitu juga kegiatannya melibatkan semua generasi dari warga emas, dewasa, muslimat dan remaja. Secara khusus Adun Bangi menyebut, bahawa oleh kerana Y.B. Dr. Ahmad Yunus memegang portfolio Remaja dan Sukan, Adun Bangi berharap pihak AJK Surau merangka pendekatan dan kegiatan yang melibatkan remaja dan memohon peruntukan dari Y.B. Dr. Ahmad Yunus. Pada malam ini Adun menyampaikan sejumlah peruntukan bagi membina pentas di laman bersebelahan surau di samping menyampaikan dua hadiah utama bagi majlis pada malam ini berupa wang tunai.

Berikut dari itu Y.B.Dr. Ahmad Yunus dijemput menyampaikan hadiah-hadiah yang disediakan bagi semua kategori dari yang dewasa yang melibatkan kegiatan di masjid dan luar masjid, hadiah kepada muslimat dan juga kepada remaja-remaja.

Satu keistimewaan di surau ini sering diadakan jamuan-jamuan bulanan dan juga jamuan dengan adanya peristiwa penting dan kehadiran tokoh-tokoh jemputan. Kita difahamkan bagi majlis pada malam ini seekor lembu disembelih untuk jamuan para tamu dan jamaah di samping menyediakan menu masakan ikan partin yang disorder khas dari Temerloh, Pahang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment