August 13, 2014

Lantikan Pegawai Penguasa Dan AJK Tapak


BBB, 16 Syawal 1435 = 12 Ogos 2014 (Selasa):
Hingga ke akhir 2013 terdapat dua AJK yang mentadbir dan menguruskan pembinaan Masjid Al-Umm, iaitu Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Dr. Shafie Abu Bakar dan Jawatakuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad yang juga Pensyarah Kejeruteraan di UKM.
Dengan bermulanya masuk tapak dan kerja-kerja tanah, maka pada awal tahun 2014  ditubuhkan satu lagi AJK yang dikenali dengan AJK Tapak. Pada dasarnya AJK  ini berada di bawah AJK Teknikal dan melaporkan kerja-kerja kepada AJK Teknikal. Mesyuarat  biasanya diadakan pada setiap hari Selasa. Maka AJK Tapak biasanya bermesyuarat pada selasa minggu pertama setiap bulan, laporannya dibawa ke dalam mesyuarat AJK Teknikal yang biasanya bermesyuarat pada setiap Selasa minggu kedua setiap bulan. AJK teknikal pula melaporkan semua yang berhubung dengan Teknikal termasuk Tapak ke AJK Induk yang juga bermesyuarat pada setiap Selasa minggu ketiga setiap bulan. Walaubagaimana Pengerusi Induk dan Teknikal  dan beberapa AJK biasanya turut sama hadir ke Mesyuarat Tapak dan Teknikal  – secara turut hadir bagi mengikuti perkembangan dan kemajuan secara langsung
Adapun Lantikan Pegawai Penguasa Dan AJK Tapak ialah:
1)      Ir. Hj. Ghazali Hassan     Pegawai Penguasa      (Pengerusi Mesyuarat) -  Al-Umm
2)      Ir. Hj. Ishak Arshad    Pengerusi AJK Teknikal  - Al-Umm
3)      Haji Abdul Rahman Daud – Pengurus Projek  -   Al-Umm
4)      En. Nik Muhd Adham Anuar  - Setiausaha Kerja –  Al-Umm
5)      Ar. Raja Haji Fuaddin Raja Ahmad – Arkitek Urusbina
6)      Ar. Harizan Kamis – Arkitek Urusbina
7)      Tn. Haji Halim Lebai Din -  Arkitek Urusbina – COW
8)      Ir. Mohd Safari – Safari Ingeniuers
9)      En. Azhar Ahmad – Safari Ingeniuers – Cow
10)   En. Mohd Sani Shahruddin – Perunding Azfar
11)   En. Ahmad Shahir Saufi – Perunding Azfar
12)   En. Azanul Amri Mohamad Azmi – Perunding Azfar
13)   En. Shahrul Anuar Abdul Rasheed – May Consult
14)   Tuan Haji Marzuki Che Omar – Tekad Nusantara Sdn. Bhd. (Kontrektor)
15)   En. Mohammad Jazli  Abd. Talib –Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
16)   En. Akbar Khan Mohamed Yunus – Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
(Ada berlaku perubahan nama yang mewakili arkitek, perunding, engineer dan juga kontrektor – selain dari yang tetap).
(Terdapat beberapa pensyarah yang juga pelajar Ijazah Lanjutan kejeruteraan pembinaan yang turut hadir – Pelajar Ir. Haji Ishak Arshad di UKM yang datang mengikuti perbincangan setiap kali Mesyuarat Tapak sebagai  kursus praktikal. Kehadiran mereka dengan meminta izin dan mendapat kebenaran).
Kalau dilihat kepada AJK di atas mereka adalah kalangan yang berpengalaman di dalam kerja-kerja  pembinaan. Penubuhan AJK  adalah menurut amalan kerja-kerja pembinaan.  Penubuhan jawatankuasa ini ialah bagi mempastikan pembinaan Masjid Al-Umm adalah menurut spesifikasi yang telah disetujui oleh AJK Induk melalui pelan arkitek pembinaan sebagaimana telah diluluskan oleh pihak MPKj. Pihak arkitek mempastikan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontrektor menurut plan . Pihak perunding dan juga engineer  memberi nasihat, cadangan dan pembaikan jika ada ketidaktepatan. AJK teknikal mendapat taklimat  dari AJK Tapak tentang progress pembinaan atau sebaliknya. Dari perbincangan dibuat cadangan kepada pihak AJK Induk misalnya dari segi pengubahsuaian pelan, material yang sesuai digunakan, bentuk bahan contoh seperti kubah dan juga berhubung dengan pembayaran.
Progres kerja yang berlaku setiap bulan dilaporkan di dalam Mesyuarat Tapak disediakan oleh Site Agent  (Razak Rahman) dari pihak Kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd. Dan disemak oleh Clerk of Work (En. Azhar bin Ahmad).


Misalnya bagi permulaan kerja bagi bulan pertama, iaitu Januari 2014, maka laporan yang masih belum lagi banyak itu menyatakan tentang:
Laporan Kemajuan Kerja berakhir 9 Januari 2014
Masa  Terpakai: 31 hari yang merupakan  masa .
kerja yang dilakukan sebanyak 5.8% daripada hari (532 hari.
Jadual  asal 1.78   Yang Sebenar 1.66    Lewat  0.12%
Lewat:   1 hari mengikut Cpm.
Turut dilaporkan jenis kerja permulaan yang dibuat (kerja tanah), cuaca, sumber tenaga manusia, penggunaan mesin dan jentera di tapak, arahan dari pihak Consultant (tiada), contoh bahan binaan (Perunding Safari Ingeniuers), keputusan ujian terhadap cube, concrete yang diguna.
Pada bahagian akhir disediakan laporan bergambar tentang papan kenyataan syarikat, lakaran peta tapak kerja, kerja tanah yang masih merupakan peringkat permulaan.
Pendek kata kerja-kerja dilakukan secara sistematik, berada di dalam kawalan dan di dalam penilaian berterusan. Semuanya ini bagi mempastikan agar pembinaan Masjid Al-Umm berjalan lancer dan diharap tidak banyak menghadapi masalah.

Sekian.

August 12, 2014

Mendapat Kelulusan Pelan Arkitek Pembinaan Masjid Al-Umm

BBB, 15 Syawal 1435 = 11 Ogos 2014 (Isnin):
Selepas mendapat kelulusan gazet tanah dari Pejabat Tanah dan kelulusan membina masjid dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Keperluan yang penting ialah mendapat kelulusan Pelan Arkitek bagi pembinaan Masjid Al-Umm. Telah disebutkan bahawa usaha kea rah pembinaan Masjid Al-Umm secara aktif adalah bermula dari awal 2012. Pada awal 2012 ini antara AJK Induk Pembinaan Masjid Al-Umm ialah Tuan Raja Fuaddin yang tinggal di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi yang menjadi ahli kariah Surau Damai, surau yang paling dekat dengan Masjid Al-Umm. Beliau mewakili Surau Damai ke dalam AJK di samping Ustaz Ahmad Hasbullah dan Haji Mohd Kalok bin Latiff. Tuan Raja Fuaddin adalah arkitek bagi  Syarikat Arkitek Urusbina, di Kangar , Perlis. Raja Fuad adalah berasal dari Perlis dan mewakili syarikatnya di dalam meluas dan melebarkan sayap syarikatnya di Lembah Kelang, termasuklah di Bandar Baru Bangi. Oleh kerana beliau seorang arkitek dan berada di dalam AJK Pembinaan Masjid Al-Umm, maka beliau ditugaskan bagi mereka bentuk arkitek bagi Masjid Al-Umm. Telah disebutkan, sungguhpun Tuan Raja Fuaddin mereka bentuk arkitek bagi Masjid Al-Umm, tetapi pelan arkitek ini adalah merupakan hasil sama perbincangan dari AJK  pembinaan sehingga berlaku ubahsuai, bahkan dari pandangan perunding, pelan masjid Al-Umm yang berasal dua tingkat itu menjadi tiga tingkat dan turut berlaku pertambahan kos dari asalnya RM10 juta meningkat kepada RM12 juta.
Melalui syarikat arkiteknya Tuan Raja Fuad telah menghasilkan pelan asal dan dibincang serta mengalami perubahan. Pelan melibatkan dari segi binaan secara spesifikasi bagi setiap tingkat dari filing tanah, tanam cerucuk, pembinaan tiang, level-level bagi setiap tingkat hinggalah kepada kubah, menara, mihrab hinggalah kepada berbagai-bagai ruang bagi tiap tingkat dan juga pelan dari dalaman kepada ruang terbuka seperti landscaping dan taman.
Pelan ini telah diangkat kepada pihak MPKj sejak Februari  tahun 2012 yang setiap seti plan adalah setebal  50 halaman kertas plan. Plan tidak mudah diluluskan, lantaran ada soalan-soalan yang perlu dijawab dari pihak MPKj yang kadang-kadang terpaksa diadakan perubahan dan penyesuaian. Kelambatan juga diakibatkan oleh kerana berlakunya perubahan yang dilakukan oleh pihak pemohon, contoh berubah dari dua tingkat kepada tiga tingkat dan pengubahsuaian yang lain yang melibatkan perubahan dilakukan oleh syarikat sebelum dikemukakan kepada pihak MPKj. Lantaran itu berkali-kali pihak arkitek turun naik ke MPKj, mengemukakan perubahan dan memohon kelulusan. Permohonan kelulusan tidak saja melibatkan MPKj, tetapi juga Bomba, bahagian letrik dan landscaping yang perbincangan dan penilaian dilakukan secara berpusat dan diluluskan dari MPKj.
Permohonan kelulusan tidak saja melibatkan pihak arkitek dengan MPKj, tetapi pihak AJK juga membuat temujanji datang ke MPKj berunding dengan YDP MPKj dan pembantu-pembantu. Misalnya rundingan yang dilakukan pada  6 Februari 2013 dan surat memohon rundingan lanjut pada 8 Oktober 2012 kepada YDP MPKj oleh kerana lambatnya turun kelulusan pelan pembinaan Masjid Al-Umm hingga AJK Pembinaan Masjid ambil keputusan masuk tapak terlebih dahulu.
Masuk tapak terlebih dahulu sebenarnya berdasarkan maklumat tidak rasmi bahawa kelulusan pelan arkitek pembinaan akan di dapati dalam masa terdekat. Sebenarnya bila surat kebenaran diterima pada 16 Disember 2013 adalah didapati bahawa tarikh kelulusan ialah pada 4 Disember 2013. Jadi masuk tapak yang dilakukan ialah seminggu lebih lewat dari tarikh kelulusan. Al-hamdulillah. Dari detail kebenaran adalah:
Kelulusan Pelan Masjid Al-Umm Dari MPKj
Tarikh 04 Disember 2013
Ruj. Tuan: OSC/A12/1/10-2012
Ruj. Kami: (11) dlm. MPKj 8/P/2/2013
Kepada:
Arkitek URUSBINA,
No. 47, Taman Seri Medan,
Jalan Raja Syed Alwi,
01000 Kangar, Perlis.
Masjid Dilengkapi Tadika, Kelas Tahfiz, Kelas IT, Bilik Sumber dan Ruang Terbuka Serbaguna Lot 51177 Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi.
Kelulusan adalah satu tahun dari tarikh
Perlanjutan perlu dibuat sebelum tamat tempoh.
Beri notis mula kerja – Borang B’
Adakan papan tanda dengan butir-butir tentang Arkitek, Pemilik,  No. Fail MPKj, Cadangan Projek, Jurutera Perunding, dan No. Permit Iklan.
Kemukakan laporan kemajuan setiap 3 bulan kepada MPKj.
Perlu patuh kepada syarat-syarat Jabatan Teknikal. Rujuk lampiran A, E & F.
Turut dilampirkan:
Syarat Piawai Bangunan
Syarat Jabatan Kejuruteraan MPKj
Syarat Bomba – Lampiran E
                                        Masjid Al-Umm – Kelulusan MPKj
Ini adalah kebenaran bertulis PBT/MPKj di bawah S.76. A 133 selaras peruntukan Bahagian Terkandung di dalam UUKBS 1964.
Diluluskan dalam Mesyuarat OSC Bil. 6.02.13 pada 21 Mac 2013 bertarikh 4 Disember 2013.
b/p
YDP MPKj.


Sekian.

August 11, 2014

Sumbangan Derma Dari Dato` Dr. Haron Din Melegakan Kesempitan. Pergolakan Politik Selangor Membimbangkan Masjid Al-Umm ?

BBB, 14 Syawal 1435 = 10 Ogos 2014 (Ahad):
Pada peringkat permulaan kontrektor memulakan kerja-kerja  dari masuk tapak 10.12.2013 dan seterusnya kerja tanah, maka jumlah derma yan g terkumpul sehingga akhir Disember 2013 sebagaimana yang dilaporkan oleh Bendahari adalah sebanyak RM2,641,102.35. AJK Pembinaan adalah bertawakkal dan meneruskan azam bahawa pembinaan hendaklah bermula pada bulan Disember 2013 juga. Tapi dengan jumlah derma sebanyak ini adalah dibimbangkan tidak sempat melunaskan progress kerja-kerja yang berjalan. Kami mengharapkan orang ramai menderma bila melihat pembinaan bermula.
Satu yang melegakan bahawa semasa minum selepas Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din merasmikan Penentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm pada 2 Januari 2014 dan mendapat maklumat tentang jumlah terkini berhubung dengan derma yang didapati TG Dato` Dr. Haron Din menyebut bahawa beliau cuba untuk mendapatkan sejumlah RM1.5 juta dalam tempoh seminggu – Insya Allah.
Sebenarnya dalam tempoh tidak sampai seminggu, iaitu pada 4 Januari 2014, pihak AJK diberitahu dan diminta datang ke rumah TG Dato` Dr. Haron Din bagi menerima cek yang dijanjikan. Hadir pada pertemuan pada pagi Sabtu itu ialah Penulis selaku Pengerusi, Dr. Tajul Ariffin Noordin, Tuan Haji Abdul Rahman Daud dan Tuan Haji Mohd. Nor. Turut sama hadir ialah Cikgu Ma`an Pengerusi Surau Al-Nur dan saudara Hamdi anak Dato` Dr. Harun Din.
Yang lebih mengejutkan kami AJK, janji asal jumlah yang mau disampaikan oleh Dato` Dr. Haron Din ialah RM1.5 juta, tetapi penyampaian yang sebenarnya melebihi dari yang dijanjikan, iaitu RM1.52 juta. Pihak AJK mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan kepada Pengerusi dan terus diberi kepada Bendahari Tuan Haji Mohd. Nor bin Haji  Yasin. Dengan tambahan peruntukan ini melegakan pihak AJK dalam urusan pembinaan dengan kontrektor. TG Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung berjanji akan berusaha mendapat dana dari pihak-pihak yang dijangka dapat memberi  derma.
Sesungguhnya pembinaan Masjid Al-Umm setakat ini adalah bergantung pada derma orang ramai yang tidak jemu-jemu menderma kepada Masjid Al-Umm. Salah satu usaha AJK Pembinaan Masjid Al-Umm ialah berusaha mencapai target  jumlah paling minimum sebanyak RM6 juta ringgit, agar dapat membuat tuntutan dari kerajaan Negeri Selangor yang berjanji akan member dana atas kadar dolar to dolar. Setakat ini jumlah tersebut sudah dapat digenapkan dan mulai 21 Mei 2014 bersamaan 21 Rajab 1435 Penulis sebagai Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm telah menulis surat kepada pihak Menteri Besar memohon peruntukan RM6 juta yang telah dijanjikan oleh pihak Menteri Besar kerajaan Negeri Selangor. Dalam follow-up yang dibuat setelah semua dokumen  yang disertakan atas permintaan pada  26 Jun 2014 adalah difahamkan berkenaan dana RM6 juta tersebut dalam tindakan dan kami masih sedang menunggu.
Namun dari  perkembangan politik negeri Selangor yang sedang berlaku dalam mana pada hari Sabtu semalam 9 Ogos 2014 bersamaan 13 Syawal 2014 Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dipecat dari keahlian PKR dan beliau digugat oleh parti PKR dari kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor membimbangkan kami dari segi peruntukan yang dijanjikan. Penulis berpendapat kemelut politik Selangor  ini adalah peristiwa hitam bagi kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor, akibat dari perebutan kuasa dan tidak sabar menunggu masa. Tindakan yang menggawatkan politik negeri Selangor mungkin untuk memuaskan sebahagian pemimpin, tetapi gelagat politik ini diperhati dan dinilai rakyat yang mungkin akan menghukum ke atas kesilapan pertimbangan dan tindakan yang dibuat.
Dalam keadaan sekarang, sungguhpun Tan Sri Khalid masih Menteri Besar yang sah bagi negeri Selangor, tetapi berbagai kemungkinan politik akan berlaku kepada Tan Sri Khalid dan negeri Selangor sendiri. Tan Sri Khalid mungkin dapat mempertahankan kedudukannya dan mungkin diganti oleh pihak yang lain. Tapi yang kita paling bimbang sekali kemungkinan berlaku pilihanraya pada peringkat negeri Selangor
Dengan keadaan sekarang, jika  berlaku pilihanraya peringkat negeri Selangor, kita bimbang kemelut politik yang sedang berlaku di dalam PKR dan negeri Selangor menghilangkan kepercayaan rakyat untuk kembali memberi mandate kepada Pakatan Rakyat. Kita melihat permasalahan yang berlaku sekarang bermula dari `Langkah Kajang`  yang memberi  kemenangan kepada Wan Azizah 24 Mac 2014 dalam pilihanraya kecil Kajang.  Nampaknya  Adun PKR di Dun Kajang yang baru menang boleh diminta letak jawatan sewenang-wenang bagi memeberi ruang laluan, maka lanjutan dari itu Menteri Besar pula diminta letak jawatan dengan alasan-alasan  yang dicari, juga bagi memberi ruang laluan.
Kita bimbang dengan konflik yang berlaku menghilangkan kepercayaan rakyat, jika pun tidak berlaku pilihanraya peringkat negeri, tetapi keyakinan mungkin tidak dapat dipulihkan pada pilihanraya ke 14   dan kemungkinan berdepan kekalahan.
Berhubung dengan krisis kini, kami AJK Pembinaan Masjid Al-Umm berharap permohonan yang dibuat bagi mendapat dana yang dijanjikan bagi Masjid Al-Umm sebelum krisis politik berlaku diharap  tidak akan terganggu. Kita juga mendoakan agar politik Selangor kembali menjadi stabil dan dapat memulihkan kepercayaan rakyat.

Sekian.

August 10, 2014

Penentuan Arah Kiblat - Dato` Dr. Haron Din, Penaung Masjid Al-Umm Rasmikan


BBB,  13 Syawal 1435 = 09 Ogos 2014 (Sabtu):
Satu keperluan penting yang menjadi syarat di dalam mendirikan masjid juga surau ialah menentukan arah Kiblat bagi memastikan jamaah yang bersolat betul-betul menghadapi ke arah Kiblat sebagaimana yang dituntut di dalam solat. Ayat Qur`an mengenai tuntutan mengarah ke Kiblat bermaksud:
``Maka palingkan wajahmu ke arah Masjidil Haram `` (Al-Baqarah: 144).
Sebelum `Masuk Tapak`  perkara ini telah dibincang dan dibuat permohonan terhadap JAIS memohon untuk menentukan arah Kiblat.
Namun sebelum daripada itu  mesyuarat telah mengambil ketetapan bagi mengadakan Solat Hajat dan Doa Selamat`  sempena dengan pembinaan Masjid Al-Umm. Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat ini ditetapkan pada 21 Januari 2014. Namun pihak Jabatan Mufti Kerajaan Selangor memberi  respond segera terhadap permohonan menentukan Kiblat dan bersetuju menghantar pegawai-pegawai bagi menentukan Arah Kiblat Masjid Al-Umm ialah pada 2 Januari 2014. Dengan  respond dari Pejabat Mufti ini, maka Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat  dicadang diawal dan disatukan dengan Majlis Penentuan Arah Kiblat. Dalam menentukan Arah Kiblat  ini –  tidak semestinya pegawai dari Jabatan Mufti atau JAIS hadir, kerana kerja-kerja menentukan Arah Kiblat ini diswastakan kepada  syarikat-syarikat yang pakar dari segi penentuan Arah Kiblat. Terdapat beberapa syarikat yang dilantik menurut zon.
Sebagai formality AJK Pembinaan Masjid Al-Umm membuat keputusan, bahawa Perasmi bagi Pengukuran dan npenentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm dilakukan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung bagi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm. Kebetulan pada tarikh tersebut beliau mempunyai masa untuk hadir .
Berhubung dengan arah Kiblat ini, pada permulaan Islam solat yang dilakukan ialah mengarahkan ke Baitul Maqdas. Rasulullah s.a.w. bercita-cita kiranya solat berkiblatkan Baitullah yang membinanya ialah Nabi Allah Ibrahim a.s.  Dengan berkiblatkan Baitullah di Masjidil Haram dapat menghendar dari perlian orang Yahudi dan Nasrani yang berkiblatkan Masjid Al-Aqsa dan orang-orang Islam seolah-olah mengikut mereka.
Beberapa riwayat Hadith diperturunkan oleh Ibn Karhir dalam Tafsir Ibn Kathirnya. Antaranya , ``Dalam Kitab al-Sahihain (Bukhari dan Muslim) disebutkan sebuah Hadith yang diriwayatkan dari Ibn `Umar r.a, ia berkata, ketika orang-orang mengerjakan solat subuh di Masjid Quba`, tiba-tiba datang seseorang kepada mereka seraya berkata, ``Sesungguhnya tadi malam telah diturunkan ayat kepada Rasulullah s.a.w. dan Baginda diperintahkan untuk solat menghadap ke Ka`bah, maka menghadaplah kalian ke Ka`bah.``  Pada saat itu posisi mereka menghadap ke Syam (Baitul Maqdis), lalu mereka berputar menghadap ke Kiblat (Ka`bah).``( Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jil. 1, Pustaka Ibn Kathir, Jakarya, Tahun ?: hlm. 488).
Ini digambarkan oleh ayat Qur`an bermaksud:
``Sesungguhnya kami sering melihat wajahmu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkanmu ke Kiblat yang engkau sukai. Maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram.`` (Al-Baqarah: 144).
Majlis Penentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm  yang diadakan pada hari Khamis 30 Safar 1435 bersamaan 2 Januari 2014 bermula jam 9.00 pagi di tapak Masjid Al-Umm berlaku bersama-sama kerja tanah yang sedang dilakukan.
Para jemputan yang hadir adalah lebih kurang 100 orang bersama Dato` Dr. Haron Din, ialah Pengerusi dan AJK-AJK Pembinaan Masjid, juru-juru ukur dan peralatan menentukan arah Kiblat, Kontrektor Tuan Haji Marzuki bin Che Omar, wakil-wakil masjid dan surau-surau dan para tetamu jemputan.
Dato` Dr. Haron Din melihat dan memastikan arah Kiblat melalui alat ukur Arah Kiblat dan meminta ditanda arah dengan pemancang rasmi daripada besi  yang ditanam kejap agar dipastikan bahawa pemancang tanda tidak lari dan mengelak dari gangguan kenderaan dan kerja-kerja gali dan pemindahan tanah.
Dari ukuran yang dibuat dipastikan bahawa:
Arah Kiblat Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi ialah:
Latitude:   02 darjah   56 minit  40 saat
Longitude:   101 darjah  46 minit  15 saat
Arah Kiblat:  292 darjah  36 minit  58 saat
Tarikh Pengesahan:   2 Januari 2014
Diperakui oleh: Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor
Tarikh:  3 Januari 2014
Surat dari Jabatan Mufti:  6 Rabiul Awwal 1435 bersamaan 8 Januari 2014.
Majlis berakhir dengan doa.

Sekian.

August 9, 2014

Kerja Tanah

BBB, 12 Syawal 1435 = 08 Ogos 2014 (Jumaat):
Kerja Tanah juga adalah istilah yang digunakan di kalangan kontrektor dan kalangan yang berkait dengan bidang-bidang hartanah. Dimaksudkan dengan kerja tanah, ialah permulaan kerja selepasa masuk tapak dan mulai mrnjalankan kerja tapak. Berhubung dengan pembinaan Masjid Al-Umm, sebelum pelan berubah dari dua tingkat ke tiga tingkat, semasa perataan tanah, pihak Perunding menjangkakan terpaksa dibawa masuk tanah dari luar dijangka 2,000 lori bagi menambak kawasan rendah di bahagian belakang tapak tanah, namun jangkaan ini berubah, apabila pelan berubah kepada tiga tingkat dalam mana level bawah adalah di bawah dari level permukaan  tanah. Untuk lapisan bawah tanah ini perlu dikeluarkan  yang dijangka lebih kurang 2,000 lori. Ini merupakan kerja tanah  dan kerja utama ialah menyediakan tapak bagi menanam cerocok.
Sebelum kerja tanah dilakukan masalah dengan tuan-tuan rumah jiran terdekat juga perlu diselesaikan. Dalam maksud tapak Masjid Al-Umm berjiran sebelah kiri dengan 6 buah rumah  semi D lama. Rumah-rumah berkenaan bersempadan begitu dekat dengan  Masjid Al-Umm . Masalah-masalah berkenaan ialah:


1)      Terdapat pokok-pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, nangka, cempedak dan kelapa yang ditanam di dalam kawasan Masjid Al-Umm
2)      Ada court badminton yang dibina di atas tanah Masjid Al-Umm.
3)      Ada bahagian bangunan tambahan yang termasuk di dalam tanah Masjid Al-Umm
4)      Apabila kerja tanah dilakukan adalah dibimbangi selut lumpur akan masuk ke kawasan rumah, khususnya apabila berlaku hujan.
5)      Bila pagar konkrit dibina bersempadan rumah-rumah berkenaan, adakah jiran-jiran berkenaan  bercadang mau meminta laluan pintas ke masjid atau tidak.
Bagi   mnyelesaikan perkara yang berhubung dengan tanah di sempadan berkenaan, pihak AJK Pembinaan membuat keputusan untuk berunding dengan jiran-jiran berkenaan. Pada 3.1.2014      beberapa  AJK bersama Penulis selaku Pengerusi, Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud, Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Yasin dan saudara Abdul Razak dari pihak kontrektor menemui pihak Tuan rumah yang diwakili oleh Tuan Haji Ahmad bin Ismail yang rumahnya terbanyak perkara yang hendak dirundingkan Kami diterima baik dan bersama  menyaksi kawasan dan semua pokok bakal ditiadakan bila kerja-kerja tanah tiba di tepi rumah-rumah berkenaan. Yang agak serius sebahagian dari tambahan belakang rumah perlu diubah. Pihak kontrektor yang diwakili saudara Abdul Razak akan ambil perhatian bila kerja tanah tiba di tepi rumah-rumah berkenaan. Perhatian akan diberi agar tanah tidak akan lempah, khususnya bila hujan ke dalam kawasan perumahan terutama rumah Tuan Haji Ahmad bin Ismail. Di bahagian tepi sempadan dengan rumah-rumah jiran berkenaan adalah jalan masuk dari bahagian sisi kiri Masjid Al-Umm. Selepas melihat kawasan belakang rumah Tuan Haji Ahmad Ismail, kami berbincang di ruang tamu, rumah Haji Ahmad. Pihak kami menawarkan untuk mengadakan pintu kecil bagi jiran berdekatan untuk keluar masuk ke kawasan masjid. Perbincangan adalah dalam keadaan mesra dan tidak ada masalah yang timbul antara kami, kontrektor dan Tuan Haji Ahmad Ismail sebagai jiran terdekat yang kelak merekalah yang akan memakmurkan masjid.
Problem yang kedua yang agak penting ialah sedang kerja tanah dilakukan menggali untuk menanam cerocok kelak, ialah masalah lebihan tanah, bukannya kekurangan sebagaimana dijangkakan pada peringkat awal.
Sebenarnya kami tidak mau tanah kawasan masjid dikeluar apalagi dibuang, sebaliknya mau dimanfaatkan bagi masjid. Dari satu segi Masjid Al-Umm akan kekurangan dari kawasan parkir. Dalam mesyuarat dibincangkan agenda berkenaan -  kawasan parkir. Adalah dicadangkan di dalam mesyuarat agar kawasan di bawah kabel di belakang perumahan Seksyen dua dan bersebelahan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dimanfaatkan sebagai tempat parkir kawasan masjid dan boleh digunakan oleh pihak sekolah dan ibu bapa bila ada keramaian atau menunggu kepulangan anak-anak.


Kawasan di bawah cable TNB ini adalah kawasan rendah, sebab itu perlu ditambak. Cadangan dipersetujui, tetapi perlu mendapat keizinan dari  Prjabat Tanah dan TNB. Surat dibuat oleh Penulis sebagai Pengerusi kepada Pejabat Daerah dan pihak TNB dengan agak segera dan tergesa-gesa. Yang utama menguruskan perkara ini ialah Tuan Haji Abdul Rahman Daud. Selain dari surat beliau berusaha secara peribadi ke Pejabat Daerah dan Pejabat TNB Bangi dan perkara ini dibawa ke pihak TNB Pusat di Bangsa. Sementara mendapat jawapan rasmi, berdasarkan keizinan lisan, tapak bagi kawasan parkir di hadapan Masjid Al-Umm ditambak. Kerja-kerja tanah dan pengeluaran tanah berlaku sejak Januari-Februari 2014. Kerja-kerja dilakukan ialah bagi menyediakan kawasan bagi penanaman cerocok bagi tapak Masjid Al-Umm. Keizinan rasmi didapati dari pihak TNB dengan syarat-syarat perlu dipatuhi bagi menjaga keselamatan. Kini kawasan parkir dihadapan sekolah sudah diratakan. Kawasan yang dulu ditumbuh lalang dan semak-semak kelihatan cantik. Namun kerja-kerja perparitan, meratakan permukaan dengan batu-bati kasiran dan perlu ditarkan akan dilakukan. Projek ini akan dilakukan pada peringkat akhir kelak.
Pengeluaran tanah dari tapak dapat dimanfaatkan bagi kawasan parkir dan menyelesaikan masalah lebihan tanah dan kerja-kerja tanah berjalan lancar.

Sekian.