June 20, 2015

Dekorasi Tiang Seri Masjid Al-Umm Terpengaruh Dengan Tiang-Tiang Masjid Al-Haram Dan Nabawi ? Perbandingan


BBB. 02 Ramadhan 1436 = 19 Jun 2015 (Jumaat):
Membicarakan soal tiang di Masjid Al-Umm cadangan-cadangan dan pilihan, Penulis kembali bahawa di dalam membuat pilihan adakalanya berlaku  peniruan secara keseluruhan dari seni bina di tempat lain, termasuklah tiang, tetapi ini tidak baik dari segi senibina, kerana dengan demikian tiada identiti bagi masjid berkenaan, sebaliknya ada yang  beridentiti hasil dari kreativiti dan inovasi sendiri. Ini adalah baik sebagai identiti asli, tetapi tidak menyimpang. Namun ada yang meniru sebahagian dan berkreativiti dan berinovasi sendiri bagi sebahagian yang lain. Penulis membuat penilaian terhadap ciri senibina tiang-tiang, khususnya tiang-tiang seri bagi Masjid Al-Umm dengan tiang-tiang di Masjid Al-Haram dan juga Masjid Nabawi..


Semasa Penulis menziarah Madinah-Makkah pada April 2015 yang lepas, sebagaimana Penulis katakan, bahawa antara perhatian yang penulis beri ialah terhadap bentuk dan ciri bangunan Masjid Al-Haram, Masjid Nabawi dan masjid-masjid di sekitar dua bandar suci itu sambil membanding ciri Masjid Al-Umm dengan ciri-ciri masjid-masjid yang berada di sekitar kedua kota berkenaan. Baik secara langsung atau tidak langsung turut memberi perhatian terhadap tiang-tiang masjid-masjid yang dibuat lawatan. Bagi menulis artikal berkenaan tiang Masjid Al-Umm ini, penulis sekali lagi membuka gambar-gambar masjid-masjid khususnya tiang-tiang masjid yang secara sengaja dan tidak sengaja merakam gambar-gambar tiang-tiang masjid-masjid berkenaan.
Dari pemerhatian Penulis tiang-tiang di Masjid Al-Haram tidak banyak variasi berbanding dengan tiang-tiang Masjid Nabawi. Tiang-tiang di dalam Masjid Al-Haram secara kasar mirip kepada tiang dan seni bina Masjid Cordova (sebahagian) dalam mana pada bahagian atas tiang mempunyai lengkung tunduk yang berkait antara satu tiang dan tiang yang lain. Pada lengkung ini mempunyai garis-garis  belang bagaikan lengkung dan garis yang mengikat tiang-tiang di Masjid Cordova. Pada puncak tiang yang menjunjung lengkung berkenaan adalah  biring empat persegi yang menjadi puncak bagi semua tiang yang berbentuk bulat. Di bawah bagi biring empat persegi menghiasi setiap dari empat persegi tiang ialah lima lengkuk-lengkuk kecil  yang berbentuk bulat bujur ke bawah (ciri ini ada persamaan dengan beberapa tiang di kawasan sekitar Raudah di Masjid Nabawi). Pada bahagian atas tiang-tiang di Masjid Al-Haram ini adalah berwarna keemasan. Sedangkan tiang ke bawah berwarna putih dengan mempunyai biring pada bahagian bawah sebagai kasut bagi tiang berwarna keemasan, secara tidak langsung menghalang jamaah dari bersandar malas di pangkal tiang. Walaupun tiang-tiang Masjid Al-Haram tidak banyak variasi, maksudnya pola-pola adalah bersamaan. Ianya menjadi contoh dan ikutan bagi berbagai masjid baik di kota Makkah dan juga di kota Madinah. Tiang-tiang masjid diberbagai-bagai masjid seolah-olah secara umum ada kesamaan.
Berlainan tiang-tiang di Masjid Nabawi adalah bervariasi. Persamaan ada bagi bab-bab (pintu-pintu masuk) seperti pintu masuk Malik Abdul Aziz, Pintu Masuk Malik Fahd, Pintu masuk Umar Ibn al-Khattab dan berbagai-bagai pintu lagi yang bagi satu pintu ada beberapa daun pintu yang berwarna keemasan yang mempunyai tiang-tiang pintu dan tiang-tiang hadapan (lebih jelas lihat gambar). Bagi dalaman masjid mempunyai persamaan dengan bahagian atas berdekorasi dan berwarna keemasan, dan pada bahagian bawah juga mempunyai kasut berbiring-biring yang dapat mengelak dari menjadi tempat bersandar, juga berwarna keemasan.


Apa yang hendak diberi penekanan dan mempunyai kelainan ialah tiang-tiang di dalam Masjid Nabawi sekitar kawasan Raudah. Kawasan ini adalah kawasan seni bina lama yang sengaja tidak diubah bagi mempertahankan ciri asli dan lamanya. Tiang-tiang di kawasan ini terutama berhampiran dengan dua mimbar adalah berwarna merah muda pada sebelah atas tiang ialah motif hiasan bagai bulat dan tidak dapat dipastikan sama ada bersifat geometrik design atau flora dan fauna, tetapi di bawah dari puncak tiang yang menjunjung beam ada lima motif lengkung tunduk kecil bagi setiap segi dari empat segi keliling. Ciri ini ada kesamaan dengan tiang di Masjid Al-Haram sebagaimana diperkatakan. Ciri inilah yang akan dikaitkan dengan pola  dan motif-motif pada tiang seri Masjid Al-Umm. Bahagian kaki bagi tiang Masjid Nabawi – sekitar Raudah adalah berbiring sebagaimana bahagian bawah tiang-tiang yang lain.
Tiang seri bagi Masjid Al-Umm pada asalnya dicadang beberapa pola hiasan pada puncak tiang. Ada tiga pola awal yang dicadangkan yang dua daripadanya mengambil dekorasi mirip daun dan satu lagi ialah bergaris tegak dengan hiasan kerawang di antara garis-garis berkenaan. Bahagian dari atas ke bawah adalah penerusan dari garis di atas, manakala kasut pada bahagian bawah adalah dua bersifat bergaris-garis dan satu mengambil bentuk seperti mata pena. Dapat dikatakan ketiga-tiga tidak mempunyai arah dan falsafah yang jelas. Demikian dengan beberapa cadangan bahagian atas dan bawah.


Keputusan terakhir ialah mengambil bentuk tiga segi (lipat)  yang juga semacam jaring yang mirip sama dengan jaringan ala labah-labah di bawah ruang kubah. Dalam kata lain pemilihan pola dan imej jaring labah-labah yang mirip dengannya adalah satu pilihan yang mengharmonikan dengan  pola yang ada pada kubah. Dari pemerhatian Penulis bahawa pola yang seperti ini dan yang berbentuk lengkung tunduk yang menjadi hiasan bagi bawah bagi rim kubah mempunyai persamaan dengan bentuk sedemikian yang terdapat pada tiang-tiang di dalam Masjid al-Haram, terdapat juga pola sedemikian di dalam kawasan sekitar Raudah. Namun dapat dikatakan kawasan sekitar Raudah yang berwarna garang, merah, keemsan dan biru muda itu kecamuk dengan berbagai imej. Adapun dari segi tiang bahagian bawah, berpelbagaian, bagi tiang-tiang  di Masjid Cordova, kosong bagai tidak berkasut, kaki bagi tiang di Masjid Al-Haram bertapak bersalut kelilingan bahkan berwarna keemasan sebagaimana pada bahagian atas, manakala  di Masjid Nabawi (baharu) juga bertapak dan bersalut warna keemasan sebagaimana di atas. Adapun pada bahagian lama sekitar Raudah bahagian bawah berbiring bulat agak kecil berwarna keemasan sebagaimana bahagian atas bertapak bersegi menjunjung bahagian atas yang juga berwarna keemasan.


Sama ada secara sedar atau tidak tiang bagi Masjid Al-Umm ada mirip kesamaan, tetapi banyak kelainan dengan tiang Masjid Al-Haram. Tiang Seri bagi Masjid Al-Umm bahagian atas berbentuk bulat lebih luas dan makin mengicil ke bawah pada tiang berbentuk bulat. Pada kepala tiang bahagian atas ini dihias dengan lima baris pola tiga segi (lipat) dari atas ke bawah adalah tiang bulat berwarna putih dengan kaki pada bahagian bawah adalah bersegi-segi. Dalam kata lain tiang-tiang pada Masjid Al-Umm agak biasa dan ringkas. Keringkasan pada tiang ini disengajakan agar tidak menjadi gangguan kepada jamaah melihat ke bahagian hadapan, khususnya kepada bahagian mihrab tempat imam memimpin jamaah dalam solat dan ke mimbar  yang sedikit tiang keluar (ke kanan) dari arah mimbar. Walaubagaimana pola-pola pada tiang adalah harmoni dengan pola pada kubah dan pola-pola pada kaki kubah. Secara keseluruhan tiang-tiang Masjid Al-Umm adalah tidak sama (di samping ada sedikit persamaan) dengan tiang-tiang Masjid Al-Haram yang begitu banyak di bahagian berbangunan dan juga tidak sama dengan tiang-tiang di Masjid Nabawi yang juga banyak dan besa (bahagian baru) dan tiang-tiang pada bahagian baru berlainan pula dengan pola hiasan pada tiang-tiang yang berada di sekitar kawasan Raudah. Namun semua tiang adalah lambang setia yang menjunjung perintah dari Yang Maha Tertinggi.

Sekian.

June 19, 2015

Dekorasi Dari Bahagian Bawah Kubah: Peningkatan Kualiti - Takmilah


BBB, 01 Ramadhan 1436 = 18 Jun 2015 (Khamis):
Selain dari kubah dilihat jauh dari luar, maka kubah akan dilihat lebih dekat dari dalam, iaitu bagi jamaah dan mereka yang masuk di dalam masjid dan mendongak ke atas, maka akan kelihatan kubah pada bahagian atas. Kubah sebagaimana telah disebutkan adalah terletak di atas rim bulatan yang  yang meninggi di atas beam  yang dibina di atas tiang bersifat empat segi, maka kelihatan dari bawah ialah ruang kolong kosong dari dalam hasil dari pembentukan bulat bujur dari luar. Bahagian yang nampak ialah `layer` atau lapisan paling bawah bagi permukaan dalaman. Oleh kerana bahagian tapak yang diletakkan bulatan mempunyai ketinggian dari `beam` di atas rangka empat persegi, maka ianya mempunyai ketinggian yang wajar dihiasi dan begitu juga oleh kerana rim bulatan  lebih kecil dari beam empat segi, mewujudkan empat ruang tepi yang bersifat tiga segi, maka kelihatan empat ruang rata dilihat dari bawah yang seharusnya tidak ditinggalkan kosong. Inilah ruang yang melibatkan dekorasi agar tidak kelihatan kosong dari bawah.


Pada peringkat awal ada ditimbulkan sebagai cadangan alternatif, bahawa apakah kemungkinan permukaan dari bawah ini ditutup sahaja, maka ia kelihatan rata dengan permukaan siling pada bahagian atas. Idea ini tidak diterima, kerana ciri kubah yang menjadi identiti penting bagi sesebuah masjid akan hilang, sekurang-kurangnya dari dalam. Lantaran itu ianya perlu dihiasi. Timbul juga pemikiran yang bersifat soalan yang boleh disifatkan sebagai cadangan. Kedapatan masjid yang menggantungkan gugusan lampu kecil dari tali (cable) yang diturunkan dari tengah bahagian kubah. Lampu `thurayya` ini, jika diletak adalah merupakan daya tarikan yang menceriakan ruang utama masjid, khususnya pada waktu malam apabila lampu `thurayya` berkenaan dipasang. Idea ini nampaknya tidak disetujui mesyuarat, bukan kerana kos, tetapi penggunaan cable yang tinggi dan lanjut ke bawah tidak menarik pandangan, lagi pula ianya memberatkan beban yang ditanggung dari puncak kubah yang perlu dibuat bahagian penyangkut yang kukuh, di samping menghalang pandangan ke ruang dalam bagi kubah berkenaan. Lagi pula jika dipasang kipas cable berkenaan menghalang pemasangan kipas. Persetujuan bahawa bahagian dalam kubah ini perlu dihiaskan.
Ada beberapa proses cadangan bagi dekorasi permukaan dalam bagi ruang dalam kubah ini. Proposal awal ialah secara bentuk `tali lihir` yang berpangkal pada puncak dan berkembang lebar ke bahagian bawah menurut perkembangan daun kubah yang membesar ke bawah. Cadangan ini tidak diterima yang dilihat bukan saja simple, tetapi tidak membawa nilai Islam dan tidak membawa daya estetik yang menarik. Cadangan berikutnya ialah merubahkan bentuk tali lihir kepada bentuk tiga segi berbentuk daun `speed` seturut dan menurut pola alur `tali lihir` yang merupakan cadangan awal. Bentuk ini sedikit lebih menarik dari yang awal dan membawa nilai-nilai estetika yang lebih menarik dan ianya lebih merupakan geometrik design. Walau bagaimana ianya dianggap bentuk biasa dan tidak mencerminkan nilai Islamik.


Pada peringkat selanjutnya yang dapat dikira sebagai peringkat akhir yang membawa kepada peringkat penerimaan, ialah reka seni yang merupakan garisan-garisan yang menaut antara satu sama lain yang juga menimbulkan bentuk-bentuk speed dan empat segi. Adalah dikira bentuk ini lebih kreatif dan menimbulkan daya estetik. Lebih dari itu ianya dikira berinspirasikan jaringan labah-labah yang mempunyai kaitan dengan peristiwa Rasulullah s.a.w. berlindung di Gua Thur dari diintip oleh kaum Quraisy dalam rangka berhijrah ke Madinah (Yathrib), semasa berlindung di dalam gua ini labah-labah menjaring permukaan gua berkenaan, sehingga pihak musuh yang mengintipnya, melihat permukaan gua mempunyai jaring labah-labah, pengintip membuat keputusan tidak menjenguk ke dalam, kerana jika ada yang masuk ke dalam sudah tentulah jaringan labah-labah itu rosak. Atas faktor mempunyai daya estetik yang lebih tinggi dan mempunyai elemen keislaman, maka jaringan geometrik design tiga dan empat segi ini diterima.
Berhubung dengan adanya ketinggian  antara beam empat segi keliling, maka tidak timbul dalam perbincangan. Pihak arkitek menjadikan  lima segmen yang antara satu dengan yang lain dibiarkan kosong, pada setiap segmen ini ada tiga jendela kecil yang bersifat empat segi bujur, tetapi pada bahagian atasnya ialah berbentuk lengkung tunduk yang mencirikan kelembutan, ketenangan dan kekhudukan. Ciri ini adalah merupakan ciri dominan bagi pintu dan jendela bagi kebanyakan pintu dan jendela bagi masjid Al-Umm, sebab itu dengan bentuk ini tidak menimbulkan persoalan dan lebih diterima. Fungsi lima segmen jendela ini menghasilkan pantulan cahaya timbal balik dari glass atau cermin berwarna yang dipasang pada jendela-jendela berkenaan. Ianya lebih berfungsi dari segi estetik dari tujuan untuk menarik cahaya dan keluar masuk udara, kerana jika dibuka mengundang kepada kemasukan air , bila berlakunya hujan. Bentuk jendela lengkung tunduk ini juga digunakan pada ruang keliling bersegi bagi keliling ruang dalam kubah berkenaan.


Berhubung dengan wujudnya empat ruang tiga segi sebagai lebihan dari beam empat segi di atas empat tiang seri, maka ruang ini bukan dianggap lebihan yang tidak diperlukan. Bagi menunjukkan keberadaannya adalah berfungsi, maka ianya perlu diberi ragaman hias yang harmoni dengan bentuk geometrik design di dalam lengkungan kubah bahagian bawah berkenaan. Bentuk yang harmonik dan sesuai dari segi geometrik design ialah bentuk empat-empat segi dan bahagian yang tidak berbentuk empat segi disempurnakan dengan bentuk tiga segi. Persoalan yang ditimbulkan apakan kotak-kotak empat dan tiga segi ini dibiarkan kosong ? Pada peringkat awal ada cadangan mereka-bentuk silang segi, tetapi ketara bahawa, secara tidak langsung menghasilkan di dalamnya imej ``cross` yang menjadi lambang bagi agama Kristian. Atas faktor ini, maka cadangan awal ini terpaksa diketepikan. Sebagai solusi akhir dicadangkan bahawa bentuk jaringan yang berinspirasikan bentuk jaringan labah-labah juga perlu digunakan pada pola empat dan tiga segi bagi empat ruang empat segi yang mengelilingi bulatan kubah di atas. Pola ini perlu dikecilkan sesuai dengan kedudukan ruang empat dan tiga segi sebagai lebihan.


Dalam perbincangan di atas mencerminkan proses kreatif di dalam mencari rekabentuk yang paling sesuai digunakan bagi sesuatu bahagian daripada kubah. Proses kreatif juga mengambil kira dari segi keharmonian dari segi bentuk. Misalnya bila mengambil bentuk geometrik design, maka yang lain juga seharusnya sama mengambil bentuk geometrik design agar tidak bercampur aduk misalnya dicampur secara janggal dari ciri alam flora dan fauna. Satu yang sensitif pemilihan pola dan bentuk serta imej dari pemilihan berkenaan perlu diberi perhatian, bahawa ianya begitu sensitif jika apa yang dibawa adalah bercanggah dengan nilai budaya masyarakat, apa lagi jika ianya mencanggahi dengan agama Islam. Proses perjalanan kualiti menuju takmilah ini adalah proses yang juga dilalui di dalam bidang-bidang seni yang lain seperti puisi dan sastera, kaligrafi, seni hias dan berbagai-bagai seni yang lain. Semuanya memerlukan sentuhan seni, kehalusan jiwa,  kepekaan nilai, keharmonian suasana agar terhasil sebuah hasil seni yang benar-benar bernilai tinggi.

Sekian.

June 18, 2015

Kubah Sebelum Disempurnakan Dari Bahagian Bawah


BBB. 30 Sya`ban 1436 = 17 Jun 2015 (Rabu).
Kubah mempunyai kedudukan istimewa dari segi estetika dalam pembinaan masjid. Posisinya berada pada bahagian tengah dari puncak masjid. Dengan bentuknya yang bujur separuh bulat, terkeatas dari segi luaran dengan tunjuk langitnya mengarah kepada langit terbuka, ibarat bagi meneroka rahsia Ilahi ke ruang lepas tanpa watas. Manakala ke bawahnya ialah memayungi sebahagian besar ruang terbuka – ruang bagi jamaah menunaikan solat dan aktiviti-aktiviti ibadat dan pengajian – ibarat berada di bumi kerendahan diri mengabdikan diri pada keagungan Ilahi.
Pembinaan masjid sebagai tempat ibadat dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. berikut dari Hijrah Baginda ke Madinah dengan pembinaan masjid awal di Quba` dan diikuti dengan Masjid Nabawi. Evolusi pembinaan masjid berkembang baik dari segi keluasan dan dari segi fizikal, termasuklah dari segi estetika, termasuklah pembinaan kubah dan menara pada Masjid Nabawi dan juga Masjid Al-Haram. Lantaran itu kubah dan menara adalah dua dari berbagai elemen seni di dalam pembinaan masjid.


Berbanding dengan bahagian-bahagian yang lain di dalam pembinaan masjid, maka pembinaan kubah yang besar yang memayungi ruang kosong bahagian bawah masjid adalah lebih rumit. Ruang kosong ini seolah-olah berinspirasikan ayat-ayat Al-Qur`an. Antaranya bermaksud:
``Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya.`` (Al-Ra`d: 2). Atau firman Allah yang bermaksud:
``Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya dan dia mengadakan di bumi gunung ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu.`` (Luqman: 10).
Mengusahakan ruang kosong pada bahagian bawah bagi tujuan memuatkan seramai mungkin jamaah seolah-olah ruang ini  meluas di bawah langit yang tiada tiang.
Pembinaan kubah bukan dari segi kepentingan estetika semata-mata, tetapi sebagai langit yang memayungi jamaah di bawah yang seboleh-bolehnya tanpa tiang yang tidak mengganggu keluasan dan pandangan jamaah ke hadapan – terhadap imam yang mengimamai solat, atau terhadap khatib yang sedang menyampaikan khutbah atau kepada guru atau penceramah yang sedang menyampaikan pengajaran.


Bagaimana mewujudkan ruang di bawah yang luas yang dilihat di bawah tanpa tiang ?
Tentulah memerlukan kepakaran dan teknologi yang dapat meletakkan kubah di bahagian puncak tanpa tiang. Ianya boleh dilakukan dengan meletakkan kubah di atas tiang yang terus menjadi sebahagian dari dinding ! Tetapi tidak demikian bagi Masjid Al-Umm dan juga tidak bagi sebahagian masjid-masjid yang lain termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terpaksa meletakkan kubah di atas tiang-tiang  yang ketara berada di tengah-tengah ruang jamaah. Demikian juga dengan Masjid Al-Umm yang kubahnya adalah terletak di atas empat tiang yang tiang berkenaan berada di dalam ruang terbuka bagi kawasan jamaah utama di aras utama. Dilihat dari luar tidak ketara kerumitan bagi pembinaan, bahkan indah dan menarik di atas bumbung di kelilingi atap yang berwarna kelabu itu.
Sebaliknya melihat ke kubah dari dalam dan dari bawah ke atas ke bahagian kubah dapat dilihat kaedah teknologi pembinaan dan kerumitan, bukan setakat kerumitan, tetapi betapa sensitifnya binaan berkenaan pada peringkat permulaan binaan yang jika tiada kekukuhan sokongan dari bahagian bawah, maka ianya boleh runtuh. Sebagaimana telah dibicarakan sebelum ini bahawa kubah Masjid Al-Umm adalah terletak di atas empat tiang seri masjid, tetapi perletakannya tidak secara terus diletak di atas keempat-empat tiang seri berkenaan. Bulatan bawah bagi kubah sebenarnya lebih sempit dari ruang yang disediakan oleh empat tiang.


Sebab itu keliling ruang empat segi dari atas setiap tiang  ke tiang yang lain dibina beam. Dari atas beam bagi setiap tiang seri ini dibina `lengan tiang sendeng konkrit` condong 90 darjah. Di atas bagi lengan sendeng condong ini dibina bulatan yang sesuai dengan bulatan bahagian bawah kubah. Untuk menjamin kekukuhan lengan tiang sendeng, maka antara tiang sendeng ini juga diikat dengan beam-beam  tengah yang mengikat antara tiang-tiang sendeng ini bagi menjunjung kubah pada bahagian atasnya. Pembinaan lengan tiang sendeng ke atas dan kotak-kotak bagi lengan sendeng ini mulai diisi semin ialah pada 25 September 2014 dengan tiang-tiang supportif dari bawah dari lantai tingkat utama dan pada 9 Oktober 2014 tiang-tiang dan bulatan kubah baru disambung dengan ikatan konkrit antara satu sama lain. Puncak bagi ruang kubah mantap dan mampu menerima perletakan kubah  memakan masa hampir setengah tahun dikira kepada tarikh rangka kubah diangkat dengan crane ke atas ialah pada 29 Mac 2015 (Ahad). Kelewatan masa bagi meletakkan rangka kubah di atas  kemuncak bumbung Masjid Al-Umm ialah bagi memastikan bahawa  tempat meletakkan kubah pada puncak bumbung itu benar-benar telah kukuh dan mantap. Walaupun diletakkan rangka kubah berkenaan pada 29 Mac 2015 tetapi tiang-tiang yang menjunjung bagi tapak ragka kubah dan kubah itu tetap tidak dibuang, bahkan hingga hari ini tiang-tiang-tiang supportives dari bawah itu masih belum dibuang bagi memastikan tempat meletakkan kubah berkenaan tidak runtuh yang dari satu segi hingga kini masih menghalang dari untuk dipasang tile-tile bagi kawasan pertengahan lantai aras utama masjid berkenaan.


Pandangan dari bawah kepada puncak bumbung berkenaan sebelum diletakkan rangka kubah ia ibarat tangan-tangan yang mendepa ke atas bagi menjulang sesuatu, iaitu kubah. Boleh juga diibaratkan sebagai tangan-tangan yang sedang terangkat bagi mendoakan keselamatan dan kejayaan bagi pembinaan kubah dan masjid Al-Umm yang sedang dalam pembinaan itu. Rangka kubah sebagaimana disebutkan bahawa bilah-bilah bagi rangka berkenaan dibawa ke kawasan masjid berkenaan beberapa hari sebelum dipasang dan pemasangannya memakan masa sebulan sehingga ke tarikh rangka berkenaan diangkat ke atas. Kini kubah jelas kelihatan dari luar, walaupun belum siap, tetapi dilihat dari bawah masih dijunjung oleh tiang-tiang bagi mengukuhkan kedudukan kubah. Sesungguhnya kerumitan dari segi dekoratif bahagian bawah kubah berkenaan tidak kurang rumitnya dari pembinaan dari luar. Walau bagaimana dekorasi dari bawah dan dari dalam adalah bergantung kepda ditanggalkan tiang-tiang dari bawah yang dijangka akan dilakukan penanggalkannya dalam beberapa minggu terdekat, iaitu sebagaimana dimaklumkan pihak Majliza syarikat pembinaan kubah berkenaan.
Pembinaan tapak bagi kubah pada puncak bumbung dengan teknologi walaupun tidak dapat dikatakan canggih merupakan idea kreatif dan bernas yang merupakan bahagian dari estetika akli bagi takmilah, ia akan lebih disempurnakan dengan dekorasi yang menyerlahkan keindahan pandangan kubah berkenaan dari bawah yang meningkatkan estetika Takmilah.

Sekian.

June 17, 2015

Melengkapkan Masjid Al-Umm: Takmilah Estetika Akli, Alami Dan Rohani


BBB, 29 Sya`ban 1436 = 16 Jun 2015 (Selasa):
Pembinaan Masjid Al-Umm bukanlah pembinaan sebuah bangunan yang sukar dan tidaklah besar berbanding dengan bangunan yang berpuluh tingkat direkacipta oleh arkitek terkenal dengan kos RM beratus juta, tetapi bagi kami AJK yang berusaha mendirikannya dengan usaha dan idea bersama dan mendapat tunjangan derma dari orang ramai yang kosnya mungkin meningkat mencecah kepada lebih dari RM15 juta ringgit, maka ini adalah hasil penglahiran gembira dan kesyukuran kami kepada Allah kerana berjaya mendirikan `RumahNya` yang insya Allah menjadi pusat kegiatan ibadat, pengajian dan kemasyarakatan bagi penduduk setempat.
Dilihat dari segi teori Takmilah – teori yang wujud dalam pemikiran sejak dari tercetusnya hasrat mendirikan Masjid Al-Umm dan teori yang terus digunakan dalam menilai dan menyarankan sebagai rangka dan pengisian Masjid Al-Umm, maka Penulis melihat `Masjid Al-Umm` adalah `Master Piece` bagi teori Takmilah dari segi seni bina, khususnya seni bina masjid. Kubah yang kini masih dalam penyempurnaan pemasangan dan menjadi puncak teratas dan titik tengah  dari segi pembinaan adalah lambang bagi Takmilah Estetika Akli, Lahiri dan Rohani.
Rajah Tiga Segi:


Berdasarkan  rajah di atas mulai dari sendeng kanan dari tapak ke atas melambangkan bahawa modal insan adalah faktor utama bagi menjayakan pembinaan Masjid Al-Umm. Modal ini bukan bersifat individu, tetapi berdasarkan jamaah. Bermaksud pembinaan Masjid Al-Umm adalah lahir dari hasil fikiran jamaah terutama dari AJK Induk, teknikal, tapak dan termasuk dari kalangan penderma. Individu-individu dalam jawatan kuasa terdiri dari mereka yang pakar di dalam berbagai-bagai bidang seperti bidang keagamaan, arkitek, seni (estetika) dan perunding-perunding di dalam bidang-bidang pembinaan dan terlibat juga jabatan-jabatan yang diperlukan untuk kelulusan pembinaan. Satu aspek lain yang diperlukan di dalam pembinaan yang melibatkan teori Takmilah ialah keilmuan yang dilambangkan dengan sendeng sebelah kiri dari tiga segi. Bermaksud kepakaran individu-individu dan kebolehan mereka di dalam bidang-bidang keilmuan yang berkait dengan pembinaan masjid. Ini termasuk keilmuan agama yang menasihati berhubung dengan aspek-aspek keilmuan Islam, pakar dalam bidang pentadbiran, pakar dalam bidang arkitek, ukur bahan, letrik, pembinaan, estetik, kewangan dan perunding-perunding bagi bidang-bidang yang berhubung dengan pembinaan. Hasil dari kombinasi pakar dan keilmuan berbagai-bagai dan hasil dalam mesyuarat-mesyuarat yang terus diadakan menelurkan cadangan-cadangan. Misalnya jika asal bangunan Masjid Al-Umm dua tingkat menjadikan bangunan menjadi tiga tingkat. Berbagai-bagai cadangan dikemukakan bagi pengisian tiga tingkat. Jika asal kubah adalah begitu biasa menjadikan kubah ala kubah Masjid Al-Sakhra` di Baitul Maqdis atau dikaitkan dengan Masjid Sultan Kabus. Jika menara asalnya begitu biasa, maka akhirnya mirip sebagai menara Masjid al-Haram pada bahagian atas dan bahagian bawahnya mirip menara Masjid Nabawi. Begitulah banyak cadangan-cadangan penambahbaikan yang dicadangkan terhadap pembinaan fizikal Masjid Al-Umm. Idea-idea yang bernas sebenarnya merupakan keindahan maknawi yang menjelmakan keindahan bagi masjid Al-Umm.
Aspek penting dari Teori Takmilah selain dari modal insan dan kebernasan fikiran, bahawa mengiringi pembinaan bangunan fizikal ialah aspek estetika yang menyempurnakan keindahan bangunan yang juga mengukuhkan Takmilah itu sendiri. Telah dibicarakan bahawa tiap ciptaan Allah adalah mencerminkan sifat Kamal dan sifat Jamal Allah. Keindahan ciptaan tercermin di dalam segala ciptaannya. Dan insan sebagai ciptaan Allah adalah suka dan rindu kepada kesempurnaan dan keindahan ini, lantaran itu apa yang diciptakan sama ada secara individu dan secara jamaah meniru dan mencari elemen Kamal dan Jamal serta secara kreatif terluah di dalam hasil cipta. Di dalam konteks Masjid Al-Umm kesempurnaan dapat dilihat dari rangka seni bina yang kukuh dan gagah berdiri, bukan setakat itu sahaja, segala elemen di dalam rangka seni bina fizikal itu disempurnakan dengan elemen-elemen estetika yang menjadi wajah masjid Al-Umm begiti berseri. Melihat bangunan secara keseluruhan ia adalah bangunan yang indah berada di pinggir tanah tinggi, sekali pandang sebagai bahtera yang berlabuh didermaga. Sekali pandang pula sebagai  bangunan yang berada di dalam taman yang bakal dihiaskan (taman lahiri dan taman ilmu). Lihat pula elemen estetika pada kubah yang berbentuk bujur telur separuh bulat dengan warna keemasan yang bakal mengeluarkan cahaya gemerlap waktu malam dan pantulan kekuningan membalik cahaya di waktu siang. Pandang pula elemen estetika pada menara yang gagah menggapai langit menuju kepada pihak Tertinggi. Keindahan juga dapat dilihat pada ruang-ruang dalam masjid dari ruang terbuka berlantai marmar, berpermaidani kelabu-kekuningan dengan ruang-ruang bagi berbagai-bagai kegunaan. Lihat pula pada dinding-dinding masjid dari pintu, tingkap dan jendela yang banyak mengambil bentuk  lengkung tunduk yang mencerminkan kelembutan, keharmonian dan kekhudukan, seterusnya dari segi tiang-tiang, mihrab, kubah dan menara yang mengambil bentuk bulat yang mencerminkan kesempurnaan sebagai lambang kesempurnaan yang Maha Agung. Banyak lagi elemen-elemen keindahan yang dapat diperturunkan yang merupakan estetika alamiah yang dapat dilihat, disaksi dan dihayati dengan mata kepala sendiri. Ianya merupakan pancaran aspek estetika yang menjadi tiang seri dan tengah bagi Takmilah diwakili sendeng kedua dari sebelah kanan. Ianya melambangkan penujuan ke peringkat puncak di dalam menuju Takmilah pada peringkat piawayan tertinggi menuju kepada yang Esa dan Kekal Abadi yang bersifat dengan segala sifat sempurna – termasuk Kamal dan Jamal yang diberi tumpuan dalam teori Takmilah.


Satu lagi elemen estetika yang merupakan pecahan darinya, iaitu estetika rohani yang diwakili sendeng pada sebelah kiri yang berdekatan dengan keilmuan. Dalam maksud bahawa antara aspek yang diberi penekanan pembinaan Masjid Al-Umm, khususnya selepas siap pembinaannnya ialah pengisian masjid berkenaan dengan kegiatan ibadat, keilmuan dan kerohanian. Aktiviti-aktiviti berkenaan menggarap minda, menggarap jiwa dengan ibadat dan kepatuhan seterusnya mendalam jiwa dengan aspek-aspek kerohanian yang pada peringkat tertinggi bersatu dalam jiwa yang dikenali dengan seni rohani. Tiba kepada tahap ini, antara jiwa yang mengalaminya meluahkan pengalaman seni rohani di dalam karya-karya agung seperti Al-Ghazali dengan Ihya` Ulum al-Din, Al-Qushayri dengan al-Risalat al-Qushairiyyah, Ibn `Ata` Allah dengan Hikam dan ramai lagi. Antara yang menglamai sentuhan seni rohani  mengungkapkan puisi-puisi rohani yang tinggi mutunya seperti yang dihasilkan oleh Rabi`ah al-Adawiyyah, Hafiz, Jami, Firdausi, Iqbal dan ramai lagi. Jika senntuhan rohani sedemikian terpercik pada arkitek yang berjiwa seni rohani, maka hasil arkitekturnya mencerminkan elemen-elemen kerohanian yang tinggi dari segi senibina seperti terhasil pada Masjid Umawi di Damshiq, Masjid Cordova di Andalusia, Masjid Jami` di Isfahan, Masjid Ibn Talun di Mesir, Masjid Agung Qairawan dan berbagai-bagai masjid lagi. Apakah ada sentuhan seni alami dan rohani pada Masjid Al-Umm ?  Sudah pasti ada lantaran pembinaannya tidak lari dari meniru keindahan dicipta Allah di samping berusaha secara kreatif dan inovatif dalam pembinaan masjid tersebut.
Hasil dari pendekatan dari Teori Takmilah tidak lain dari mengharapkan apa yang dihasilkan memberi kesan pada khalayak dan individu, bahawa mereka mendapat manfaat dari segi seni kealaman dan kerohamian, khususnya dari pendidikan dan keilmuan yang disampaikan dapat membentuk jiwa masyarakat yang patuh kepada Allah, kaya dengan kelembutan dan kehalusan jiwa, mencintai Ilmu, beradab dan berakhlak tinggi seterusnya menjadi warga yang patuh kepada Allah, menjadi kalangan yang berguna dan bermanfaat kepada masyarakat dan memberi saham di dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan tenteram di dalam masyarakat dan negara yang disifatkan sebagai – Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.


Sekian.

June 16, 2015

Ayat Al-Qur`an: Peringatan Dan Penyeri Masjid


BBB, 28 Sya`ban 1436 = 15 Jun 2015 (Isnin):
Memperkatakan tentang dekorasi dan perhiasan di dalam masjid, maka penggunaan ayat-ayat Al-Qur`an adalah paling sesuai. Perlu diingat bahawa Al-Qur`an adalah Kitab Perlembagaan, Panduan dan Hidayah. Meletakkannya sebagai bahan perhiasan semata-mata tidak begitu menepati dengan fungsinya. Namun apakah yang lebih sesuai dari memetik ayat-ayat Al-Qur`an sebagai ingatan dan penyeri bagi masjid ? tanpa melupakan fungsi ayat-ayat Al-Qur`an adalah lebih besar dan agung dari itu. Sebenarnya menghiasi masjid dengan ayat-ayat Al-Qur`an adalah menjadi budaya dan hiasan bagi masjid di dalam masyarakat umat. Sebagaimana masjid-masjid mengambil ayat-ayat Al-Qur`an sebagai bahan peringatan dan penyeri masjid, maka demikian juga Masjid Al-Umm turut sama menggunakannya, tetapi bukan semata-mata sebagai perhiasan dan penyeri masjid, tetapi juga adalah sebagai peringatan dan tazkirah.


Dilihat dari segi Takmilah ayat-ayat Al-Qur`an adalah piawayan tertinggi baik dari segi bahasa, keilmuan, pendidikan, peringatan dan estetika, maka keberadaan ayat-ayat Al-Qur`an adalah menerapkan fungsi-fungsi berkenaan kepada jamaah dan khalayak.
Di dalam penggunaan ayat-ayat Al-Qur`an hendaklah dijaga dari segi etika kesesuaian dan fungsinya.
Ayat-ayat Al-Qur`an yang dipetik hendaklah ditulis, diletak dan dipasang pada tempat-tempat terhormat. Misalnya pada dinding hadapan bahagian atas dinding berkenaan. Boleh juga pada bahagian atas, kiri, kanan atau keliling bagi ruang atas bagi dinding masjid. Tulisan bagi ayat Al-Qur`an sama ada langsung pada dinding berkenaan. Atau berada dalam frame yang dilekat atau digantung. Jika di dalam frame adalah sesuai bagi ayat-ayat petikan yang pendek-pendek. Adalah tidak manis dan tidak bersesuaian jika ayat-ayat Al-Qur`an diletak misalnya di bawah bagi tempat jamaah duduk, bahkan tidak manis jika di tepi – bawah bagi hujung tempat jamaah yang boleh dianggap sebagai berada pada hujung kaki bagi jamaah. Sebab itu ayat Qur`an kurang sesuai jika dipasang dibawah aras yang jamaah berada di atas. Ianya dianggap sesuai jika dipasang pada pintu gerbang atau pintu masuk bagi masjid. Ayat Al-Qur`an tidak sesuai dipasang pada bahagian yang berdekatan dengan tandas, di sisi tangga dan hanya pada bahagian belakang tanpa ada pada bahagian hadapan. Jika dipasang secara keliling, misalnya bagi satu surah melibat aras yang lain, misalnya aras muslimat, maka kedudukan ayat-ayat Al-Qur`an hendklah lebih tinggi dari kedudukan jamaah bagi aras muslimat yang merupakan separuh di atas dari aras utama, agar ianya tidak berada di bawah tempat bagi muslimat.
Petikan dari ayat-ayat Al-Qur`an hendaklah bersesuaian dengan kandungan ayat dan tempat diletakkan. Contoh pada bahagian hadapan di atas dinding kanan misalnya ayat Al-Qur`an yang bermaksud:


``Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman yang khusyuk di dalam solat mereka ... dan seterusnya (Al-Mu`minun: 1-5).
Pada dinding sebelah kiri pula dirakam ayat Al-Qur`an yang mengingatkan bahawa solat adalah kewajipan ke atas orang mukmin menurut waktu-waktu yang ditetapkan (Al-Nisa`: 103).
Jika ayat Al-Qur`an  adalah panjang bagi ruang yang mewah memanjang maka dipetik satu surah dengan jumlah ayat yang bersesuaian. Misalnya Surah Yasin dan sebagainya. Bagi ayat bagi permulaan masuk ke masjid sesuai dipetik ayat yang bermaksud:
``Masuklah ke dalamnya dengan selamat dan aman`` (Al-Hijr: 46).


Manakala bagi bahagian tempat jenazah sesuai digunakan ayat yang mengingatkan bahawa, tiap-tiap diri yang bernyawa akan mengalamai kematian (Al-`Ankabut: 57), atau ayat yang mengingatkan, apabila tiba ajal mereka itu tidak akan terlewat atau terawal, walaupun sesaat (Al-Nahl: 61).
Ayat-ayat yang sesuai yang merujuk kepada masjid, ialah tentang ``orang-orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat ... dan seterusnya (Al-Taubah: 18).
Juga ayat yang merujuk pembinaan masjid di atas dasar taqwa (Al-Taubah: 108).
Ayat ini sesuai digunakan pada bahagian hadapan, sisi atau belakang.
Manakala bahagian bagi aras wanita sesuai dihiasi dengan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan mereka yang diredai Allah itu berdoa dengan berkata, ``Wahai Tuhan kami ! Berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya.`` (Al-Furqan: 74)
Jika penggunaan untuk keseimbangan jumlah ayat dapat juga digunakan surah-surah tiga Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas).
Dan jika di atas bagi mimbar (di atas kepala khatib sesuai diambil dari ayat Kursi (Al-Baqarah: 255).
Terdapat banyak lagi ayat-ayat yang sesuai bagi digunakan pada tempat-tempat yang sesuai di dalam masjid.


Ayat-ayat Al-Qur`an yang merupakan perlembagaan, keilmuan, pendidikan dan panduan sebenarnya mengandungi elemen estetika baik dari segi kandungan, pendengaran (bila dibaca apa lagi dilagukan) dan estetika dari segi penulisan.
Dari segi penulisan tulisan Al-Qur`an (termasuk tulisan jawi yang meminjam dari huruf-huruf Al-Qur`an) dapat ditulis di dalam khat yang amat indah. Tulisannya dapat dibentuk secara panjang, pendek, berhias, berbentuk ringkas, geometrik dan sebagainya. Tulisan berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an adalah tulisan yang dapat dibentuk secara estetika yang tinggi mutunya. Penulisan ini dikenali dengan tulisan khat. Ada berbagai-bagai jenis tulisan khat yang telah berkembang di dalam tamaduan Islam. Antaranya ialah khat nasakh, thuluth. riq`ah, kufi, raihani, tumar, musalsal, ghubar, jali, muhaqqaq,  ijazah, dewani dan khat-khat yang dinisbahkan kepada negara-negara Islam seperti Maghribi, Turki, Urdu (Pakistan) dan Jawi (Melayu).


Dalam penggunaan ayat Al-Qur`an di masjid selalunya dipilih yang jelas dan terang terutama nasakh yang jelas tulisan dan mudah dibaca. Khat riq`ah popular digunakan di dalam membuat catatan, kerana ringkas dan cepat ditulis, manakala khat thuluth juga popular kerana ringkas dan padat serta cepat ditulis, tetapi untuk penggunaan di masjid dan mudah dibaca orang ramai, maka khat nasakh adalah khat yang menjadi pilihan – termasuk di Masjid Al-Umm.

Sekian.

June 15, 2015

Dekorasi Jangan Melalai Dan Menenggelamkan Fungsi Masjid


BBB, 27 Sya`ban 1436 = 14 Jun 2015 (Ahad):
Di dalam mendirikan masjid bagi menyenangkan pandangan, maka terdapat penggunaan hiasan-hiasan seperti membuat mimbar yang berukir dengan ukiran berdasarkan tumbuhan-tumbuhan seperti daun-daun dan bunga-bungaan dan bahagian atas dengan ukiran ayat-ayat Qur`an, pada kepala tiang ukiran muqarnas berbentuk geometrik dan sebagainya. Berhubung dengan penggunaan hiasan ini perlu hati-hati, jangan sampai hiasan melalaikan dan menggugat fungsi masjid. Perkara ini misalnya dibincangkan di dalam AJK Masjid, bahawa hiasan yang hendak digunakan jangan sampai melalaikan dan menenggelamkan fungsi masjid. Ayat Al-Qur`an mengingatkan bermaksud:
``Dan siapakan yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah (untuk solat) dan menyebut-nyebut nama Allah di dalamnya dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu ?   (Al-Baqarah: 114).
Pada surah yang lain Allah menyatakan maksudnya:


``Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah (Al-Jinn: 18).
Ayat-ayat di atas mengingatkan bahawa fungsi masjid ialah untuk bersolat dan mengingati Allah dan jangan berlaku penyengutuan terhadapNya dengan ada penyembahan bersamanya.
Di dalam pembinaan, termasuk Masjid Al-Umm. Ingatan diambil dan menauladani masjid-masjid yang ada di kalangan masyarakat umat dan unsur kreatif dan inovatif pula, ialah mencontohi masjid-masjid yang ada dan tidak melampaui dari segi dekoratif sehingga menenggelamkan fungsi sesebuah masjid sehingga ia menjadi sebuah muzium dipertonton dan diagungkan sehingga hilang fungsi sebagai sebuah masjid. Penghiasan sesebuah masjid pula tidaklah melampau-lampau sehingga melalaikan jamaah dari menumpukan ibadat kepada Allah. Dekorasi pada sesebuah masjid diambil contoh  dan kombinasi penggunaan di berbagai-bagai masjid juga diberi perhatian.
Contoh yang paling baik dapat diambil dari Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi. Pada Masjid al-Haram pada dasarnya tidak mempunyai elemen dekoratif yang banyak. Tiada apa hiasan pada Ka`bah yang menjadi arah Qiblat, kecuali sedikit pada pintu yang berwarna keemasan. Tiada mimbar yang digunakan (dulu ada mimbar yang boleh ditolak dan dipindahkan yang sederhana bentuk, kini tiada). Bagi solat Jumaat Imam/Khatib membaca khutbah dengan dibawa alat pembesar suara ke hadapan dan diangkat selepas solat. Di dalam bangunan keliling Ka`bah, tiada sangat dekorasi, keculi pada bahagian atas dan bawah tiang. Pada bahagian-bahagian lain adalah ruang-ruang biasa. Demikian juga dengan Masjid Nabawi tiada sangat elemen dekoratif, kecuali pada tiang-tiang seperti di Masjid al-Haram. Pada bahagian dinding adalah biasa yang banyak diatur dengan rak-rak yang diisi dengan kitrab-kitab Al-Qur`an untuk dibaca oleh jamaah. Mimbar adalah biasa, kecuali mimbar pada  Raudah adalah elemen hiasan.
Walau bagaimana contoh-contoh dapat diambil dari masjid-masjid yang lain. Misalnya dari Masjid Umawi yang banyak menggunakan elemen awan larat dari tumbuh-tumbuhan, Begitu juga dengan hiasan-hiasan pada lengkung tiang terutama pada Masjid di Cordova dan penggunaan elemen lengkung tunduk yang banyak digunakan diperbagai masjid termasuk di Masjif Isfahan dan sebagainya.


Ruang yang paling utama di dalam masjid dan berdepan dengan jamaah, ialah dinding pada bahagian masjid. Pada asal dan dasarnya ialah ruang dinding yang kosong yang para jamaah berdepan dengannya bila bersolat. Tapi ruang di hadapan ini, sebenarnya tidak kosong. Ianya perlu diisi dengan keperluan-keperluan bagi bersolat. Keperluan termasuk wujudnya mihrab yang berada pada bahagian tengah mengarah ke Qiblat, perlu ada mimbar bagi khatib membaca khutbah berdepan dengan jamaah yang berada pada bahagian kanan bagi mihrab. Selain daripada itu ialah ruang dinding masjid yang kosong dari atas ke bawah. Dengan itu sudah cukup dari keperluan biasa bagi hadapan ruang hadapan solat dengan dinding misalnya berwarna putih. Konsep keseimbangan antara kedua belah pihak bagi mihrab adalah menjadi kiraan baik dari segi janggal dan ada keselesaan. Ketidakselesaan dan kejanggalan misalnya cadangan untuk kelihatan ringkas dengan mengadakan mimbar sebagai tergantung pada bahagian tepi kanan bagi mihrab (dalam ruang mihrab) dengan tangga di bahagian belakang pada sebelah kanan dan pada kanan dan kiri adalah dekorasi yang seimbang. Kritik utama terhadap cadangan ini ialah bahawa adalah tidak biasa mimbar berada di bahagian mihrab yang pada bahagian ini imam berdiri bersolat menghadap Qiblat.


Cadangan seterusnya ialah dengan mengubah mimbar pada sebelah kanan (bersendirian) dengan bahagian dinding ada tiga ruang lengkuk bujur dengan dalaman bagi lengkuk ini berhias dengan dekoratif design bersifat geometrik atau bermotif ala bunga yang polanya bersamaan dan di atas lengkongan bersifat awan larat bermotifkan flora.  Bahagian atas kanan dan kiri adalah ruang empat segi panjang untuk diisi dengan ayat-ayat Al-Qur`an. Namun didapati ianya agak berat dengan hiasan yang dibimbangi akan mengganggu konsentrasi dan kekhusyukan para jamaah, terutama di dalam solat. Lagi pula ruang mihrab  yang seharusnya lebih luas dan selesa nampaknya begitu sempit dan jarak ruang di belakang untuk tangga khatib naik ke mimbar agak jauh, lantaran mihrab begitu sempit. Lagi pula kaki bagi sebelah mimbar (kanan bagi khatib)  terputus dan tergantung.
Untuk meringankan dinding dari hiasan yang agak tebal dan mengganggu konsentrasi jamaah adalah dicadangkan agar disederhanakan dengan hiasan hanya dikekalkan ruang lenkung bergaris ke dalam dengan hanya dengan dua lengkung pada kiri dan kanan, tanpa motif hiasan pada tengahnya (kosong). Lengkung berlapis ini pula hendaklah bersifat ringan dan nipis pada dinding yang garisnya antara kelihatan dengan tidak di dalam warna yang ringan didominasi oleh warna putih, agar ruang tidak begitu kosong dan ruang ketiga pada sebelah kanan dan kiri adalah digunakan bagi tingkap yang boleh dibuka  bagi dimasuki udara dan cahaya bila dikehendaki dibuka. Oleh kerana ruang ini berada pada tingkat utama, di atas bagi tingkat bawah tanah, keberadaan tingkap ini bukan dari tempat orang boleh berdiri dan menjenguk ke dalam dari bawah, sebaliknya ia berada pada tahap tinggi yang tidak sampai untuk dijenguk atau diceroboh orang di luar dan keberadaan tingkap ini pada bahagian tengah selain dari berfungsi bagi kemasukan udara dan cahaya, bila tidak mau menggunakan penyaman udara, menjadikannya lebih menarik dari segi pandangan, baik dari luar dan juga di dalam. Kritik terhadap contoh gambar bertingkap ialah jangan menggunakan palang pada tingkap palang sebagai `cross`. Ianya hendaklah diadjust agar tidak kelihatan `cross` dan hiasan geometrik atau flora bagi lengkung tunduk hendaklah ditiadakan. Biarkan wujud garis lengkung berlapis sahaja yang mencerminkan kelembutan, khuduk dan khusyuk. Untuk keharmonian dan seimbang permukaan dan ke dalam bagi mihrab juga hendaklah berhias lengkung tunduk bagi menimbulkan ketenangan dan keharmonian Pimilihan ayat Al-Qur`an pada bahagian atas kanan dan dikiri hendaklah dikekalkan dengan pemilihan ayat-ayat Al-Qur`an yang sesuai. Adalah dicadangkan pada asalnya untuk meletakkan sebuah jam besar berdiri dihadapan satu dari ruang lengkung tunduk pada sebelah kiri, tetapi memandangkan kini zaman IT, waktu dapat dipaparkan secara terus pada salah satu ruang di atas, sebelah kiri penggunaan jam besar, apa lagi dalam bentuk sepasang, memakan ruang dan tidak lagi sesuai, maka dicadang digunakan sistem IT digital yang bersifat ringkas dan lebih canggih. Pokoknya penggunaan elemen dekoratif hendaklah bersifat sederhana dan mengikut motif yang biasa digunakan di dalam dekorasi di masjid-masjid, iaitu element lengkuk tunduk yang kelihatan lembut. Ianya merupakan Takmilah dari segi dekorasi yang menekankan elemen keindahan dan kerohanian.

Sekian.

June 10, 2015

Tambahan Ruang Dan Kemudahan Di Aras Utama: Fungsi


BBB,  22 Sya`ban 1436 = 09 Jun 2015 (Selasa):


Selain dari penyediaan tempat bertaharah, pada aras utama sebelum masuk ke ruang terbuka Masjid Al-Umm terdapat ruang dan kemudahan yang disediakan, iaitu:
1)      Dua bilik bersebelahan – kanan
2)      Taman Mini – kanan
3)      Satu bilik besar berasingan – dan sebuah bilik sederhana berhadapan (berdepan tangga ke aras bawah tanah), kiri
4)      Bilik menukar lampin anak-anak
5)      Taman mini – kiri
6)      Kemudahan-kemudahan lain
Terdapat dua bilik besar – satu sebelah kanan dan satu adalah sebelah kiri. Kewujudan bilik ini mengimbangi bilik yang sama sebelah menyebelah. Bilik di sebelah kanan berada pada paling kiri dari dari bilik wudhu`, kanan, tetapi bilik ini walau pun sama dengan bilik sebelah kiri, namun dipecah dengan `partition` menjadikannya sebagai dua bilik. Bilik sebelah kanan agak besar dan sesuai menjadi bilik bagi pentadbir masjid – sepetri Nazir dan bilik sebelah kiri berdekatan dengan ruang utama masjid, mungkin sesuai bagi kakitangan perkeranian masjid. Namun bilik-bilik ini boleh diubahsuai bagi keperluan yang bersesuaian.


Bersempadan antara bilik berkenaan dengan kawasan wudhu` ialah ruangan bagi taman mini. Ruang taman mini ini adalah ruang kosong dari bawah ke atas, bagi kemasukan cahaya dan udara. Ruang di bahagian bawah ini dijadikan ruang bagi taman mini. Taman ini boleh menggunakan pokok-pokok hidup yang bersesuaian dengan kawasan yang tidak begitu luas. Ianya boleh digunakan untuk kawasan istirehat dalam mana dibina pangkin atau meja batu dan kelilingnya adalah bangku untuk beristirihat bagi ahli jamaah lelaki yang lokasinya adalah sebelah kanan bagi ruang utama masjid.
Sebagaimana pada sebelah kanan ada bilik yang dibahagi dua, maka pada sebelah kiri juga terdapat satu bilik yang sama besarnya yang dapat nemampung sampai seratus orang. Buat masa  sekarang sejak dua bulan lepas (April 2015), bilik ini digunakan sebagai bilik mesyuarat bagi Mesyuarat Tapak, Mesyuarat Teknikal dan Mesyuarat Induk yang bermesyuarat mingguan berturut minggu pada setiap hari Selasa. Mesyuarat dipindah selepas bilik mesyuarat rumah kongsi telah dirobohkan bagi pembersihan kawasan bagi pembangunan kawasan masjid. Bilik mesyuarat yang digunakan sekarang, walaupun belum siap, tetapi telah dapat dimasukkan air-cond. Ini bermakna AJK telah menggunakan ruang masjid sejak dua bulan yang lepas. Bilik yang besar ini adalah bertujuan dijadikan bilik tarbiah. Bermaksud apabila siap masjid kelak dan berbagai kegiatan dilakukan, termasuk kegiatan keilmuan, maka adalah diharapkan kegiatan-kegiatan ibadat, pendidikan dan kemasyarakatan tidak sahaja dihadiri oleh kalangan orang tua dan warga emas, tetapi juga adalah diharap dihadiri oleh kalangan muda dan ibu-ibu yang mempunyai anak-anak kecil. Ibu-ibu boleh datang dengan anak-anak mereka mengikuti pengajian dan melakukan ibadat dengan membawa sama anak-anak mereka. Anak-anak berkenaan ditempatkan di bilik tarbiah dan dijaga dan diasuh oleh pihak yang dilantik dan berkemahiran mengasuh dan mendidik anak-anak.


Sebagai galakan kepada kehadiran ibu-ibu membawa anak-anak mereka, maka bersebelahan dengan bilik tarbiah ini terdapat bilik memandikan anak-anak dan bilik persalinan pakaian mereka bersebelahan dari bilik tarbiah dan bilik wudhu` dan tandas. Bersebelahan dengan bilik tarbiah ini, jika di sebelah kanan mempunyai taman mini., maka berdepan dengan bilik tarbiah ini terdapat taman mini bagi anak-anak yang diasuh bermain di taman tersebut. Ruang kosong dari atas untuk kemasukan uadara dan cahaya. Taman mini disediakan dengan rumah menggelunsur, ruang atau terowong keluar masuk anak-anak dan juga jongkang jongkit sebagai alat-alat permainan yang sesuai dengan mereka. Bilik di atas sebenarnya boleh disesuaikan bagi kegiatan kaum ibu mengadakan berbagai kegiatan seperti pengajian Al-Qur`an, tajwid, bahasa Arab,  masakan, menjahit, kursus kesihatan, ekonomi rumah tangga dan berbagai kegiatan yang sesuai.
Di samping bilik-bilik di atas ada sebuah bilik lagi yang bentuknya adalah sebuah bilik, tetapi pada bahagian hujung adalah menuju ke tangga untuk turun ke tingkat bawah tanah. Ruang di sini menjadi semacam ruang tempat menunggu, tetapi paling sesuai dijadikan bilik yang dapat digunakan kaum muslimat bagi kegiatan mereka dengan menutup dengan pintu ruang keluar ke tangga. Dan membuka ruang laluan ke sebelah kanan untuk ke lantai aras utama, atau di buka sebelah kiri melalui jalan kosong  antara bilik air dengan bilik yang patut ditutup jalan ke tangga berkenaan. Dengan sebuah ekstra bilik dapat digunakan tanpa menjejaskan turun naik ke atas dari aras bawah tanah dan demikian sebaliknya.


Selain dari kemudahan-kemudahan yang disebutkan, bahawa pada bahagian hadapan bagi bilik-bilik yang disebutkan terdapat kemudahan tangga pada sebelah kanan. Tangga ini dinaiki melalui anak tangga di bawah ruang menara dan puncaknya sampai ke bahagian atas dari aras satu dan dapat sampai ke puncak ke bahagian bumbung dan atap yang bersambung dengan kubah. Tangga ini juga membolehkan pendakinya membelok, sebelum naik ke bahagian atas, untuk ke level satu. Adapun selepas dari naik ke tingkat atap, tiada tangga lagi untuk ke puncak menara. Untuk menaiki ke atas lagi ialah dengan menggunakan cara yang lain.
Sebagaimana sebelah kanan ada tangga yang boleh dinaiki dari bawah menara ke atas, maka demikianlah dengan sebelah kiri juga mempunyai mata tangga yang menyampaikan ke atas dari aras satu. Namun satu kemudahan yang disediakan berdekatan tangga, ialah perkhidmatan lif untuk OKU dan orang-orang yang uzur dari kalangan muslimat untuk naik ke aras satu, khusus bagi muslimat. Tangga ini juga boleh digunakan bagi menaik dan menurunkan barang-barang dari bawah ke atas dan sebaliknya. Walau bagaimana lif ini tidak digalak untuk digunakan oleh orang awam, kecuali OKU dan yang uzur dari kalangan muslimat. Adapun bagi jamaah lelaki tidak perlu menggunakan lif, kerana aras bagi lelaki ialah aras yang sama dengan permukaan bumi. Mereka boleh turun dari kenderaan dan boleh terus masuk atau ditolak dengan kerusi roda terus ke dalam ruang utama jamaah. Sebagai masjid mesra pengguna, maka masjid juga menyediakan bukan saja kerusi roda, tetapi kerusi lipat dan jenis-jenis kerusi yang lain yang sesuai digunakan oleh jamaah yang tidak dapat duduk dan sujud seperti biasa.


Sesungguhnya masjid sejak dari awal lagi memikir dan berusaha menyediakan kemudahan-kemudahan bagi jamaah lelaki dan perempuan dan kepada semua peringkat berbagai-bagai kemudahan dan berbagai kegiatan, ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan bagi menggalakkan para jamaah datang mengimarahkan masjid bila-bila masa. Masjid sesungguhnya didirikan di atas biaya orang ramai. Sesungguhnya tidak bermakna kita mendirikan masjid dengan kos yang agak tinggi dari sumbangan orang awam, jika masjid tidak sebenar-benar diimarahkan.  


Sekain.